Ebriza Aminnudin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Fail:Sisebriza.jpg
Ebriza di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, 2015


Pen Name : Ebriza Aminnudin (Prolific Writer)
Nationality: Malaysian, Pulau Pinang
Born: 28 Febuari
Ethnicity: Malay
Religion: Islam
Education: Universiti Teknologi Mara (Reporter)
Occupation: Accountant Staff, Writer
Genre: Versatile
Years active: 1996-present
Website: ebrizaaminnudin.com

Ebriza Aminnudin merupakan salah seorang novelis Malaysia yang berasal daripada Pulau Pinang. Beliau menetap di Island Glades, Penang. Penulis serba boleh ini bekerja di sebuah syarikat swasta dan menumpahkan kreativitinya di masa lapang. Beliau dikenali kerana sikap tidak mudah berputus asa dan sangat disenangi orang sekeliling. Beliau juga merupakan penulis Seramlicious yang berevolusi daripada Lovelicious, Buku Prima, karangkraf dan mentor kepada pelapis-pelapis penulis muda ketika ini.

Beliau adalah penulis prolifik Buku Prima. Sesuai dengan statusnya sebagai penulis kreatif yang serba boleh dan masih bertahan dalam industri ini. Karya-karya beliau menitik beratkan moral yang tinggi. Nukilannya pasti meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca.

Latar Belakang Pendidikan[sunting | sunting sumber]

  • Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Gelugor, Pulau Pinang.
  • Sekolah Menengah Hamid Khan, Pulau Pinang.
  • Sekolah Menengah Abdullah Munsyi, Pulau Pinang.
  • Universiti Teknologi Mara, Jurusan Kewartawanan.

Senarai Karya[sunting | sunting sumber]

  1. Dambaan Pilu, 2004 - Ghoswriter
  2. Apa Kata Hati, 2004 - Ghoswriter
  3. Damien, 2004 - Ghoswriter
  4. Tangisan Dalam Kerinduan, 2005 - Ghoswriter
  5. Di Kala Cinta Terdetik,2006 - Rythm Publishing
  6. Aku Cinta Kamu, 2006 - CESB
  7. Dialah Di Hati, 2007 - Ilmu Bacaria Publishing
  8. Hati Ini Milik Siapa, 2007 - Fajar Pakeer
  9. Kau Yang Tak Mengerti, 2007 - CESB
  10. Hanya Dikau, 2007 - Buku Prima
  11. Janji Seorang Puteri, 2008 - Buku Prima
  12. Dakapan Kasih, 2008 - Roket Kertas
  13. Mahakarya Cinta, 2008 - Fajar Pakeer
  14. Jangan Kau Tangisi, 2009 - Buku Prima
  15. Benci Tapi Rindu, 2009 - Fajar Pakeer
  16. Vila Amira Syakila, 2010 - Buku Prima
  17. Ingin Hati Melukis Kata, 2010 - Fajar Pakeer
  18. Reza & Negara Kristal, 2010 - Fajar Pakeer
  19. Reza & Gergasi Mons, 2010 - Fajar Pakeer
  20. Reza & Puteri Fildza, 2011 - Fajar Pakeer
  21. Kejap Ada Kejap Tak ada, 2012 - Buku Prima
  22. Miss Blur, 2013 - Buku Prima
  23. Miss Universe, 2014 - Buku Prima
  24. Kubur Bernyawa, 2014 - Buku Prima
  25. Sakitnya Hati Aku, 2015 - Buku Prima
  26. Pena, Antologi Permainan Maut, 2015 - Buku Prima
  27. Atuk, 2015 - Buku Prima
  28. Wad 13, Projek Seram Wad, 2016 - Buku Prima

Pencapaian dan Pengiktirafan[sunting | sunting sumber]

  • 1996 - Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat, Puisi Jendela Hidup
  • 1997 - Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat, Puisi Kerismu
  • 2014 - Anugerah Penulis Prolifik Buku Prima
  • Novel-Novel Ulang Cetak:
  1. Hanya Dikau Terbitan Buku Prima
  2. Jangan Kau Tangisi Terbitan Buku Prima
  3. Kejap Ada Kejap Tak Ada Terbitan Buku Prima
  4. Kubur Bernyawa Terbitan Buku Prima

Sejarah Kehidupan & Kerjaya Penulis[sunting | sunting sumber]

Segala-galanya bermula ketika beliau berumur 13 tahun. Ketika itu beliau mula menunjukkan kecenderungan dalam bidang penulisan. Beliau lebih gemar memilih genre puisi untuk mengasah bakat. Apabila ada masa terluang beliau akan menulis puisi. Walaupun pada peringkat awalnya hanyalah untuk suka-suka tetapi akhirnya menjadi satu kerjaya dan kepuasan diri. Kebanyakannya puisi beliau adalah untuk mengekspresikan perasaan terhadap teman-teman sekolah dan juga teman-teman sekelas, sama ada perasaan gembira, menghargai ataupun marah.

Bakat beliau dikesan oleh Guru Kesusasteraan Melayu penulis iaitu Puan Qanaah. Ketika itu usia penulis baru menjangkau 16 tahun dan kecenderungan penulis berkarya masih lagi kepada genre puisi. Pada ketika itulah, Puan Qanaah cuba mengubah kemahiran menulis penulis dari genre puisi kepada penulisan yang lebih pelbagai lagi.

Hasil didikkan dan kata-kata cabaran yang diberikan oleh Puan Qanaah, maka tersiarlah karya puisi pertama beliau di dalam majalah Mutiara Bahasa (diedarkan untuk semua sekolah menengah di Pulau Pinang sahaja) yang berjudul Roda Kehidupan. Karya tersebut telah menjadi titik permulaan pada perjuangan beliau di dalam bidang penulisan. Kemudian, beliau memberanikan diri pula untuk beralih arah kepada genre penulisan skrip drama. Terdapat beberapa skrip drama yang telah dihasilkan oleh beliau untuk pertandingan sekolah, walaupun tidak memenangi apa-apa hadiah namun beliau berasa puas hati kerana berjaya menghasilkan karya tersebut.

Setelah mencuba genre penulisan puisi dan skrip drama, beliau memberanikan diri untuk menghasilkan cerpen pula. Niat itu terdetik ketika beliau sedang menunggu keputusan SPM. Buat pertama kalinya beliau telah menghantar cerpen berjudul Mengerti ke Majalah Seleksi iaitu salah sebuah majalah hiburan yang terdapat di dalam negara kita ini untuk sebuah pertandingan. Walaupun tidak berjaya memenangi apa-apa hadiah, tetapi cerpen itu telah disiarkan. Sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi. Beliau terus mengorak langkah lebih panjang untuk terus maju di dalam bidang penulisan.

Pada tahun 1995 dan 1996, beliau mula aktif dengan Rakan Penulisan yang dianjurkan oleh Rakan Muda. Perkara ini memperlihatkan bahawa beliau begitu bersungguh-sungguh untuk memperbaiki dan menimba sebanyak mana ilmu pengetahuan. Semasa menghadiri sesi latihan ini, beliau lebih banyak terdedah dengan cara-cara penulisan yang lebih formal. Beliau juga telah terpilih bersama rakan sekolah yang lain mengikuti seminar kebangsaan yang dianjurkan oleh Rakan Muda. Seminar ini berlangsung selama seminggu di Rumah Gapena, KL dan juga Muara Sungai Duyong, Melaka. Di sini jugalah beliau telah dipertemukan dengan Dr. Othman Puteh, Professor Madya Rahman Shaari dan beberapa nama besar dalam arena penulisan. Banyak ilmu yang telah beliau perolehi daripada nama-nama besar ini. Secara tidak langsung ia telah membakar semangat beliau untuk terus berkarya dengan lebih gigih lagi.

Antara detik yang amat bermakna dalam hidup beliau apabila genre puisi dan cerpen penulis telah disiarkan dalam majalah Dewan Siswa sekaligus memenangi Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat (HSSBR) dalam genre puisi selama dua tahun berturut-turut. Ini merupakan rekod terbaik yang berjaya beliau capai pada ketika itu. Di antara karya-karya awal penulis yang berbentuk puisi ada dimasukkan dalam koleksi Harapan Di Joyrampur, Putaran Jarum Jam dan Sebuah Hati di Cheng Du.

Pada tahun 1997, beliau telah dijemput untuk menghadiri Minggu Penulis Remaja(MPR) yang dianjurkan oleh DBP. Penulis bernasib baik kerana bukan semua orang mendapat peluang untuk menyertai minggu ini kerana ia hanya untuk mereka yang terpilih sahaja. Di sinilah bakat sebenar beliau mula terserlah dan dikembangkan. Di sini juga beliau mengenali Sasterawan Negara yang amat disegani iaitu Abdullah Hussein yang banyak memberi kata perangsang kepadanya untuk berkarya dengan lebih baik.

Segala penglibatan beliau di dalam dunia penulisan seolah-olah terhenti setelah beliau ditawarkan masuk ke UiTM, Shah Alam. Mungkin kerana tanggungjawab beliau sebagai penuntut telah menghadkan masa dan kesempatan untuk terus berkarya. Namun penulisan di dalam genre novel bermula apabila beliau dicabar untuk menghasilkannya dan untuk menyahut cabaran itu maka terhasillah novel pertamanya yang Berjudul Di Kala Cinta Terdetik. Bermula dengan novel pertama beliau mengorak langkah untuk menghasilkan novel-novel yang lain yang seiring dengan kehendak pembaca pada ketika itu.

Antara salah satu keistimewaan beliau ialah keberanian beliau mencuba pelbagai genre dalam penulisan novel. Setelah terlalu lama dikaitkan dengan genre novel percintaan, lama-kelamaan beliau merasakan perlu ada satu transformasi dan revolusi dalam karya-karya beliau yang seterusnya. Oleh sebab itu, beliau mula terfikir untuk mengubah genre novel penulis yang seterusnya agar lebih segar dan pelbagai. Di samping itu, beliau juga ingin mengasah kebolehan dan kreativiti dalam genre novel yang berlainan dari kebiasaannya.

Beliau beranggapan menukar genre novel ini merupakan satu cabaran yang cukup menguji dan memberi kepuasan dalam berkarya. Ini kerana kebanyakan penulis biasanya dilihat lebih selesa jika mereka hanya dikenali dengan satu genre sahaja dan mereka merasakan tidak yakin untuk cuba berubah angin. Namun bagi diri beliau sendiri pula adalah sebaliknya. Beliau berpendapat sebagai penulis novel seharusnya kebolehan yang ada dalam diri itu harus diuji dan digilap dengan genre novel yang pelbagai.

Fail:Sisebriza7.jpg
Hadiah Sastera Siswa Bank Rakyat, 1996-1997

Oleh sebab itulah beliau membuat percubaan berani dalam menghasilkan novel genre thriller seram berjudul Vila Amira Syakila terbitan Buku Prima. Novel ini dilihat telah menambat hati pembaca. Malah ia dikatakan unik terutama sekali pada mereka yang meminati novel genre seram. Ia terbukti melalui respon pembaca novel tersebut di laman facebook beliau dan juga daripada email yang telah beliau terima. Ada juga di antara rakan penulis yang agak terkejut apabila beliau begitu berani bertukar genre. Ini kerana pada pandangan mereka, kehilangan pembaca dan kegagalan karya itu adalah risiko yang menakutkan pada saat diri telah dikenali. Namun beliau menganggapnya sebagai satu cabaran jika dia ingin menjadi penulis yang serba boleh. Sehingga kini beliau juga telah mencuba beberapa genre lain untuk pembaca cilik dan juga para remaja. Ternyata kebolehan beliau usah dipertikaikan kerana dia mempunyai penggemar tersendiri dari kalangan si cilik mahupun remaja.

Secara jujurnya beliau sendiri turut rasa berdebar menunggu reaksi pembaca untuk percubaan pertama beliau ini. Tetapi apabila pembaca yang membeli novel ini memberi komen yang positif setelah membaca novel ini, membuatkan beliau menarik nafas lega. Beliau merasakan tidak salah untuk mencuba pelbagai genre kerana ianya akan menjadikan seseorang penulis itu lebih verstail. Impian beliau juga sebenarnya adalah untuk menjadi seorang penulis yang verstail. Beliau yakin jika pembaca itu sudah lama mengikuti perkembangan karya seseorang penulis yang di minati, mereka akan cuba menerima walau apa pun genre yang penulis itu hasilkan. Bagi penerbit pula, ianya satu pembaharuan yang jarang dihasilkan oleh penulis lain. Perkara yang paling penting adalah karya itu harus menarik dan mampu memikat hati pembaca.

Beliau mengakui bahawa bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu yang jarang kita hasilkan. Malah beliau sendiri pada permulaannya berhadapan dengan kesukarannya untuk mendapatkan mood dari segi penceritaan kerana tidak mudah untuk menimbulkan unsur suspen, menakutkan, menyeramkan dan memastikan agar cerita itu meninggalkan persoalan pada diri pembaca dan seterusnya menarik mereka untuk berasa ingin mengikuti cerita ini dari mula hingga ke akhirnya. Alhamdulillah berkat kesabaran, ketekunan, dan sokongan semua akhirnya beliau berjaya menyiapkan novel tersebut. Walaupun ianya mengambil masa agak lama. Namun kepuasan itu jelas dirasai oleh beliau setelah melihat novel ini diterbitkan di pasaran. Sekaligus di terima dengan baik oleh pembaca.

Selain mencuba genre thriller seram, beliau juga telah menghasilkan novel untuk kanak-kanak iaitu Janji Seorang Puteri terbitan Buku Prima dan Novel Bersiri kanak-kanak terbitan Fajar Pakeer. Bagi beliau penghasilan novel kanak-kanak pula, tidaklah mempunyai banyak kesukaran. Perkara yang perlu diketahui ialah penulis harus bijak meneliti cerita yang bagaimana kanak-kanak suka. "Saya sentiasa mengambil rujukan karya-karya popular di barat yang menjadi kegemaran kanak-kanak, kemudian diubah agar sesuai dengan masyarakat dan kebudayaan di negara kita. Walaupun cerita itu tidak logik tetapi tidak mustahil boleh dihasilkan kerana cerita rakyat Malaysia juga adalah sesuatu yang tidak logik, namun, jangan pandang dari segi ketidaklogikannya sahaja tetapi pandanglah pada mesej yang hendak disampaikan," ujar beliau.

Antara novel beliau yang terlaris adalah Hati Ini Milik Siapa terbitan Fajar Pakeer. Manakala novel beliau yang masuk cetakan kedua adalah Hanya Dikau dan Jangan Kau Tangisi terbitan Buku Prima.

Harapan dan impian beliau agar dirinya terus dikurniakan idea-idea yang segar untuk berkarya dan dapat mengekalkan pelbagai genre dalam penulisan novelnya yang akan datang. Beliau juga berharap agar pembaharuan yang dilakukan ini akan dapat diterima oleh semua walaupun kadangkala ceritanya tidak berapa logik. Jika karya Harry Porter mampu mendapat tempat di hati semua kenapa tidak dengan karya penulis tempatan? Beliau juga mengharapkan pembaca dan masyarakat sentiasa memberi ruang dan peluang untuk penulis-penulis tempatan mencipta pembaharuan di dalam bidang penulisan ini. Seterusnya mereka terus menyokong penulis-penulis novel di Malaysia.

Di akhir bicara, beliau ingin memberi tips kepada mereka yang berbakat besar dan ingin menjadi penulis novel, kaji dahulu genre yang anda ingin tulis dan ketahuilah sasaran pembaca anda. kemudian, tunggu apa lagi, mulakan menulis dari sekarang.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

Buku Prima
BpOhsem
Website BpOhsem