Dr. Rushdi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Filem Dr Rushdi)
Jump to navigation Jump to search
Dr. Rushdi
PengarahP. Ramlee
PenulisLakon layar:
SinematografiHitam-putih
PengedarMerdeka Film Productions
Mula ditayangkan
1970
NegaraMalaysia
BahasaBahasa Melayu

Filem Dr Rushdi merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Malaysia pada tahun 1970. Filem Dr Rushdi diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna.

Filem Dr Rushdi diarah oleh Tan Sri P. Ramlee, dan turut dibintangi oleh beberapa pelakon. Filem ini meniru dari filem-filem Barat keluaran Alfred Hitchcock.

Ringkasan[sunting | sunting sumber]

Dr Rushdi adalah seorang doktor yang membuka klinik sendiri. Pesakit yang datang ke klinik beliau amatlah ramai dan ini menyebabkan Dr Rushdi sering pulang lewat ke rumah. Hal ini menyebabkan Maryana (Sophia Ibrahim), iaitu isteri Dr Rushdi sentiasa resah. Tambahan pula, Dr Rushdi sering mengabaikan tanggungjawabnya kepada isterinya yang dahagakan belaian seorang suami.

Peguam Alimin (Ed Osmera) adalah sahabat Dr Rushdi yang menderita sakit setelah kematian isterinya (Noor Azizah). Beliau memiliki sebuah banglo yang besar di pinggir bandar di samping orang gajinya, Karto.

Pada suatu hari, Ruzaiman (Ismail Mahmud) telah datang ke rumah Dr Rushdi menjemput dia sekeluarga ke majlis keraian di rumahnya. Rozaiman memperkenalkan dirinya sebagai seorang doktor yang baru bertukar dari Pantai Timur. Semasa di majlis itu, Dr Rushdi telah menerima panggilan dari seorang pesakitnya yang berkehendakkan rawatan. Hal ini menimbulkan kemarahan Maryana dan dia telah berkeras tidak mahu mengikut Dr Rushdi pulang. Ruzaiman melihat peristiwa ini sebagai peluang untuk memikat Maryana. Akhirnya mereka telah terlanjur beberapa kali. Dahaga Maryana akhirnya dihilangkan oleh Ruzaiman.

Kecurangan Maryana dan Ruzaiman telah diketahui oleh Dr. Rushdi apabila rakannya Jeff (Ibrahim Joned) telah memberitahu yang mereka berdua sedang berada di Pacific Hotel. Melihat kepada kecurangan Maryana, Dr Rushdi cuba untuk membunuh diri tetapi dapat dihalang oleh Muliani (Sarimah), jururawat yang bekerja di kliniknya. Muliani pada ketika ini meluahkan cintanya kepada Dr. Rushdi yang dia pendam sejak sekian lama.

Dr. Rushdi telah keluar dari rumahnya dan tinggal bersama Muliani di rumah pangsanya. Dr. Rushdi pada masa yang sama telah menceraikan Maryana dan membatalkan nama Maryana sebagai pewaris untuk insuran nyawanya yang berjumlah RM500,000. Apabila diketahui yang Maryana adalah penama kepada insuran nyawa Dr. Rushdi, Ruzaiman telah membuat fitnah terhadap Dr. Rushdi.

Fitnah-fitnah itu menyebabkan nama Dr Rushdi menjadi jijik dan busuk, tambahan lagi tiada sesiapa pun mahu lagi berawat dengannya. Sejurus itu, Karto datang menemui Dr Rushdi dan memberitahunya agar mesti datang ke rumah Alimin pada hari itu juga. Dr Rushdi dengan Muliani pun pergi ke rumahnya dan dikejutkan dengan kematian Alimin disebabkan membunuh diri dengan memakan ubat penidur. Dr Rushdi mengambil kesempatan ini untuk membuat satu helah untuk masyarakat awam dengan menolak keretanya dengan Alimin dan semua barang-barang Dr Rushdi, supaya masyarakat fikir yang Dr Rushdi sudah membunuh diri.

Setelah disahkan Dr Rushdi meninggal dunia, Mariana dan Ruzaiman pergi ke syarikat insurans untuk mewarisi wang insurans Dr Rushdi. Namun ditolak oleh pegawai syarikat tersebut dan memberitahu mereka yang pewarisnya bukan lagi Mariana dan sudah ditukarkan kepada nama Muliani. Muliani datang ke syarikat tersebut dan berjaya mewarisi wang insurans tersebut. Ruzaiman berasa kecewa dan kemudiannya meninggalkan Mariana keseorangan walaupun sudah berjanji hendak berkahwin dengannya.

Dua tahun sudah berlalu, Dr Rushdi dan Muliani hidup bersama di rumah Alimin dengan tidak berkahwin. Muliani mula merasa bosan dengan menetap di rumah itu. Oleh kerana itu, dia meminta izin dari Dr Rushdi untuk bekerja di sebuah kelab malam. Di sana, Muliani diperhatikan oleh Ruzaiman, yang kini menyamar menjadi Firdaus dari Sabah. Kemudian Ruzaiman menyorok dalam kereta Muliani dan sewaktu pulang ke rumah, Ruzaiman terus keluar dari belakang kereta dan mendapati Dr Rushdi masih hidup. Ruzaiman dengan kawan-kawannya yang mula datang ke rumah memperkenalkan diri mereka sebagai kumpulan Gagak Hitam yang dicari oleh pihak polis semenjak 2 tahun. Lalu, Ruzaiman mengancam Dr Rushdi yang jika tidak diberikan RM250,000 sebagai penutup mulut, dia akan melaporkan kepada pihak polis.

Salah seorang ahli kumpulan tersebut memberi pendapat kepada ketuanya agar tidak perlu memeras ugut Dr Rushdi, sebaliknya mahukan Muliani sebagai isteri Ruzaiman. Dr Rushdi pun bersetuju dengan syarat yang rahsianya tidak bocor. Ruzaiman pun memberikan jaminan kepada Dr Rushdi dengan menghantar kumpulannya ke dalam satu rompakan besar yang akhirnya mereka dibunuh oleh polis kerana Ruzaiman sendiri yang memaklumkan kepada polis tentang rancangan Gagak Hitam mengenai rompakan yang bakal dilaksanakan.

Setelah jaminan diberikan, Dr Rushdi mengotakan janjinya kepada Ruzaiman dengan menyerahkan Muliani sebagai isterinya. Namun, Dr Rushdi membuat helah kepada Ruzaiman yang dia sudah membunuh diri dengan pistol. Di sana, Ruzaiman yang tidak bersedia dengan apa-apa senjata, dibunuh oleh Dr Rushdi. Muliani pun kembali kepada Dr Rushdi dengan gembira. Mereka seterusnya pergi ke rumah Dr Rushdi untuk mencari Mariana.

Sewaktu masuk ke dalam bilik tidur Mariana, Dr Rushdi terlihat Mariana sedang berasmara dengan sahabat lamanya, Jeff. Dr Rushdi pun membunuh kedua-duanya sesudah mereka ketahui yang Dr Rushdi masih hidup. Dr Rushdi mengambil keputusan untuk lari dari tempat itu dan meninggalkan Muliani. Muliani pun menangis teresak-esak kerana ditinggalkan oleh Dr Rushdi.

Akhirnya, Dr Rushdi melarikan diri dari sana, dan tiada sesiapa pun tahu di mana dia berada semenjak dari hari itu.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

  • Tan Sri P Ramlee sebagai Dr Rushdi
  • Sarimah sebagai Muliani, jururawat di Klinik Dr Rushdi
  • Sophia Ibrahim sebagai Mariana, isteri Dr Rushdi
  • Ed Osmera sebagai Peguam Alimin, sahabat Dr Rushdi
  • Ismail Mahmud sebagai Ruzaiman, Firdaus & Ketua Kumpulan Gagak Hitam
  • Ibrahim Joned sebagai Muhammad Zafir atau Jeff, sahabat Dr Rushdi dan seorang penerbit suratkhabar
  • Noor Azizah sebagai Karmila, isteri Peguam Alimin
  • Idris Hashim sebagai Senator Alauddin, ayah Peguam Alimin
  • Tony Azman
  • Wan Harun
  • Tamam Idris
  • Abdullah Ismail
  • Yusoff Bujang
  • Ahmad Dadida sebagai Pengurus Kelab Malam
  • Puan Sri Saloma sebagai Penyanyi Undangan dalam pesta di rumah Ruzaiman

Gaya Bahasa[sunting | sunting sumber]

Berbeza dengan filem-filem P Ramlee sebelumnya yang bersifat komedi dan menggunakan bahasa baku, gaya bahasa digunakan filem ini mirip seperti sebutan Bahasa Melayu era moden, di mana sebutan untuk huruf A tidak lagi terhad kepada sebutan baku. P Ramlee juga berani menggunakan Bahasa Inggeris yang diselang seli dengan dialog Bahasa Melayu sama seperti skrip-skrip drama, filem Melayu era moden 90an dan 2000an.

Unsur Seks[sunting | sunting sumber]

Filem ini berani menampilkan unsur-unsur seks seperti isteri yang dahagakan belaian seorang suami, si suami merangsang isteri untuk berasmara,bilamana ada babak pelakon perempuan menukar pakaian menampakkan pakaian dalam tanpa tapisan, pelakon wanita terang-terangan memakai pakaian dalam selepas ditangkap khalwat. Itu adalah sesuatu yang sangat taboo dalam filem Melayu. Filem ini mungkin kurang popular untuk segenap lapisan usia tetapi ianya satu masterpiece untuk mengangkat permasalahan-permasalahan rumahtangga yang dihadapi zaman itu.

Tapi sayang, untuk tontonan di TV dan yang dimuat naik ke laman video seperti YouTube, adegan-adegan itu sudah dipotong. Penulis bernasib baik kerana secara tidak sengaja tertonton filem ini yang ditayangkan di Astro pada tahun 2004.

Informasi[sunting | sunting sumber]

Judul filem ini diberikan oleh P Ramlee sempena nama anak lelaki kepada pengurus peribadi beliau Ramli Kechik bersama aktres komedi Norlia Ghani iaitu aktor terkenal Rusdi Ramli yang baru berusia 1 tahun ketika filem ini ditayangkan. Rusdi mula menceburi bidang lakonan pada tahun 1989.

Lagu[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]