Gempa bumi Sumatera Mac 2005

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Gempa bumi Sumatera 2005
Peta pusat gempa daripada NOAA
Tarikh28 Mac 2005
Magnitud8.6 Mw [1]
Kedalaman30 km
Koordinat2°04′35″N 97°00′58″E / 2.07639°N 97.01611°E / 2.07639; 97.01611
Kawasan terjejasIndonesia
Korban1,300

Pada 28 Mac 2005, satu gempa bumi berukuran 8.7 pada Skala Richter telah berlaku di persisiran pantai Sumatera, mengakibatkan amaran tsunami dikeluarkan di negara-negara berhampiran. Gempa tersebut berlaku sekitar jam 23:09:37 waktu tempatan (Waktu Indonesia Barat) (0:09:37 29 Mac waktu Malaysia). Pusat gempa telah dikenal pasti terletak di bujur 2° 04' 35" utara dan 97° 00' 58" timur, 30 km di bawah paras Lautan India, 200 km di barat Sibolga, Sumatera Utara, atau 1400 km di barat laut Jakarta, antara pulau Nias dan Simeulue. Gempa tersebut dilaporkan dapat dirasakan di Bangkok, sejauh 1000 km dari situ [2].

Gempa tersebut (dengan pusat gempa cuma 320 km dari pusat gempa 3 bulan dahulu), dipercayai merupakan gempa susulan kuat daripada gempa bumi 26 Disember 2004 yang lalu, berlangsung selama dua minit, lebih lama daripada kebanyakan gempa susulan sehingga kini. Gempa ini amatlah kuat sehingga mempunyai gempa susulan tersendiri, dengan beberapa daripanya mempunyai magnitud melebihi 5.7. Pada magnitud 8.7, gempa ini merupakan yang kedua terbesar di dunia sejak 1965.

Gempa tersebut dirasai di seluruh pulau Sumatera, dan menyebabkan kehilangan kuasa elektrik di Banda Aceh, dan menyebabkan ribuan melarikan diri dari rumah ke tempat-tempat yang lebih tinggi [1].

Manakala di pulau Nias, 75 km dari pusat gempa dan 200 km dari Sumatera, beratus-ratus bangunan telah runtuh dan hampir 500 orang disahkan terkorban, manakala berpuluh-puluh lagi masih terperangkap dalam runtuhan bangunan [2]. Kira-kira 100 pula dilaporkan telah terkorban di pulau Simeulue. Kerja-kerja mencari dan menyelamat sukar dilakukan kerana ketiadaan jentera berat dan minyak, bantuan kemanusiaan juga sukar dihantar kerana lapangan terbang Nias turut rosak dalam gempa tersebut.

Walaupun banyak negara merisaukan berlakunya tsunami, dan pemindahan penduduk dijalankan di kawasan pantai di Thailand, Malaysia dan Sri Lanka, tiada laporan tsunami dilaporkan berlaku, walaupun satu "tsunami kecil" (lebih kurang 10 cm) dikatakan telah melanda pulau Cocos milik Australia 2,400 km di selatan pusat gempa.

Gempa susulan[sunting | sunting sumber]

Berikutan gempa tersebut, beberapa gempa susulan telah berlaku. Setakat ini, terdapat lapan gempa susulan yang ketara, berukuran (mengikut garis masa): 6.0, 6.7, 5.5, 5.8, 5.7, 5.7, 5.5, dan 5.8.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]