Langgar (filem)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Filem Langgar)
Jump to navigation Jump to search
Langgar
Poster Filem Langgar.jpg
Poster promosi
PengarahSyed Hussein Syed Mustafa
(Sein Ruffedge)
PenerbitGayatri Su-Lin Pillai
PenulisPierre Andre
Sein Ruffedge [1]
Dibintangi olehAdy Putra
Hans Isaac
Nam Ron
Khir Rahman
Zul Huzaimy
Natasha Hudson[2]
Bell Ngasri
Nadia Heng
Syarikat
penerbitan
Tayangan Unggul
Hadir Dinamik
PengedarTayangan Unggul
Mula ditayangkan
11 April 2013
Tempoh tayangan
90 minit
NegaraMalaysia
BahasaBahasa Melayu

Langgar (digayakan dalam poster sebagai LANGGAR)[3] ialah sebuah filem aksi Malaysia 2013 terbitan Tayangan Unggul dan Hadir Dinamik. Filem ini merupakan arahan sulung penyanyi dan pelakon Syed Hussein Syed Mustafa atau lebih dikenali sebagai Sein dan ditulis bersama oleh Sein dan Pierre Andre. Ia dibintangi oleh Adi Putra, Hans Isaac, Nam Ron, Zul Huzaimy, Bell Ngasri, Khir Rahman dan Natasha Hudson.[4] Filem ini ditayangkan pada 11 April 2013.[5]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Nizam (Adi Putra) ingin menuntut keadilan atas kematian isteri tercinta, Aina (Nadia Heng) serta anak di dalam kandungan isterinya akibat dibunuh dengan aibnya oleh sekumpulan gengster. Nizam ingin mencari darah sebagai galang gantinya. Seorang demi seorang mereka yang terlibat dalam pembunuhan tersebut mesti dihapuskan dari muka bumi ini. Itu janjinya.

Nizam diperkenalkan kepada geng Radzi (Namron) oleh Khairul (Bell Ngasri), kawan lamanya. Geng Radzi adalah antara gengster digeruni kawan dan lawan, menjalankan perniagaan kelab malam, dadah dan pinjaman wang tanpa lesen. Setelah diuji oleh Loy (Zul Huzaimy) iaitu orang kanan Radzi, Nizam layak menjadi sebahagian daripada geng Radzi.

Tugas pertamanya ialah mengutip hutang-hutang tertunggak. Ketika diserahkan fail hutang tertunggak tersebut, Nizam melihat ada gambar Aina dan bapa Aina sebagai salah seorang penghutang yang gagal melangsaikan hutang mereka. Nizam sedar Nizam kini di landasan yang betul bagi membalas dendamnya. Dalam pelancaran misinya, Nizam bertemu dengan Amanda (Natasha Hudson) yang menjadi mangsa keadaan.

Sementara itu, Radzi berurusan dengan Jimi (Hans Isaac), seorang pengedar dadah yang mempunyai empayar di beberapa buah negara di Asia Tenggara. Mail (Khir Rahman) pula yang dahalunya seangkatan dengan Radzi dan Jimi mula membuat kacau apabila Radzi dinaikan pangkat. Ketiga-tiga mereka menganggotai sebuah kumpulan gengster diketuai oleh Mr. King (Daniel Wong). Uncle Yew (Collan Koo) pula ialah penasihat kepada kumpulan gengster ini. Pelbagai konflik timbul antara mereka menyebabkan hubungan mereka berantakan sesama sendiri.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Langgar diarahkan oleh bekas penyanyi kumpulan M.O.B dan Ruffedge, Syed Hussein;[7] ia merupakan filem pertama arahannya dengan skripnya ditulis bersama oleh beliau dan pelakon, pengarah Pierre Andre. Idea untuk Langgar datang apabila Sein pada waktu itu menyambung pelajaran dengan mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang pengarahan dan sinematografi selama tiga bulan di London Film School, United Kingdom. Sejurus menamatkan pengajiannya setahun lalu, Sein tekad mahu mengarahkan sebuah filem setelah pulang ke tanah air.

Menurut Sein, beliau cuba menghasilkan skrip pertamanya yang belum mempunyai judul, genre seram ngeri psiko dan menghantar ke Tayangan Unggul di samping bekerjasama dengan Pierre bagi menghasilkan sebuah skrip lagi bergenre aksi dengan apa dikenali sebagai Langgar.[8] Disebabkan terdapat beberapa prosedur yang tidak dapat dielakkan, skrip Langgar terlebih dahulu mendapat lampu hijau daripada Tayangan Unggul untuk difilemkan.[8] Pada mulanya, Pierre mahu turut bersama mengarahkan filem ini; Namun tidak dapat berbuat demikian kerana mempunyai komitmen lain.[8] Cabaran menggalas tanggungjawab sebagai pengarah filem tersebut merupakan peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan memandangkan telah lama beliau mengidamkan tugas itu. Setelah kembali ke Malaysia, Sein mula menjinak-jinakan diri dalam bidang pengarahan dengan mengarahkan beberapa video korporat dan filem pendek. Filem ini melalui proses pembikinan skrip sebanyak 15 draf.[8]

Walaupun ia sentuhan beliau dalam dunia pengarahan, Sein memperlihatkan potensi besar untuk menjadi seorang pengarah berkaliber suatu hari nanti. Sein juga mengambil langkah berani untuk mempertaruhkan genre aksi dan penelitian kerjanya di kerusi pengarah layak dipuji kerana jelas kesungguhan dan perincian terhadap filem itu tampak meyakinkan.[7] Hal ini kerana bukan mudah merealisasikan sebuah filem aksi ala gengsterisme, apatah lagi apabila ia membabitkan lebih 60 peratus babak pertarungan namun Sein nyata mampu menggarap Langgar dengan penuh teliti menepati kehendak penonton.[7] Malah Langgar berjaya menarik perhatian penonton pada 10 minit pertamanya bila mana permulaan jalan ceritanya dibuat dengan padat tanpa mengelirukan penonton. Sein juga berjaya mengekal dan mengimbangi momentum jalan ceritanya yang sarat dengan aksi ganas dengan penyusunan kemas dan teratur selain lingkungan plot dan sub-plot dijalur kemas.[7]

Penggambaran filem ini dijalankan selama 33 hari bermula pada 15 Ogos hingga 16 September 2011 di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Lembah Klang dan Damansara Heights dengan kos pembikinan sebanyak RM2.1 juta. Kepakaran barisan bintang utama selain penggunaan pelakon aksi menghidupkan lagi kisah pembalasan dendam itu; Langgar menyerlahkan hasil kerja Sein di set yang penuh kreatif mencorakkan kisah seperti yang digambarkan dalam skrip malah jelas dapat dilihat dia melihat di luar kotak dan berani mencuba agar filem sulungnya itu berbeza daripada karya lain daripada genre sama. Kewibawaannya sebagai pengarah baru dalam menjahit setiap elemen dalam karya pertamanya itu bakal meletakkan Sein sebagai pengarah pelapis berbakat besar.[7]

Gaya dan persembahan[sunting | sunting sumber]

Langgar mempertaruhkan jalan cerita yang memaparkan pergelutan tiga penjuru antara tiga kumpulan samseng yang berebut kawasan jajahan. Walaupun ia kelihatan serupa dengan filem seperti KL Gangster dan Kongsi, yang pernah ditayangkan sebelum ini, Sein cuba lari daripada persepsi menyamakan filem arahannya dengan filem-filem tersebut apabila menampilkan kelainan dari segi aspek plot cerita dan gaya pengarahan.[8] Beliau menganggap filem genre seperti ini ialah filem ‘orang jantan' tetapi mahu menyampaikan mesej secara lembut dan bersahaja tanpa perlunya adegan ekstrem.[8]

Dari segi gaya lakonan, Adi Putra berjaya menzahirkan emosi 'hitam' dalam dirinya dengan cemerlang dari awal sehingga akhir filem.[7] Tidak ketinggalan Bell Ngasri yang cukup bersahaja dan memberikan seri kepada filem ini dengan 'lawak ganas' dalam filem ini. Langgar menyerlahkan hasil kerja Sein di set yang penuh kreatif mencorakkan kisah seperti yang digambarkan dalam skrip malah jelas dapat dilihat dia melihat di luar kotak dan berani mencuba agar filem sulungnya itu berbeza daripada karya lain dari genre sama.[7]

Tayangan media[sunting | sunting sumber]

Langgar telah ditayangkan untuk tontonan rumah yang mana pelanggan ASTRO boleh melanggannya di saluran Astro First Saluran 480.

Runut bunyi[sunting | sunting sumber]

Lagu tema filem ini, "Bawaku Pergi" dipersembahkan oleh kumpulan indie, Rosevelt.[9]

Keluaran dan sambutan[sunting | sunting sumber]

Filem ini dikeluarkan pada 19 April 2013 dan mendapat kutipan RM 1.60 juta.[10]

"Alhamdulillah… saya lega kerana pada awalnya agak risau juga sebab filem itu diklasifikasikan untuk tonton 18 tahun ke atas dan mungkin akan memberi kesan kepada kutipan. Harap-harap angka tersebut akan terus meningkat untuk baki beberapa hari tayangan lagi,"[11]

— Sein dipetik daripada laporan mStar Online.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ RAZIATUL HANUM A. RAJAK (4 April 2013). Langgar bukan filem aksi kosong Sinar Harian. Diperoleh pada 22 April 2013.
  2. ^ Natasha sedia dikritik, Kosmo.
  3. ^ Peter Chai (29 Mac 2013). Sein Ruffedge's big industry debut Cinema.com.my. Diperoleh pada 1 April 2013.
  4. ^ Cerita orang Jantan Kosmo!.
  5. ^ Tonton filem ini jika anda suka "KL Gangster", "KL Menjerit".
  6. ^ Apa Kata Natasha Bila 'Babak Panasnya' & Namron Bakal Dipertontonkan? Malaysian Digest. 20 Mac 2013.
  7. ^ a b c d e f g Mohd Qayum Al-Azizi (12 April 2013). 'Langgar' Pamer Keyakinan Terhadap Arahan Sein mStar. Diperoleh pada 1 Mei 2013.
  8. ^ a b c d e f Mohd Ifqdar Abdul Rahman (20 September 2011). Langgar 'bayi' sulung Sein Utusan Malaysia. Dicapai pada 1 Oktober 2011.
  9. ^ OST filem Langgar dicipta oleh band indie dari KL OnlineFM.
  10. ^ Sein Lega Filem “Langgar” Berjaya Kutip RM1.5 Juta MyArtis.
  11. ^ SELEPAS SEMINGGU DITAYANGKAN FILEM LANGGAR CATAT KUTIPAN RM1.5 JUTA! Ammboidotcom. 25 April 2013.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]