GST (Malaysia)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari GST di Malaysia)
Jump to navigation Jump to search
Logo Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dengan slogan "Membangun dan Maju Bersama".

Cukai Barang dan Perkhidmatan (Bahasa Inggeris: Goods and Services Tax, GST) merupakan cukai nilai tambah dan cukai berdasarkan perbelanjaan di Malaysia.[1] GST mula berkuatkuasa pada 1 April 2015 dengan kadar piawai sebanyak 6 peratus.[2][3] Cukai Jualan (berkadar 10%) dan Cukai Perkhidmatan (berkadar 6%) dimansuhkan selepas berkuatkuasanya pengenalan cukai GST. Pengenalan cukai GST bertujuan untuk mereformasikan sistem percukaian negara, mempelbagaikan sumber pendapatan negara, dan meningkatkan kecekapan pungutan cukai.[4] Malaysia menjadi sebahagian daripada lebih 160 buah negara di dunia yang melaksanakan sistem cukai nilai tambah sebagai sebahagian daripada sumber pendapatan negara.[5][6][7]

Pengenalan GST[sunting | sunting sumber]

1980-an[sunting | sunting sumber]

Pada 1985, Daim Zainuddin selaku Menteri Kewangan telah memberi cadangan supaya cukai barang dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan di Malaysia.[8] Tujuan utama pengenalan cukai GST adalah untuk meluaskan sumber pendapatan negara. Setelah berbincang dalam mesyuarat kabinet, Perdana Menteri ketika itu iaitu Mahathir Mohamad tidak bersetuju dengan cadangan tersebut untuk diketengahkan. Dasar pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh Mahathir Mohamad lebih memberi keutamaan kepada dasar terlalu bergantung kepada hasil minyak petroleum, tanpa menyedari bahawa dasar yang terlalu bergantung pada petroleum hanyalah faedah yang dapat dinikmati untuk jangka masa pendek.[9]

2010-an[sunting | sunting sumber]

Semasa membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat pada 25 Oktober 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan GST sebanyak 6% bermula 1 April 2015. Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 telah dipersetujukan dan diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 April 2014. Bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 telah dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan pada 31 Mac 2014. Pada hari Khamis bertarikh 3 April 2014, bacaan kali kedua rang undang-undang ini dibahaskan bagi peringkat dasar. Hasil undi belah bahagian peringkat dasar yang dilakukan menunjukkan 118 undi bersetuju berbanding 81 undi tidak bersetuju supaya rang undang-undang ini dibacakan buat kali ketiga.[10][11][12][13] Rang undang-undang ini kemudian dibawa ke peringkat jawatankuasa untuk terbuka dibahas pada 7 April 2014, pada akhir perbahasan, suatu undi belah bahagian dilakukan. Hasil undi belah bahagian peringkat jawatankuasa mencatatkan 119 undi bersetuju berbanding 81 undi tidak bersetuju, rang undang-undang ini dipersetujukan di Dewan Rakyat. Beberapa minggu berikutnya, rang-undang-undang ini dibaca di Dewan Negara, terbuka untuk dibahas oleh Senator, dan dipersetujukan di Dewan Negara. Kedua-dua pihak merangkumi pihak penyokong kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian secara aktif dengan mengemukakan pelbagai pandangan sebelum rang undang-undang tersebut diluluskan. Melalui pelaksanaan GST ini, ia diharap dapat memberi banyak manfaat kepada orang ramai dan sedikit sebanyak membantu di dalam meningkatkan ekonomi negara.[14]

Maksud GST[sunting | sunting sumber]

GST merupakan cukai kepenggunaan berasaskan konsep nilai tambah dan cukai berperingkat. Pembayaran cukai dibuat di setiap peringkat oleh perantara dalam proses pengeluaran dan pengedaran. GST dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengilangan, pengeluaran, pengedaran, pembekalan, pemborongan, perniagaan, dan peruncitan dalam rantaian pembekalan termasuk pengimportan barang dan perkhidmatan. Cukai itu sendiri bukan merupakan suatu kos kepada perantara kerana mereka boleh menuntut kembali GST yang telah dikenakan ke atas input perniagaan mereka.

GST tidak meningkatkan kos perniagaan kerana ia adalah cukai kepenggunaan. Cuma akibat penambahbaikan sistem cukai ini berkemungkinan ada segelintir pengimport, pengilang, pengeluar, pengedar, pembekal, pemborong, peniaga, dan peruncit tidak terlepas dari pengisytiharan sumber, aliran dan pendapatan mereka yang selama ini ‘disorokkan’ dan mereka terpaksa membayarnya bila sistem percukaian GST dilaksanakan. Inilah dikatakan GST mampu mengelak ketirisan dan penyelewengan dalam perniagaan.[15][16]

Pelaksanaan GST merupakan salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menyusun semula sistem percukaian negara supaya ia lebih berkesan, saksama, efisien dan telus serta dapat mengatasi kelemahan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan seterusnya mampu mengesan serta mengekang perbuatan dan kelakuan seperti:-

Mensabotaj ekonomi
Segelintir pengimport, pengilang, pengeluar, pengedar, pembekal, pemborong, peniaga, dan peruncit tidak mengisytiharkan jumlah sebenar pendapatan bulanan dan tahunan mereka untuk mengelak cukai, memanipulasi penyata pendapatan, menyembunyikan sumber serta aliran kewangan syarikat.
Ada segelintir pengimport, pengilang, pengeluar, pengedar, pembekal, pemborong, peniaga, dan peruncit yang melakukan khianat dengan sengaja menyorok sesuatu barangan, memonopoli produk bagi membunuh persaingan pesaing, dan memanipulasi harga barang sesuka hati. Akibat perbuatan segelintir pengimport, pengilang, pengeluar, pengedar, pembekal, pemborong, peniaga, dan peruncit yang menjadi pengkhianat ekonomi ini, maka harga barang meningkat berkali ganda dan menjadi mahal. Kesannya hidup rakyat menjadi susah, tetapi para pengimport, pengilang, pengeluar, pengedar, pembekal, pemborong, peniaga, dan peruncit yang khianat ini semakin kaya memboroi.
Mengenakan cukai terselindung
Cukai jualan yang dibayar di peringkat pengilangan telah menjadi kos kepada pengedar, pembekal, pemborong, peniaga, dan peruncit, maka ianya telah diambilkira di dalam pengiraan margin keuntungan sesebuah syarikat.
Mengenakan cukai bertindih
Cukai bertindih di bawah sistem yang sama, iaitu sama ada di bawah cukai jualan atau di bawah cukai perkhidmatan.
Pengguna terpaksa membayar harga yang lebih mahal kerana cukai perkhidmatan yang dikenakan merupakan sebahagian daripada kos menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.
Cukai bertindih di bawah sistem cukai yang berlainan iaitu barang berkaitan dikenakan cukai jualan serta cukai perkhidmatan.
Pengguna terpaksa membayar harga yang lebih mahal kerana cukai jualan merupakan sebahagian daripada kos yang akan dimasukkan ke dalam harga jualan dan dikenakan cukai perkhidmatan apabila menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.
Mengenakan caj tersembunyi
Kadang kala cukai perkhidmatan turut dimasukkan ke dalam secara terselindung di dalam bil atau resit pengguna tanpa diketahui yang sebenarnya dikenakan caj perkhidmatan.

Jenis GST[sunting | sunting sumber]

Interpretasi[sunting | sunting sumber]

Pengguna akhir ialah orang terakhir dalam rantaian bekalan dan akan menanggung GST selaku titik terakhir dalam cukai runcit. Walau bagaimanapun, GST yang telah dibayar bagi pembelian barangan dan perkhidmatan boleh diimbangi dengan bayaran yang telah dibuat pihak-pihak sebelumnya dalam rantaian tersebut.
Rantaian pembekalan merangkumi pengimport, pengilang, pengeluar, pengedar, pembekal, pemborong, peniaga, dan peruncit.
Cukai input ialah cukai GST yang dikenakan apabila sesebuah entiti perniagaan membeli barangan dan perkhidmatan untuk dijual daripada mana-mana pihak.
Cukai output ialah cukai GST yang dikenakan apabila barangan dan perkhidmatan tersebut dijual kepada pengguna akhir.
Kredit cukai input ialah cukai input yang boleh dituntut semula oleh entiti perniagaan tersebut daripada kerajaan mengikut undang-undang. 



Pembekalan Berkadar Standard[sunting | sunting sumber]

Semua barangan dan perkhidmatan dikenakan cukai sebanyak 6% pada setiap peringkat di rantaian pembekalan melainkan barang dan perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai iaitu pembekalan berkadar sifar dan pembekalan yang dikecualikan. Kesemua pihak kecuali pengguna akhir layak menuntut kembali kredit cukai input jika ada dikenakan cukai input oleh mana-mana pihak semasa pembelian input. Pengguna akhir tidak layak menuntut semula kredit cukai input dan perlu menanggung beban cukai output berkadar standard iaitu 6%. Cukai ini dikutip oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan. Dana dari Kumpulan Wang Disatukan akan diagihkan dalam belanjawan tahunan lalu dilaburkan bagi hal-hal pembangunan dan kebajikan penduduk Malaysia.

Bagi barangan yang ingin dibawa keluar daripada negara Malaysia, mana-mana individu termasuk warganegara Malaysia, pemastautin tetap, pemastautin sementara, bukan warganegara, pendatang asing berpermit, dan pelancong asing layak untuk menuntut bayaran balik cukai output berkadar standard 6% di kaunter Skim Bayaran Balik Pelancongan (GST Refund Scheme for Tourist) dengan mengisi borang tuntutan bayaran balik GST bersama resit barangan yang menunjukkan bayaran GST yang sah telah dibuat di mana-mana lapangan terbang antarabangsa Malaysia dan pintu sempadan negara yang diperakui undang-undang.

Pembekalan Berkadar Sifar[sunting | sunting sumber]

Barangan dan perkhidmatan yang berada di bawah kategori ini akan dikenakan cukai sebanyak 0% pada setiap peringkat di rantaian pembekalan. Kesemua pihak kecuali pengguna akhir masih layak menuntut kembali kredit cukai input jika ada dikenakan cukai input oleh mana-mana pihak semasa pembelian input. Pengguna akhir tidak perlu menanggung beban cukai GST berkadar standard iaitu 6%.

Barangan dan perkhidmatan yang dieksport ke luar negara tidak dikenakan cukai sebanyak 6% sebaliknya dikenakan kadar 0%.

Pembekalan Dikecualikan[sunting | sunting sumber]

Barangan dan perkhidmatan yang berada di bawah kategori ini tidak dikenakan cukai dan tidak tertakluk kepada GST pada peringkat output. Beban cukai GST berkadar standard tidak akan dikenakan kepada pengguna akhir. Walau bagaimanapun, entiti perniagaan yang menjadi pengguna terakhir yang terlibat di dalam rantaian pembekalan tidak layak menuntut kembali kredit cukai input sekiranya ada dikenakan cukai input oleh mana-mana pihak ketika pembelian input.

Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014[sunting | sunting sumber]

Senarai Pembekalan Dikecualikan GST[sunting | sunting sumber]

Rujukan:[17]

  • Tanah yang digunakan bagi tujuan:
    • Bangunan keagamaan
    • Kediaman (tidak termasuk hotel, rumah penginapan, rumah tumpangan atau establismen yang serupa bagi pengembara)
    • Pertanian (tidak termasuk tanah yang digunakan bagi aktiviti memburu dan memancing)
    • Taman permainan
    • Tanah perkuburan
    • Tempat letak kereta
  • Logam-logam berharga seperti emas, perak, platinum
    • dalam bentuk bar, jongkong, atau wafer;
    • mempunyai ketulenan sekurang-kurangnya 99.5%; dan
    • memiliki ciri-ciri pelaburan
  • Syiling emas / syiling perak / syiling platinum (tidak termasuk proof coin, syiling numismatik, syiling pengumpul)
  • Kemudahan kewangan
    • Insurans nyawa
    • Kemudahan ansuran kredit
    • Operasi akaun bank (akaun semasa, akaun deposit simpanan, akaun pelaburan)
    • Pasaran pertukaran asing
  • Perkhidmatan pendidikan dan perkhidmatan berkaitan pendidikan
    • Kantin di prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah (kerajaan, bantuan kerajaan, dan swasta)
    • Latihan kemahiran
    • Pendidikan tinggi (awam dan swasta)
    • Prasekolah (swasta)
    • Sekolah swasta / Sekolah persendirian / Sekolah antarabangsa (rendah dan menengah)
    • Taman asuhan kanak-kanak (swasta)
  • Perkhidmatan jagaan kesihatan
    • Perkhidmatan jagaan kesihatan disediakan oleh mana-mana kemudahan jagaan kesihatan swasta berdaftar atau berlesen.
  • Perkhidmatan pengangkutan awam
    • Bas berlesen (tidak termasuk bas sewa)
    • Kapal atau vessel dilesenkan sebagai kapal penumpang (tidak termasuk bagi tujuan rekreasi atau keseronokan)
    • Pengangkutan rel berlesen
    • Teksi berlesen (tidak termasuk kereta sewa dan pandu)
  • Lebuh raya bertol
    • Pemberian apa-apa hak untuk menggunakan lebuh raya bertol di jalan awam.
  • Perkhidmatan pengebumian, perkuburan, dan pembakaran mayat
    • Apa-apa pembekalan perkhidmatan dalam suatu pakej berhubung dengan upacara dan penghormatan, pelupusan mayat, atau upacara peringatan.
  • Diesel
  • Petrol RON95

Senarai Pembekalan Berkadar Sifar[sunting | sunting sumber]

Rujukan: [18][19]

  • Binatang ternakan hidup meliputi babi, kambing, kerbau, lembu, seladang, selembu
  • Daging binatang ternakan segar dan sejuk beku termasuk bahagian dalaman
  • Ayam dan itik hidup
  • Daging ayam dan itik segar dan sejuk beku termasuk bahagian dalaman
  • Telur ayam dan itik termasuk segar dan masin
  • Semua jenis ikan hidup, segar, didinginkan (chilled), dan sejuk beku (kecuali ikan perhiasan)
  • Hidupan air lain yang hidup, segar, didinginkan (chilled), dan sejuk beku seperti krustasea (ketam, udang, udang kara), moluska (kepah, siput, sotong, tiram), dan lain-lain (gamat, obor-obor)
  • Ikan kering dan ikan masin termasuk ikan bilis (kecuali ikan salai)
  • Sayur-sayuran segar, sejuk beku, didinginkan (chilled) dan jeruk seperti tomato, terung, bawang, kobis, lobak, timun, kekacang, asparagus, cendawan, labu, keladi, ubi kayu, ubi keledek, ubi kentang,
  • Buah-buahan segar tempatan atau diimport
  • Rempah ratus seperti asam jawa, asam keping, cili kering, lada hitam, kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pala, halia
  • Kelapa termasuk kelapa parut
  • Padi dan beras termasuk beras pulut, beras basmathi, beras perang
  • Tepung gandum, tepung attar, tepung beras, tepung sagu, tepung ubi kayu, tepung pulut
  • Kacang dal
  • Gula pasir termasuk kasar dan halus
  • Garam termasuk kasar dan halus
  • Minyak masak kelapa sawit, minyak kelapa, minyak kacang tanah
  • Cencaluk, budu, belacan
  • Serbuk kopi, serbuk teh, serbuk koko
  • Bihun, laksa, mi kuning, kuetiau
  • Roti putih dan roti mil penuh
  • Susu bayi berumur antara 0 hingga 36 bulan
  • Semua jenis bahan bacaan dan surat khabar (surat khabar cetak mahupun surat khabar elektronik) termasuk buku kerja pelajar, novel, ensiklopedia, buku cerita, buku resepi, buku rujukan dalam semua bidang, buku teks, buku berkaitan agama, kitab-kitab agama, kamus, kecuali majalah serta buku yang bukanlah bahan bacaan seperti diari, buku tulis, buku log, buku simpan kira-kira (jurnal, lejar)
  • 4,215 ubat-ubatan dalam Senarai Ubat Penting Kebangsaan Kementerian Kesihatan[20]
  • Barang dan perkhidmatan yang dibekalkan dari Malaysia ke Kawasan Ditetapkan (Designated Area) seperti Labuan, Langkawi, Tioman
  • Bekalan air dirawat bagi 35 m3 pertama untuk kegunaan domestik
  • Bekalan elektrik bagi 300 kWh pertama untuk kegunaan domestik
  • Bekalan bahan mentah dan komponen di bawah Skim Pengilang Tol Diluluskan
  • Semua barang dan perkhidmatan yang dieksport sama ada melalui darat, pelabuhan, dan lapangan terbang
  • Perkhidmatan yang dilaksanakan di luar Malaysia
  • Perkhidmatan yang dibekalkan secara langsung yang berkaitan dengan tanah atau apa-apa pembaikan yang terletak di luar Malaysia
  • Perkhidmatan yang dibekalkan secara langsung berkaitan dengan barang yang dieksport
  • Perkhidmatan yang dibekalkan secara langsung berkaitan dengan barang yang dimilki oleh orang di luar Malaysia
  • Perkhidmatan pembaikan yang dijalankan di kawasan Zon Perdagangan Bebas
  • Barang yang dibekal dari Kawasan Utama Kastam ke kawasan yang ditentukan termasuk ke Zon Perdagangan Bebas yang terletak di luar pelabuhan dan lapangan terbang
  • Barang yang dibeli oleh peniaga asing tetapi dibekal di dalam negara di bawah Skim Pengilang Tol Diluluskan
  • Semua barang untuk tujuan kedai kapal (ship store)
  • Semua jenis barang bagi tujuan alat ganti atau peralatan yang digunakan dalam pelayaran dan penerbangan
  • Pengangkutan penumpang dengan menggunakan kapal atau kapal terbang (ke luar negara atau ke dalam negara negara termasuk peringkat domestik)
  • Pengangkutan barang dengan menggunakan kapal atau kapal terbang (ke luar atau ke dalam negara termasuk peringkat domestik)
  • Perkhidmatan sampingan (ancillary services) (termasuk punggah masuk, punggah keluar, insurans, dan penghantaran barang (freight forwarding))
  • Perkhidmatan yang disediakan di pelabuhan dan lapangan terbang seperti pemaliman (pilotage), penundaan (towage), klasifikasi pengukuran (surveying classification), pembaikan dan penyelenggaraan kapal, perundingan kapal (shipbroking) dan perkhidmatan pengurusan
  • Perkhidmatan telekomunikasi dan perayauan (roaming) yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan di Malaysia kepada kawasan di luar Malaysia
  • Perkhidmatan dan kemudahan yang dibekalkan oleh kelab, persatuan, kesatuan, persatuan professional kepada ahli mereka
  • Perkhidmatan yang disediakan oleh ejen Skim Bayar Balik Pelancong GST (GST Tourist Scheme Refund)

Pendaftaran GST[sunting | sunting sumber]

Sehingga 19 Mei 2015, sebanyak 377,452 atau 62% daripada 500,000 buah syarikat di Malaysia telah berdaftar dengan sistem GST. 55% daripada syarikat tersebut yang merupakan syarikat dengan hasil perolehan bercukai tahunan melebihi RM500,000 adalah diwajibkan untuk mendaftar sebelum 1 Mac 2015 atau akan menanggung risiko untuk disaman dan dipenjarakan, di samping tidak layak untuk menuntut kembali cukai input. 45% daripada syarikat yang telah berdaftar dengan sistem GST yang pula tergolong dalam kategori syarikat dengan hasil perolehan bercukai tahunan kurang daripada RM500,000 boleh memilih untuk mendaftar sebelum 1 Mac 2015 untuk menikmati kelebihan tertentu seperti kelayakan untuk menuntut kembali cukai input di samping meningkatkan kredibiliti perniagaan mereka.

Peniaga sederhana[sunting | sunting sumber]

Menurut Bank Negara Malaysia, peniaga sederhana adalah diertikan sebagai:

Industri pembuatan: Perniagaan dengan hasil perolehan daripada RM15 juta hingga kurang daripada RM50 juta atau pekerja tetap daripada 75 hingga kurang daripada 200 orang.

Industri perkhidmatan dan lain-lain: Perniagaan dengan hasil perolehan daripada RM3 juta hingga kurang daripada RM 20 juta atau pekerja tetap daripada 30 hingga kurang 75 orang.

Peniaga kecil[sunting | sunting sumber]

Menurut Bank Negara Malaysia, peniaga kecil adalah diertikan sebagai:

Industri pembuatan: Perniagaan dengan hasil perolehan daripada RM300,000 hingga kurang daripada RM15 juta atau pekerja tetap daripada 5 hingga kurang daripada 75 orang.

Industri perkhidmatan dan lain-lain: Perniagaan dengan hasil perolehan daripada RM300,000 hingga kurang daripada RM3 juta atau pekerja tetap daripada 5 hingga kurang daripada 30 orang.

Kesan GST[sunting | sunting sumber]

Negara[sunting | sunting sumber]

Dengan pelaksanaan GST, kerajaan menjangkakan pendapatan sebanyak RM23.1 bilion pada tahun 2015. Pendapatan ini akan dijana untuk menampung kos pembangunan negara sebanyak RM49.5 bilion yang akan disalurkan kepada pelaburan infrastruktur. Sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membaik pulih sistem kewangan, GST akan membantu kerajaan mencapai matlamat ekonomi negara. Pelaksanaan GST dapat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan kutipan cukai di samping mengurangkan kadar inflasi.

Pasaran gelap[sunting | sunting sumber]

Pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) merupakan satu daripada cara untuk membanteras kewujudan aktiviti pasaran gelap (black market). Di bawah CBP, hanya peniaga yang mempunyai rekod jualan dan pembelian yang dikemas kini sahaja layak untuk mendapat pelbagai kemudahan seperti menuntut cukai input dan membuat pinjaman bank. Jika sudah mendaftar CBP tetapi membeli daripada pasaran gelap, mereka bukan sahaja tidak layak menuntut apa-apa cukai input tetapi turut meningkatkan kos perniagaan. Di bawah CBP, transaksi semua jualan dan belian mestilah direkodkan dan penyimpanan invois dan resit sangat penting.

Hakikatnya, CBP membantu peniaga memperbaiki sistem rekod penjualan dan pembelian agar lebih efisien. Ini dapat memudahkan mereka mengenal pasti kos sebenar yang ditanggung dan keuntungan sebenar yang diperolehi.

Dakwaan CBP mengurangkan kuasa beli rakyat, adalah tidak benar kerana majoriti barang makanan asas dan perkhidmatan kritikal tidak dikenakan CBP. CBP yang ditetapkan hanya pada kadar enam peratus bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan yang kadar keseluruhan 16 peratus, adalah rendah.

Tambahan lagi, peniaga yang telah berdaftar di bawah CBP layak menuntut balik cukai input yang dibayar. Ini dapat mengurangkan kos dalam menjalankan perniagaan dan mengimbangi harga barang dan perkhidmatan di pasaran.

Pihak yang menentang sistem cukai ini secara tidak sedar bersubahat untuk melindungi pasaran gelap dan peniaga dan seluruh rantaian pembekalan yang penipu.

Industri[sunting | sunting sumber]

Di bawah sistem GST, segala cukai input boleh dituntut kembali berbanding sistem SST, sekaligus mengelakkan cukai berantai yang biasanya dikenakan di setiap peringkat perniagaan. Penurunan harga barang dan perkhidmatan sepatutnya dapat dinikmati oleh pengguna akhir apabila perniagaan dapat menuntut cukai input daripada kerajaan. Berbanding cukai SST, cukai GST tidak menjadi kos kepada perniagaan dan tidak menjejaskan margin keuntungan perniagaan. GST juga dapat mengurangkan kerenah birokrasi dan juga pakej cukai bantuan daripada kerajaan. Pihak kerajaan juga menjangkakan pembangunan pesat dalam sektor pelancongan dan sektor-sektor yang berkait dengannya, tambahan lagi para pelancong kini boleh menuntut balik GST apabila mereka ingin membawa keluar barang yang dibeli di Malaysia ketika berada di lapangan terbang Malaysia dan pintu sempadan Malaysia yang diperakui undang-undang.

Semasa pelaksanaan sistem SST, terdapat banyak masalah ketirisan dan penyelewengan yang berlaku di peringkat pengeluaran, pengimportan, pengedaran, pembekalan, peruncitan, dan perniagaan apabila berlaku cubaan mengelak daripada membayar cukai kepada negara. Namun demikian, dengan sistem GST yang lebih cekap, setiap entiti perniagaan di Malaysia tertakluk kepada undang-undang percukaian negara dan berdepan dengan hukuman undang-undang jika didapati cuba mensabotaj ekonomi negara. Cukai GST sebenarnya tidaklah membebankan pengguna akhir, kononnya ada dakwaan mengatakan purata rakyat biasa perlu membayar RM19 setiap hari, hasil daripada pengiraan RM39 billion (jangkaan perolehan GST negara pada tahun 2016) dibahagi kepada 31 juta penduduk Malaysia. Dakwaan tersebut membayangkan rakyat biasa itu mampu membeli barang pada harga lebih daripada RM570 setiap hari dan RM9480 setiap tahun sedangkan pendapatan bulanan mereka pun tidak mencapai lebih RM4,000 dan dikategorikan dalam golongan B40. Sebenarnya, entiti perniagaan yang menghadapi kejutan kerana semasa sistem SST dilaksanakan, mereka boleh mencipta helah untuk mengelak daripada membayar cukai, memanipulasi penyata pendapatan bagi tujuan memanipulasi jumlah cukai yang dibayar kepada negara, malah menaikkan harga barang pula kononnya kerana kenaikan harga minyak. Kini, semasa harga minyak sedang jatuh menjunam, entiti perniagaan menyalahkan pula sistem GST dengan mengadakan demonstrasi. Padahal, entiti perniagaan yang beroperasi di Malaysia tiada pilihan, tetapi patuh kepada undang-undang negara dan bertanggungjawab membayar cukai kepada negara.

Individu[sunting | sunting sumber]

Membayar cukai GST merupakan tanggungjawab seorang penduduk yang tinggal di bumi Malaysia. Cukai GST dikenakan pada kadar 6%, antara kadar cukai nilai tambah yang terendah di dunia. Walaupun pihak yang prejudis terhadap kebaikan sistem GST berhujah bahawa cukai GST bersifat regresif, tetapi cukai ini dikenakan mengikut perbelanjaan. Suka atau tidak suka, dalam mana-mana negara di dunia ini pun pasti mengenakan cukai terhadap rakyatnya. Persoalannya bagaimana dan ke mana cukai yang dikumpulkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan (Consolidated Fund) itu digunakan untuk kepentingan negara.

Bagi mereformasikan sistem percukaian di Malaysia, kerajaan Malaysia mengamalkan dasar kebajikan sosial dengan menyenaraikan lebih 900 barang dalam kategori cukai GST berkadar sifar, pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia kepada golongan berpendapatan rendah (B40), dan insentif pengurangan cukai pendapatan individu kepada golongan berpendapatan sederhana (M40). Walaupun begitu, golongan berpendapatan tinggi yang terdiri daripada 20% daripada populasi Malaysia dipertanggungjawabkan untuk membayar lebih banyak cukai pendapatan individu dan cukai maha kaya (super rich tax) sebagai pendapatan kepada negara.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Govt may impose GST at 4%: Husni". SinChew. 26 November 2009. Dicapai 26 February 2010. 
  2. ^ "GST Implementation Is To Place Malaysia At Par With Developed Countries, Says Ahmad Husni". Bernama. 19 February 2010. Dicapai 26 February 2010. 
  3. ^ "GST May Bring Down Other Forms Of Taxation, Says MIER". Bernama. 11 February 2010. Dicapai 26 February 2010. 
  4. ^ "Parliament: GST Bill tabled for first reading (Update)". TheStar Online. 16 December 2009. Diarkibkan daripada asal pada 21 June 2011. Dicapai 26 February 2010. 
  5. ^ "Finance minister: No second reading of GST Bill for now". Malaysian Insider. 14 March 2010. Diarkibkan daripada asal pada 16 March 2010. Dicapai 15 March 2010. 
  6. ^ "Pakatan flays government over GST delay". Malaysian Insider. 15 March 2010. Diarkibkan daripada asal pada 17 March 2010. Dicapai 15 March 2010. 
  7. ^ "Government defends GST delay, scoffs at PR's victory claims". Malaysian Insider. 15 March 2010. Diarkibkan daripada asal pada 22 March 2010. Dicapai 15 March 2010. 
  8. ^ "Agong congratulates Najib on job well done". themalaymailonline.com. Dicapai 11 November 2017. 
  9. ^ Creating awareness on GST is needed, says NGOs, by Azreen Hani. The Malay Mail, 15 March 2010
  10. ^ "Pakatan MPs give budget thumbs down, say it's nothing new | Free Malaysia Today". freemalaysiatoday.com. Dicapai 11 January 2015. 
  11. ^ "DPM: GST will boost the economy | Free Malaysia Today". freemalaysiatoday.com. Dicapai 11 January 2015. 
  12. ^ "Malaysia to introduce GST at 6% from April 2015 - SE Asia - The Straits Times". straitstimes.com. Dicapai 11 January 2015. 
  13. ^ "Essential items, services to be exempted from Malaysia's GST - SE Asia - The Straits Times". straitstimes.com. Dicapai 11 January 2015. 
  14. ^ Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (2014) diluluskan di Dewan Rakyat.
  15. ^ GST buat yang ingin tahu apa itu GST
  16. ^ Adakah GST haram di sisi Islam? Biar betik!
  17. ^ Perintah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014, Warta Kerajaan Persekutuan
  18. ^ Senarai Barang Bercukai dan Tidak Bercukai
  19. ^ Cukai GST - Majlis Keselamatan Negara
  20. ^ Senarai Ubat Penting Kebangsaan Kementerian Kesihatan yang Diluluskan oleh Menteri Kewangan di Bawah Butiran 2, Jadual Pertama, Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) 2014

Pautan luar[sunting | sunting sumber]