Empangan Paya Peda

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Empangan Paya Peda terletak di Hulu Besut, Terengganu. Empangan ini hampir 98 peratus siap dan pada Ogos 2015 dijangka mula beroperasi. Empangan ini melibatkan Sungai Angga,Sungai Peda dan Sungai Besut. Kos pembinaan empangan ialah RM349 juta yang dimulakan pembinaannya pada 2010 dan sepatutnya siap pada 30 November 2013 tetapi terlewat selama 1 tahun 4 bulan .Tujuan empangan ini bagi membekalkan air kepada 2,759 pesawah dalam Skim Pengairan Besut.

Empangan Paya Peda terletak kira-kira 1.5 kilometer di Hulu Angga Barrage dan 17 kilometer dari bandar Jerteh. Apabila siap, empangan seluas 77 kilometer persegi itu bakal dijadikan kawasan tadahan dan takungan bagi menampung 168 juta meter padu air untuk tanaman padi dua kali setahun di daerah Besut.

Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Zulkifly Harun memaklumkan bahawa Empangan ini dapat menakung hujan di sekitar 7,500 hektar kawasan tadahan seluas 1,200 hektar itu. Kerja-kerja penyiasatan tanah, bancian dan topografi telah bermula pada pertengahan 2007.

Ia merupakan takungan air yang terbesar di daerah itu bagi dimanfaatkan bukan sahaja untuk tanaman padi tetapi sebagai sumber bekalan air bersih kepada penduduk, kegiatan industri pelancongan di samping mengatasi masalah banjir.

Empangan itu mampu menakung 200 juta meter padu air itu dan mampu menakung antara 15 hingga 20 peratus air hujan yang turun di musim tengkujuh kelak bagi mengelak berlakunya banjir.

Syarikat tempatan, Jaks Resources Berhad diamanahkan untuk menyiapkan projek ini dengan kerjasama Pembinaan Sujaman Sdn Bhd bermula 19 November 2009 dan dijangka siap pada Julai 2013. Projek ini mendapat peruntukkan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia sebanyak RM333 juta.

Sistem pengairan[sunting | sunting sumber]

Seramai 2,700 petani di Besut dan Setiu akan dapat limpahan bagi mengusahakan seluas 9,000 hektar tambahan kawasan sawah padi. Sistem pengairan dari Empangan Paya Beda lebih luas berbanding hanya 5,323 hektar sahaja ketika ini. Hasil pengeluaran padi juga akan meningkat 5.6 metrik tan sehektar kepada 6.5 metrik tan menjelang 2020.[1]

Kesan kepada penduduk sekitar[sunting | sunting sumber]

Seramai 200 keluarga penduduk Kampung Padang Bual, Hulu Besut menerima kesan dari projek pembinaan empangan ini.Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (Ketengah) yang terlibat ialah Mohamed Kaberi Ghani .

Masalah banjir besar di daerah Hulu Besut didorong oleh faktor taburan hujan yang tinggi diluar jangkaan.Tambahan pula air laut pasang besar malah air surut dalam tempoh lebih kurang sejam selepas berlaku banjir kira-kira jam 7 petang.

Pakar perunding projek pembinaan empangan mengesahkan banjir besar menyebabkan penduduk kampung kerugian apabila hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang. Air hujan berterusan menyebabkan paras air meningkat hingga melimpah ke bahagian Empangan Paya Peda seterusnya melimpah .

Perunding projek mengarahkan pihak kontraktor membuka sedikit benteng di situ yang belum disimen sebanyak dua kaki bagi mengalirkan air keluar secara perlahan memandangkan isi padu air di dalam salah satu takungan (terowong penuh) telah melebihi ketinggian 28 meter.

Tetapi pihak kontraktor mendakwa bahawa kerja menebuk tidak dapat dilakukan kerana ada sedikit gangguan pihak tertentu, sedangkan pada masa sama paras air semakin tinggi dan terus melimpah. Pihaknya amat bersimpati dengan nasib yang menimpa penduduk kampung. [2]

Lewat siap[sunting | sunting sumber]

Pada 7 April 2014, Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 mendedahkan prestasi pembangunan Empangan Paya Peda di Besut, Terengganu lewat 18.49 peratus berbanding jadual asal. Laporan itu dibentangkan di Dewan Rakyat. Antara kelemahannya ialah pemilihan kontraktor tidak berkelayakan/berpengalaman , penggunaan bilangan jentera yang kurang daripada yang ditetapkan dan gagal menubuhkan Emergency Response Team.[3]

Pada 18 Jun 2014, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) , Datuk Nur Jazlan Mohamed mendapati bahawa syarikat kontraktor JAKS Resources Bhd mendapat projek pembinaan empangan secara runding terus daripada MOF.Padahal JAKS Resources Bhd itu tidak mempunyai syarat kelayakan membina empangan daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Kontraktor gagal memenuhi tempoh asal tarikh siap dan tidak memiliki kepakaran dalam projek itu. Sepatutnya telah siap tetapi cuma 83% siap setakat 2014. Sepatutnya empangan ini akan beroperasi pada April 2015.

PAC akan memanggil beberapa pihak termasuk bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertanian, Datuk Mohd Mokhtar Ismail untuk mendapatkan penjelasan. KSU Perbendaharaan juga akan dipanggil untuk mendapatkan penjelasan MOF. PAC mengakui berlaku ketirisan terhadap pembinaan empangan tersebut. Sejumlah besar Empangan itu juga dilakukan oleh subkontraktor yang dilantik pemaju kontrak. Persoalannya mengapa kontraktor terima projek yang mereka tidak boleh buat.

Kemusykilan berlaku apabila "pembayaran yang tidak sepatutnya" apabila kementerian terlebih bayar sebanyak RM500,000 kepada juruukur. Jumlah itu lebih daripada jumlah invois mereka dan kementerian maklumkan juruukur sudah membuat bayaran balik tetapi mereka bayar secara ansuran. Kontraktor juga tidak mempunyai kakitangan teknikal untuk membangunkan projek berkenaan. Akibat kelewatan syarikat berkenaan dikenakan denda lewat siap (LAD) sebanyak RM50,000 sehari.[4] [5]

Benteng Empangan Paya Peda terpaksa dipecahkan[sunting | sunting sumber]

Pada 25 Disember 2012, sebahagian benteng empangan simpanan Paya Peda yang masih dalam pembinaan terpaksa dipecahkan bagi melepaskan takungan air ke Sungai Angga, demi keselamatan penduduk kawasan sekitar terutama di Kampung Padang Buai dan beberapa kampung sekitarnya di Besut. Lebih 1,000 penduduk di daerah Besut terpaksa dipindahkan dalam keadaan tergesa-gesa. Paras banjir di beberapa tempat mencecah paras bumbung.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said menyatakan bahawa tindakan itu melibatkan melibatkan perunding, kontraktor dan JPS (Jabatan Perparitan dan Saliran.[6] .Jurutera Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (Ketara), Wee Yit Ming memaklumkan bahawa banjir luar biasa itu berpunca daripada satu bahagian tebing hulu Empangan Paya Peda telah mengalami hakisan hingga berlaku sedikit keruntuhan. Peningkatan air limpahan hujan 27 Disember 2012 mencecah ketinggian El+25 meter.

Kos pembinaan empangan sekitar RM333 juta. Pembinaan bermula pada 2011 dan dijangka siap akhir 2013 bertujuan membekalkan air kepada 2,759 pesawah dalam Skim Pengairan Besut. Pada 5 November 2013, Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (Iada Ketara), Mohamed Kaberi Ghani memberi jaminan empangan itu selamat . Kemungkinan Empangan Paya Peda pecah atau airnya dilepaskan pada musim tengkujuh tidak akan berlaku lagi. [7]

Rujukan[sunting | sunting sumber]