...Dalam Botol

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Filem ...Dalam Botol)
...Dalam Botol
PengarahKhir Rahman
PenulisRaja Azmi (cerita asal)
Lakon layarKhir Rahman
Dihasilkan olehRaja Azmi
Dibintangi
Diedarkan olehMetrowealth Pictures
Tarikh tayangan
  • 24 Mac 2011 (2011-03-24) (Malaysia)
Masa tayangan
90 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM 0.88 juta[1]
Pecah panggungRM 0.57 juta

...Dalam Botol ialah sebuah filem ceritaan dan terbitan Raja Azmi yang mulai ditayangkan kepada umum di Malaysia pada 24 Mac 2011. Filem arahan sulung Khir Rahman ini menampilkan Wan Raja, Arja Lee dan ramai lagi. Filem ini sudah laman mendapat perhatian sejak berada dalam penerbitan kerana menjadi filem buatan Malaysia bertema homoseksual dan transseksual pertama yang berjaya ditayangkan di pawagam arus perdana Malaysia.[2]


Pelakon[sunting | sunting sumber]

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Filem ...Dalam Botol pada mulanya dikenali sebagai Botol dalam Almari[3], kemudian ditukar kepada Anu dalam Botol, yang mana perkataan "anu" merujuk kepada kemaluan lelaki. Akan tetapi, pada Jun 2009, diumumkan pula bahawa judul filem Anu dalam Botol ditukar balik ke Botol dalam Almari "atas nasihat pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Lembaga Penapisan Filem (LPF)"[4], tetapi kemudian ditukar lagi kepada judul muktamadnya, ...Dalam Botol.[5]


Mula-mula, sebelum penggambaran bermula, pernah dikhabarkan bahawa filem ini bakal diarah oleh Shahdan Hashim[3], pengarah filem Haru Biru yang juga terbitan Raja Azmi, tetapi Shahdan menarik diri sebelum penggambaran sempat dimulakan.[6] Oleh itu, Osman Ali dipelawa menjadi pengarahnya tetapi menolak, dan akhirnya tugas sutradara diserahkan kepada Khir Rahman.[6]

Sebelum penggambaran bermula, apabila ditanya mengenai buah fikiran yang menzahirkan filem ini, Raja Azmi menjelaskan bahawa ia diilhamkan oleh satu kisah benar tentang seorang kawan beliau.[7]

Ditanya pula mengenai soal penapisan filem di Malaysia, tegas Raja Azmi, dirinya harus jujur dan berasa bebas untuk mengekspresi diri selaku pembikin filem, dan berani menghadapi akibat yang didatangi oleh tindakannya, tanpa berasa gentar bahawa filemnya itu akan dipotong-potong atau diharamkan oleh LPF.[7]

Untuk pemilihan pelakon, pihak penerbitan ...Dalam Botol melakukan sesuatu yang agak istimewa, iaitu kerjasama dengan portal berita hiburan Murai untuk mengadakan peraduan SMS kepada para pembaca untuk memilih penggarap watak utama filem itu, iaitu Ghaus dan Ruby.[8] Antara calon-calonnya ialah: Norman Hakim, Tony Eusoff, Fauzi Nawawi, Nazim Othman, Wan Raja (untuk Ghaus); Zizan Nin, Ady Putra, Arja Lee, Kefli, Ryzal Jaafar (untuk Ruby). Setelah talian mengundi ditutup pada 24 Ogos 2009[8], Wan Raja dan Arja Lee terpilih sebagai pelakon watak-watak utama itu.

Penggambaran filem ...Dalam Botol di bawah arahan Khir Rahman mengambil masa 26 hari dan disiapkan pada 2 Januari 2010, setelah menyiapkan sesi rakaman terakhir di sebuah kilang botol di Klang.[9] Pada mulanya, filem ini dinyatakan berbajet RM1.5 juta[7], namun ia telah dikurangkan kepada RM880 ribu[1]. Khir Rahman berkongsi pendapat mengenai idea filem ini:[10]

Bagi saya, filem ... Dalam Botol ada penceritaan yang mampu mengubah pandangan masyarakat. Saya cuba memecahkan penerimaan dan pandangan masyarakat terhadap filem tempatan sekarang. Mengikut kajian saya, ada filem hanya sesuai untuk orang bandar dan sebahagian lagi masyarakat luar bandar. "Kita jarang memikirkan bagaimana mereka boleh duduk bersama dalam sebuah panggung menonton filem yang memenuhi kehendak dan boleh merapatkan jurang kefahaman. "Kisah ...Dalam Botol, cerita benar diterjemah ke dalam skrin perak. Penulis skrip asal, Raja Azmi sendiri memang mahu berdakwah melaluinya. Ini bukan filem rekaan untuk publisiti murahan, cerita seks atau lucah. Pengalaman menukar jantina memang jarang diketengahkan dan orang lebih banyak mendengar daripada realitinya.

Sungguhpun homoseksual dan transseksual merupakan tema-tema yang tabu dalam industri perfileman Malaysia disebabkan sekatan terhadap unsur-unsur yang dianggap "tidak bermoral" oleh pihak berkuasa (walaupun pernah sekali dilonggarkan), namun ...Dalam Botol diumumkan lulus dan menerima klasifikasi 18 tanpa sebarang potongan dari LPF.[11] Perihal bahawa filem ini merupakan filem arus perdana Malaysia bertema homoseksual yang pertama turut menarik perhatian media luar negara[12], sehingga Raja Azmi sempat ditemu bual dengan Associated Press, ABC (Australia) dan BBC.[13]

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Jualan[sunting | sunting sumber]

Filem ...Dalam Botol ditayangkan di 40 pawagam sahaja.[1] Jumlah kutipan awal filem ini menarik kontroversi apabila Raja Azmi selaku penerbit filem menghebohkan jumlah kutipan filemnya untuk lima hari pertama adalah RM1 juta, iaitu RM700 ribu lebih daripada yang diumumkan oleh FINAS iaitu RM300 ribu sahaja.[14]

Ulasan[sunting | sunting sumber]

Filem ...Dalam Botol dipratayangkan kepada pihak media sebelum ditayangkan kepada umum, apatah lagi sebelum dipantau oleh LPF[15], lalu mendapat sambutan yang baik daripada para pengulas filem dalam media, yang mana mereka bukan sahaja terpesona dengan keberanian pihak penerbitan dalam pembikinan filem yang mencabar pantang-larang negara, bahkan juga memuji kekemasan jalan cerita dalam filem.

Menurut ulasan Abie Abdullah untuk Harian Metro yang sempat menonton filem ini sebelum ia menjalani penapisan, menulis: "Terus-terang, tiada apa yang perlu dikontroversikan mengenai pengisian filem ini. Kisah seorang lelaki yang menyesal tak sudah selepas menjalani pembedahan jantina, membuang zakar untuk memiliki faraj. Saya bukannya orang LPF tetapi saya tidak nampak apa yang perlu dipotong lagi kerana jalan ceritanya jelas dalam plot imbas kembali yang disusun kemas itu."[15]

Menjelang penayangannya dalam pawagam, filem ...Dalam Botol mendapat satu ulasan yang agaknegatif dari tapak web Tupai.com.my yang disiarkan pada 14 Mac 2011, yang mana ia diberi markah 2/5 bintang kerana "jalan cerita yang dipersembahkan agak kelam-kabut serta mengelirukan dan suntingan tidak kemas sedikit sebanyak mengganggu perhatian ketika menonton filem ini", di samping kepincangan lakonan Arja Lee gara-gara "mimik muka yang kosong bagaikan tidak berperasaan", dan pemilihan muzik latar yang tidak sesuai mengikut babak.[16] Ulasan tersebut mendapat reaksi daripada beberapa pembaca yang membalas ulasan tersebut dengan ulasan pada 22 Mac yang lebih positif, termasuk dua orang pembalas yang memakai nama seniman filem (Amy Ikram Ismail dan Hassan Abu Mutalib).[16]

Ekoran itu, Tupai menyiarkan satu lagi ulasan buat filem ini, kali ini hasil penulisan pengkritik filem terkenal, Ajami Hashim yang lebih positif dengan memberikan 4/5 bintang.[17] Menurut Ajami, kekuatan utama filem ini ialah "kualiti lakonan oleh kesemua pelakonnya yang berjaya menjiwai watak dan kelihatan jujur", muzik runut bunyi yang "kedengaran bukan konvensional sangat sesuai melatari di sepanjang filem ini", tambah lagi beliau memahami bahawa filem arahan sulung Khir Rahman ini "sengaja disunting dengan babak-babak pendek kehidupan urban Ruby yang melompat-lompat, ambilan gambar yang dekat, lokasi yang sempit dan kelam di awal cerita untuk menimbulkan rasa kecelaruan dalam hidup Ruby".[17]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c TAYANGAN FILEM CEREKA TAHUN 2011, FINAS. Dicapai pada 30 Mac 2011.
  2. ^ Film Pushes Malaysian Censorship Boundaries, but Not Too Far, The New York Times, 28 Oktober 2010. Dicapai pada 30 Mac 2011.
  3. ^ a b Anu Siapa dalam Botol?[pautan mati kekal], Murai, 5 Feb 2008. Dicapai pada 30 Mac 2011.
  4. ^ Judul Filem Anu Dalam Botol Ditukar! Diarkibkan 2010-11-30 di Wayback Machine, Murai, 11 Jun 2009. Dicapai pada 30 Mac 2011.
  5. ^ Judul Filem, Pengisian Dan Mentaliti Penonton Diarkibkan 2009-08-21 di Wayback Machine, Utusan.com.my, 19 Ogos 2009. Dicapai pada 30 Mac 2011.
  6. ^ a b Khir Rahman new director for homo flick, Cinema Online, 13 Oktober 2009. Dicapai pada 30 Mac 2010.
  7. ^ a b c 'Cock' In The Bottle, CinemaOnline, 18 September 2008. Dicapai pada 30 Mac 2011.
  8. ^ a b Undian SMS filem "... dalam botol', Murai. Dicapai pada 30 Mac 2011.
  9. ^ Pergambaran filem Dalam Botol sudah selesai, Jurnal Penguin, 10 Januari 2010. Dicapai pada 30 Mac 2011.
  10. ^ ... Dalam Botol Kisah Benar, Metro Ahad, 12 Feb 2010. Dicapai pada 30 Mac 2011.
  11. ^ ...Dalam Botol Untuk Tontonan 18 Tahun Ke Atas, Murai, 23 Sept 2010. Dicapai pada 30 Mac 2011.
  12. ^ Media asing teruja, Harian Metro, 19 April 2010. Dicapai pada 30 Mac 2011.
  13. ^ first mainstream gay movie, New Straits Times, 3 April 2010. Dicapai pada 30 Mac 2011.
  14. ^ Jumlah kutipan bercanggah Diarkibkan 2011-04-05 di Wayback Machine, Sinar Harian. Dicapai pada 3 April 2011.
  15. ^ a b Bukan karya bodoh, Harian Metro, 4 Julai 2010.
  16. ^ a b Alahai ... DALAM BOTOL Diarkibkan 2011-03-17 di Wayback Machine, Tupai, 14 Mac 2011. Dicapai pada 30 Mac 2011.
  17. ^ a b Ulasan kedua: ... DALAM BOTOL Diarkibkan 2011-03-26 di Wayback Machine, Tupai, 22 Mac 2011. Dicapai pada 30 Mac 2011.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]