Gasing tangan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Gasing tangan tiga bilah biasa
Gasing tangan enam bilah dalam keadaan pegun (di kiri) dan berpusing (di kanan).

Gasing tangan (bahasa Inggeris: Fidget spinner; bahasa Indonesia: Pemintal gelisah) ialah sejenis permainan untuk melegakan tekanan. Sebuah gasing tangan asas terdiri daripada bearing di bahagian tengah dengan beberapa bilah di sekelilingnya sama ada berbentuk bulatan, bentuk tajam seperti pisau, dan lain-lain. Gasing tangan ini telah dipopularkan sebagai satu alat bantu untuk mereka yang menghadapi masalah tumpuan atau gelisah (seperti penghidap ADHD, autisme, atau keresahan) dengan menjadi alat pelepas tenaga saraf atau tekanan psikologi. Walau bagaimanapun, dakwaan ini dibantah dengan pertikaian bahawa permainan ini lebih mengganggu perhatian.

Walaupun ia dicipta pada tahun 1990-an, gasing tangan mula menjadi popular pada awal tahun 2017 dalam kalangan kanak-kanak dan pelajar sekolah. Hal ini menyebabkan ada sekolah yang menyekat dan mengharamkan permainan ini dengan alasan ia menyebabkan gangguan di dalam kelas. Sebahagian sekolah pula membenarkan ia digunakan dengan pengawasan untuk membantu murid-murid memberikan tumpuan.

Cara bermain[sunting | sunting sumber]

Gasing tangan dimainkan hampir sama seperti yoyo atau kendama. Tujuan utama permainan ini adalah untuk memusingkan gasing tangan dalam tempoh yang paling lama dengan menggunakan pelbagai gaya. Antara gaya yang utama ialah:

  • Baling dan sambut
  • Tukar tangan
  • Tukar jari
  • Bawah kaki
  • Lambung belakang
  • Hidung
  • Siku

Baling dan sambut[sunting | sunting sumber]

Gaya ini ialah gaya yang paling asas iaitu membaling dengan menggunakan satu tangan dan disambut dengan tangan yang sama. Jari yang sama digunakan.

Tukar tangan[sunting | sunting sumber]

Gaya ini dilaksanakan dengan melambung gasing tangan dari satu tangan dan disambut dengan tangan yang berlainan.

Tukar jari[sunting | sunting sumber]

Gaya ini dilaksanakan dengan melambung gasing tangan dan disambut dengan tangan yang sama, tetapi dengan menggunakan jari yang berlainan.

Bawah kaki[sunting | sunting sumber]

Gaya ini dilaksanakan dengan melambung gasing tangan dari bawah kaki ke atas dan ditangkap semula.

Lambung belakang[sunting | sunting sumber]

Gaya ini dilaksanakan dengan melambung gasing tangan dengan membengkokkan tangan ke belakang dan melambung gasing tangan, kemudian disambut semula dengan tangan dari arah hadapan.

Hidung[sunting | sunting sumber]

Gaya ini dilaksanakan dengan memusingkan gasing tangan di atas hidung, atau dengan meletakkan gasing tangan yang sedang berpusing di atas hidung.

Siku[sunting | sunting sumber]

Gaya ini dilaksanakan dengan memusingkan gasing tangan pada siku seseorang, atau dengan meletakkan gasing tangan yang sedang berpusing di atas siku.

Gasing tangan dan keselamatan[sunting | sunting sumber]

Secara amnya, gasing tangan yang biasa tidak mendatangkan bahaya kepada penggunanya. Hal ini disebabkan kebanyakan gasing tangan datang dalam bentuk bulatan yang tidak mempunyai bucu tajam. Walau bagaimanapun, beberapa isu keselamatan timbul akibat permainan sesetengah model gasing tangan, terutamanya kerana struktur bilahnya yang boleh membahayakan pengguna atau orang di sekeliling. Hal ini disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya:

  • Bilah yang berbucu tajam (dalam sesetengah model)
  • Bilah yang berbentuk seperti pisau (dalam sesetengah model)

Bilah yang berbucu tajam[sunting | sunting sumber]

Sayap yang berbucu tajam dalam sesetengah model gasing tangan boleh menyebabkan kecederaan apabila ia dibaling kepada orang lain, atau semasa melambung gasing tangan yang sedang berpusing. Apabila bucu tajam tersebut mengenai badan terutama di bahagian muka atau badan, ia boleh menyebabkan luka atau kulit terkoyak.

Bilah yang berbentuk seperti pisau[sunting | sunting sumber]

Sesetengah model gasing tangan menggunakan bilah yang berbentuk seperti pisau, sama ada betul-betul diletakkan bilah pisau atau struktur logamnya yang direka cipta berbentuk seperti pisau. Apabila ia sedang berpusing, ia boleh mendatangkan kecederaan akibat kecuaian penggunanya terutama apabila sedang menangkap gasing tangan yang sedang dilambung. Selain itu, ia juga boleh disalahgunakan sebagai senjata tajam terutama dalam pergaduhan yang melibatkan kanak-kanak.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Tuttle, Brad (April 24, 2017). "How to Get a Free Fidget Spinner". Money. Time. Diarkibkan daripada yang asal pada 2017-05-07. Dicapai pada May 7, 2017. Italic or bold markup not allowed in: |publisher= (bantuan)