Enjin pernafasan biasa

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Enjin pernafasan biasa (NA) merujuk kepada enjin pembakaran dalaman (biasanya enjin petrol atau enjin diesel) yang tidak menggunakan alat pernafasan paksaan seperti pengecas super atau pengecas turbo. Kebanyakan enjin kereta petrol adalah jenis pernafasan biasa kecuali kereta berprestasi tinggi seperti kereta sport, terutamanya buatan tahun 1980-an sehingga sekarang. Walau bagaimanapun, kenderaan berenjin diesel kebanyakannya menggunakan pengecas turbo dengan penyejuk perantara, kerana enjin diesel pernafasan biasa lazimnya tidak mampu menghasilkan nisbah kuasa kepada berat yang boleh diterima dalam pasaran kereta moden.

Udara atau campuran udara-bahan api ditarik masuk ke dalam silinder melalui tekanan vakum hasil pergerakan omboh, tekanan atmosfera, serta kesan venturi hasil bukaan injap masukan. Tekanan di dalam silinder direndahkan hasil pergerakan omboh ke bawah. Kebanyakan enjin pernafasan biasa hari ini menggunakan rongga masukan boleh laras untuk menghasilkan resonans Helmholtz, yang mempunyai kesan seakan pernafasan paksaan yang ringan tetapi tidak dianggap sebagai pernafasan paksaan yang sebenar.

Enjin pernafasan biasa selalunya menghasilkan kurang kuasa berbanding enjin dengan sesaran yang sama tetapi menggunakan sama ada pengecas super ataupun pengecas turbo, walaupun kos penghasilannya lebih murah daripada enjin pernafasan paksaan. Di dalam perlumbaan drag, enjin pernafasan biasa adalah enjin yang tidak menggunakan bukan sahaja pengecas super atau pengecas turbo, malah Sistem Nitrus Oksida juga.

Enjin pernafasan biasa seperti yang didefinisikan di atas tidak boleh berlaku pada enjin dua lejang diesel. Sebab utama ialah kerana enjin dua lejang diesel tidak dapat menghasilkan tekanan udara rendah di silinder bagi menarik masuk udara ke silinder. Oleh itu, enjin sedemikian perlu menggunakan pengecas super yang disambung ke aci engkol bagi mengepam udara ke enjin berkadaran dengan kelajuan enjin. Oleh itu, enjin dua lejang diesel yang dipasang pengecas super boleh dianggap sebagai enjin pernafasan biasa.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]