Gangster (filem 2005)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Gangster (filem))
Gangster
Poster keluaran tayangan
PengarahBade Hj. Azmi
PenulisBade Hj. Azmi
Lakon layarBade Hj. Azmi
Dihasilkan olehGayatri Su-Lin Pillai (eksekutif)
Dibintangi
SinematografiRaja Mukhriz
Disunting olehS. Rakesh
Muzik olehAzman Abu Hassan
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehAstro Shaw
Tarikh tayangan
  • 13 Januari 2005 (2005-01-13) (Malaysia)
[1]
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM2 juta
Pecah panggungRM2.8 juta[2]

Gangster ialah sebuah filem aksi Malaysia 2005 arahan dan skrip oleh Bade Hj. Azmi,[3][4] dibintangi oleh Rosyam Nor yang memegang tiga watak berlainan iaitu Rosli, Nala dan Legau. Barisan pelakon lain terdiri daripada Umie Aida, Siti Elizad, Hasnul Rahmat, Ako Mustapha, Aqasha, Adlin Aman Ramlie dan Saiful Apek. Plot filem ini merupakan gabungan tiga cerita dalam satu filem yang mana ketiga-tiga cerita akhirnya dipautkan pada penghujung filem. Cerita pertama ialah mengenai skim cepat kaya dan seorang pemberi pinjaman, yang kedua ialah tentang pengedar dadah, dan yang ketiga ialah mengenai perlumbaan haram. Sebanyak empat adegan telah ditapis kerana tidak diluluskan untuk tayangan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF). Filem ini ditayangkan pada 13 Januari 2005 dan menerima ulasan positif.[5][6][7]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Cerita ini mengisahkan beberapa perwatakan manusia dengan kisah dan konflik yang berbeza, di mana mereka ini terdesak dengan permainan kehidupan di bandar. Rosli merupakan seorang peniaga warung makan bersama isterinya Dewi. Kisah bermula apabila Rosli mengenali Hamzah yang merupakan seorang agen skim cepat kaya. Hasil pujukan Hamzah dan keyakinan Rosli terhadap skim tersebut telah mempengaruhinya untuk turut serta. Namun disebabkan kekurangan modal untuk melabur dalam skim tersebut, dia telah mengambil keputusan untuk meminjam duit daripada kumpulan ceti haram. Walau bagaimanapun, apa yang diimpikan olehnya hanya tinggal impian apabila dia mendapati dia ditipu. Masalah menjadi lebih rumit apabila kumpulan ceti haram tidak dapat menagih pinjaman yang diberikan.

Akibatnya mereka telah menculik anak dan isteri Rosli. Di satu sudut kehidupan yang lain, seorang anak muda yang terlalu taksub dengan kehidupan remaja kota telah menghancurkan masa depannya sendiri tanpa disedari. Rizal merupakan seorang remaja yang tenjerumus dalam kancah perlumbaan kereta haram. Perlumbaan menjadi hebat apabila dia bertemu dengan seorang pelumba haram yang handal iaitu Legau. Perasaan ingin mengatasi antara satu sama lain telah menyebabkan kemalangan jiwa yang mengorbankan nyawa-nyawa tidak berdosa. Sufi dan Ria pula merupakan mangsa daripada manusia-manusia yang suka mengambil kesempatan untuk mendapatkan kemewahan dengan cara yang mudah.

Ria telah terjerumus ke dalam sindiket penjualan pil khayal yang diketuai oleh kekasihnya sendiri, Nala. Ketika perasaan Ria begitu memberontak, dia telah mengenali Sufi, seorang pelayan di kelab malam tempat dia bekerja. Sufi merupakan seorang anak muda yang terpengaruh dengan najis dadah. Perhubungan mereka menjadi rapat sehingga Sufi mengambil keputusan untuk membantu Ria melarikan diri dari cengkaman Nala.

Dapatkah Rosli menyelamatkan isteri dan anaknya? Mampukah Rizal menandingi kehandalan Legau? Berjayakah Sufi untuk menyelamatkan Ria? Apakah kesudahan perjalanan kehidupan mereka? Saksikanlah kesudahannya di dalam Gangster dimana kejahatan bukanlah jalan hidup yang diredai.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Gangster diarahkan oleh Bade Hj. Azmi dan merupakan filem ketiga arahannya bersama Tayangan Unggul selepas KL Menjerit (2002) dan Berlari Ke Langit (2004). Beliau turut berkhidmat sebagai penulis skrip dan pengarang cerita asal. Untuk filem ini, Bade memilih untuk mengetengahkan isu-isu sosial seperti dadah, lumba haram dan ceti haram sebagai plotnya,[13][14] sambil menegaskan bahawa gengster di Malaysia amat berbeza dengan gangster di Amerika.[15][16]

Rosyam Nor yang sebelum ini berlakon dalam dua filem arahan Bade, memegang 3 watak sekaligus — Rosli, seorang peniaga warung; Legau, seorang pelumba kereta dan Nala, seorang ketua samseng. Nama watak Legau sebenarnya ialah nama panggilan untuk Rosyam di kalangan ahli keluarganya, manakala Nala dan Rosli ialah nama milik abang kandungnya.[17][18][19] Rosyam mengakui melakonkan tiga watak dalam filem ini dianggap satu pencapaian peribadi buatnya sepanjang kerjaya lakonannya.[18] Gangster menandakan kali kedua beliau melakonkan lebih dari satu watak selepas melakonkan dua watak dalam filem MX3 (2003) arahan Yusof Kelana.[18] Siti Elizad, yang sebelum ini berlakon dalam filem Berlari Ke Langit arahan Bade, memegang watak sebagai Ria, teman wanita Nala yang terjerumus dalam kancah dadah.[20] Elizad berkata, beliau tidak menghadapi masalah untuk menari namun untuk memastikan dirinya dalam keadaan khayal angkara pil ekstasi, beliau mendapatkan pandangan orang lain. Beliau mengakui tidak menghadapi sebarang masalah untuk membawa watak Ria kerana wataknya ada persamaan dengan dirinya yang bebas dan mudah berkawan dengan sesiapa sahaja.[21]

Bekas peserta Akademi Fantasia musim pertama, Nana Mahazan memegang watak sebagai Elly, seorang gadis yang telah rosak akhlak dan sering berkunjung ke kelab malam. Nana mendedahkan pernah bekerja di kelab malam yang terbabit dengan pengedaran pil ekstasi sebelum menyertai AF. Gangster ialah percubaan sulung beliau dalam bidang lakonan.[22][23] Hasnul Rahmat memegang watak sebagai Sufi, seorang pelayan kelab malam tempat Ria bekerja. Gangster ialah filem ketiga Hasnul di bawah arahan Bade selepas KL Menjerit dan Berlari Ke Langit.[24] Barisan pelakon lain termasuk Umie Aida, Ako Mustapha, Adlin Aman Ramlie, Aqasha dan Saiful Apek. Kos pembikinan dan promosi dilaporkan mencecah sebanyak RM2 juta dengan penggambaran dijalankan dari November 2003 sehingga Januari 2004 di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang.[25]

Keluaran dan sambutan[sunting | sunting sumber]

Gangster telah mendapat lampu hijau daripada Syarat Wajib Tayang, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS)[26] dan ditayangkan di pawagam pada 13 Januari 2005.[27][5][28][29] Filem ini menjadi kejayaan komersial apabila ia berjaya meraih kutipan pecah panggung sebanyak RM1.5 juta untuk tempoh enam hari tayangan,[5] dan meningkat kepada RM2.2 juta dalam tempoh 3 minggu tayangan.[30][31] Filem ini juga berjaya menjuarai senarai carta filem pecah panggung selama 4 minggu berturut-turut.[32]

Filem ini menerima pelbagai ulasan positif daripada pengkritik filem. Rudy Imran Shamsudin dari Harian Metro dan Suzan Ahmad dari Berita Minggu, masing-masing memuji jalan cerita dan persembahan barisan pelakon filem ini secara keseluruhan. Rudy Imran menulis bahawa jalan cerita Gangster disusun rapi,[33] Suzan pula berpendapat bahawa filem ini menyoroti kepincangan masyarakat dan permasalahan sosial yang diketengahkan.[34] Zubir Mohd Yunus, juga dari Berita Minggu pula menulis: "Kombinasi Hollywood dan Hong Kong kemas digarap pengarahnya Bade Azmi supaya sesuai dengan budaya Malaysia".[10]

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan
2005 Festival Filem Malaysia ke-18 Filem Terbaik Gangster Tercalon
Pengarah Terbaik Bade Hj. Azmi Tercalon
Lakon Layar Terbaik Tercalon
Cerita Asal Terbaik Tercalon
Sinematografi Terbaik Raja Mukhriz Tercalon
Penyunting Terbaik S. Rakesh Menang
Skor Muzik Asal Terbaik Shamril Salleh Tercalon
Penata Seni Terbaik Azwan Aziz Tercalon
Penata Bunyi Terbaik Azman Abu Hassan Menang
Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Nurlisa Tercalon

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g h i j k l m n o p "Catatan penerbitan Gangster". Filemkita.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Jun 2008. Dicapai pada 7 Februari 2013.
  2. ^ Silvia Wong (19 Januari 2006). "Malaysian box office reaches record high" (dalam bahasa Inggeris). Screen Daily. Dicapai pada 5 Julai 2018.
  3. ^ Abie Abdullah (16 Januari 2005). "Gangster sarat cerita, mesej". Harian Metro. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  4. ^ "Bade mampu pikat penonton bukan Melayu". Berita Harian. 17 Januari 2005. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  5. ^ a b c Zubir Mohd Yunus (23 Januari 2005). "Gangster kuasai litar lumba". Berita Minggu. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  6. ^ Suraiya Mohd Nor (7 Januari 2005). "Gangster mahu amuk di pawagam". Berita Harian. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  7. ^ Izza Safinaz Ibrahim (8 Januari 2005). "Pawagam mula diserang Gangster". Berita Harian. Dicapai pada 14 Jun 2021.
  8. ^ Hanisah Selamat (18 Disember 2004). "Umie serik suami kaki judi". Berita Harian. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  9. ^ Zul Husni Abdul Hamid (5 Januari 2004). "Lakonan ubat duka Pushpa Narayan". Berita Harian. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  10. ^ a b c Zubir Mohd Yunus (16 Januari 2005). "Nana & Ejad tak mahu lepas laku!". Berita Minggu. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  11. ^ Norhadiani Baharom (18 Disember 2004). "Aqasha bukti kemampuan". Harian Metro. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  12. ^ Akmal Abdullah (25 Oktober 2004). "Zack Taipan bosan bawa watak jahat". Berita Harian. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  13. ^ Zul Husni Abdul Hamid (15 November 2003). "Gangster kupas persoalan sosial masyarakat". Berita Harian. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  14. ^ Ellyna Ali (17 November 2003). "Bade angkat isu semasa". Harian Metro. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  15. ^ Meor Shariman (29 Januari 2004). "The Gangster of KL" (dalam bahasa Inggeris). The Malay Mail. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  16. ^ Khairull Azleyana Isyak (12 November 2003). "Gangster Malaysia, Hollywood berbeza". Berita Harian. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  17. ^ Zul Husni Abdul Hamid (18 November 2003). "Rosyam janji yang terbaik untuk Gangster". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 November 2003. Dicapai pada 14 Januari 2013.
  18. ^ a b c Ellyna Ali (15 November 2003). "Rosyam bawa tiga watak gangster". Harian Metro. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  19. ^ "Gangster - Keras, pantas dan menghiburkan". Utusan Malaysia. 18 Januari 2005. Diarkibkan daripada yang asal pada 21 Jun 2018. Dicapai pada 29 Mei 2018.
  20. ^ Ramlah Zainal (3 Julai 2004). "Tekad Elizad". Harian Metro. Dicapai pada 13 Januari 2021.
  21. ^ Khadijah Ibrahim (7 Disember 2004). "Siti Elizad - Ketagih ekstasi kerana kawan". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Februari 2018. Dicapai pada 26 Februari 2015.
  22. ^ Khairull Azleyana Ishak (20 November 2003). "Nana jadi pengedar dalam Gangster". Berita Harian. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  23. ^ Zubir Mohd Yunus (20 November 2003). "Nana tak gentar tempias Gangster". Berita Minggu. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  24. ^ Ellyna Ali (7 November 2003). "Hasnul jadi pelayan kelab malam". Harian Metro. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  25. ^ Ellyna Ali (4 Januari 2004). "Bade sibuk kerana Gangster". Metro Ahad. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  26. ^ Abie Abdullah (17 November 2004). "Gangster dapat lampu hijau". Harian Metro. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  27. ^ "Gangster filem pertama ditayang 2005". Berita Harian. 1 Disember 2004. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  28. ^ Akmal Abdullah (17 Januari 2005). "Gangster terima kejutan penonton". Berita Harian. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  29. ^ Akmal Abdullah (13 Januari 2005). "Antara Bade, filem Gangster?". Berita Harian. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  30. ^ Ellyna Ali (26 Januari 2005). "Gangster kutip RM2.2 juta". Harian Metro. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  31. ^ Hafidah Samat (11 Januari 2006). "'Gangster' is No.1" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  32. ^ Suraiya Mohd Nor (21 Januari 2005). "Rosyam kalahkan Chow". Berita Harian. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  33. ^ Rudy Imran Shamsudin (14 Januari 2005). "Jalan cerita Gangster tersusun". Harian Metro. Dicapai pada 14 Januari 2021.
  34. ^ Suzan Ahmad (16 Januari 2005). "Gangster sorot kepincangan masyarakat". Berita Minggu. Dicapai pada 14 Januari 2021.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]