Gawai Batu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Gawai Batu merupakan salah satu perayaaan yang disambut oleh masyarakat Sarawak, terutama masyarakat Iban dan Bidayuh. Ia disambut sebagai perayaan untuk menanda sebagai permulaan musim menanam padi.

Gawai Batu dianggap sebagai perayaan utama kerana kaitannya dengan tradisi berhuma masyarakat Iban. Tujuan mengadakan Gawai Batu ini ialah untuk memohon keberkatan daripada petara untuk membersihkan tanah huma daripada gangguan serangga perosak dan penyakit. Maka ia bolehlah diadakan apabila mereka tidak mendapat hasil tuaian yang baik pada tahun sebelumnya.

Gawai Batu juga diadakan setelah berpindah ke rumah panjang baru untuk memohon keberkatan, kemakmuran dan kesenangan hidup selama mereka menghuni rumah panjang tersebut. Dalam konteks ini, Petara yang dimaksudkan ialah Sempulang Gana Bujang Rangkang Kirai Raja Sua, manusia luar biasa yang dipercayai tinggal di kayangan.Menurut kepercayaan, Simpulang Gana ialah dewa atau pesuruh utama petara yang dilantik sebagai penjaga tanah, tempat mereka berhuma dan bercucuk tanam.

Jenis-jenis Hari Gawai yang lain termasuk Gawai Kenyalang, Gawai Batu (permulaan musim menanam padi), Gawai Burung (perayaan berkaitan dengan sesuatu tanda atau mimpi yang tidak baik), Gawai Bersimpan (kesyukuran setelah selesai menuai) dan Gawai Antu (perayaan untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia). Antara yang paling penting ialah Gawai Kenyalang dan Gawai Antu.

Yang paling meriah adalah pesta Gawai Dayak yang disambut sebagai menyambut musim menuai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras', dan bersuka-ria. Pesta Gawai di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]