Dusun Labuk

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Dusun Labuk merupakan salah satu daripada suku kaum di Sabah. Mereka kini digolongkan ke dalam kelompok kaum Kadazan-Dusun disebabkan mereka berkongsi adat resam dan bahasa yang hampir serupa. Kebanyakan orang Dusun Labuk tinggal di kawasan sekitar Telupid, Beluran, dan Sandakan. Kaum Dusun Labuk menyambut pesta Kaamatan. Pakaian tradisi yang digunakan pula ialah Baju Labuk. Tarian yang amat popular bagi kaum dusun labuk ini dikenali sebagai "Magalai Labuk" dan diiring dengan muzik tradisi yang dinamakan "titik tungkil" dan dialek bahasa juga hampir sama seperti suku kaum Kadazan-Dusun yang lain. Ianya hanya dibezakan oleh alunan sebutan perkataan dalam bahasa tersebut.

Penerangan[sunting | sunting sumber]

Dusun Labuk sejak dulu membuat petempatan di tepi sungai. Ini disebabkan sungai menjadi sumber untuk mencari makanan dengan hidup sebagai nelayan. Selain itu di tepi sungai mereka boleh meramu tumbuhan liar sebagai sayuran iaitu seperti pakis, rebung, pontiring dan lain-lain lagi.

Tepi sungai juga adalah tempat yang subur untuk menanam padi huma. Fenomena banjir menjadikan kawasan tepi sungai sangat sesuai dan subur disebabkan pengumpulan nutrien yang dibawa oleh air dari hulu sungai. Dusun Labuk hidup berpindah randah. Mereka berpindah ke kawasan lain untuk mencari tempat yang lebih subur tanahnya. Contohnya penduduk Kampumg Pinunakan sebenarnya berasal dari tempat yang lebih ke hulu dan bukannya seperti tempat sekarang ini. Mereka sebenarnya berasal dari Kampung Bilai dan Kampung Kiabau. Kampung Buis dan Kampung Berayung adalah dua kampung yang berjiran juga. Tidak hairan sekiranya mereka mempunyai hubungan keluarga kerana moyang mereka dari keluarga yang sama. Penduduk Kampung Pinunakan mempunyai pertalian saudara dengan penduduk Kampung Kiabau, Kampung Buis dan Kampung Berayung. Begitu juga dengan Kampung Rumidi dan Kampung Sinaputan.

Oleh kerana kaum Dusun Labuk hidup berhuma, mereka sangat mahir dalam berladang. Sekarang generasi muda tidak lagi berladang dan telah melupakan kemahiran berladang seperti rumilik, managad, monutud, mangalana, mangasok, monumpos, moniri, monutuh, mangamata, mongomot, gumamas, mamuau dan banyak lagi istilah yang sudah mula dilupai. Kini masyarakat Dusun Labuk sudah mengecapi kemajuan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]