Kaki Bakar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Filem Kaki Bakar)
Kaki Bakar
PengarahU-Wei Haji Saari
PenulisU-Wei Haji Saari (lakon layar)
William Faulkner (cerita asal)
Dihasilkan olehU-Wei Haji Saari
Tini Arshad
DibintangiKhalid Salleh
Bell Ngasri
Diedarkan olehGambar Tanah Licin Sdn Bhd
Satu Gitu Sdn Bhd
Tarikh tayangan
  • 25 Oktober 2001 (2001-10-25) (Malaysia)
NegaraMalaysia
BahasaMelayu

Kaki Bakar merupakan sebuah filem Malaysia tahun 2001 yang diarahkan oleh U-Wei Haji Saari berdasarkan novel Barn Burning karya penulis Amerika Syarikat, William Faulkner.[1][2] Filem ini merupakan filem Malaysia pertama ditayangkan di Festival Filem Cannes di Perancis pada tahun 1995.[2]

Filem ini ditayangkan di beberapa buah pawagam sekitar Kuala Lumpur pada 25 Oktober 2001.

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Kakang, seorang perantau yang berasal dari Jawa, Indonesia berusaha untuk memupuk nilai-nilai tradisi keturunan Jawa kepada anaknya Kesuma. Kakang bertindak sedemikian setelah sering merasakan bahawa eksploitasi wujud akibat daripada jurang sosial yang berbeza. Reaksi Kakang itu telah membawa pengaruh yang besar kepada anaknya Kesuma. Kakang sering mengagung-agungkan bahawa Indonesia berjaya melawan Belanda melalui peperangan, tidak seperti Malaysia yang kononnya pada fikirannya tidak berperang dan berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan.

Tabiat Kakang semasa menjadi askar cuba diturunkan kepada anaknya, Kesuma. Kakang mengajar anaknya bahawa orang Malaysia menjadi kaya-raya kerana hidup memperolehi subsidi, tidak sepertinya yang bekerja keras untuk menanggung keluarganya. Kakang merupakan seorang yang panas baran. Sebaik sahaja ditegur oleh penduduk kampung tentang kambingnya telah merosakkan tanaman orang kampung, Kakang telah bertindak membakar stor getah orang kampung. Tindakan tersebut menyebabkan Kakang didakwa di Mahkamah Penghulu. Penghulu tidak mempunyai bukti untuk menjatuhkan hukuman kepada Kakang, tetapi Penghulu bertindak menghalau keluar Kakang dan keluarganya daripada kampung tersebut.

Kakang dan keluarganya berpindah ke kampung lain. Selain mengambil upah menoreh getah, Kakang juga mengambil upah membasuh karpet milik Tuan Kassim. Walaubagaimana pun, tindakan Tuan Kassim yang mencampakkan karpet tersebut ke tanah menyebabkan Kakang berasa marah dan terhina, kerana merasakan dia masih lagi Kapten askar yang menentang penjajah. Setelah berasa sakit hati dan ditambah pula dengan sakit kepala akibat anak-anaknya yang mengadu susah untuk membasuh karpet, Kakang bertindak menggunakan parang untuk menyental karpet tersebut. Akibatnya karpet tersebut menjadi rosak.

Tuan Kassim berasa amat marah di atas kerosakan karpet tersebut. Dia kemudiannya bertindak mengatakan bahawa dia akan memotong upah bayaran memotong getah kepada Kakang untuk membayar semula kerosakan karpet tersebut. Kakang tidak berpuas hati dan kemudiannya mengadu kepada Tok Empat. Tok Empat bertanya kepada Kakang, benarkah Kakang merosakkan karpet tersebut. Kakang bertindak mendiamkan diri. Tok Empat kemudiannya mendapati Kakang bersalah lalu menjatuhkan hukuman kepada Kakang supaya upah memotong getah di ladang getah Tuan Kassim dipotong supaya dapat menyelesaikan bayaran di atas kerosakan karpet tersebut.

Kakang berasa amat marah dan kemudiannya mengarahkan anaknya Kesuma untuk membawa minyak tanah bersamanya untuk membakar stor getah milik Tuan Kassim. Kesuma yang mula berfikiran rasional mula berasa marah kerana tindakan Kakang akan mendatangkan kebencian penduduk terhadap keluarga mereka. Kesuma bersikap sinis kepada Kakang, menyebabkan Kakang naik darah lalu menampar muka Kesuma. Kakang dan seorang lagi anak lelakinya, Harjo untuk pergi ke stor getah, manakala Kesuma melarikan diri ke rumah Tuan Kassim untuk memberitahu Tuan Kassim bahawa ada orang ingin membakar stor getahnya.

Semasa Kakang sedang cuba membakar stor getah orang kaya, Tuan Kassim datang sambil mengacukan senapang ke kepala Kakang. Kakang bertindak mencampakkan api ke stor tersebut menyebabkan stor tersebut terbakar. Tindakan provokasi Kakang menyebabkan Tuan Kassim melepaskan tembakan ke kepala Kakang, menyebabkan Kakang terbunuh. Kesuma berlari sambil menangis, berceritakan bahawa Kakang merupakan orang yang berani, bekas kapten askar yang berjuang menentang Belanda dan mungkin hidupnya lebih kaya raya jika menetap di Indonesia. Tindakan Kakang yang meninggalkan negara sendiri, bergelandangan di negara Malaysia, mengutuk rakyat Malaysia kononnya Malaysia merdeka tanpa berperang dan suka hidup dengan subsidi, sambil membawa perangai panas baran tidak menentu dan memberontak tanpa sebab telah mengakibatkan keluarganya hidup susah dengan nasib yang tidak pasti kesudahannya.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Latar belakang pembikinan[sunting | sunting sumber]

Kaki Bakar asalnya dibuat untuk siaran televisyen namun cadangan tersebut ditolak atas sebab tertentu. Proses menukar format filem daripada 16 mm kepada 35 mm dilakukan di Australia.

Filem ini telah disiapkan pada 1995 dan ditayangkan di Malaysia enam tahun kemudian.

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

  1. Festival Filem Bebas Antarabangsa Brussel ke-17, 1995 (Belgium)
    1. Filem Terbaik (kategori bahasa asing)
  2. 1st South-East Asian Biennial Film Festival, 1997 (Phnom Penh)
    1. Anugerah Khas Juri

Sambutan[sunting | sunting sumber]

Kutipan yang diterima untuk filem ini adalah sebanyak RM3,087.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ James, Caryn (6 April 1996). "Movie Review - FILM FESTIVAL REVIEW: Faulkner, Set in Malaysia". The New York Times. Dicapai pada 25 Oktober 2016.
  2. ^ a b "Recently there was a screening of the first Malaysian movie to make Cannes". The Daily Seni (dalam bahasa Inggeris). 9 Oktober 2016. Dicapai pada 11 Oktober 2016.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]