Setem (filem)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Filem Setem)
Setem
Poster keluaran tayangan
PengarahKabir Bhatia
PenulisKabir Bhatia
Dihasilkan olehGayatri Su-Lin Pillai (eksekutif)
Dibintangi
SinematografiMohd Noor Mohd Kassim
Muzik olehPacai
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehAstro Shaw
Tarikh tayangan
30 Julai 2009 (2009-07-30)
Masa tayangan
110 minit
NegaraMalaysia
Bahasa
BajetRM 1.90 juta
Pecah panggungRM 1.27 juta

Setem ialah sebuah filem aksi komedi Malaysia 2009 arahan Kabir Bhatia,[1][2] yang turut menulis cerita asal dan lakon layar dengan Gayatri Su-Lin Pillai berkhidmat sebagai penerbit. Dibintangi oleh barisan pelakon ensembel yang diterajui oleh Afdlin Shauki dan Rashidi Ishak dengan penampilan khas oleh Aziz M. Osman dan Jalaluddin Hassan, ia berkisarkan tentang dua sahabat karib yang mempunyai kemahiran mencuri dan mereka dipaksa mencuri setem yang bernilai RM4 juta oleh pemilik Rumah Harapan untuk membantu beliau mempertahankan Rumah Harapan itu dari dijual. Pada masa yang sama, kumpulan Piranha, Tosai serta yang lain turut mahukan setem tersebut.[3][4]

Filem ini ditayangkan di 54 pawagam di seluruh Malaysia pada 30 Julai 2009 dan memperoleh kutipan pecah panggung sebanyak RM 1.27 juta. Ia menerima ulasan yang rata-ratanya positif daripada pengkritik filem, yang memuji percubaan sulung Kabir mengarahkan filem komedi. Setem telah memenangi tiga anugerah di Festival Filem Malaysia ke-22, yang berlangsung sewaktu filem ini ditayangkan.[5] Ia telah disenaraikan oleh New Straits Times sebagai salah satu daripada 10 filem terbaik bagi tahun 2009.[6]

Plot[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1849, Gabenor Melaka Lord Arthur Barring mahukan sesuatu untuk diingati oleh generasi seterusnya. Beliau melantik seorang pembuat jam untuk mencipta sekeping setem. Tetapi setem tersebut ditertawakan oleh Gabenor India kerana terdapat kecacatan padanya. Maka Lord Arthur Barring marah lalu membuang setem tersebut, yang kemudiannya dikutip oleh cucunya.

Pada tahun 2008, Charles Barring IV, seorang pewaris Lord Arthur, mengadakan sidang akhbar di kawasan peranginan A Famosa. Beliau mempamerkan warisan keluarganya, Setem Barring. Setem Barring melalui perjalanan yang panjang dan kini kembali ke bumi Melaka, di mana setem itu dihasilkan. Setem bersejarah tersebut akan dipamerkan di Muzium Melaka. Sid dan Joe menghadiri sidang akhbar itu, dengan tujuan mahu mencuri setem yang dianggarkan bernilai 2 juta ringgit. Sebenarnya, Pak Ramli yang memaksa Sid dan Joe mencuri setem itu untuk menampung kos membeli tanah tapak Rumah Harapan, rumah anak yatim yang diuruskannya. Pak Ramli memerlukan RM 500,000.00. Sid dan Joe tidak mahu, namun terpaksa melakukannya kerana budi Pak Ramli yang pernah membesarkan mereka di rumah anak yatim tersebut.

Namun, bukan sahaja Sid dan Joe yang mahukan setem itu. Piranha Lim, seorang ketua kumpulan kongsi gelap juga berminat; begitu juga dengan Vellu yang bekerja sebagai pemandu di syarikat keselamatan yang akan membawa setem tersebut ke muzium, masing-masing merancang untuk mendapatkan setem tersebut. Oleh kerana begitu banyak perancangan yang dilakukan untuk setem tersebut, keadaan menjadi kacau-bilau. Mula-mulanya, Joe dan Sid memberanikan diri bersuhabat dengan Piranha biarpun menyedari kegagalan boleh dihukum dengan tangan dibaham ikan piranha dalam akuarium, dan dibantu oleh Lao, orang suruhan Piranha. Vellu pula mendapatkan bantuan Mani yang baru keluar dari penjara untuk menyeludup setem berharga itu untuk kepentingan diri.

Sebelum memulakan operasi, Joe melimpahkan cat akrilik berwarna kuning terhadap motosikal yang dimiliki oleh sekumpulan mat rempit. Dalam cubaan pertama Joe dan Sid merampas Setem Barring dari van keselamatan yang dipandu Vellu, keadaan menjadi haru-biru sehingga berlakunya pelanggaran kereta, dan setem itu terkeluar dari van keselamatan lalu terlekat pada muka Aryanto, seorang pendatang tanpa izin dari Indonesia, untuk dibawa balik ke rumah usang yang harus dilawatinya kemudian. Lao cedera parah dalam kemalangan, dan Afdlin secara senyap-senyap mengambil kesempatan untuk menamatkan riwayatnya di tempat kejadian. Piranha amat kesal dengan kegagalan mereka (dan kehilangan Lao) lalu memperhebatkan pencarian setem dengan menghantar Burn bersama Joe dan Sid.

Setelah dijemput masuk oleh Marcello di petempatan usang yang diduduki PATI dari Indonesia, Aryanto menyedari setem berharga yang dibawa baliknya setelah menonton berita di TV. Justeru, Marcello cuba meleraikan keadaan secepat mungkin dengan memanggil Burn, Sid dan Joe ke mari untuk memperdagangkan setem itu, yang juga diekori Vellu dan Mani. Malangnya urusniaga tersebut dipatahkan oleh serbuan polis, sementara Joe yang menunggu di kereta diugut oleh Mani agar membantunya. Perebutan kali kedua Setem Barring menyaksikan setem tersebut terlantar pada beg Iskandar, seorang pemuzik jalanan yang cacat penglihatan. Kerana penglibatan mereka dalam pemburuan setem, Vellu bersama Aryanto yang tidak banyak mengerti apa yang berlaku gara-gara setem tersebut dibawa menghadap Piranha sebagai tebusan selagi Setem Barring tidak dijumpai.

Di rumah Iskandar, kakaknya Alliya menjumpai setem itu agar boleh dilekat pada sampul surat yang menyimpan borang permohonan kepada klinik di Singapura yang boleh memulihkan penglihatan adiknya. Setelah tak lama mengekori Iskandar ke rumahnya dan memerhati gerak-gerinya, Sid, Burn dan Mani menunggu peluang merampas setem itu (sementara Joe terkurung dalam but kereta). Mani menyamar sebagai polis untuk menyoal Iskandar mengenai setem itu, dan setelah mendengar penjelasan Iskandar lekas dia ke peti pos untuk menghalang Alliya dari memasukkan surat.

Mani terpaksa menahan Iskandar dan Alliya dalam rumah sementara menunggu posmen datang, dan apabila posmen datang, dia membawa mereka mengejar posmen itu sambil diekori Sid dan Burn. Setibanya di pejabat pos pada waktu malam, Mani berjaya memeras posmen itu untuk mengeluarkan semua suratnya agar boleh dicari setem berharga yang diburu selama ini. Bagaimanapun, Piranha sempat menghalang Mani sambil mengambil Sid, Vellu, Iskandar, Alliya dan juga Aryanto sebagai tebusan, sementara Burn melepaskan beberapa das tembakan ke arah but kereta yang mengurung Joe.

Selepas mengikat mereka berlima pada helikopter, geng Piranha meminta khidmat pakar setem untuk mengesahkan ketulenan setem. Rupa-rupanya setem itu palsu kerana kertasnya masih baru kata pakar setem, maka Piranha naik berang lalu menyuruh agar para tebusannya dibunuh serta-merta. Nasib baik Joe muncul untuk menyelamatkan mereka semua (dia dapat melindungi dirinya dengan peti peralatan sewaktu ditembak dari luar but) dan mematahkan kejahatan geng Piranha. Untuk menyelamatkan diri mereka, Joe terpaksa membakar Burn yang mengganas, manakala Piranha dan ahli-ahli gengnya yang lain melarikan diri dengan kereta Joe, sebelum diserang oleh segerombolan mat rempit (kerana Joe pernah mencurahkan cat akrilik pada motosikal mereka sebelum ini).

Pada hari seterusnya, Sid, Joe, Mani, Vellu, Aryanto, Iskandar dan Alliya berpakat untuk mengajar Charles Barring IV kerana memperbodohkan rakyat dengan setem palsu itu. Di hotel, Sid berbual bersama Barring, dan maka itu dia mengetahui Barring sendiri tidak pernah melihat setem pusaka yang sebenar dan dia menuntut AS$4 juta atas kehilangan setem itu. Langkah seterusnya, mereka bertujuh mengejar Barring ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sambil menyamar sebagai pelancong dan kakitangan lapangan terbang, dan menjayakan misi dengan meletakkan setem palsu dalam beg Barring agar dia boleh ditahan oleh polis.

Tak lama kemudian, setelah lama merenungkan betapa bertuahnya mereka bertujuh seandainya setem itu tulen, kemudian Sid teringat kata-kata Charles Barring itu lalu memaksudkan Setem Barring pusaka ada yang tulennya, dan setem itu mungkin sekali terletak di Melaka. Hanya Joe dan Sid yang menunjukkan minat untuk mencari setem itu, maka ke sanalah mereka menerjah. Kiri kanan mereka mencari, akhirnya mereka tiba di sebuah kedai antik yang dijaga oleh wanita bernama Suraya. Setelah ditanyakan mengenai setem pusaka itu, Suraya menunjukkan peti pencetak setem kepada mereka. Secara senyap-senyap mereka menjumpai Setem Barring yang tulen dalam peti itu, tetapi Sid membuat keputusan untuk meninggalkan setem dalam kedai tersebut.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Afdlin Shauki (kiri) dan Rashidi Ishak (kanan) pada 2009, yang melakonkan watak masing-masing
  • Afdlin Shauki sebagai Joe, rakan Sid yang pernah sebumbung dengannya di Rumah Harapan, turut membantu dalam misi merampas Setem Barring.
  • Rashidi Ishak sebagai Sid, bekas penghuni rumah anak yatim Rumah Harapan yang ditugaskan mencuri Setem Barring untuk membantu membiayai pembelian tanah Rumah Harapan.
  • Chew Kin Wah sebagai Piranha Lim, ketua kongsi gelap berloghat utara yang digeruni ramai kerana menghukum sesiapa yang menyalahinya dengan merendamkan tangan mereka dalam tangki ikan piranha, apapun menjadi rakan suhabat Sid dan Joe dan memperalatkan mereka untuk kepentingan diri bersama Setem Barring.
  • Bront Palarae sebagai Burn,[7] pengikut setia Piranha Lim yang bengis, tangkas dan hangus separuh muka kirinya sehingga terpaksa dilitupi rambut panjangnya.
  • Sathiya sebagai Vellu,[8] pengawal keselamatan yang ditugaskan mengangkut Setem Barring, tetapi juga hendak mencurinya kerana hendak menjadi kaya.
  • Indi Nadarajah sebagai Mani, kawan lama Vellu baru hendak memulakan hidup baru setelah dilepaskan dari penjara sehingga dipujuk oleh Vellu untuk membantunya mencuri setem Barring.
  • Isma Yusoof sebagai Aryanto, pendatang haram dari Indonesia yang terperangkap dalam pemburuan setem setelah terbawa balik Setem Barring ke rumah tumpangan.
  • Harun Salim Bachik sebagai Marcello, tuan rumah kepada Aryanto yang menjemput Sid dan Burn untuk memperdagangkan setem, tetapi cedera parah setelah urusniaga dipatahkan oleh serbuan polis.
  • Que Haidar sebagai Iskandar, Pemuzik jalanan cacat penglihatan yang menjadi mangsa jenayah setelah Setem Barring jatuh dalam beg alat muziknya lalu dibawa balik.
  • Vanidah Imran sebagai Alliya, kakak kepada Iskandar yang menemui setem itu agar boleh membiayai rawatan pemulihan penglihatan adiknya, tetapi turut memasuki perangkap pemburu setem.

Barisan pelakon lain termasuk Aziz Sattar sebagai Pak Ramli, pemilik Rumah Harapan yang memaksa Sid dan Joe memikul tugas mencuri setem itu untuk membiayai rumah anak yatimnya; Richard Gardner sebagai Charles Barring IV, pewaris Gabenor Melaka Lord Arthur Barring iaitu pereka Setem Barring; Jalaluddin Hassan sebagai Adnan Hassan, pengacara majlis pengenalan Setem Barring di awal filem; Syanie sebagai pengunjung kelab dan Adam Corrie Lee sebagai Lao, Seorang pengikut Piranha yang membantu Sid dan Joe dalam cubaan pertama mencuri setem. Dia mati dicekik oleh Joe setelah cubaan gagal. Barisan pelakon yang membuat penampilan khas termasuk Aziz M. Osman sebagai Posmen, dikejar sampai dapat oleh Mani kerana membawa surat yang dilekat setem buruan; Diana Danielle sebagai Suraya, penjaga kedai antik di Melaka; Chelsia Ng sebagai Karen, pembantu peribadi Charles Barring; Kenchana Dewi sebagai Meena, Isteri kepada Mani; Azwan Ali sebagai pengurus restoran, menahan gitar Joe di restoran sementara Joe mendapatkan duit, nyaris menjual gitar itu ke orang lain tetapi berjaya membelinya untuk diserahkan kepada along; David Teo sebagai tukang paip; Henzi Andalas sebagai Benny, pelayan yang melayan Joe di awal filem; Soffi Jikan sebagai Mat Rempit; Naeim Ghalili sebagai Fence dan Frank Lewis sebagai pakar setem, yang dijemput oleh Piranha untuk mengesahkan ketulenan setem di klimaks filem.

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Setem merupakan kali pertama Kabir Bhatia mengarah filem komedi, selain memikul tugas sebagai penulis cerita asal dan lakon layar filem ini,[9][10] yang mana beliau memberi tumpuan kepada empat plot cerita berasingan yang ditemukan menjadi rantaian mengejar setem pusaka.[11][12][13] Idea filem Setem sudah lama difikirkan oleh Kabir sejak 2002, dan pernah dikemukakan oleh beliau kepada Tayangan Unggul pada tahun 2004 tetapi syarikat tersebut ketika itu tidak bersedia untuk menghasilkannya, tetapi setelah kejayaan filem Baik Punya Cilok barulah mereka dapat melihat potensinya.[14] Pada mulanya, Kabir menulis skripnya dalam bahasa Inggeris, kemudian diterjemah ke bahasa Malaysia oleh isterinya Mira Mustaffa. Penggambaran mengambil masa 40 hari di pelbagai lokasi sekitar Lembah Klang dan Melaka pada awal 2008. Proses pasca-penerbitan pula mengambil masa setahun sehingga selesai pada bulan Mac.[14]

Kabir berkata beliau memilih tema setem kerana kepadanya, setem ialah barang bernilai yang diperbuat dari "helaian kertas kecil yang besar nilainya", ditambah lagi dengan perwatakan yang menjadikan setem itu harta buruan berbagai-bagai watak manusia. "Pokoknya, setem itu dipilih untuk membuat penonton ketawa," katanya.[14] Tambahan pula, Gayatri Su-Lin Pillai berkata, penghasilan filem Setem dilakukan penuh teliti kerana buat pertama kali menggunakan format definisi tinggi (HD). Sebelum memilih filem itu, katanya, Kabir menawarkan lima skrip berbeza kepada pihak penerbit namun mereka tertarik dengan garapan idea yang dibawakan Setem apatah lagi ia skrip pertama dihasilkan pengarah itu.[15]

Bront Palarae yang memainkan watak Burn meluahkan rasa besar hati kerana berpeluang bekerja bersama Kabir, yang mana beliau dapat menggunakan pistol. Richard Gardner yang memegang watak Charles Barring pula puas hati kerana kepelbagaian budaya dipaparkan dengan setepatnya, sekaligus menjadikan filem ini sebuah filem Malaysia yang sebenar.[14]

Keluaran[sunting | sunting sumber]

Tayangan perdana Setem diadakan di GSC Tropicana City Mall pada 15 Mei 2009,[16] sebelum ditayangkan kepada umum di 54 pawagam di Malaysia dan tiga lagi di Brunei[15] mulai 30 Julai.[17]

Sambutan[sunting | sunting sumber]

Kutipan pecah panggung[sunting | sunting sumber]

Walaupun berada di tangga ke-5 pada minggu pembukaannya (30 Julai–2 Ogos),[18] namun filem Setem berjaya naik ke tangga ke-4 pada minggu seterusnya (6–9 Ogos),[19] apatah lagi berjaya mencecah RM1 juta dari hasil kutipan tiket pada dua minggu terawalnya.[20][21]

Setelah tamat tayangannya di pawagam, jumlah kutipan filem Setem agak memuaskan iaitu sejumlah RM 1.27 juta, biarpun tidak berjaya melitupi perbelanjaan pembikinannya sebanyak RM 1.9 juta.[22]

Ulasan kritis[sunting | sunting sumber]

Filem ini menerima ulasan positif dari pengkritik filem dan media hiburan tanahair, rata-rata memperakui keberkesanan jenaka yang dirasai oleh penonton. Keith Jonathan Deuntzer yang mengulas filem ini di tayangan perdananya untuk mStar Online berkata: "Plot atau jalan penceritaan filem itu sangat mudah diikuti dan sesuai ditonton semua lapisan masyarakat. Gabungan Afdlin [Shauki] dan Rashidi Ishak serta Sathiya dan Indi Nadarajah dalam filem itu adalah faktor utama yang memberi kekuatan kepada filem itu. Que Haidar juga berjaya menjiwai wataknya sebagai seorang yang buta."[23]

Au Yeong How, juga untuk portal sama, mengulas "Kabir mempunyai cara tersendiri untuk 'mempermainkan' emosi para penonton. Pengarah tersohor ini mempunyai sentuhan magis untuk memancing, mengekalkan dan mengembangkan minat para penonton melalui tempoh tayangan selama 110 minit itu. Pujian harus diberikan kepada Afdlin Shauki, Bront Palarae, Indi Nadarajah dan Sathia. Karakter-karakter mereka adalah penuh humor. Percakapan mereka, gaya pakaian, mahupun bahasa badan cukup melucukan!" Tetapi Au Yeong juga mengulas wujudnya babak tidak logik. "Misalnya, [watak lakonan] Bront Palarae masih hidup walaupun dibom. Afdlin mengelak peluru dengan menggunakan kotak mekanik ketika terperangkap dalam but kereta. Perkara remeh itu boleh diketepikan kerana penonton sudah leka dibuai keseronokan humor yang cuba dipaparkan oleh penonton."[23]

Shazryn Mohd Faizal, menulis untuk Utusan Malaysia, mengulas: "Setem berjaya mengetengahkan mesej yang mengutarakan tentang persahabatan yang terjalin tanpa mengira latar belakang serta kaum dan bahasa sekali gus mengangkat tema 1Malaysia yang diperjuangkan hari ini," apatah lagi "tidak perlu memaksa audiens ketawa terbahak-bahak menerusi adegan slapstik serta aksi murah pelakonnya seperti mana sesetengah filem komedi lain yang pernah diterbitkan sebelum ini.Sebaliknya, humor yang ditampilkan dalam filem ini dibangkitkan menerusi permainan watak dan karakter pemainnya serta ditambah dengan perjalanan cerita yang berjaya menggeletek penonton. Skrip yang bijak serta pengucapan dialog oleh para pendokong watak dalam filem ini menjadikan Setem begitu 'mahal'."[24] Zul Husni Abdul Hamid, menulis untuk Berita Harian memuji keseluruhan filem ini, terutamanya gandingan Afdlin Shauki dan Rashidi Ishak sebagai tunjang utamanya.[25] Murshid Eunos dari Metro Ahad turut memuji kelainan yang ditonjolkan dalam Setem sambil berpendapat bahawa filem ini memiliki "sinematografi yang menarik, olahan skrip yang tersusun dan elemen rantaian dalam penceritaan yang kemas".[26]

Anugerah dan pencalonan[sunting | sunting sumber]

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan
2009 Festival Filem Malaysia ke-22 Filem Terbaik Setem Tercalon
Pelakon Lelaki Terbaik Rashidi Ishak Tercalon
Sinematografi Terbaik Mohd Nor Kasim Menang
Suntingan Terbaik Faizul Mohd Noh Menang
Penataan Seni Terbaik Nazrul Asraff Mahzan Menang
Skor Muzik Asal Terbaik Pacai Tercalon
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Indi Nadarajah Tercalon
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Vanida Imran Tercalon
Penataan Bunyi Terbaik Azman Abu Hassan, Shazrin Kurr Tercalon
Pelakon Lelaki Harapan Isma Yusoof Tercalon
Poster Terbaik Setem Tercalon
2010 Anugerah Skrin 2010 Filem Terbaik Tercalon
Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Filem Que Haidar Tercalon
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem Vanida Imran Tercalon
Pengarah Terbaik Filem Kabir Bhatia Tercalon
Lakon Layar Terbaik Filem Tercalon

Masa depan[sunting | sunting sumber]

Ditanya mengenai kemungkinan filem susulan Setem, Kabir dalam temubual bersama Utusan Malaysia berkata, perancangan untuk kesinambungan ini sudah ada fikirannya dengan mengambil tajuk Syiling. Katanya: "Berkemungkinan besar barisan pelakon asal dikekalkan dengan jalan cerita yang lebih hebat dan menarik. Mungkin juga filem susulan ini akan mengembara ke luar negara pula,".[24]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Siti Ruqaiyah Hashim (2 Ogos 2009). "Kerja 'sempurna' Kabir dalam Setem". Berita Minggu. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  2. ^ Shakilawati Abd Rahman (9 Ogos 2009). "Bangga kerja dengan Kabir". Metro Ahad. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  3. ^ Suzan Ahmad (19 Julai 2009). "Setem ada macam-macam ramuan". Berita Minggu. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  4. ^ Tengku Elena Tengku Mahamad (30 Julai 2009). "Cast and humour stamp their mark". New Straits Times. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  5. ^ Zul Husni Abdul Hamid (10 Ogos 2009). "'Ini filem mengenai keluarga saya'". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Ogos 2009. Dicapai pada 10 Ogos 2009.
  6. ^ Meor Shariman (2 Januari 2010). "The 10 best local films of 2009". New Straits Times. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  7. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (25 November 2008). "Bront Palarae dipercayai pengarah". Berita Harian. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  8. ^ Zaidi Mohamad (4 September 2009). "Sathia hidupkan filem Setem". Berita Harian. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  9. ^ "Kabir hasil filem komedi". Harian Metro. 22 Julai 2008. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  10. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (18 April 2009). "Kabir beralih ke filem komedi". Berita Harian. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  11. ^ Suzan Ahmad (24 Ogos 2008). "Kisah sekeping setem RM2 juta". Berita Minggu. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  12. ^ Wan Asrudi Wan Hasan (21 Februari 2008). "Setem RM2 juta jadi rebutan". Harian Metro. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  13. ^ Murshid Eunos (19 Julai 2009). "'Gam' Setem kuat". Metro Ahad. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  14. ^ a b c d Azhariah Kamin (24 Julai 2009). "Going postal". The Star Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Julai 2009. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  15. ^ a b Zul Husni Abdul Hamid (20 Julai 2009). "Setem cabar kreativiti Kabir". Berita Harian. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  16. ^ Nur Safina Othman (13 Oktober 2009). ""Setem" setaraf filem komedi antarabangsa". Tupai.com.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Oktober 2009. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  17. ^ Amy Ikram (15 Julai 2009). "'Setem... wajib di tonton 30 Julai 2009!!'". Wajib Tonton. Dicapai pada 24 Disember 2014.
  18. ^ "Charts: Week of 30 July 2009-05 August 2009". Cinema Online. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  19. ^ "Charts: Week of 06 August 2009-09 August 2009". Cinema Online. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  20. ^ Haswari Ali (11 Ogos 2009). "Setem Cecah Kutipan RM1 Juta". murai.com.my. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Oktober 2009. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  21. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (15 Ogos 2009). "Filem Setem terus bertahan". Berita Harian. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  22. ^ "Setem dapat lebih RM1 juta". Berita Harian. 19 Ogos 2009. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  23. ^ a b ""Setem" membanggakan, setaraf filem komedi antarabangsa". mStar Online. 16 Julai 2009. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  24. ^ a b Shazryn Mohd Faizal (5 Ogos 2009). "Geletek Kabir Yang Menghiburkan". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 9 Ogos 2009. Dicapai pada 14 Ogos 2009.
  25. ^ Zul Husni Abdul Hamid (25 Julai 2009). "Tidak kering gusi gara-gara Setem". Berita Harian. Dicapai pada 24 Disember 2019.
  26. ^ Murshid Eunos (26 Julai 2009). "Kelainan Setem". Metro Ahad. Dicapai pada 24 Disember 2019.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]