Garis masa kempen penaklukan Jepun di Tanah Melayu (Januari 1942)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Sambungan dari Garis Masa Kempen Penaklukan Jepun Di Tanah Melayu

1 Januari 1942

Kampar
'Tentera Jepun menggunakan askar-askar yang cukup berehat untuk melancarkan serangan baru ke arah perimeter pertahanan yang dikawal oleh Batalion British pada jam 7.00 p.m. Pertempuran sengit meletus dan berterusan, kadangkala menjadi cukup celaru. Tentera Jepun mempunyai kelebihan serangan bantuan rapat daripada pesawat-pesawat udara. Mereka juga mempunyai bantuan kereta kebal untuk menguatkan serangan mereka. Sekali lagi, bentuk rupa bumi dan juga penggunaan bedilan artileri yang tepat membolehkan pasukan British mempertahankan kedudukan mereka. Askar Jepun diserang dengan tembakan artileri semasa mereka berada di tanah lapang dan menyebabkan banyak korban.
Pasukan Argyll juga dapat mematahkan serangan demi serangan dari askar-askar Jepun. Menjelang malam, pertahanan Kampar masih dalam kawalan Tentera British.

2 Januari 1942

Meriam 2 Pounder digunakan untuk memusnahkan kereta kebal Jepun
Kampar
Hari keempat pertempuran melihatkan percubaan kegila-gilaan oleh Tentera Jepun untuk menawan kedudukan-kedudukan yang dipertahankan oleh Batalion British, tetapi percubaan ini sia-sia.
Sebuah Kompeni askar Sikh batalion 1/18 Rejimen Punjab menangkis serangan hebat askar-askar Jepun dengan cara membuat serbuan bayonet dengan bantuan dari tembakan meriam mortar dan tembakan mesingan . Hanya 30 orang anggota Kompeni askar Sikh itu terselamat tetapi kedudukan itu dapat dipertahankan.
Tetapi maklumat yang diterima oleh pemerintah pasukan British daripada Changkat Jong memberitahu bahawa Jepun sedang mengancam laluan utama bekalan (Main Supply Route) dari arah selatan diancam oleh Tentera Jepun. Ini bermakna Tentera British perlu meninggalkan Kampar dan meninggalkan perkubuan-perkubuan yang telah menahan kemaraan Tentera Jepun selama 4 hari yang lepas. Menjelang tengah malam, pasukan British mula berundur ke kedudukan di belah selatan. Pasukan artileri British membuat bedilan hebat untuk menyembunyikan pengunduran askar-askar British.
Bedilan meriam ini disalah sangka oleh panglima-panglima Jepun yang menyangkakan bedilan meriam itu adalah selingan dan persiapan untuk suatu serangan balas oleh Tentera British. Selepas beberapa hari bertempur secara berterusan, Panglima Tentera Jepun buat pertama kali mempertimbangkan sama ada perlu untuk mereka berundur ataupun tidak memandangkan bilangan korban yang tinggi dialami oleh unit-unit tempur mereka. Kelegaan terasa apabila mereka mendapati bedilan itu sebenarnya helah British untuk mengaburi mata pihak Jepun mengenai pengunduran oleh Tentera British mulai tengah malam.
'Singapura
Jen. Percival pulang ke Singapura dan disambut dengan berita bahawa Jepun telah membuat serangan dari arah laut di Kuala Selangor, 45 di selatan Sungai Bernam dengan menggunakan baj pendaratan (kebanyakan baj ini ditawan oleh pihak Jepun semasa menawan Pulau Pinang). Kuala Selangor hanyalah 60 batu jauhnya dari Kuala Lumpur, ibu negara Semenanjung Tanah Melayu dan Markas Gerakan III Kor India
Ipoh
Jen. Yamashita memindahkan markas medannya dari Taiping ke Ipoh

3 Januari 1942

Singapura
Kumpulan pertama askar-askar bantuan yang dijanjikan kepada Percival mulai tiba di Singapura, dikumpulkan di sekitar Grup 45 Briged Infantri India. Malangnya, briged ini sebenarnya baru sahaja ditubuhkan dan anggotanya terdiri daripada askar-askar yang baru masuk tentera dan masih belum tamat latihan ketenteraan sepenuhnya.
Di Fort Canning, Percival dan perancang-perancangnya mula mencurigai keupayaan pihak British mempertahankan kedudukan di Kuala Kubu Baru khususnya dengan pengesahan bahawa satu pasukan Jepun telah mendarat di Sungai Bernam dari arah laut. Penggunaan jalan laut oleh pihak Jepun untuk melangkau barisan pertahanan Tentera British membawa dimensi baru kepada strategi keseluruhan pertahanan Tanah Melayu. Percival membuat keputusan untuk meninggalkan bandar Kuantan. Askar-askar di Kuantan diarahkan berundur ke Maran di cabang jalan ke Jerantut.
Maran
Pasukan Jepun melancarkan serangan hebat ke atas pasukan barisan belakang (rearguard) yang melindungi pengunduran. Tentera Jepun berjaya membuat serang hendap ke atas Batalion 2/12 Rejimen Frontier Force; hanya 40 orang sahaja terselamat dari pasukan tersebut. Pegawai pemerintah batalion tersebut Lt. Kol. A. B. Cumming dianugerahkan pingat Victoria Cross kerana keberanian yang ditunjukkan semasa pertempuran.

4 Januari 1942

Askar Jurutera British memasangkan bahan letupan untuk memusnahkan jambatan untuk melengahkan kemaraan Askar Jepun
Kampar
Askar-askar British berundur ke kedudukan pertahanan yang disediakan oleh 12 Briged di Slim River. Kedudukan di Slim River dikuatkan lagi dengan ketibaan unit-unit yang berundur dari Kampar, dan juga oleh unit-unit yang berundur dari pertempuran di Telok Anson dan Sungai Bernam.
Askar Jurutera British memasangkan bahan letupan untuk memusnahkan jambatan yang menuju ke Slim River dan juga memasang medan ranjau periuk api di laluan yang digunakan sebagai ikhtiar untuk melengahkan kemaraan Detasmen Ando (42 Rejimen Infantri pimpinan Kolonel Tadao Ando) dan Detasmen Okabe (41 Rejimen Infantri pimpinan Kolonel Kanichi Okabe).
Selangor
Tentera Jepun mara ke arah timur menyusuri tebing sebelah utara Sungai Selangor, mereka bertembung dan bertempur dengan satu detasmen askar dari Briged 6/15 di sebuah jambatan penting di Batang Berjuntai.
Lt. Jen. Percival meminta Tentera Laut Diraja (Royal Navy) untuk memintas baj dan bot pendarat Jepun dengan menggunakan kapal-kapal kecil. Tentera Laut Diraja menghantar sekumpulan Bot Torpedo (motor torpedo boat) untuk menyerang pasukan pendaratan Jepun tetapi sebaliknya kumpulan Bot Torpedo Tentera Laut Diraja diserang oleh pesawat udara Jepun dan kesemua bot torpedo itu ditenggelamkan.
Oleh kerana Tentera Udara Diraja British sudah tiada sengat lagi (kadar kehilangan pesawat Brewster Buffalo terlalu tinggi dan tiada pesawat gantian dihantar ke Tanah Melayu), pesawat-pesawat Zero dan pesawat Oscar menguasai ruang udara, dan menjalankan misi pengeboman dan menyerang dengan tembakan ke atas kedudukan askar-askar British tanpa diberikan apa-apa tentangan melainkan dengan tembakan senjata ringan.
Pegawai Pemerintah Batalion 5/2nd Punjab dari 12 Briged menulis : "Anggota batalion ini terlalu letih .. pegawai-pegawai tidak dapat tidur langsung. Batalion ini telah berundur sejauh 176 batu dalam masa tiga minggu dan hanya dapat berehat selama 3 hari sahaja. Dalam mas itu, batalion mengalami korban perang seramai 250 orang, kebanyakannya terbunuh. Semangat juang anggota-anggota batalion sudah rendah dan batalion ini sekadar 50% tahap efisien tempur.

5 Januari 1942

Segamat
Lt. Jen. Percival, Heath, Mej. Jen. Bennett dan pegawai-pegawai kanan Markas masing-masing mengadakan perjumpaan di rumah perburuan Sultan Johor di Segamat untuk membincangkan ulasan berkritis mengenai strategi medan perang mereka.
Lt. Jen. Percival menjangkakan ketibaan askar-askar bantuan dan membuat satu perancangan strategi yang baru melibatkan pengunduran ke satu barisan pertahanan menggunakan satu garisan khayalan yang menghubungkan Mersing dengan Segamat dan ke Muar.
Selangor
Tentera Jepun terus melangkau kedudukan Tentera British menggunakan pergerakan dengan jalan laut. Tentera Jepun menyerang 4/19 Hyderabad dan menyebabkan 60 orang askar dari batalion itu terbunuh. Mereka menyerang lagi pada waktu malam, dan selepas waktu tengah malam, berjaya melepasi barisan pertahanan dengan bantuan bedilan meriam dari pasukan artileri Jepun.
HMAS Vampire menjalankan tugasan mengiring konvoi kapal-kapal dagang melalui Terusan Sunda dan Terusan Banka.

6 Januari 1942

Archibald Wavell yang baru dilantik menjadi Panglima Tertinggi Pasukan Bersama ABDA
Singapura
Jen. Sir Archibald Wavell yang baru dilantik menjadi Panglima Tertinggi Pasukan Bersama ABDA. Wavell membuat persiapan untuk melawat Tanah Melayu untuk melihat sendiri keadaan medan perang di Semenanjung Tanah Melayu dan mencari sebab-sebab mengapa Tentera British tidak menang.
Slim River
Askar Jepun melompat turun daripada lori mereka di Batu 61 dan bertempur dengan Batalion 5/2 Rejimen Punjab. Pada mulanya, askar-askar Punjabi dapat menangkis serangan askar-askar Jepun itu, sehingga mereka menjumpai jalan-jalan pintas dan melangkau kedudukan Punjabi dan mara ke Batu 62.
Kolonel Deakin dari Rejimen Punjab menulis, “Hingarnya tidak boleh diceritakan …kereta kebal berderet, enjin berderum, dengan krew mereka melaung kuat … mesingan memuntahkan peluru… di tengah-tengah tembakan mortar dan meriam. Platun askar kami di tepi jalan membaling grenad (bom tangan) dan rantai sebuah kereta kebal rosak terkena tembakan raifel anti-kereta kebal. Sebuah kereta kebal yang lain rosak terkena periuk api.
Kompeni simpanan dan Kompeni Markas Batalion dapat menyekat kemaraan tentera Jepun selama satu jam. Pada jam 6.30 pagi, Tentera Jepun menyedari mereka boleh melangkau kedudukan askar British dan berbuat demikian. Mereka kemudiannya meluru untuk menyerang kedudukan yang dikawal oleh Rejimen Argyll and Sutherland Highlanders
Pasukan Argyll menentang kereta kebal T95 Jepun dengan menggunakan kereta perisai yang dilengkapi dengan raifel anti-kereta kebal Boys, tetapi tidak memberikan kesan. Tentera Jepun melais barisan pertahanan askar-askar dari Scotland itu dan memaksa mereka berundur.
Tentera British mempunyai masalah besar mengekalkan saluran komunikasi mereka – hutan tebal mengganggu operasi peralatan radio dan talian telefon sering kali terputus.
Tentera Jepun sampai pada jam 8.30 pagi ke Jambatan Slim River dan menghuruharakan kedudukan batalion 1/1 Gurkha. Rejimen Artileri Medan Ke-137 juga dapat dimusnahkan, dan hanya meriam 40 mm Bofors sahaja yang tinggal. Meriam ini tidak dapat menyekat kemaraan kereta kebal Jepun.
Tentera Jepun meneruskan kemaraan mereka tetapi disekat oleh bedilan meriam 4.5 inci yang digunakan oleh Rejimen Artileri Medan Ke-155. Tetapi retak telah menjadi belah, dan dua buah briged British sudah kucar kacir, 12 Briged sudah hampir tidak wujud lagi dan 28 Briged mengalami kadar korban 66 peratus. Tentera British juga kehilangan banyak persenjataan dan kenderaan pengangkutan termasuk lori untuk membawa askar. Ini memaksa British berputus asa untuk mempertahankan bahagian tengah Semenanjung Tanah Melayu. 3,200 orang askar Tentera India British menyerah diri.

7 Januari 1942

Singapura
Mej. Jen. Gordon Bennett mengadu kepada Jeneral Wavell dan menyalahi pihak British kerana tidak memberikan latihan kepada Divisyen Ke-8 Australia. Bennett berikrar untuk menyekat kemaraan askar Jepun.
Brigedier Jeneral Ivan Simson, Ketua Askar Jurutera di Singapura menunjukkan bahagian utara Pulau Singapura yang tidak mempunyai kubu-kubu pertahanan dan tiada perancangan membina kubu-kubu pertahanan. Wavell mengamuk dan bertanyakan Percival kenapa kubu pertahanan tidak dibina. Percival menyatakan pembinaan kubu hanya akan merendahkan moral askar dan orang awam. Wavell mengarah Percival membina kubu tetapi Percival tidak mengendahkannya. Pencapaian Wavell terhad kepada penyingkiran Stanley Jones, Setiausaha Kolonial yang amat dibenci.
Slim River
Dalam Pertempuran di Slim River, Tentera British mengalami kerugian besar dalam bilangan kelengkapan tentera. 23 laras meriam berat musnah ataupun ditinggalkan untuk ditawan oleh askar Jepun. 6 laras meriam anti-pesawat juga dimusnahkan ataupun ditawan oleh tentera Jepun, bersama-sama 50 buah kereta perisai dan 550 buah lori pengangkutan tentera. Turut ditawan juga adalah simpanan makanan yang banyak, bersama simpanan peluru dan perubatan. Tentera Jepun berseronok mendapat bekalan Tentera British, ramai di antara mereka merasa ‘corned beef’ buat pertama kali.

8 Januari 1942

Wavell kagum dengan Jen. Bennett yang memimpin Divisyen ke-8 Australia
Kuala Lumpur
Jeneral Wavell bersama-sama Jen. Heath memandu dari markas Divisyen ke-11 India di Batu Caves, Kuala Lumpur dan selepas itu berjumpa dengan askar-askar yang terselamat dalam Pertempuran di Slim River dan merasa amat terkejut dengan keadaan mereka. Wavell mendapati 500 orang askar yang merupakan saki baki dari dua briged Tentera British India yang sudah tidak boleh berperang lagi.
Jen. Wavell mengarahkan Jen. Heath untuk menyediakan satu rancangan pengunduran sejauh 150 batu bermula daripada kedudukan Tentera British di Batu Caves, Kuala Lumpur ke kedudukan pertahanan yang disediakan di Johor.
Wavell bertekad untuk membalikkan arahan yang dikeluarkan oleh Jen. Percival selepas perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanannya di Segamat 3 hari sebelumnya dan untuk menggunakan strategi pertahanannya sendiri.
Wavell mempunyai keraguan sama ada Heath mampu menangkis secara berkesan serangan-serangan oleh Tentera Jepun. Wavell juga mula hilang keyakinan terhadap Jen. Percival.
Sebaliknya Wavell sebaliknya amat kagum dengan Jen. Bennett yang memimpin Divisyen ke-8 Australia. Wavell mahu menggariskan strategi perangnya di sekitar keupayaan divisyen Australia itu mempertahankan Johor.
Ipoh
Jen. Yamashita mengadakan perjumpaan dengan panglima-panglima medan selepas kemenangan di Slim River untuk membincangkan strategi untuk pertempuran-pertempuran akhir untuk menawan Singapura. Sekali lagi idea Yamashita untuk menggunakan askar-askar yang dibawa untuk penyusupan dengan menggunakan baj melalui jalan laut.
Panglima-panglima medan beliau kesemuanya mahu menggunakan jalan darat yang telah terbukti kejayaannya. Yamashita terpaksa menerima hakikat bahawa Divisyen ke-5 Tentera Jepun mengalami kesukaran bergerak disebabkan oleh kurang pengalaman menggunakan baj sebagai pengangkutan perang.
Tetapi Yamashita yakin ancaman penyusupan oleh pasukan itu sudah cukup untuk mencelarukan Tentera British dan menyebabkan mereka terus berundur. Akhirnya Yamashita menukarkan pasukan Pengawal Imperial untuk menggantikan Divisyen ke-5 Tentera Jepun menggunakan baj untuk operasi penyusupan. Divisyen ke-5 Tentera Jepun diarahkan mara terus ke Kuala Lumpur sementara Detasmen Takumi (23 Briged Infantri) menghampiri Kuala Lumpur menggunakan jalan utama Kuala Lumpur-Kuantan.

9 Januari 1942

Kerana mengikut desakan oleh Wavell, Jen. Percival mengubah semula segala menyeluruh arahan-arahan yang diberikan untuk pengunduran pasukan Tentera British ke Johor. Rancangan baru melihat penubuhan pasukan ‘Westforce” di bawah pimpinan Jen. Bennett, Panglima tertinggi untuk askar-askar Australia di Tanah Melayu. Westforce terdiri daripada Divisyen Ke-8 Australia (tidak termasuk (22 Briged Australia) dan Divisyen ke-9 India. Jen. Bennett bercadang menyekat kemaraan Tentera Jepun dengan menggunakan serangan-serangan hendap.
Jen. Bennett dan pasukan Westforce pimpinannya dipertanggungjawabkan untuk pertahanan negeri Johor meliputi garisan khayalan yang merentasi Mersing, Kluang dan Batu Pahat. Di kawasan Barat Laut negeri Johor, yang dilihat sebagai kawasan pertahanan paling penting, garisan pertahanan Jen. Bennett diterangkan dengan satu garisan meliputi Segamat di bahagian tengah barisan pertahanan hingga ke Gunung Ledang di sebelah barat.
Strategi baru ini bermakna Tentera British akan meninggalkan sepenuhnya kedudukan-kedudukan pertahanan di Selangor termasuk pelabuhan penting Port Swettenham, Kuala Lumpur, Negri Sembilan dan Melaka. Ini bermakna bandar-bandar utama seperti Seremban, Tampin dan Melaka sendiri akan diserahkan kepada Tentera Jepun tanpa apa-apa tentangan. Pengunduran Tentera British dari kawasan- kawasan tersebut dijadualkan bermula pada 10 Januari 1942.

10 Januari 1942

Serendah
Hanya beberapa jam sebelum pengunduran yang telah dijadualkan, kedudukan askar-askar Gurkha di Serendah diserang oleh pasukan askar Jepun. Setelah memberikan tentangan hebat termasuklah pertempuran jarak dekat tanpa menggunakan senjata, kedudukan itu ditawan oleh askar Jepun dan askar-askar Gurkha itu mengalami jumlah korban yang tinggi. Menjelang petang, pasukan Gurkha itu menyertai pengunduran beramai-ramai ke arah Kuala Lumpur sebelum ke Johor.
Segamat
Jen. Percival mengadakan satu lagi perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanannya di Segamat. Setelah membincangkan strategi pertahanan yang diutarakan oleh Jen. Bennett, Jen. Percival, Jen. Heath dan Bennett melawat Jambatan Gemencheh, 16 kilometer dari Gemas, yang dipilih oleh Bennett sebagai lokasi serangan hendapnya ke atas pasukan Jepun.

11 Januari 1942

Askar-askar Jepun menyerbu Stesen kereta api Kuala Lumpur
Askar Jepun mempastikan Kuala Lumpur bebas dari ancaman Tentera British.
Kuala Lumpur
Askar-askar India British selesai membuat pengunduran melalui Kuala Lumpur pada awal pagi. Jambatan-jambatan diletupkan apabila pasukan terakhir melepasi jambatan tersebut. Jambatan terakhir diletupkan pada jam 4.30 pagi. Pada jam 8.30 pagi, askar Jepun dari Divisyen ke-5 Jepun memasuki Kuala Lumpur dan menawan pangkalan udara di Sungei Besi Kuala Lumpur dan di Batu. Pangkalan ini dengan cepat dipulihkan dan digunakan oleh kumpulan Udara Endo. Simpanan petrol telah dibakar oleh pihak Tentera British tetapi masih banyak bekalan lain yang dapat ditawan.
Muar
Tentera Jepun membuat serangan udara pertama ke atas kedudukan-kedudukan tentera di Muar. Keadaan takut menyebabkan orang ramai berpusu-pusu melarikan diri ke kawasan pedalaman. Feri Muar ditinggalkan oleh pekerja-pekerjanya, dan operasi feri dikendalikan oleh askar jurutera British.
Singapura
Duff Cooper, Menteri Untuk Hal Ehwal Timur Jauh pulang ke London di atas arahan Winston Churchill.

12 Januari 1942

Kuala Lumpur ke Negri Sembilan
Pengunduran besar-besaran oleh Tentera British menyebabkan kesesakan terus jalan raya utama arah selatan dan juga jalan kereta api. Kesesakan ini menghindar dan melewatkan pengunduran. Keadaan menjadi lebih kelam kabut, dan melewatkan pergerakan pasukan kelak akan menjejaskan kesediaan pasukan terlibat mengukuhkan kedudukan pertahanan yang baru. Masalah dirumitkan dengan keperluan untuk bergerak di waktu malam untuk mengurangkan kesan serangan udara oleh pasukan Jepun.
Singapura
112 buah pesawat tentera Jepun membuat serangan pengeboman ke atas Singapura.
Gabenor Sir Shenton Thomas mengeluarkan arahan “Hari-hari kertas minit sudah lepas. Jangan ada lagi tolak menolak fail dari satu jabatan ke jabatan yang lain, dan dari seorang pegawai ke pegawai yang lain.” Akhbar tempatan memberikan komen bahawa arahan Gabenor Thomas sebenar terlambat selama dua setengah tahun.
488 Skuadron dari Tentera Udara Diraja New Zealand yang menggunakan pesawat Brewster Buffalo bertembung buat pertama kali dengan tentera udara Jepun yang menggunakan pesawat Mitsubishi Zero dan berkesudahan dengan kemenangan kepada pihak Jepun.

13 Januari 1942

Singapura
Kapal dagang America Syarikat tiba di Singapura membawa pasukan bantuan terdiri daripada Grup Briged Ke-53 Infantri British, pasukan awalan Divisyen ke-18 Infantri British. Kapal-kapal itu juga membawa 2 rejimen pasukan meriam anti-kapal terbang bersama-sama dengan 50 buah pesawat pejuang jenis Hawker Hurricane (diangkut dalam kotak atau ‘’crated’’)
Askar-askar Grup Briged Ke-53 Infantri British sudah belayar selama 11 minggu dan mendarat di Singapura tanpa kelengkapan pengangkutan dan kelengkapan artileri mereka tang masih belum sampai kerana dibawa dengan konvoi lain.
Pesawat Hawker Hurricane dipasangkan semula di beberapa tempat di Singapura untuk mengurangkan risiko dimusnahkan serentak sekiranya diserang oleh pesawat Jepun. Tetapi malangnya, bilangan juruterbang yang masih boleh bertugas hanya tinggal 24 orang sahaja.

14 Januari 1942

Frederick Gallagher Galleghan
Gemencheh
Pada jam 04.30 pagi, Mej. Jen. Bennett mengambil alih pemerintahan medan pertempuran di Tanah Melayu. Persiapan serangan hendap yang disediakan oleh Black Jack" Galleghan disediakan.
Pada jam 4.00 petang, askar Jepun dari Detasmen Mukaide berbasikal menyeberangi Jambatan Gemencheh tanpa menyedari bahawa mereka sedang memasuki perangkap yang disediakan oleh Black Jack" Galleghan dan Batalion 2/30 Australia. Setelah lebih 500 orang askar Jepun menyeberang jambatan, jambatan itu diletupkan dan pasukan Australia itu melepaskan tembakan. Serang hendap itu mengambil masa hampir 20 minit.
Kira-kira 700 orang askar Jepun terbunuh dan beberapa buah kereta kebal musnah dalam serang hendap di Jambatan Gemencheh. Ini adalah jumlah kekalahan paling besar dan mengakibatkan jumlah korban paling tinggi dialami oleh Tentera Jepun dalam satu pertempuran di sepanjang kempen penaklukan Tanah Melayu. Pasukan Australia mengalami korban 8 kematian dan 80 orang cedera. Apabila kejadian ini dibawa kepada pengetahuan Jen. Yamashita, dia dengan segera mengarahkan pasukan bantuan dihantar ke Gemas. Menjelang malam, pasukan Australia melalui hutan dan ladang getah sejauh 5 kilometer untuk pulang ke barisan pertahanan mereka. Serangan hendap di Jambatan Gemencheh hanya melewatkan kemaraan askar Jepun untuk beberapa jam.

15 Januari 1942

Muar
Pasukan Pengawal Imperial Jepun mara dari Melaka ke Muar dengan mudah mengalahkan pasukan 45 Briged yang bertahan di Muar. (45 Briged yang baru tiba di Tanah Melayu dan tidak terlatih dan belum menyesuaikan diri dengan iklim di Tanah Melayu). Tentera Jepun dengan pantas menguasai tebing sebelah utara Sungai Muar di pinggir bandar Muar.
Anggota pasukan meriam Australia yang memberikan sokongan kepada 45 Briged menangkis percubaan Tentera Jepun untuk menyeberangi Sungai Muar dengan menembak dari jarak dekat baj-baj yang dipenuhi askar Jepun.
Pada waktu malam, pasukan Jepun itu menyusup ke seberang Sungai Muar dan menyerang kedudukan yang dipertahankan oleh dua batalion Tentera India British dari 45 Briged dan berjaya menguasai bandar Muar. Laluan penting dari Muar ke Yong Peng kini terputus. Saki baki pasukan terdiri daripada 45 briged dan pasukan askar Australia berundur ke Bakri
Pergerakan Jepun mengancam untuk memutuskan hubungan jalan raya utara-selatan dan mengasingkan Mej. Jen. Bennett dan markas Westforce d Segamat daripada pasukan-pasukan di barisan hadapan. Pergerakan ini juga membolehkan pasukan Jepun bergerak menuju Yong Peng dan boleh merusuki Westforce.
Melaka
Pengawal Imperial Jepun juga menggunakan baj untuk menyusup dan mendarat di Parit Jawa dan Batu Pahat
Gemas
Askar-askar Australia di Jambatan Gemencheh berundur ke kedudukan di sebelah timur bandar Gemas. Jen. Yamashita mengarahkan Divisyen ke-5 Jepun yang sudah mendapat masa untuk rehat dan rawat di Kuala Lumpur untuk meneruskan serangan di Gemas bagi menggantikan Detasmen Mukaide (9 Briged) yang mengalami jumlah korban yang tinggi.

16 Januari 1942

Segamat
Lt. Jen. Percival dan Mej. Jen. Bennett berjumpa waktu tengah hari di Markas belakang Westforce kira-kira 6.4 kilometer di sebelah timur Yong Peng. Kedua-dua panglima itu melihat kepada alternatif yang agak sugul – pengunduran segera dari barisan hadapan di Segamat ataupun menghantar pasukan bantuan untuk mengukuhkan dan seterusnya menstabilkan barisan hadapan di Muar.
Pertempuran utama kini tertumpu di kawasan Labis – [{Segamat]], kira-kira 90 km di sebelah utara Yong Peng

17 Januari 1942

Muar
Lt. Jen. Percival mengarahkan Grup 53 Briged ke Johor sebagai pasukan bantuan untuk menguatkan Westforce. Batalion ke-6 Rejimen Norfolk (6 Norfolk) bergerak dan menubuhkan pertahanan di Bukit Pelanduk sementara sebuah platun daripada batalion itu ditempatkan untuk mengawal Jambatan Parit Sulong. Bukit pelanduk adalah satu kawasan tinggi menguasai simpang laluan jalan Batu Pahat dan Jalan Yong PengMuar. Markas 45 Briged kini berada di Bakri, 22 km dari Bukit Pelanduk.
53 Briged baru sahaja 3 hari sebelumnya mendarat di Singapura dan belum dapat menyesuaikan diri dengan iklim Tanah Melayu dan tahap kecergasan yang belum mencukupi (unfit) kerana sudah 11 minggu berada di laut. 53 Briged pada asalnya ditugaskan untuk menyertai peperangan di Mesir dan Libya bersama-sama Tentera British di Gurun Barat
Gemas
Di Gemas, Batalion 2/30 Australia yang menghadapi serangan hebat dari 5 Divisyen Jepun melaporkan bahawa kedudukan mereka berkemungkinan besar akan jatuh ke tangan Jepun.
Medan Pertempuran Muar
Tanpa disedari penganalisis perisikan tentera pasukan-pasukan British dan Australia, pasukan Tentera Jepun mulai bergerak utara dari Batu Pahat menuju Bukit Pelanduk dan arah timur dari Muar untuk merangkap pasukan British dan pasukan Australia di situ. Setelah terperangkap, pasukan itu dengan mudah dapat dimusnahkan oleh Tentera Jepun.

18 Januari 1942

Askar Pengawal Imperial Jepun Semuanya Mempunyai Ketinggian Melebihi 6 kaki
Muar
Mej. Jen. Bennett menggerakkan Batalion 2/19 Australia dari Jemaluang di sebelah timur Johor ke kedudukan baru di Bakri untuk mengawal jalan raya Yong PengMuar. Batalion 2/19 Australia dikuatkan dengan hantaran Batalion 2/29 yang membuat pertahanan di antara Bakri dan Parit Sulong. Setengah jam selepas pasukan itu sampai, pasukan Jepun memulakan serangan mereka. Walaupun mengalami jumlah korban yang tinggi, pasukan Australia itu berjaya menyekat kemaraan askar-askar Jepun.
Pasukan Jepun juga membuat serangan ke atas kedudukan yang dikuasai oleh 45 Briged India yang kini dibantu oleh pasukan meriam dari Divisyen ke-8 Australia. 45 Briged juga dikuatkan dengan kehadiran 2 batalion infantri Australia.
Di ruang udara, pesawat Buffalo menembak jatuh dua buat pesawat udara Jepun tanpa mengalami apa-apa kerugian di pihak sendiri.
Mej. Jen. Bennett masih berpegang kepada strategiknya untuk membuat serangan hendap ke atas pasukan Jepun. Serang hendap yang dilakukan hanya mencapai kejayaan kecil dan dapat dipatahkan oleh pihak Jepun yang menghantar pasukan kereta kebal dan menggunakan kelebihan kuasa tembakan mereka untuk mengatasi serang hendap yang dibuat ke atas pasukan mereka. Askar-askar Australia terpaksa berundur. Bennett sendiri menjauhkan diri daripada barisan hadapan dan mempastikan markasnya berada jauh di belakang.
Singapura
Laporan perisikan British menunjukkan kesan ancaman Jepun di kawasan pertempuran di Muar dan ke atas jalan utama menghubungkan Muar dan Johor Bharu. Laporan itu menunjukkan Divisyen Pengawal Imperial Jepun bergerak di Muar dan Divisyen ke-5 Jepun mendahului kemaraan di jalan raya utama menuju Johor Bharu. Percival dan Bennett kini menyedari betapa sia-sianya usaha mereka menghantarkan pasukan bantuan ke Muar dengan harapan untuk menstabilkan medan pertempuran di Muar. Melihatkan keadaan medan pertempuran yang tidak memanfaatkan pihak British, Lt. Jen. Percival dan Mej. Jen. Bennett membuat keputusan untuk mengundurkan Westforce ke Sungai Segamat sebagai langkah awal untuk satu gerakan pengunduran yang lebih besar.

19 Januari 1942

Bukit Pelanduk
Pasukan Tentera Jepun mara dari arah Batu Pahat dan mengusir 6 Norfolk dari perkubuan mereka di Bukit Pelanduk. Pengunduran oleh pasukan Rejimen Norfolk ini menyebabkan perhubungan darat dengan pasukan Australia dan India di Bakri kini terputus. Pasukan Tentera British diarahkan menawan semula kedudukan di Bukit Pelanduk tetapi pasukan British yang ditugaskan tidak dapat mencapai objektif yang ditetapkan.
Muar
Satu serangan udara Jepun mengenai Markas 45 Briged dan membunuh ataupun mencederakan kebanyakan daripada pegawai kanan briged itu. Melihatkan 45 briged kini tidak mempunyai pegawai kanan untuk memimpinnya, Lt. Kol. Charles Anderson, pegawai pemerintah Batalion 2/19 Australia mengambil alih tampuk pimpinan kesemua pasukan tentera Komanwel yang bertempur di medan Muar.
Singapura
Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill mengeluarkan 10 strategi untuk pertahanan Singapura, dan menyatakan bahawa “ Singapura hendaklah dijadikan sebuah kubu kota (citadel) dan hendaklah dipertahankan ke titisan darah terakhir. Menyerah diri tidak boleh diberikan pertimbangan. Wavell memberikan amaran kepada Churchill bahawa beliau sangsi sama ada Singapura boleh bertahan lama sekiranya Johor jatuh ke tangan Jepun.
Churchill bertanyakan Wavell apa pertahanan yang disediakan untuk menghadapi kemaraan askar Jepun di Singapura. Wavell menyatakan tiada pertahanan disediakan di sebelah utara pulau yang dikatakan “kubu yang tidak dapat ditawan” itu. Churchill terkejut dan mengarahkan Wavell menyediakan perkubuan dan parit pertahanan. Pihak berkuasa British mengarahkan buruh tempatan untuk menyiapkan kubu dan parit pertahanan tetapi timbul perbalahan mengenai kadar bayaran lebih masa yang patut diberikan kepada buruh-buruh tempatan itu … ini melibatkan kerja tergendala selama 5 hari. [1] Diarkibkan 2007-01-02 di Wayback Machine
Churchill mengarahkan A. E. Percival untuk berjuang sehingga titisan darah terakhir dan untuk tidak menyerah kalah.

20 Januari 1942

kereta Kebal Jepun terbakar terkena tembakan
Muar
Pada awal pagi, Lt. Kol. Charles Anderson bergerak keluar dari Bakri dengan tujuan membuat pertahanan baru di Parit Sulong sebelum gelap malam. Tetapi percubaannya dibantutkan oleh pasukan-pasukan Jepun yang menghalang pengundurannya di sepanjang jalan. Pertempuran sengit berlaku, seringkali melibatkan pertempuran jarak dekat tanpa menggunakan senjata. Apabila sampai ke Parit Sulong Lt. Kol. Charles Anderson kecewa bila mendapati jambatan Parit Sulong kini dikuasai oleh kedudukan mesingan Jepun yang dibuatkan perkubuan yang kukuh.

Segamat

Mej. Jen. Bennett memindahkan lagi markasnya ke Yong Peng dan mengarahkan pengunduran besar-besaran ke arah selatan.
Kuala Lumpur
Lt. Jen. Yamashita memanggil panglima-panglimanya bermesyuarat di markas barunya di Kuala Lumpur untuk membincangkan strategi perang.
Singapura
Wavell mengarahkan Percival menguasai Johor Selatan seberapa lama yang boleh. Ini untuk membolehkan Singapura diberikan masa untuk membina perkubuan dan parit pertahanan yang diperlukan untuk pertahanan pulau itu. Apabila Wavell sampai ke Singapura, beliau mendapati bahawa arahannya tempoh hari untuk membina perkubuan dan parit pertahanan tidak dilaksanakan. Wavell mengarahkan Percival mempercepatkan pembinaan perkubuan pertahanan.
Churchill memberitahu Wavell “saya mahu terangkan dengan jelas bahawa saya mahukan setiap inci tanah Singapura dipertahankan, setiap cebis bahan pertahanan yang ditinggal dimusnahkan supaya tidak dapat digunakan oleh pihak Jepun, dan tiada pertimbangan menyerah kalah diberikan sehingga pertempuran berlangsungan di dalam kemusnahan Singapura.

21 Januari 1942

Charles Groves Wright Anderson, V.C.
Parit Sulong
Lt. Kol. Charles Anderson dan askar-askarnya cuba mengusir pasukan Jepun yang menguasai Jambatan Parit Sulong tetapi diserang balas oleh rempuhan askar infantri dengan bantuan serangan oleh pesawat pengebom, kereta kebal dan bedilan meriam.
Bennett mengeluarkan arahan kepada Batalion ke-2 Rejimen Loyal (2 Loyals) dari Tentera British untuk membantu membawa keluar askar-askar Australia di Parit Sulong kembali ke barisan pertahanan yang dikuasai tentera Australia, tetapi usaha itu tidak berhasil. Kegagalan ini menimbulkan kontroversi yang tidak pernah dijelaskan secara memuaskan, bagaimana serangan oleh pasukan British (2 Loyals) ditangguhkan pada jam 5.30 petang, kemudiannya ditangguhkan pada waktu Subuh hari berikutnya untuk ditangguh sekali lagi hingga jam 9.30 pagi sebelum dibatalkan sepenuhnya selepas itu.
Kerana pasukan bantuan yang dijanjikan tidak tiba, Lt. Kol. Charles Anderson mengarahkan pasukannya berpecah menjadi pasukan-pasukan kecil dan menyusup keluar daripada kepungan askar Jepun untuk kembali ke kawasan yang dikuasai oleh askar-askar British dengan menggunakan jalan-jalan kampung dan jalan paya.
Lt. Kol. Charles Anderson terpaksa membuat keputusan untuk meninggalkan di belakang kira-kira 200 orang askar yang tercedera yang diletakkan di bawah jagaan sekumpulan sukarelawan untuk ditahan dan seterusnya diberikan rawatan oleh Tentera Jepun. (mereka ini dikira sebagai hors de combat dan diberikan perlindungan khas oleh Konvensyen Geneva). Kumpulan askar yang cedera ini berbaring di sekeliling pokok sambil menghisap rokok, dan tidak menunjukkan rasa gentar. Apabila pasukan Jepun tiba, mereka dibunuh beramai-ramai oleh Tentera Jepun. Hanya seorang askar terselamat.
Ruang Udara Tanah Melayu
Pesawat pejuang Hawker Hurricane yang baru sampai di Tanah Melayu bertempur pertama kalinya dengan pesawat Mitsubishi Zero. Semasa menjalankan pintasan kumpulan pesawat pengebom, kumpulan pesawat Hurricane British berjaya menembak jatuh 8 buah pesawat pengebom. Kumpulan Hurricane ini kemudian diserang oleh pesawat Mitsubishi Zero. Pertempuran ini berkesudahan dengan 5 buah [Hawker Hurrican|Hurricane]] ditembak jatuh. Pesawat Hurricane ternyata tidak setanding dengan pesawat Mitsubishi Zero kecuali pada ketinggian melebihi 20,000 kaki tetapi pesawat Mitsubishi Zero tidak terbang setinggi itu semasa operasi.

22 Januari 1942

Askar British Terkejut Dengan Ketangkasan Askar-Askar Jepun
Yong Peng
Mej. Jen. Bennett berbalah dengan panglima-panglima British dari 53 Briged mengenai kegagalan pasukan itu pergi membantu membawa keluar askar-askar Australia yang terperangkap di Parit Sulong.

23 Januari 1942

Parit Sulong
Pertempuran oleh askar Australia di Bakri dan Parit Sulong membolehkan Westforce dan pasukan barisan belakang (rearguard) 53 briged untuk menyeberangi jambatan Yong Peng pada tengah malam. Jambatan itu kemudiannya dimusnahkan.
 : Lt. Kol. Anderson membawa askar-askar batalion 2/19 Australia bersama-sama askar-askar yang masih terselamat dari 45 Briged keluar daripada kawasan terkepung di Parit Sulong. Anderson memecahkan askar-askar menjadi kumpulan-kumpulan kecil dan berjaya membawa keluar 500 orang askar Australia dan 400 orang askar India. Kerana keberanian dan kepimpinan yang ditunjukkan, Anderson diberikan kurnia pingat Victoria Cross.
Kuala Lumpur
Di markas Ketumbukan Tentera Ke-25, Yamashita menerima laporan mengenai Pembunuhan Beramai-Ramai di Parit Sulong melibatkan askar-askar Australia, British dan India yang telah mendapat cedera dan ditinggalkan oleh rakan-rakan mereka untuk membolehkan mereka dirawat oleh pasukan Jepun. Yamashita mengkritik hebat keangkuhan Jeneral Nishimura dan pasukan elit Divisyen Pengawal Imperial Jepun pimpinannya.
Yamashita mendapat tahu bahawa Panglima Rejimen Ketiga Pengawal Imperial mendapat cedera parah semasa pertempuran di Muar. Yamashita sendiri pernah menjadi panglima rejimen itu. Tanpa membuat apa-apa rujukan kepada Nishimura, Yamashita melantik seorang pegawai yang kebetulan adalah rakan karibnya sebagai Panglima Rejimen Ketiga Pengawal Imperial. Ini menimbulkan kemarahan Nishimura, kerana merasakan perlantikan seperti itu adalah di atas budi bicaranya sebagai Panglima Divisyen Pengawal Imperial Jepun.
Simpang Renggam
Bennett memindahkan markasnya sekali lagi, kali ini Renggam. Di sana Bennett mengadakan perjumpaan dengan Percival dan bersetuju untuk mengadakan garisan pertahanan baru yang diterangkan dengan garisan khayalan yang merentasi Jemaluang—Kluang—Ayer Hitam—Batu Pahat. Bennett juga berjanji untuk tidak membenarkan mana-mana unit untuk berundur tanpa terlebih dahulu mendapatkan kebenaran Percival secara peribadi. Percival pula berjanji akan menempatkan Divisyen Ke-18 British di selatan Johor untuk menguatkan pertahanan di sana sebaik sahaja divisyen itu sampai ke Singapura.

24 Januari 1942

Singapura
Batalion Mesingan 2/4 Tentera Australia bersama-sama 2,000 orang askar tambahan tiba di Singapura.
Johor Selatan
Barisan hadapan British di Johor mencerut terlampau menyepit sehinggakan pasukan-pasukan yang bertahan tidak mempunyai ruang langsung untuk bergerak. Penerobosan di mana-mana bahagian barisan hadapan yang diisytiharkan oleh Bennett akan memerlukan pengunduran semua pasukan ke Singapura. Tetapi Bennett sendiri mengundurkan markasnya sekali lagi ke satu kedudukan hanya 35 km dari Johor Bahru.
Askar Jepun Dapat Menyesuaikan Diri Dengan Keadaan Bentuk Bumi Dan Iklim Di Tanah Melayu Berbanding Askar-Askar British
25 Januari 1942
Batu 22 Jalan Johor Bahru
Di Batu 22 Jalan Johor Bahru, Percival, Heath dan Bennett mengadakan perjumpaan di sebuah ladang getah yang menjadi markas baru Bennett. Mej, Jen. Billie Key, Panglima 53 Briged memberikan laporan bagaimana askar-askarnya berusaha memberikan bantuan kepada askar-askar yang mempertahankan Batu Pahat yang kini sedang diserang hebat oleh Pengawal Imperial Jepun.
Selepas perbincangan, kesemua yang hadir bersetuju bahawa pasukan yang membuat pertahanan di Batu Pahat perlu berundur sejauh 20 km lagi ke Senggarang. Panglima-panglima yang hadir juga menyedari bahawa pengunduran ke Singapura sudah termaktub dan perlu disegerakan.
Perancangan akhir pengunduran disiapkan dan arahan dikeluarkan kepada semua panglima Westforce di medan tempur untuk berundur dari Kluang dan Ayer Hitam dan diselaraskan dengan pengunduran oleh 22 Briged dari kawasan pantai timur Johor.

26 Januari 1942

Singapura
Lt. Jen. Percival memberikan kepercayaan kepada Lt. Jen. Heath untuk dipertanggungjawabkan tugas menyelia pengunduran pasukan tentera British ke Singapura.
Tetapi Lt. Jen. Percival mahukan pengunduran diselesaikan pada 31 Januari 1942 supaya pembinaan perkubuan dan parit pertahanan dapat dijalankan di Singapura. Lt. Jen. Percival mengarahkan Heath untuk menggunakan 4 laluan ke Johor Bahru iaitu jalan raya daripada pantai timur, jalan raya dari pantai barat, jalan raya utama (kini Laluan 1 Persekutuan dan jalan kereta api.
Percival menghantar kawat kepada Wavell memberitahu “anggapkan keadaan kami kini getir .. dengan kekuatan kami yang kian kurang, sukar bagi kami untuk menahan tekanan dari pasukan darat Jepun yang digabungkan dengan serangan udara yang berterusan tanpa tentangan. Kami memberikan tentangan di setiap langkah tetapi pasti perlu berundur ke Singapura dalam masa satu minggu”
Johor Bahru
22 Briged Australia berjaya mengakibatkan korban perang yang tinggi ke atas Rejimen Ke-40 Infantri Jepun.
Arahan dikeluarkan untuk pengunduran ke unit-unit Westforce ke Johor Bahru. Batalion ke-2 Rejimen Gordon Highlanders (2 Gordon) dilepaskan daripada tugas-tugas garison di Singapura untuk menjalankan tugasan pasukan belakang (rearguard) untuk melengahkan kemaraan pasukan Jepun. 2 Gordon menggantikan 2 Loyals di jalan raya utama menuju ke Johor Bahru.
Endau
Di pantai timur Johor, satu kumpulan kapal tentera laut Imperial Jepun terdiri dari dua buah kapal pengangkut tentera dengan diiringi oleh dua buah kruiser dan 6 buah kapal pembinasa mendaratkan askar-askar dari Divisyen Ke-18 Jepun di muara Sungai Endau. Pendaratan ini membolehkan Yamashita menubuhkan satu lagi medan tempur untuk menambahkan tekanan kepada pihak Tentera British.

27 Januari 1942

Pihak Jepun Menggunakan kereta kebal mereka dengan cara paling berkesan. Tentera British tidak langsung mempunyai kereta kebal
Singapura
Lt. Jen. Percival membuat keputusan untuk mengundurkan tentera British ke Singapura supaya dapat diaturkan semula di Singapura untuk bertahan menghadapi serangan Jepun. Wavell diberitahu bahawa pihak British hanya mempunyai 9 buah pesawat pejuang sahaja, yang lainnya sudah musnah. Keputusan ini diberikan kebenaran oleh Wavell tetapi dengan arahan Singapura perlu dipertahankan.
Johor Selatan
Divisyen ke-9 India (9 Divisyen India) yang cuba berundur menggunakan jalan kereta merasa hampa apabila jambatan kereta api di Layang-Layang diletupkan oleh 8 Briged India (walaupun tidak menerima kebenaran dari panglima medan) sebelum berundur ke Sedenak. 9 Divisyen India terpaksa menggunakan laluan lain ke Johor Bahru. Ini menyebabkan kesesakan pertambahan kepada 3 laluan yang lain (laluan juga dikerumuni oleh orang pelarian yang menyukarkan pergerakan unit-unit tentera).
Disebabkan oleh kemusnahan jambatan kereta api di Layang-layang, 22 Briged India terputus hubungan di sebelah utara bandar itu. Perbuatan memusnahkan jambatan itu menyebabkan ada ruang di antara kedudukan 2 buah Briged yang sedang berundur itu. Ruang ini dieksploitasi oleh 5 Divisyen Jepun dan menyusupkan askar-askar masuk ke belakang barisan pertahanan British. Panglima 9 Divisyen India, Mej. Jen. A. E. Barstow, terbunuh semasa berulang alik di antara kedua-dua briged di bawah pemerintahannya yang terpisah dan terasing.
27 Briged Australia yang berundur menggunakan jalan utama ke selatan yang selari dan di sebelah kiri jalan kereta api tidak menyedari kerumitan dan pengasingan 22 Briged India. Apabila mendapat arahan, 27 Briged Australia yang sebelumnya mengalami bilangan korban yang tinggi semasa menjalankan tugasan pertahanan barisan belakang, mempercepatkan pengunduran mereka. Mereka melarikan diri memasuki hutan untuk menyusup keluar daripada medan pertempuran. (Kurang daripada 100 orang pegawai dan lain-lain pangkat berjaya ke Singapura)
Kluang
Yamashita memindahkan markasnya ke Kluang untuk memudahkannya memerintah fasa penghabisan penaklukan Semenanjung Tanah Melayu. Dia mengadakan mesyuarat pegawai-pegawai turusnya dan menggariskan rancangan penaklukan Singapura dengan kemaraan Divisyen Pengawal Imperial dari sebelah barat untuk memintas laluan pengunduran melalui Tambak Johor

28 Januari 1942

Johor Bahru
Heath memberikan Bennett jadual pengunduran hingga ke perincian jam demi jam (hour by hour) untuk pasukan-pasukan Tentera British menyeberangi Tambak Johor. Heath merancangkan penubuhan dua buah kubu jambat (bridgehead) - kubu jambat dalam dan kubu jambat luar – dengan menggunakan hujung sebelah Johor Tambak Johor sebagai tumpuan pertahanan kubu jambat. Kubu jambat luar akan dipertahankan oleh anggota-anggota 22 Briged Australia dan 2 Gordon. Pertahanan kubu jambat dalam diletakkan di bawah tanggungjawab Batalion Kedua Rejimen Argyll and Sutherland Highlanders (2 Argyll).
Singapura
Pesawat ringan daripada Kelab penerbangan Singapura digunakan dalam usaha untuk mencari 22 Briged India yang terasing. Usaha ini gagal menjumpai unit berkenaan. Dalam masa itu, pertempuran oleh pasukan belakang untuk melengahkan kemaraan askar Jepun berterusan untuk membolehkan unit-unit tentera berundur ke Singapura.
Percival memanggil panglima-panglimanya untuk perbincangan dan mendapati bahawa Markas Gerakan Tanah Melayu kini langsung tidak mempunyai pasukan simpanan (reserves).
Istana Bukit Serene
Bennett menghadiri makan tengah hari bersama-sama Sultan Johor Sir Ibrahim di Istana Bukit Serene. Sultan Sir Ibrahim kecewa kerana pihak British meninggalkan Tanah Melayu untuk ditawan Jepun. Baginda menyatakan ketua-ketua jabatan dalam Kerajaan Negeri Johor telah meninggalkan Johor tanpa terlebih dahulu mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Baginda terperanjat mendapati doktor-doktor British yang bertugas di Hospital Johor telah melarikan diri meninggalkan tanggungjawab mereka.

29 Januari 1942

Johor Bharu
Pertempuran sengit di antara 27 briged Australia dan 21 briged Infantry Jepun (Briged Sugiura) berterusan sepanjang hari di sepanjang jalan utama ke Johor Bahru. Tetapi, di tiga laluan yang lain, tindakan melengahkan kemaraan askar Jepun oleh pasukan-pasukan belakang memberikan kesan baik dan membolehkan banyak pasukan menyelesaikan pengunduran. Di Johor Bahru, Bennett memindahkan lagi markasnya ke sebuah banglo di Bukit Straits View.
Singapura
Divisyen ke-18 Infantri British (18 Divisyen British) tiba di pelabuhan Singapura lewat malam. Percival bergantung harap kepada 18 Divisyen untuk mengubah keadaan perang di Tanah Melayu. Tetapi ketibaan mereka agak terlambat kerana keputusan sudah dibuat untuk meninggalkan tanah Melayu dan menumpukan kekuatan di Singapura.

30 Januari 1942

Singapura
Di Singapura, persiapan pertahanan dibuat secara bergegas. Surat-surat khabar dikenakan tapisan, panggung wayang dijadikan stor simpanan makanan. Dewan tarian ditutup dan pencuri seta penjarah (looters) dikenakan hukum tembak serta merta.
Menjelang malam, askar-askar British berundur menyeberangi Tambak Johor ke Singapura. Percival membuat rancangan dengan Tentera Laut Diraja untuk cuba menyelamatkan anggota-anggota 22 Briged yang masih terselamat dengan membawa mereka menyeberangi Selat Johor menggunakan bot-bot kecil. Di Singapura, kapal “Duchess of Bedford” tiba membawa askar-askar India.

31 Januari 1942

Tambak Johor
Markas pasukan III Kor India pimpinan Lt. Jen. Heath yang [pada asalnya diberikan tanggungjawab untuk pertahanan wilayah utara Semenanjung Tanah Melayu meninggalkan Johor untuk ke Singapura. Pada Jam 5 pagi, Mej. Jen. Bennett melihat unit terakhir daripada pasukan Westforce menyeberangi Tambak Johor untuk ke [[Singapura]]
Pada jam 7 pagi, pasukan 22 Briged Australia bersama-sama 2 Bn Gordon yang mengawal pertahanan luar kubu jambat di Johor Bahru menyeberangi Tambak Johor masuk ke Singapura. Mereka diiringi oleh dua orang pemain bagpipe dari 2 Bn Argyll. Tidak lama kemudian, pasukan 2 Bn Argyll sendiri berundur ke Singapura dan meninggalkan kawasan pertahanan luar kubu jambat di Johor Bahru. Pegawai terakhir menyeberangi Tambak Johor adalah Lt. Kol Ian Stewart, pegawai pemerintah 2 Bn Argyll.
Pada jam 8.15 pagi, askar jurutera India meletupkan Tambak Johor dan menyebabkan lubang sepanjang 70 kaki di Tambak Johor. Tindakan ini memutuskan hubungan fizikal di antara Singapura dengan Semenanjung Tanah Melayu.
Kini tentera Jepun boleh melihat Singapura dari Johor Bahru di seberang Selat Johor. Yamashita meraikan panglima-panglimanya dengan sake. Yamashita memberitahu mereka beliau memerlukan 4 hari untuk membuat tinjauan kedudukan pertahanan British di Singapura. Yamashita juga menyatakan firasatnya bahawa Perdana Menteri Hideko Tojo akan menyingkirnya (membunuhnya).
Singapura
Percival kini mengambil alih pemerintah semua unit Tentera British di Singapura. Percival kini mempunyai 85,000 orang askar terdiri daripada 13 batalion askar British, 17 batalion askar India, 6 batalion askar Australia dan dua batalion dari Rejimen Askar Melayu sedangkan kekuatan askar Jepun dianggarkan seramai 40,000 orang.
Masalahnya, Divisyen Ke- 18 Infantri British baru sampai dan tidak terlatih untuk peperangan di kawasan tropika. Divisyen ini juga tidak mempunyai kelengkapan mencukupi kerana kapal yang membawa senjata berat mereka ditenggelamkan dalam perjalanan ke Singapura.

'Bersambung ke' Garis Masa Kempen Penaklukan Jepun Di Tanah Melayu Februari 1942