Duit syiling perdagangan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Duit syiling perdagangan ialah duit syiling yang tidak selalu bertujuan untuk digunakan di dalam negara yang menempanya. Mata wang kuasi ini (kekadang digelar Scheidemünze) merupakan barangan eksport dalam bentuk duit syiling atau jongkong logam berharga tercetak timbul yang digunakan untuk membeli barangan yang penting daripada negara-negara yang lain secara pukal dan dengan lebih murah. Ia juga boleh ditukarkan dengan logam berharga pada nilai yang sama. Contoh yang paling terkenal dari abad ke-18 ialah thaler Maria Theresa dari Austria yang dieksport dalam jumlah yang besar ke Afrika ketika itu dan yang masih dicari-cari oleh pengumpul duit syiling. Duit syiling tersebut ketika itu sangat dipandang tinggi oleh penduduk Afrika sehingga kuasa belinya untuk barangan dan bahan mentah di Afrika melebihi kuasa belinya di Austria.

Duit syiling perdagangan berbeza-beza daripada duit-duit syiling logam berharga yang digunakan untuk perdagangan biasa pada masa aman hingga duit-duit syiling bermutu rendah yang seringnya ditempa bagi tujuan penipuan. Kebanyakan duit syiling perdagangan bermutu rendah ditempa pada masa perang. Apa yang dikatakan Ephraimiten merupakan duit syiling tembaga bersadur perak yang digunakan dalam Perang Tujuh Tahun. Walau jika duit-duit syilng perdagangan diterima atau diluluskan sebagai wang sah, duit-duit itu amat disusutnilaikan oleh 'penstabilan penilaian' atau ditukarkan kepada terbitan-terbitan baharu pada kadar penukaran yang biasanya masih sangat rendah, berbanding dengan nilai logam berharga yang digunakan untuk menempa duit-duit syiling tersebut.

Dalam persediaan untuk peralihan yang perlahan kepada piawai emas dari 1717 hingga 1816 di England, England lebih suka akan kepingan emas 5 - dan 10-thaler (Friedrich d'or) dalam penjualan barangan bermutunya kepada Prusia. Oleh itu, Friedrich d'or merupakan duit syiling perdagangan di luar negeri di samping merupakan mata wang di dalam negara Prusia pada dirinya. Walau bagaimanapun, dengan harga perak Reichstaler yang sering naik turun, Friedrich d'or kemudian menjadi mangsa kepada kedwilogaman.

Duit-duit syiling perdagangan yang popular kerana kehalusannya yang agak stabil ialah ducat emas Hungary dan Belanda, serta apa yang dikatakan Dolar Perdagangan perak yang digunakan oleh Mexico dan Amerika Syarikat untuk membeli barangan Amerika Selatan dan China pada harga yang agak murah. Kebanyakan mata wang negara-negara tersebut berasaskan piawai perak dan mata wang kertas, dengan nilai perak untuk kegunaan dalaman ditetapkan terlalu tinggi, walaupun nilai perak di seluruh dunia lebih rendah.

Sejak dekad 1920-an, tidak terdapat lagi banyak duit syiling perdagangan yang benar, walaupun sesetengahnya masih didagangkan oleh pengumpul duit syiling pada harga premium. Peranannya kini diambil alih oleh dolar Amerika Syarikat (kertas atau elektronik) sebagai mata wang dunia.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

  • (Jerman) Heinz Fengler u. Autoren: Lexikon Numismatik. transpress Verlag für Verkehrswesen, Berlin 1988, ISBN 3-344-00220-1

Pautan luar[sunting | sunting sumber]