Gangguan bekalan elektrik Semenanjung Malaysia 1996

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Gangguan bekalan elektrik Semenanjung Malaysia 1996
Tarikh3 Ogos 1996; 27 tahun yang lalu (1996-08-03)
Masa5:17 petang Waktu Piawai Malaysia (WPM)
LokasiSemenanjung Malaysia
PenyebabKerosakan talian penghantaran berdekatan Stesen Janakuasa Sultan Ismail di Paka, Terengganu
HasilBekalan elektrik berjaya dipulihkan selepas gangguan selama 15 jam
Kematian
  • 4 (kanak-kanak, akibat kebakaran)
  • 3 (dewasa, akibat kemalangan jalan raya)

Gangguan bekalan elektrik Semenanjung Malaysia 1996 ialah satu peristiwa gangguan bekalan elektrik yang berlaku pada Sabtu, 3 Ogos 1996 jam 5:17 petang (WPM) dan mengakibatkan seluruh Semenanjung Malaysia bergelap selama lebih 12 jam.[1][2] Ia telah disifatkan sebagai antara gangguan bekalan elektrik paling terburuk dalam sejarah Malaysia,[3] dan juga insiden kedua selepas kejadian serupa yang berlaku pada 1992.[4]

Insiden[sunting | sunting sumber]

Kejadian ini berlaku pada 3 Ogos 1996, iaitu 6 tahun selepas Lembaga Letrik Negara (LLN) diswastakan sebagai sebuah syarikat dagangan awam, iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB).[2][5] Kejadian bekalan elektrik terputus di seluruh negara merupakan kali kedua selepas insiden serupa yang berlaku 4 tahun sebelumnya iaitu pada 29 September 1992.[6][4] Insiden ini dikatakan berpunca daripada kerosakan talian penghantaran berdekatan Stesen Janakuasa Sultan Ismail di Paka, Terengganu pada hari Sabtu jam 5.17 petang yang menyebabkan semua stesen jana kuasa di seluruh semenanjung gagal membekalkan kuasa elektrik.[2][7] Keadaan di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang pada ketika itu menjadi huru-hara, menyebabkan aktiviti harian orang ramai dan sistem lalu lintas tergendala.[6] Malah, lebih parah lagi apabila aktiviti komersial negara juga terjejas. Bekalan elektrik kembali pulih pada 4 Ogos 1996 jam 9:30 pagi selepas 15 jam terputus bekalan.[2][8][9] Syed Hidzam Osman, jurucakap Tenaga Nasional, berkata 95 peratus kuasa telah berjaya dipulihkan pada pagi Ahad.[10]

Kerugian yang ditanggung oleh pengilang pada hari tersebut sahaja dianggarkan berjumlah RM123 juta mengikut pengiraaan yang dilakukan oleh Persatuan Pekilang–Pekilang Malaysia (FMM).[2][6][11] TNB sendiri terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM13.6 juta dan RM10 juta tambahan bagi menampung kerosakan peralatan. Berikutan itu, kerajaan telah meluluskan lima penjana kuasa untuk menyertai perniagaan penjanaan elektrik bagi mengelakkan insiden serupa daripada berlaku lagi. Akibat kesan daripada peristiwa ini, saham utama TNB dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) jatuh mendadak dari 45 sen kepada RM9.75.[2][6][12][13]

Kesan dan akibat[sunting | sunting sumber]

Gangguan bekalan elektrik di seluruh Semenanjung Malaysia telah mengakibatkan pelbagai aktiviti, majlis dan acara yang dijadualkan akan berlangsung pada hari kejadian telah tertangguh.[1] Antara aktiviti yang terjejas akibat gangguan ialah:[6][1]

Perkhidmatan KTM Komuter dihentikan serta-merta akibat bekalan elektrik terputus dan koc keretapi elektrik terpaksa ditarik menggunakan keretapi berkuasa diesel, sementara Hospital Kuala Lumpur telah menggunakan alat penjana kuasa persendirian.[6] Berikutan kejadian itu, tiga kemalangan kecil dilaporkan berlaku dalam kesesakan jalan raya.[16] Ia telah dilaporkan bahawa operasi Pelabuhan Tanjung Bruas di Tanjung Kling, Melaka antara yang terjejas berikutan bekalan elektrik terputus.[17] Bagaimanapun, gangguan bekalan elektrik tidak menjejaskan operasi Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang walaupun dilaporkan berlaku kelewatan beberapa penerbangan.[18]

Susulan kejadian itu, TNB telah menjalankan kajian bersama Tokyo Electric Power Company (TEPCO) untuk membangunkan skim pulau terkawal untuk mengelakkan berlakunya keruntuhan sistem yang lengkap dengan memastikan kesinambungan bekalan ke Metropolitan Kuala Lumpur dan Koridor Raya Multimedia (MSC). Skim pemulauan pada asasnya akan menjadi "garis pertahanan terakhir" selepas semua langkah kecemasan biasa seperti penumpahan beban frekuensi rendah telah beroperasi.[19] Tenaga Nasional dilaporkan memohon maaf kepada orang ramai atas kesulitan yang disebabkan oleh gangguan bekalan elektrik pada Sabtu, dan berkata ia mengalu-alukan sebarang langkah Kerajaan untuk menjalankan siasatan.[20]

Pada 31 Disember 2019, 23 tahun selepas insiden ini, Stesen Janakuasa Sultan Ismail telah menamatkan operasinya secara rasmi selepas 33 tahun menyalur bekalan ke grid nasional.[21][22]

Kematian[sunting | sunting sumber]

Kegagalan kuasa elektrik turut membawa kepada kes kematian. 4 kanak-kanak (2 lelaki, 2 perempuan), iaitu dua beradik maut melecur apabila kebakaran rumah diakibatkan oleh lilin yang digunakan untuk menyalakan rumah mereka dalam satu kejadian di Perak Utara, Pegawai Operasi Bomba Ismail Yusoff berkata, sebaik pihak bomba menerima panggilan, tingkat atas rumah kayu dua tingkat itu terbakar.[23] Polis trafik melaporkan terdapat 236 kemalangan di seluruh negara. Sekurang-kurangnya 3 maut dalam kemalangan jalan raya.[10][24]

Maklum balas kerajaan[sunting | sunting sumber]

Perdana Menteri, Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mempertimbangkan kemungkinan Grid Nasional kedua dan pusat pengagihan elektrik terdesentralisasi bagi memastikan pemadaman di seluruh negara tidak berulang.[25] Beliau dalam pada masa yang sama berdukacita dengan kegagalan bekalan elektrik di seluruh semenanjung, sambil menambah bahawa Tenaga Nasional tidak mengambil iktibar daripada pengalaman sebelum ini untuk menambah baik pengurusan bekalan kuasa negara.[26][27] Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abu Hassan Omar mencadangkan TNB agar mewujudkan grid selari nasional bagi mengelak bekalan elektrik terputus di seluruh semenanjung.[28] Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi respon bahawa gangguan bekalan elektrik 15 jam di seluruh negara dianggap 'memalukan' bagi Malaysia dan tidak boleh dibiarkan berulang.[29] Beliau berkata walaupun terdapat lebihan bekalan kuasa di negara ini, akan tetapi, terdapat masalah dengan pengagihan dan penghantaran elektrik.[30] Menteri Tenaga, Telekom dan Pos Leo Moggie dilaporkan berkata beliau belum mengetahui punca gangguan bekalan elektrik dan memberi maklum balas: "Tunggu biar saya siasat dahulu,".[6] Beliau juga menambah bahawa kira-kira 5,760 megawatt kapasiti kuasa telah hilang. "Pada masa ini, kami tidak tahu apa puncanya.... Kebimbangan utama kami ialah cuba memulihkan kuasa," katanya.[10] Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rafidah Aziz berkata kerajaan menggesa Tenaga Nasional merangka garis panduan komprehensif untuk industri tempatan bagi membolehkan mereka mengelak kesan buruk akibat kegagalan kuasa negara.[31] Ketua Menteri Pulau Pinang, Koh Tsu Koon menggesa TNB agar meneliti beberapa jenis mekanisme untuk mengasingkan kesan kegagalan loji kuasa.[32]

Di dalam media[sunting | sunting sumber]

Peristiwa ini menjadi intipati dalam filem cereka sains XX Ray III (2019) arahan Aziz M. Osman. Dalam pembukaan cerita filem ini, zarah dari angkasa lepas telah mewujudkan lohong cacing dan mengakibatkan gangguan bekalan elektrik dengan menyerap tenaga dari Stesen Janakuasa Sultan Ismail.[33]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c "Gangguan bekalan jejas pelbagai urusan". Berita Minggu. 4 Ogos 1996. Dicapai pada 26 Mac 2021 – melalui KLiK.
  2. ^ a b c d e f Azma Lazim (3 Ogos 2021). "Imbas kembali 3 Ogos 1996, seluruh Semenanjung Malaysia 'black out'". Sinar Harian. Dicapai pada 25 Mac 2022.
  3. ^ "Major blackouts in Malaysia" [Peristiwa bekalan elektrik terputus di Malaysia] (dalam bahasa Inggeris). The Star Online. 14 Januari 2005. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Oktober 2012. Dicapai pada 7 April 2009.
  4. ^ a b "Major power failure cripples peninsula" [Kegagalan kuasa besar melumpuhkan semenanjung] (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. 4 Ogos 1996. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  5. ^ Kenny Lim (7 Ogos 1996). "The dark and lighter sides of a nation without electricity" [Sisi gelap dan terang negara tanpa elektrik] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  6. ^ a b c d e f g h i j "GANGGUAN BEKALAN ELEKTRIK MENYEBABKAN PELBAGAI URUSAN TERGENDALA" (PDF). Bernama. 3 Ogos 1996. Dicapai pada 25 Mac 2015.
  7. ^ "Faulty switchgear to blame for power failure: Minister" [Alat suis rosak punca kegagalan kuasa: Menteri] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 5 Ogos 1996. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  8. ^ "15 jam bergelap". Harian Metro. 5 Ogos 1996. Dicapai pada 26 Mac 2021 – melalui KLiK.
  9. ^ Kamarul Yunus (5 Ogos 1996). "Power fully restored 16 hours after blackout" [Bekalan elektrik dipulihkan 16 jam selepas pemadaman] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  10. ^ a b c "Malaysia falls into darkness" [Malaysia diselubungi kegelapan] (dalam bahasa Inggeris). UPI Archives. 4 Ogos 1996. Dicapai pada 26 Mac 2021.
  11. ^ Ramlan Said (7 Ogos 1996). "Manufacturers lost more than RM123m" [Pengilang kerugian lebih RM123 juta] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  12. ^ Lokman Mansor; Leela Barrock (6 Ogos 1996). "Tenaga shares dip as broader market firms" [Saham Tenaga [Nasional] merosot apabila firma pasaran yang lebih luas] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. Dicapai pada 26 Mac 2021 – melalui KLiK.
  13. ^ Douglas Appell (6 Ogos 1996). "HEARD IN ASIA Weekend Blackout Spells Trouble for Tenaga Power" [DIDENGAR DI ASIA Gangguan Bekalan Elektrik Hujung Minggu Mengganggu Kuasa Tenaga] (dalam bahasa Inggeris). The Wall Street Journal. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Mei 2009. Dicapai pada 7 April 2009.
  14. ^ S. Navalan (4 Ogos 1996). "Blackout frustrates Kedah, Sarawak fans" [Gangguan bekalan elektrik resahkan peminat Kedah, Sarawak] (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  15. ^ Roslen Fadzil (5 Ogos 1996). "Konsert meriah". Harian Metro. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK. Biarpun hampir seluruh Semenanjung bergelap akibat bekalan elektrik terputus malam kelmarin, konsert Grand Slam Unplugged yang dijadual berlangsung di Stadium Negara tetap diteruskan dengan meriah dan lancar dengan kehadiran kira-kira 10,000 peminat.
  16. ^ "Tiga kemalangan kecil berlaku". Berita Minggu. 4 Ogos 1996. Dicapai pada 26 Mac 2021 – melalui KLiK.
  17. ^ Norazmi Abdul Taib (5 Ogos 1996). "Pelabuhan Melaka rugi". Harian Metro. Dicapai pada 26 Mac 2021 – melalui KLiK.
  18. ^ "Operasi lapangan terbang kekal". Harian Metro. 5 Ogos 1996. Dicapai pada 26 Mac 2021 – melalui KLiK.
  19. ^ "Transmission System Development" [Pembangunan Sistem Pemindahan] (dalam bahasa Inggeris). ASEAN Centre for Energy. 9 Mei 2006. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Jun 2008. Dicapai pada 23 Mei 2009.
  20. ^ Alex Choong; Ramlan Said (7 Ogos 1996). "Tenaga apologises for blackout" [TNB mohon maaf atas kesulitan akibat bekalan elektrik terputus] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  21. ^ Mohd Azrone Sarabatin (1 Januari 2020). "Stesen Janaelektrik Sultan Ismail tamatkan operasi selepas 33 tahun". Berita Harian. Dicapai pada 27 Mac 2020.
  22. ^ "Stesen janaelektrik di Paka ditamatkan operasi". Bisnes HM. Harian Metro. 1 Januari 2020. Dicapai pada 27 Mac 2020.
  23. ^ "Four siblings die in blazing house" [Empat beradik maut rumah terbakar] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 5 Ogos 1996. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  24. ^ "Traffic chaos and rush to buy candles after blackout" [Kekecohan lalu lintas dan tergesa-gesa untuk membeli lilin selepas pemadaman] (dalam bahasa Inggeris). New Sunday Times. 4 Ogos 1996. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  25. ^ Ashraf Abdullah (8 Ogos 1996). "Government may consider having second national grid" [Kerajaan mungkin mempertimbang grid nasional kedua] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  26. ^ "Dr M: Blackout a national shame" [Dr M: Pemadaman memalukan negara] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 5 Ogos 1996. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  27. ^ Saiful Azhar Abdullah; Zubaidah Abu Bakar; Sharanjit Singh (5 Ogos 1996). "Dr M: I am embarrassed" [Dr M: Saya berasa malu] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  28. ^ "Tenaga should have national parallel grid: Abu Hassan" [Tenaga [Nasional] harus ada grid selari nasional: Abu Hassan] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 5 Ogos 1996. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  29. ^ "Blackout was 'embarrassment'" [Kegagalan bekalan elektrik 'memalukan'] (dalam bahasa Inggeris). The Irish Times. 5 Ogos 1996. Dicapai pada 26 Mac 2015.
  30. ^ "Excess supply but poor distribution system" [Lebihan bekalan tetapi sistem pengagihan yang lemah] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 5 Ogos 1996. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  31. ^ "Rafidah: Provide crisis manual for industries" [Rafidah: Sediakan manual krisis untuk industri] (dalam bahasa Inggeris). Business Times. 7 Ogos 1996. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  32. ^ "Koh: Incident has affected confidence of investors" [Koh: Insiden telah menjejaskan keyakinan pelabur] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 5 Ogos 1996. Dicapai pada 27 Mac 2021 – melalui KLiK.
  33. ^ Dennis Chua (27 Januari 2019). "Mission to save the planet" [Misi menyelamatkan planet] (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 26 Mac 2019 – melalui PressReader. ...The wormhole first appeared in August 1996 and resulted in a (real-life) nationwide blackout, by absorbing energy from the Sultan Ismail Power Station in Paka, Terengganu. [...Lohong cacing pertama kali muncul pada Ogos 1996 dan mengakibatkan kegagalan kuasa elektrik (kehidupan sebenar) di seluruh negara, dengan menyerap tenaga dari Stesen Janakuasa Sultan Ismail di Paka, Terengganu.]

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]