Gangguan fisiologi tumbuhan
Rencana ini
ialah rencana yatim, kerana tiada rencana yang lain mempunyai pautan ke laman ini. (Disember 2021) |
Gangguan fisiologi tumbuhan adalah disebabkan oleh keadaan faktor bukan daripada segi patologi seperti kurang cahaya, cuaca buruk, genang air, sebatian fitotoksik atau kekurangan nutrien, yang mempengaruhi fungsi sistem tumbuhan. Gangguan fisiologi berbeza daripada penyakit tumbuhan yang disebabkan oleh patogen, seperti virus atau kulat.[1] Gejala gangguan fisiologi kelihatan bagaikan penyakit tetapi mampu dicegah dengan mengubah keadaan persekitaran. Walau bagaimanapun, apabila tumbuhan mula menunjukkan gejala gangguan fisiologi, kemungkinan besar bahawa pertumbuhan atau hasil pada musim berkenaan akan kurang.
Diagnosis gangguan
[sunting | sunting sumber]Diagnosis penyebab gangguan fisiologi (atau penyakit) boleh menjadi sukar, namun terdapat banyak panduan di dalam jaringan yang mampu membantu. Contohnya: Pencegahan Dan Rawatan Penyakit Moko Pisang;[2] Abiotic plant disorders: Symptoms, signs and solutions;[1] Georgia Corn Diagnostic Guide;[3] Diagnosing Plant Problems (Kentucky);[4] dan Diagnosing Plant Problems (Virginia).[5]
Beberapa petua umum untuk mendiagnosis gangguan tumbuhan:
- Perhatikan di mana gejala mula-mula muncul pada tumbuhan — pada pucuk, daun matang atau keseluruhan tumbuhan?
- Perhatikan pola perubahan warna atau penguningan - adakah pada keseluruhan tumbuhan, di antara urat daun atau di pinggiran lamina? Sekiranya hanya urat yang kuning, kemungkinan kekurangan nutrien bukan masalahnya.
- Perhatikan pola perubahan secara umum berbanding dengan meneliti tumbuhan individu — adakah gejala tersebar dalam sejenis kumpulan tumbuhan yang tumbuh bersama-sama. Dalam kes kekurangan nutrien, semua tumbuhan sepatutnya terjejas dengan cara yang sama tetapi taburan gejala bergantung pada rawatan yang telah dilakukan kepada tanah sebelum itu.
- Analisis tanah, contohnya penentuan pH, mampu membantu mengesahkan gangguan fisiologi.
- Ambil kira keadaan terkini, seperti hujan lebat, masa kering, ibun, dsb., yang dapat membantu memastikan punca gangguan tumbuhan.
Luluhawa
[sunting | sunting sumber]Ibun dan angin hawa sejuk merupakan faktor utama menyebabkan kerosakan dalam tumbuhan tak lasak, namun tumbuhan lasak juga dapat mengalami kerosakan sekiranya pertumbuhan baru didedahkan kepada ibun keras sesudah suatu tempoh cuaca panas. Gejala lazimnya akan muncul semalaman, menjejaskan pelbagai jenis tumbuhan. Daun dan batang mungkin menjadi hitam, tunas serta bunga mungkin berubah warna atau semakin pudar warnanya, dan mekaran yang beribun kemungkinan tidak dapat menghasilkan buah. Banyak tumbuhan semusim, ataupun tumbuhan yang hidup di kawasan bebas ibun, boleh mengalami kerosakan ketika suhu udara menjunam ke bawah 40 darjah Fahrenheit (4 darjah Celsius). Tumbuhan tropika pula boleh mengalami kerosakan akibat cuaca sejuk apabila suhu adalah antara 42 hingga 48 °F (5 hingga 9 °C). Gejala termasuklah kelayuan puncak batang tumbuhan dan/atau daun, dan penghitaman atau pelembutan tisu tumbuhan.
Ibun atau kerosakan akibat cuaca sejuk mampu dielakkan dengan memastikan tumbuhan tak lasak mengeras secukupnya sebelum ditanam, dan penanaman tersebut tidak dilakukan terlalu awal dalam sesuatu musim sebelum risiko ibun berlalu. Elakkan menanam tumbuhan yang rentan di poket ibun, atau di kawasan yang menerima sinaran matahari pagi terlalu awal. Lindungi tunas dan mekaran muda menggunakan kain bulu hortikultur sekiranya ibun diramalkan. Angin timur yang sejuk dan mengeringkan juga mampu merencatkan pertumbuhan dengan teruk walaupun tanpa ibun. Oleh itu, perlindungan mencukupi atau penggunaan penampan angin adalah mustahak.
Kemarau boleh menyebabkan tumbuhan mengalami tegasan air dan melayu. Pengairan secukupnya diperlukan sewaktu tempoh yang panas dan kering. Daripada menyiram dengan kuantiti yang sedikit setiap hari, air sepatutnya disalurkan kepada akar sebanyak dua atau tiga kali seminggu ketika kemarau, lantas memastikan tanah basah sepenuhnya. Sungkup juga membantu memelihara kelembapan tanah dan menyejukkan akar.
Hujan lebat, terutamanya selepas tempoh kering berpanjangan, juga boleh menyebabkan akar terbelah, 'onion saddleback' (pembelahan di pangkalan tumbuhan), tomato terbelah dan kentang menjadi geronggang atau cacat. Penggunaan sungkup atau penambahan bahan organik seperti tanah daun, kompos atau baja yang sudah reput sepenuhnya kepada tanah dapat membantu bertindak sebagai 'penimbal' kepada perubahan persekitaran yang mendadak. Genang air mampu berlaku di tanah bersaliran buruk, terutamanya selepas hujan lebat. Tumbuhan boleh menjadi kuning dan terbantut, dan cenderung untuk terjejas akibat kemarau dan penyakit. Memperbaik penyaliran akan membantu mengurangkan masalah ini.
Hujan batu mampu menyebabkan kerosakan pada buah berkulit lembut, dan membolehkan reput perang (brown rot) atau kulat lain untuk menembusi tumbuhan itu. Tompokan atau garisan perang pada sebelah epal matang menjadi petunjuk kepada ribut hujan batu ketika musim bunga.
Tumbuhan yang terjejas dengan tekanan garam berkemampuan mengambil air daripada tanah, oleh sebab ketakseimbangan osmosis antara tanah dan tumbuhan.
Kekurangan nutrien
[sunting | sunting sumber]Pertumbuhan kurang baik dan berbagai-bagai gangguan contohnya perubahan warna daun (klorosis) mungkin disebabkan oleh kekurangan satu atau lebih nutrien tumbuhan. Pengambilan nutrient yang kurang baik oleh tumbuhan daripada tanah (atau medium penumbuhan lain) mungkin disebabkan kekurangan mutlak unsur terbabit dalam medium penumbuhan itu, ataupun disebabkan unsur tersebut wujud dalam bentuk yang tidak tersedia bagi tumbuhan.[6] Kes yang kedua mungkin berpunca daripada pH yang salah, kekurangan air, pertumbuhan akar yang kurang baik ataupun nutrien lain yang berlebihan.[6] Keadaan kekurangan nutrien tumbuhan boleh dielakkan atau dibetulkan menggunakan pelbagai pendekatan termasuklah perundingan dengan pakar di tapak, penggunaan perkhidmatan ujian tanah dan tisu tumbuhan, penggunaan baja campuran preskripsi, penggunaan bahan organik baru atau yang telah terurai dengan sempurna, dan penggunaan sistem biologi seperti tanaman penutup, penanaman selingan, memperbaik tanah yang dibiarkan,[7] penanaman lei, permakultur, atau penggiliran tanaman.
Kekurangan nutrien (atau mineral) termasuk:
- Kekurangan boron
- Kekurangan kalsium
- Kekurangan zat besi
- Kekurangan magnesium
- Kekurangan mangan
- Kekurangan molibdenum
- Kekurangan nitrogen
- Kekurangan fosforus
- Kekurangan kalium
- Kekurangan zink
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b Schutzki, R.E.; Cregg, B. (2007). "Abiotic plant disorders: Symptoms, signs and solutions. A diagnostic guide to problem solving" (PDF). Michigan State University Department of Horticulture. Michigan State University. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 24 September 2015. Dicapai pada 10 April 2015. Unknown parameter
|dead-url=
ignored (bantuan) - ^ https://people.utm.my/niknizam/2013/09/28/pencegahan-dan-rawatan-penyakit-moko-pisang/
- ^ Lee, R.D. (2012). "Georgia Corn Diagnostic Guide". extension.uga.edu. University of Georgia Cooperative Extension. Dicapai pada 10 April 2015.
- ^ Green, J.L.; Maloy, O.; Capizzi, J.; Hartman, J.; Townsend, L. (2011). "Diagnosing Plant Problems: Kentucky Master Gardener Manual Chapter 7" (PDF). www2.ca.uky.edu. Kentucky Cooperative Extension. Dicapai pada 10 April 2015.
- ^ Niemiera, A.X. (2009). "Diagnosing Plant Problems". pubs.ext.vt.edu. Virginia Cooperative Extension. Dicapai pada 10 April 2015.
- ^ a b Mengel, K; Kirkby, E. A. (2001). Principles of plant nutrition (ed. 5th). Dordrecht: Kluwer Academic Publishers. ISBN 079237150X.
- ^ "Improved fallows". FAO. 10 April 2015. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-11-13. Dicapai pada 14 Februari 2019. Unknown parameter
|dead-url=
ignored (bantuan)