Global Peace Mission Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Global Peace Mission Malaysia
Kerangka
KependekanGPM
Cogan kataMisi Kemanusiaan Merentasi Sempadan
Jenis/bentuk sahPertubuhan bukan untung
Tapak webgpm.com.my
Sejarah
Ditubuhkan26 September 2001
PengasasAngkatan Belia Islam Malaysia
Pengurusan
PengerusiAhmad Azam Ab Rahman
PresidenMohamad Raimi Abd Rahim
Ketua Pegawai EksekutifAhmad Fahmi Mohd Samsudin
Lokasi
Ibu pejabatWangsa Maju, Kuala Lumpur
Lokasi
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Latar Belakang[sunting | sunting sumber]

Global Peace Mission (GPM) Malaysia ialah sebuah Yayasan Amanah yang diperbadankan dibawah Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri Malaysia (JPM). Ianya ditubuhkan pada 26 September 2001 sebagai sebuah gerakan yang membantah pengisytiharan perang oleh Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap negara Afghanistan[1] selepas peristiwa serangan 11 September 2001. Apabila Afghanistan diserang pada awal Oktober tahun yang sama, GPM telah menggerakkan misi bantuan kemanusiaan dan perubatan bagi membantu mereka yang menjadi mangsa kepada peperangan tersebut.

Semenjak itu, selain daripada giat menyalurkan bantuan kecemasan, GPM juga menyalurkan bantuan-bantuan kemanusiaan yang lain bukan sahaja ke bumi Afghanistan, malah kepada hampir 20 buah negara yang memerlukan di seluruh dunia. GPM mula menggerakkan bantuan seperti projek rehabilitasi bagi membantu pemulihan mangsa-mangsa perang, pembangunan pusat-pusat pendidikan dan latihan vokasional untuk pelarian dan mangsa bencana secara berperingkat, serta program pembangunan dan keupayaan dalam aspek sosioekonomi dan sara hidup.

GPM telah bergerak aktif menyedarkan kepentingan memupuk dan memelihara keamanan sejagat melalui program-program kesedaran dan penerangan untuk masyarakat serta mengumpul dana untuk membantu mangsa-mangsa peperangan serta bencana alam seperti banjir, gempa bumi, kebuluran dan juga tsunami.

Objektif[sunting | sunting sumber]

  1. Mengangkat serta membela kemuliaan insan (karamah insaniah) pada tahap yang sepatutnya dengan meringankan penderitaan serta membantu mereka yang sedang berada di dalam keadaan yang memerlukan samada di dalam negara mahupun di luar negara.
  2. Meningkatkan kesedaran masyarakat dan menggalakkan rasa tanggungjawab sosial kepada mereka yang kurang bernasib baik, di dalam negara mahupun di luar negara.
  3. Memperluas semangat sukarelawan terutama kepada golongan belia serta membentuk masyarakat yang mempunyai rasa empati yang tinggi.

Visi[sunting | sunting sumber]

Memperjuang keamanan sejagat melalui bantuan kemanusiaan dan usaha advokasi berterusan dan konsisten.

Misi[sunting | sunting sumber]

Mengekalkan dan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan organisasi dalam gerak kerja bantuan kemanusiaan di peringkat nasional mahupun peringkat antarabangsa.

Projek Tahunan[sunting | sunting sumber]

1. Iftar For The Needy (IFTN)

Iftar For The Needy (IFTN) atau Bantuan Berbuka Puasa Buat yang Memerlukan merupakan salah satu projek bantuan utama yang dianjurkan oleh GPM setiap tahun dan ianya dilaksanakan pada bulan Ramadan.

Daripada Zaid bin Khalid, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikit pun kurang pahala orang berpuasa.”

Mengambil ibrah dari hadis baginda Nabi Muhammad SAW, IFTN memberi fokus pada penyaluran bantuan seperti makanan untuk berbuka puasa, pek barang-barang mentah yang boleh digunakan untuk tempoh sebulan di samping keperluan-keperluan asasi yang lain seperti keselesaan serta keperluan tempat tinggal, pakaian, sanitasi dan kebersihan wanita dan keperluan bayi kepada pelarian-pelarian serta mereka yang kurang bernasib baik dalam menunaikan. GPM akan menghantar bantuan-bantuan ini samada secara langsung iaitu turun sendiri ke lapangan mahupun tidak langsung melalui rakan pelaksana di setiap negara yang terlibat.


2. Qurban For The Needy (QFTN)

Sebuah lagi projek utama yang dianjurkan GPM setiap tahun bagi meraikan keagungan Hari Raya Aidiladha adalah Projek Qurban for the Needy (QFTN). Projek ini akan dilaksanakan pada setiap 10,11,12 dan 13 Zulhijah di hampir 21 buah negara termasuk di Malaysia.

QFTN kebiasaannya akan melibatkan penyertaan korban dari penyumbang-penyumbang yang ingin melaksanakan ibadah korban di luar negara di mana GPM akan menjadi wakil dalam menyaksikan aktiviti penyembelihan di negara-negara terlibat. Bantuan utama yang dihantar adalah daging-daging korban di samping penyaluran keperluan asas kehidupan yang lain seperti bantuan pek makanan asasi, perubatan serta keperluan pendidikan.


3. Winter Aid For The Needy (WAFTN)[2]

Musim sejuk mungkin menjadi musim yang dinanti-nanti penuh keterujaan. Namun tidak bagi mereka yang sedang berhadapan dengan konflik kemanusiaan seperti peperangan dan juga kemiskinan apatah lagi terpaksa menghadapi musim sejuk dengan segala kekurangan. Justeru GPM melalui projek Winter Aid For The Needy (WAFTN) memfokuskan bantuan kepada mereka yang menghadapi kesusahan sewaktu musim sejuk.

Antara jenis-jenis bantuan yang akan disalurkan melalui projek ini adalah bantuan makanan, kit musim sejuk yang merangkumi kelengkapan diri seperti baju sejuk, topi salji, sarung tangan, kasut dan stoking di samping selimut tebal dan minyak tanah atau bahan bakar yang akan digunakan untuk memanaskan kediaman mahupun khemah-khemah pelarian.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ https://ms.wikipedia.org/wiki/Perang_di_Afghanistan_(2001%E2%80%93kini)
  2. ^ Bernama (January 25, 2020). "Malaysian humanitarian mission helps 12,000 Syrian refugees in Turkey". Free Malaysian Today News. Diarkibkan daripada yang asal pada 2020-03-21. Dicapai pada 12 March 2020.