Ferhad

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ferhad
Latar belakang
Nama lahirFerhad bin Iberhim
Kelahiran (1971-11-22) 22 November 1971 (umur 52)
Singapura
GenreR&B, soul
PekerjaanPenyanyi
InstrumenVokal
Tahun aktif1998–kini
Syarikat rakaman
Positive Tone, EMI
Pengkarya berkait
Ahmad Izham Omar, Innuendo, Ruffedge, V.E, Poetic Ammo

Ferhad bin Iberhim (lahir 22 November 1971) merupakan seorang penyanyi lelaki Singapura yang mencipta nama di Malaysia pada awal tahun 2000-an. Sepanjang kerjayanya, Ferhad telah menerbitkan sebanyak tiga album solo. Pada tahun 2012, beliau menjadi mentor untuk rancangan realiti TV, Mentor musim keenam di TV3.[1] Selain itu, beliau juga merupakan bekas peserta Gegar Vaganza musim keempat.[2][3]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Berasal dari Singapura, Ferhad mempunyai darah kacukan Arab-India dan merupakan anak bongsu dari tiga orang adik-beradik yang kesemuanya lelaki. Beliau menggemari muzik yang dipersembahkan oleh para penyanyi seperti Eric Benet, Stevie Wonder, George Michael dan The Beatles. Masa lapangnya diisi dengan aktiviti bersukan dan memasak.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Beliau mula meneroka pasaran muzik Malaysia sekitar tahun 1998 di bawah naungan syarikat rakaman Positive Tone. Kehadiran Ferhad mula disedari menerusi single Inggeris pertamanya yang bertajuk "Soul in Me" dari album kompilasi Tricks & Tales. Album tersebut merupakan titik-tolak kejayaan industri muzik tempatan bagi kategori lagu-lagu berbahasa Inggeris. Beliau juga turut diundang untuk bekerjasama dengan artis-artis lain yang sealiran dengan beliau seperti kumpulan Poetic Ammo dan Innuendo.

Sambutan yang menggalakkan dari para penggemar muzik R&B tempatan membuka peluang kepada Ferhad untuk menghasilkan album solo pertamanya berjudul Tubed pada tahun 2000. Album ini mendapat perhatian penggemar muzik arus perdana dengan lagu hit utamanya "Kasih Berubah", sebuah lagu yang pernah dipopularkan oleh Flybaits dan diberi nafas baru dalam irama R&B. Lagu yang mendapat sentuhan susunan muzik oleh penerbit Ahmad Izham Omar ini berjaya menjuarai beberapa carta lagu popular stesen-stesen radio tempatan malah bertahan selama beberapa bulan dalam carta-carta tersebut.

Tubed berjaya meraih tiga pencalonan dalam Anugerah Industri Muzik 2001. Walaupun tidak diumumkan sebagai pemenang namun persembahan Ferhad pada acara tersebut telah menjadi buah mulut para penggemar muzik dan mendapat pujian. Bermula dari situ beliau berjaya mengalihkan perhatian penggemar-penggemar lagu Melayu untuk menikmati muzik aliran beliau yang sebelumnya dilabelkan sebagai 'urban' dan hanya sesuai untuk golongan yang moden sahaja.

Pada tahun 2001, satu 'showcase' istimewa telah diadakan khas untuk peminat-peminat Ferhad. Showcase tersebut kemudiannya dirakamkan sebagai sebuah album secara langsung dan diberi judul Soul Alive. Album ini turut disenaraikan di Anugerah Industri Muzik 2002 bagi kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki).

Pada era tersebut, artis-artis dari Positive Tone boleh dikatakan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan artis-artis dari label ternama lain dan telah mencipta satu kelompok pengikut tersendiri. Lantas tahun 2003 menyaksikan kesinambungan kejayaan Ferhad apabila album keduanya yang berjudul Katakan Saja menyaksikan beliau menghasilkan lebih banyak lagu berbahasa Melayu dan tidak lagi bergantung kepada lagu saduran.

Beliau juga pernah muncul dalam telefilem Neon (2003) arahan Mohd Feroz Abdul Kader lakonan Allahyarham Faizal Yusup dan Erik Fuzi bersama ramai pelakon termasuk Azhar Sulaiman, Aziz M. Osman, Saiful Apek, Rashidi Ishak, Sofi Jikan, Aziz Sattar, Kuswadinata, Abby Abadi, Serina Redzuawan, Zila Bakarin, Rita Rudaini, Kartina Aziz dan ramai lagi.[4]

Perwatakan beliau yang mudah mesra dan senang memberikan kerjasama kepada pihak media tempatan menjadikan beliau disenangi dan mudah diberikan publisiti. Ferhad juga boleh dianggap sebagai perintis kepada penyanyi-penyanyi berbangsa Melayu dari Singapura yang berjaya mencipta nama di Malaysia. Selepas beliau, industri muzik Malaysia semakin terbuka menerima kehadiran rakan-rakan senegara beliau seperti Jai Wahab, Imran Ajmain, Taufik Batisah, Aliff Aziz, Hady Mirza dan kumpulan SleeQ.

Pada tahun 2017 Ferhad telah menyertai program realiti untuk penyanyi-penyanyi yang pernah merakamkan album iaitu Gegar Vaganza musim keempat.[5] Namun tuah tidak menyebelahi beliau apabila menjadi peserta pertama yang terkeluar. Beliau muncul dengan single terbarunya, "Definasi Cinta".[6][7][8][9]

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Ferhad mendirikan rumahtangga pada 17 Ogos 2002 bersama gadis pilihannya Alyssa Mazlan. Mereka dikurniakan dua cahayamata lelaki. Beliau kini menetap di Sungai Buloh, Selangor.[10]

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Album studio[sunting | sunting sumber]

Album kompilasi[sunting | sunting sumber]

Album secara langsung[sunting | sunting sumber]

Single[sunting | sunting sumber]

  • "Ku Kata" (2014)
  • "Definasi Cinta" (2018)
  • "1 Syawal" (2018)

Penampilan lain[sunting | sunting sumber]

Filemografi[sunting | sunting sumber]

  • Neon (2003) - penampilan khas

Anugerah dan pencalonan[sunting | sunting sumber]

Tahun Anugerah Penerima Karya tercalon Keputusan
2001 Anugerah Industri Muzik 2001 Rakaman Album Terbaik Tubed Tercalon
Susunan Muzik Terbaik Dalam Lagu Tercalon
Album Inggeris Tempatan Terbaik Tercalon
Anugerah Era 2001 Artis Harapan Pilihan Menang
Artis Inggeris Tempatan Pilihan Menang
2002 Anugerah Industri Muzik 2002 Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Lelaki) Soul Alive Tercalon
Anugerah Planet Muzik 2002 Artis Lelaki Terbaik Tercalon
2004 Anugerah Industri Muzik 2004 Album Pop Terbaik Katakan Saja Tercalon

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Feride Hikmet Atak (29 Mac 2012). Ferhad tidak cari publisiti murahan melalui Mentor mSTAR Online. Diperoleh pada 3 Disember 2012.
  2. ^ Farihad Shalla Mahmud (6 November 2017). Ferhad peserta pertama tersingkir di Gegar Vaganza 4 Berita Harian. Dicapai pada 3 Disember 2017.
  3. ^ Mya Amri (7 November 2017). Terima Kasih Atas Sokongan, Ini Hanyalah Permulaan - Ferhad Astro Gempak. Dicapai pada 8 November 2017.
  4. ^ "Neon - tampilkan 66 pelakon popular". Utusan Malaysia. 22 Disember 2003. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-02. Dicapai pada 31 Julai 2017.
  5. ^ Kenneth Chaw (29 Mac 2018). Popular 2000s local singer Ferhad is back with a new single[pautan mati kekal] Star2. Dicapai pada 3 November 2018.
  6. ^ Nur Asyikin Mayudin (9 Februari 2018). Siapa Kata Ferhad Tinggalkan Dunia Seni? mStar Online. Dicapai pada 3 November 2018.
  7. ^ Syafil Syazwan Jefri (14 Februari 2018). Definasi cinta Ferhad Harian Metro. Dicapai pada 3 November 2018.
  8. ^ Ferhad tuju lagu buat isteri dan anak Diarkibkan 2019-11-03 di Wayback Machine URTV (10 Februari 2018). Dicapai pada 3 November 2018.
  9. ^ Zaidi Che (12 Februari 2018). 'Definasi Cinta' Ferhad untuk kembali menyanyi Diarkibkan 2019-11-03 di Wayback Machine Stail.my. Dicapai pada 3 November 2018.
  10. ^ Syafil Syazwan Jefri (9 Ogos 2018).Tak kongsi berkaitan anak Harian Metro. Dicapai pada 3 November 2018.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]