Gergaji rantai

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Seorang pembalak menggunakan gergaji rantai untuk menebang pokok eukaliptus.

Gergaji rantai merupakan sejenis gergaji mekanikal mudah alih yang digerakkan dengan menggunakan tenaga elektrik, udara mampat, hidraulik, atau yang paling lazim, enjin kecil 2 lejang.[1] Ia digunakan dalam pelbagai jenis aktiviti terutamanya bagi tujuan pembalakan, pencantasan pokok, pembersihan hutan serta bantuan pencegahan kebakaran hutan daripada merebak. Terdapat juga sebilangan kecil gergaji rantai khas yang boleh digunakan untuk memotong konkrit.

Bahagian utama gergaji rantai[sunting | sunting sumber]

Rantai gergaji rantai.

Sebilah gergaji rantai terdiri daripada beberapa bahagian berikut.

  • Enjin - hampir kesemuanya terdiri daripada enjin pembakaran dalaman petrol kecil 2 lejang, biasanya dengan sesaran enjin dalam lingkungan 30-120 cm3. Sebilangan kecil gergaji rantai menggunakan motor elektrik atau udara mampat.
  • Mekanisme pacuan - terdiri daripada klac emparan dan gegancu.
  • Bilah pemandu - bilah panjang yang diperbuat daripada keluli aloi tahan haus serta mempunyai alur di bahagian tepinya untuk panduan rantai.
  • Rantai pemotong - sejenis rantai yang seakan rantai basikal tetapi mempunyai mata pemotong yang tajam. Di bahagian bawah setiap pautan rantai terdapat satu jejari kecil yang berfungsi untuk mengangkut minyak pelincir di serata rantai serta untuk berpaut pada gegancu bagi tujuan pemacuan.

Penyelenggaraan[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan gergaji rantai memerlukan dua sumber pelinciran. Seperti enjin 2 lejang yang lain, gergaji rantai memerlukan minyak 2T yang dicampurkan bersama-sama petrol untuk pelinciran enjin. Namun, minyak 2T perlu dibancuh sendiri (biasanya dalam nisbah 2%) di dalam tangki petrol mengikut nisbah campuran yang betul, memandangkan gergaji rantai tiada pam "autolube" sebagaimana motosikal 2 lejang. Pelinciran kedua pula adalah untuk rantai pemotong melalui tangki pelincir khas. Minyak pelincir rantai selalunya cepat habis kerana ia cenderung dibuang melalui daya emparan rantai, serta bercampur dengan habuk kayu. Minyak rantai diisi pada masa yang sama dengan pengisian petrol, dan tangki minyak rantai direka cukup besar supaya minyak rantai hanya akan habis selepas bahan api petrol habis. Kegagalan mengisi minyak rantai akan merosakkan rantai serta boleh mengakibatkan rantai tersangkut atau terkeluar daripada bilahnya.

Rantai mestilah sentiasa tajam supaya boleh berfungsi dengan sempurna. Ia boleh jadi tumpul dengan cepat apabila terkena tanah, logam atau batu. Jika tumpul, ia cenderung menghasilkan habuk kayu semasa menebang pokok, manakala rantai yang tajam tidak akan meninggalkan sebarang habuk kayu; rantai yang tajam juga hanya memerlukan sedikit sahaja daya untuk ditolak masuk lebih dalam semasa menebang. Rantai khas yang dikeraskan (diperbuat daripada tungsten karbida) digunakan dalam aplikasi di mana tanah berkemungkinan akan mencemarkan rantai, seperti semasa memotong melalui akar.

Penapis udara cenderung tersumbat oleh habuk kayu. Oleh itu, ia mesti sentiasa dibersihkan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Gergaji rantai elektrik.

Asal-usulnya masih dipertikaikan, tetapi peralatan pertama yang menyerupai gergaji rantai mungkin dibuat sekitar tahun 1830 oleh ahli ortopedik Jerman Bernard Heine. Peralatan tersebut mempunyai pautan rantai yang mengangkut mata pemotong kecil; rantai tersebut bergerak melalui bilah pemandu dengan memutarkan hendal roda gegancu. Ia digunakan untuk memotong tulang.

Dua penyumbang utama kepada penciptaan gergaji rantai moden ialah Joseph Buford Cox dan Andreas Stihl; Stihl mempatenkan dan membangunkan gergaji rantai pada tahun 1926 dan seterusnya gergaji rantai berkuasa petrol pada 1929, serta mengasaskan sebuah syarikat bagi mengeluarkannya secara besar-besaran. Pada tahun 1927, Emil Lerp, pengasas Dolmar, membangunkan gergaji rantai berenjin petrol pertama di dunia dan mengeluarkannya secara besar-besaran.

McCulloch dan Industrial Equipment Corporation di Amerika Utara mula mengeluarkan gergaji rantai. Model-model terawalnya sangan berat sehingga memerlukan dua orang untuk menggunakannya serta mempunyai roda. Selepas Perang Dunia Kedua, penambahbaikan terhadap aluminium serta rekaan enjin menjadikan gergaji rantai lebih ringan sehingga boleh dikendalikan oleh seorang sahaja.

Gergaji rantai kini sudah menggantikan gergaji mudah kendalian manusia dalam bidang perhutanan. Ia didatangkan dalam pelbagai saiz, daripada gergaji elektrik kecil untuk kegunaan rumah dan kebun, sehinggalah gergaji pembalakan yang besar. Anggota unit jurutera tentera turut dilatih untuk menggunakan gergaji rantai.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  • How a Chainsaw Works, Popular Science, Ogos 1951: Rencana dengan ilustrasi yang baik serta keratan rentas gergaji rantai asas.