Frontpage (siri TV)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Frontpage
The Truth Behind the News
GenreDrama
Aksi
Dibangunkan oleh
Filmscape
PengarahKabir Bhatia
Dibintangi oleh
Bernie Chan
Tony Eusoff
Jehan Miskin
Cheryl Samad
Nell Ng
Nurakhtar Amin
Negara asal Malaysia
BahasaBahasa Malaysia, Inggeris, lain-lain
Bilangan musim1
Bilangan episod(Senarai episod)
Penerbitan
Tempoh siaran1 jam per episod
Penyiaran
Saluran asalntv7
Siaran asal7 September 2008
Pautan luar
Laman sesawang

Frontpage ialah judul bagi sebuah siri drama televisyen buatan Malaysia yang dibawa oleh pengarah terkemuka Kabir Bhatia dan Mira Mustaffa yang berlatarkan kisah dalaman sebuah syarikat penerbitan akhbar yang diilhamkan oleh peristiwa-peristiwa yang menjadi tarikan akhbar sewaktu dahulu. Frontpage merupakan usahasama akhbar The Star, penyiar ntv7 dan syarikat penerbitan Juita Viden.

Drama ini dicalonkan untuk Drama Rantaian Terbaik di Anugerah Skrin 2009.

Am[sunting | sunting sumber]

Siri Frontpage mengisahkan kerja-kerja seharian di salah sebuah syarikat penerbitan akhbar tersohor di Malaysia: The Voice, menampilkan kisah hidup watak-watak utama, iaitu seorang penyunting meja berita, Andrea, dan tiga orang wartawan yang paling rapat dengannya, iaitu Jack dan Dylan yang berpengalaman diiringi orang baru Nerina, keempat-empat mereka perlu menangani tugas kewartawanan yang tiada ketentuannya semata-mata untuk membawakan laporan terbaik kepada rakyat jelata. Cerita dalam setiap episod diilhamkan oleh kisah-kisah yang menjadi berita hangat yang mengisi tajuk berita di muka hadapan akhbar sejak 36 tahun lalu.

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Mulai dengan episod pilot yang dirakam dua tahun lalu, Frontpage terdiri daripada 13 episod, di bawah arahan Kabir Bhatia ditambah oleh peranan isteri beliau, Mira Mustaffa selaku ketua penulisan lakon layar yang turut disertai Kam Raslan. Idea kisah wartawan ini merupakan idea Kabir sendiri. Katanya "rancangan-rancangan sedemikianlah yang berunsur realiti dan inilah daya tarikannya. Di televisyen, orang suka mereka-reka cerita jadi inilah peluang untuk membikin kisah yang seolah-olah benar." Tambahan pula katanya, kebanyakan cerita drama ini adalah berdasarkan kisah-kisah benar, kecuali satu cereka yang ditulis Kabir sendiri untuk episod "Taxi Driver".[1]

Bilik berita the Star dijadikan lokasi penggambaran bilik berita syarikat akhbar rekaan the Voice. Para barisan pelakon dan kru penerbitan menghabiskan dua bulan merakam siri ini pada awal tahun 2008,[2] padahal episod sulungnya sebenarnya dirakam kira-kira dua tahun terdahulu.[3] Kata Kabir lagi, "saya berpeluang bekerja rapat bersama The Star dan kakitangannya di sana maka dapatlah saya lebih memahami pemikiran dan tugas wartawan."[1]

Mira menekankan di sini bahawa setiap episod Frontpage memperkenalkan kisah serba baru dan juga watak serba baru, menjadikannya "antara kerja-kerja penulisan paling susah pernah mereka alami tetapi tetap berbaloi", tidak seperti porjek-projek lakon layar lain yang linear, di mana watak-watak yang sama dipakai semula dari episod ke episod begitu sahaja.[4]

Tony Eusoff yang memegang watak Jack Lee turut melakukan kaji selidik untuk menghayati wataknya, iaitu berhubung dengan beberapa wartawan penyiasatan yang dikenalinya, terutamanya yang benar-benar pernah diserang kerana mengejar kisah-kisah yang tidak sepatutnya dikejar.[5]

Watak[sunting | sunting sumber]

Watak utama[sunting | sunting sumber]

Jack Lee (Tony Eusoff)
Wartawan senior yang suka menyendiri dan tidak suka mematuhi peraturan. Jack gemar membuat kerja sendirian dan dengan caranya sendiri. Dia tidak mematuhi peraturan dan benci mematuhi pihak atasan. Jack mengambil berat tugasnya dan sanggup berbuat apa sahaja untuk mendedahkan hal sebenar kepada rakyat. Ketika Jack masih baru, dia berjanji kepada seorang dalaman syarikat gergasi untuk menerbitkan ceritanya, tetapi ceritanya ditolak oleh editornya gara-gara kekurangan bukti. Orang dalaman itu pun membunuh diri, maka dari itu Jack memendam rasa bersalah atas apa yang terjadi.
Andrea Ng (Bernie Chan)
Penyunting berita yang tegas dan adil. Selaku seorang wanita yang mengendali meja berita akhbar tersohor di negara, Andrea menyedari dirinya dibebankan kehendak awam, majikan dan wartawan. Sentiasa adanya seseorang yang tidak puas hati dengannya. Dari luaran Andrea nampak tegas, tetapi di luar kerja lemah-lembut jadinya. Andrea bercinta dengan Jack ketika baru menyertai syarikat akhbar ini, tetapi Jack sukar hendak setia kepada sesiapa pun. Andrea kini berkasih dengan Dylan, tetapi dalam hatinya dia tertanya-tanya sama ada Dylan betul-betul setia padanya atau setakat beradu dengan Jack.
Andrea mati di episod kesembilan akibat tembakan oleh seorang mangsa ceti haram yang iklannya tersiar dalam senaskhah akhbar the Voice.
Dylan Pereira (Jehan Miskin)
Wartawan yang teratur dan menawan dan juga teman lelaki Andrea, Dylan telah memanjat tangga kejayaan langkah demi langkah. Meskipun ghairah akan tugasnya, Dylan sentiasa mematuhi peraturan dan norma, dan jelik melihat Jack terlepas dari perbuatan yang tidak beretika. Dylan masih tidak puas hati dengan kenyataan bahawa Jack dan Andrea pernah bersama, dan merasa Jack masih mengejar hati Andrea.
Nerina Rahman (Cheryl Samad)
Wartawan muda yang idealistik dan penuh rasa minat. Minatnya untuk menjadi wartawan berakar umbi pada zaman kanak-kanaknya, khususnya ketika pendedahan "ulat dalam nasi lemak" di akhbar sekolah menjadikannya wira di sekolah. Meskipun dibantah bapanya yang kaya, dia tetap menyertai akhbar untuk menewaskan yang jahat dan melindungi yang tidak bersalah. Nerina jatuh hati pada Dylan tanpa menyedari hubungan jejaka idamannya itu dengan Andrea.
Lulu Chia (Nell Ng)
Wartawan senior yang ceria tetapi tajam lidah, penanya pun lagi tajam. Kisah-kisah laporannya telah memalukan para pelakon, pereka fesyen, dan syarikat rakaman pun. Dialah yang amat digeruni persada hiburan tanahair. Lulu tidak mengendah orang mengejeknya "tak tahu malu." Lagipun, bukannya dia mereka-reka cerita, cuma setakat melaporkannya. Ketika membesar, Lulu menghadapi isu keyakinan dirinya kerana citarasa "uniknya" menjadi bahan ketawa orang di sekitarnya. Lulu menganggap jawatannya di akhbar sebagai pembalasan dan adalah menjadi tugasnya untuk menjatuhkan semua orang cantik-molek yang menyusahkan hidup orang sepertinya, iaitu orang yang berlainan.
Rebecca Anuar (Nurakhtar Amin)
Wartawan senior yang tegas, serius dan teliti. Rebecca sentiasa meluahkan nukilan minda sendiri. Dia kelihatan dingin dan angkuh, tetapi di sebalik wajah yang tegas diselubungi zaman silam yang haru-biru. Sewaktu muda, bapanya yang berketurunan Inggeris meninggalkan keluarga, lalu ibunya mengahwini seorang lain, tetapi bapa tirinya cuba merogolnya. Mencecah zaman remaja, dia lari dari rumah tetapi ditangkap balik jua. Dia pun pernah cuba membunuh diri! Akhirnya dia dihantar ke sekolah asrama untuk mengecapi kejayaan, sekaligus memutuskan hubungannya dengan ibu dan bapa tirinya.

Watak pembantu[sunting | sunting sumber]

"Chief" (Priyadev Aravind)
Ketua Penyunting The Voice. Priyadev menyandang jawatan sub-editor di akhbar the Star. Watak ini tiada nama dan cuma bergelar "Chief"; mula-mulanya, watak ini diberi nama "Mr. Tan".[6]
Melvin D'Cruz
Sub-editor The Voice.
Lorna Liu
Pemasaran The Voice.
Zaid Zahari 
Wartawan

Episod[sunting | sunting sumber]

# Tajuk Tarikh siaran Sinopsis
1 No Way Out 7 September 2008 Geng Kapak semakin digeruni kerana jenayah ganas mereka. Seorang ahli geng menyedari kesilapan menyertai kumpulan itu dan amat terdesak untuk meninggalkannya, sungguhpun sedar tidak mungkin dia dapat melepaskan diri hidup-hidup kerana dia sudah mengetahui banyak rahsia gengnya. Satu-satunya harapan adalah memastikan gengnya ditahan tanpa mengetahui penglibatannya. Pembelot geng itu menghubungi Jack Lee, wartawan terbaik akhbar the Voice, untuk meminta bantuan. Jack menjebakkan dirinya ke dalam kes itu dan bertungkus-lumus menolong orang itu.
2 Pieces of You 14 September 2008 Seorang bomoh bernama Maya Saari bersama seorang anak lelakinya membunuh seorang ahli niaga tersohor, lalu dihukum mati. Sebelum digantung, Maya meminta Jack ke sisinya untuk membongkarkan satu rahsia, iaitu satu senarai pelanggannya, bersama gambar foto sebagai bukti kukuh. Sememangnya diketahui bahawa semua bekas pelanggan Maya merupakan antara golongan ternama dalam masyarakat Malaysia, dan setiap seorangnya pasti bakal menempah bahawa seandainya Maya hendak mendedahkan amalan ilmu hitam mereka. Jack menyedari nyawanya terancam apabila seseorang berusaha memastikan rahsia Maya sentiasa terlindung.
Kisah ini diilhamkan oleh kes Mona Fandey yang menyaksikan pengamal sihir hitam ini dihukum gantung pada tahun 2001 atas kesalahan membunuh dan mencincang seorang ahli politik pada tahun 1993.
3 In the Name of the Father 21 September 2008 Jaguh badminton Annie Ong kembali ke tanah air setelah menjuarai satu kejohanan, disambut oleh pujian dan sanjungan media, tetapi Annie segan untuk menerima temubuah. Pada hari seterusnya, dia ditemui mati di asramanya, mual-mulanya disangka bunuh diri. Pemergiannya bukan sahaja menggemparkan seluruh negara, malah membingungkan kerana seseorang yang hidupnya masih penuh erti pun mengambil nyawa diri. Jack dan Rebecca menyedari sememangnya ada udang di sebalik batu.
4 Ride to Hell 28 September 2008 Bekas teman wanita Dylan memintanya agar membantu mencari adik perempuannya yang hilang. Maka Dylan terus pergi menyiasat, dan dari itu dia mendapati wujudnya gadis-gadis yang lari dari rumah bersama teman lelaki mat rempit. Sekali tersilap langkah, dahsyat sekali padahnya.
5 Queen for a Day 5 Oktober 2008 Seorang ratu cantik menjulang takhta selama sehari sahaja sebelum dibunuh dengan kejamnya. Ramai sekali suspek-suspek di sebalik tragedi ini. Nampaknya, walaupun keluarganya bertegas dia kuat moralnya, tetapi Nerina dan Jack mendapati terdapat ramai lelaki yang pernah melawatnya sepanjang tahun yang lalu.
6 The Secret Kingdom 12 Oktober 2008 Seorang gadis misteri dijumpai di hutan, berlumuran darah dan bernyawa-nyawa ikan. Rebecca mengenal pasti lambang cangkuk yang tertera pada badan gadis itu sebagai lambang ajaran sesat pimpinan seorang Guru bernama Jannatul Adawiyah (Hasni Maulod). Jack mencuri masuk ajaran sesat yang mengamalkan agama sendiri dan percaya ketua mereka itu Tuhan. Rebecca pun ikut sekali walaupun ditegah Jack.
7 MMS 19 Oktober 2008 Jin dan Black mengunjungi kelab malam bersama-sama, tiga malam seminggu sehingga matahari terbit. Suatu malam, Jin yang dipengaruhi dadah cuba berpacaran dengan seorang gadis tetapi ditolak. Dengan rasa hampanya, Jin meluahkan hasratnya untuk mengajar gadis itu kepada Black. Pada hari kemudiannya, Black menerima kiriman MMS yang mengandungi rakaman gadis tadi tengah diseksa lalu dibunuh. MMS itu pun tersebar ke seluruh kota dan Dylan pergi menerjah kisah di sebalik MMS itu.
8 Lights, Camera, Action 26 Oktober 2008 Seorang pelakon terkenal terbunuh ketika menjalani penggambaran. Adakah ini sekadar kemalangan, atau pembunuhan yang dirancang dengan rapi sekali? Ramai sekali suspeknya dalam misteri ini: sutradara yang kebuntuan, budak props yang cemburu, pelakon wanita yang teresak-esak, dan sebagainya. Terpulang pada Rebecca dan Lulu untuk membongkar kisah benar di sebalik cereka ini.
Sementara di pejabat The Voice, Andrea selaku ketua penyunting tertekan menyiasat perihal iklan ceti haram tersiar dalam akhbar yang sudah mengakibatkan tragedi. Akhirnya, Andrea ditembak dari belakang di tempat letak kereta.
9 Taxi Driver 2 November 2008 Seorang pembunuh bersiri sedang berkeliaran. Seorang pemandu teksi (Sofi Jikan) yang ketakutan meminta bantuan Jack kerana pembunuh itu pernah mencuri teksinya ke tempat pembunuhan lalu menyuruhnya berdiam diri. Oleh kerana tidak mahu dianiaya kerana dikaitkan dengan pembunuhan, maka dia perlu memberitahu sesiapa sambil menggeruni pembunuh itu. Jack meminta pemandu itu mengekori pembunuh itu.
Andrea meninggal dunia akibat tembakan di belakang. Nerina pergi ke rumah seorang mangsa ceti haram lalu mendapati dia ada kena-mengena dengan pembunuhan Andrea. Sementara itu, Jack mendapati pemandu teksi itulah penyangak yang dicari-cari, rupa-rupanya dia mengalami masalah personaliti terbelah dua.
10 Gone Baby Gone 9 November 2008 Seorang kanak-kanak lelaki bernama Aiman diculik dari tapak bermain. Penculiknya mengugut agar diberi wang tebusan agar dia dikembalikan dengan selamat. Gara-gara tiada cara lain, ibu bapanya (Shamsul Cairil dan Hani Khausar) terpaksa memalsukan penyakit jantung bayi perempuan mereka semata-mata untuk memenuhi wang tebusan itu. Nerina berasa curiga melihat laporan mengenai mereka lalu hendak menyiasat. Dia bersama Rebecca mengikut jejak ibu bapa tersebut ke arah penculiknya yang rupa-rupanya bekas suri rumah di keluarga Aiman serta seorang rakan. Sementara itu, Jack sukar menyesuaikan dirinya dengan ketiadaan Andrea; dia diberi jawatan Pemangku Penyunting tetapi merasa dirinya seolah-olah tidak layak menerima jawatan itu.
11 Shufflers 16 November 2008 Pembunuhan Shark (Radin Ahmad Adrian), ketua penari geng Shufflers, menimbulkan persengektaan antara geng Shufflers dan geng Mat Rock. Dylan dan Nerina ditugaskan untuk menyiasat kes ini dan menemuramah ahli kedua-dua geng itu, serta seorang bapuk yang menyaksikan Shark menghembuskan nyawa terakhir dengan kesan calar di lehernya, di hadapan mata sendiri. Apabila didapati bahawa geng Mat Rock tidak bertanggungjawab terhadap kematian Shark (rupa-rupanya diracuni dadah oleh seorang yang mendakwa hidupnya dikacau Shark dan kegiatan Shufflers), Dylan lekas meredakan pergaduhan antara mereka.
Cerita ini diilhamkan oleh "laporan akhbar mengenai kemunculan gaya tarian baru yang menjadi ikutan golongan remaja,"[7] iaitu "Melbourne Shuffle" yang berasal dari Australia.
12 Sex, Lies and the Internet 23 November 2008 Seorang penyanyi nasheed masyhur bernama Nur Imani (Athirah Ahmad) yang dikenali kerana keimanan dan kesuciannya. Oleh itu, amat memeranjatkan apabila tersebarnya klip video dirinya bersetubuhan di Internet. Dia mengaku ini satu cubaan menganiaya dan menjatuhkan maruahnya. Tetapi munculnya satu lagi klip video, maka dia terpaksa mengaku hakikatnya. Di rumahnya disorokkan sebuah kamera kecil. Penyebaran video-video tersebut menyoroti jaringan seks, penipuan, ugutan dan pembunuhan yang rumit sekali.
Kisah ini diilhamkan dari kes Nasha Aziz diintip mat skodeng melalui kamera tersembunyi pada tahun 2002.[8]
13 The End of the Line 30 November 2008 Seorang ketua kongsi gelap antarabangsa bakal dihukum mati. Tiga orang konco-konconya tiba dari India untuk menyelamatkannya pada saat-saat akhir. Apabila rancangan pertama mereka gagal, mereka menculik Jack agar boleh mengugut pihak berkuasa menukarkan nyawanya dengan nyawa ketua mereka. Sementara itu, Rebeeca bertembung semula dengan bapa tirinya yang kejam.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Zack Yusof (2008-08-29). "Calling the shots" (dalam bahasa Inggeris). The Star. Dicapai 2008-09-08. 
  2. ^ "Rizal Johan". The Star. 2008-08-29. Dicapai 2008-09-08. 
  3. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (2008-09-03). "Frontpage papar dunia wartawan". Berita Harian. Dicapai 2008-09-08. 
  4. ^ Rizal Johan (2008-09-06). "Each FRONTPAGE episode based on actual news headlines". The Star. Dicapai 2008-09-08. 
  5. ^ "FRONTPAGE's fearless reporter". The Star. 2008-09-05. Dicapai 2008-09-08. 
  6. ^ N. Rama Lohan (2008-09-21). "Journalist with acting role in new TV series tells of similarities". The Star. Dicapai 2008-10-17. 
  7. ^ Shamala Velu (2008-11-24). "Dance of death". The Star. 
  8. ^ Sheela Chandran (2008-11-21). "Peeping Tom". The Star. Dicapai 2008-11-24. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]