Pergi ke kandungan

Goldendoodle

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Goldendoodle
Nama ringkasDoodle
Negara asalAustralia dan Amerika Syarikat
Trait
Berat Biasanya 15–80 paun (6.8–36.3 kg)
Jantan 55–75 lb (25–34 kg)
Betina 40–65 lb (18–29 kg)
Tinggi Biasanya 17–24 inci (43–61 cm)
Jantan 22 inci (56 cm)
Betina 20 inci (51 cm)
Bulu Berbulu panjang
Warna Krim, merah, hitam, emas, aprikot, perang, putih, atau gabungan
Saiz perinduk 3–6 ekor
Pengelasan dan piawaian
Tidak diiktiraf oleh mana-mana kelab kenel utama
Anjing (Canis lupus familiaris)

Goldendoodle[a] ialah satu anjing pereka yang diwujudkan dengan membiakbakakan anjing pengutip keemasan dengan pudel secara bersilang. Goldendoodle, yang pertama kali dibiakbakakan secara meluas pada tahun 1990-an, dibiakbakakan dalam tiga saiz berlainan—masing-masing sepadan dengan saiz pudel yang digunakan sebagai induk.

Goldendoodle kerap menunjukkan sifat intuitif dan berorientasikan manusia pada anjing pengutip keemasan sebagai tambahan kepada keperibadian cerdas dan lapis bulu pada pudel.[1]

Pada tahun 1990-an, pembiak baka anjing pereka di Australia dan di Amerika Syarikat (Ryan Harvey) mula menyilangkan anjing pengutip keemasan dengan pudel secara meluas, dengan menerapkan istilah goldendoodle untuk memerihalkan silangan ini.[2] Nama doodle juga digunakan untuk memerihalkan baka silang ini. Nama goldendoodle diterbitkan daripada "golden" (daripada golden retriever, "anjing pengutip keemasan") dan "labradoodle" (kata lakur daripada Labrador retriever, "anjing pengutip Labrador", dan poodle, "pudel").[3][4] Pembiakbakaan sengaja antara pudel dengan anjing pengutip keemasan mendahului tahun 1990-an. Salah satu contoh bagi ini dilakukan oleh Monica Dickens, iaitu cicit kepada Charles Dickens, yang menyilangkan kedua-dua baka ini pada tahun 1969.[5] Silangan ini dapat menghasilkan haiwan lebih sihat berbanding dengan mana-mana antara kedua-dua baka induk.[6][1][7]

Matlamat asal para pembiak baka goldendoodle adalah untuk menghasilkan alternatif kepada labradoodle yang popular.[3] Pada mulanya, goldendoodle hanya dibiakbakakan daripada pudel bersaiz piawai, tetapi pembiak baka pereka juga mula menggunakan keragaman kecil bagi pudel untuk mewujudkan baka silang lebih kecil.[2] Memandangkan ia merupakan baka silang, ia tidak diiktiraf oleh AKC, FCI, atau The Kennel Club. Goldendoodle telah dikembangkan melangkaui hibrid F1 (anjing pengutip keemasan yang disilangkan dengan pudel) dan kini tersedia dalam generasi lebih dalam yang diwujudkan dengan menyilangkan dua ekor goldendoodle. Ini dipanggil goldendoodle berbilang generasi.[perlu rujukan]

Penampilan

[sunting | sunting sumber]

Penampilan, saiz, dan lapis bulu goldendoodle dapat berbeza-beza menurut generasi pembiakbakaan dan jenis induk pudel.[1] Walaupun sesetengah goldendoodle mengongsi trait lazim, setiap goldendoodle mungkin mempunyai penampilan dan perangai unik sendiri.[8]

Ilustrasi memperincikan penampilan fizikal goldendoodle

Pada umumnya, goldendoodle mempunyai tengkorak bulat, muncung lebar, ekor berjumbai lebat, telinga labuh, dan mata berbentuk bujur.[2] Keindukan anjing pengutip bagi goldendoodle menjadikan tubuhnya panjang dan berotot dan berkemungkinan mempunyai dada dalam dan pendirian lebar.[1]

Goldendoodle dapat dibiakbakakan daripada mana-mana saiz pudel, iaitu piawai, katik, atau mainan, dengan anak terhasil yang terdapat dalam beberapa saiz: goldendoodle piawai, sederhana, dan katik.[2] Goldendoodle piawai biasanya berdiri setinggi 20–25 inci (51–64 cm) dan berukuran seberat 51–80 paun (23–36 kg), goldendoodle sederhana biasanya berdiri setinggi 17–20 inci (43–51 cm) dan berukuran seberat 36–50 paun (16–23 kg), dan goldendoodle katik biasanya berdiri sehingga setinggi 20 inci (51 cm) dan berukuran seberat 15–35 paun (6.8–15.9 kg).

Goldendoodle ialah baka anjing berbulu panjang dan lapis bulunya dapat berbeza-beza. Terdapat tiga jenis lapis bulu utama: lurus, beralun, dan keriting.[2] Goldendoodle berlapis bulu beralun ialah gabungan lapis bulu keriting pudel dengan lapis bulu lurus anjing pengutip keemasan. Lapis bulunya beralun, dengan keriting longgar dan berjumbai. Lapis bulu jenis ini ialah yang paling lazim dalam kalangan goldendoodle. Goldendoodle berlapis bulu keriting menyerupai lapis bulu pudel. Lapis bulunya tebal dan keriting.[2] Lapis bulu goldendoodle terdapat dalam pelbagai warna, dengan warna paling lazim, iaitu krim, merah, hitam, emas, aprikot, perang, atau gabungan (berwarna-warni).[1]

Goldendoodle kerap didakwa bersifat 'hipoalergenik' atau 'tidak bersalin bulu'.[2] Walau bagaimanapun, penyelidikan telah menunjukkan bahawa kehipoalergenikan tidak dapat menjadi ciri baka anjing rasmi.[9] AKC juga bertegas bahawa "tiada perkara seperti anjing hipoalergenik sepenuhnya".[10]

Pernah ada anggapan bahawa semakin tinggi peratusan pudel dalam warisan seseekor goldendoodle, semakin kecil kemungkinan untuk menggugurkan bulu.[1] Pernah juga ada anggapan bahawa goldendoodle berlapis bulu keriting cenderung untuk kurang menggugurkan bulu dan kurang menghasilkan dander.[2]

Tingkah laku

[sunting | sunting sumber]

Pada umumnya, goldendoodle cenderung untuk mewarisi sifat mesra, penyayang, boleh dipercayai, peramah, dan bersemangat daripada anjing pengutip keemasan,[1] sambil menunjukkan kecerdasan, kebolehgaulan, dan kebolehlatihan terkenal daripada pudel.[1] Goldendoodle kebanyakannya mempamerkan paras tinggi bagi tenaga, kesetiaan, dan sifat suka bermain;[1] ia kerap mesra dengan kanak-kanak dan dianggap sebagai haiwan peliharaan keluarga bagus. Walau bagaimanapun, keramahan dan kesetiaan ini bermaksud bahawa ia terdedah kepada keresahan perpisahan, terutamanya sebagai anak anjing.[1][11] Baka silang ini kerap mempamerkan naluri kuat anjing pengutip yang diwarisi daripada baka induk gundog-nya,[11] yang menjadikannya mempunyai mulut aktif dan kecenderungan tinggi untuk mengutip objek.[1]

Sebuah kajian tingkah laku tahun 2019 membandingkan goldendoodle dengan baka induknya dan mendapati bahawa, pada purata, goldendoodle menunjukkan persaingan anjing yang jauh lebih rendah berbanding dengan pudel katik baka tulen dan agresi terarah anjing, ketakutan terarah anjing, dan ketakutan terarah orang asing yang jauh lebih tinggi berbanding dengan anjing pengutip keemasan, pudel katik, atau pudel piawai.[6]

Kesihatan

[sunting | sunting sumber]

Goldendoodle mungkin mengelak daripada mewarisi penyakit atau isu kesihatan daripada induk, tetapi mungkin secara alternatif rentan terhadap lebih banyak isu kesihatan jika induk adalah tidak sihat pada awal-awal lagi.[7]

Goldendoodle cenderung terhadap megaesofagus.[12]

Kepopularan dan kegunaan

[sunting | sunting sumber]

Goldendoodle, yang dibiakbakakan terutamanya sebagai anjing pendamping, telah berjaya dilatih sebagai anjing terapi, anjing pandu,[3] anjing pengesan kekeras yang mengesan kekeras di dalam makanan untuk orang dengan alahan kacang,[13] dan bentuk-bentuk lain anjing pembantu.[14]

Di sesetengah rantau di Amerika Syarikat, ia telah menjadi salah satu keragaman anjing paling popular.[15][16][17] Di Australia, ia dinamakan sebagai salah satu daripada dua puluh keragaman anjing paling popular pada tahun 2020[18] bilamana, oleh sebab peningkatan permintaan untuk haiwan peliharaan semasa pandemik COVID-19, harga untuk seekor anak anjing telah meningkat daripada sekitar $3,500 AUD sebelum pandemik kepada sebanyak $15,000 AUD menjelang September 2020.[19]

Dalam lelongan amal tahun 2012, pemuzik Amerika Usher membayar $12,000 USD untuk seekor anak goldendoodle.[2]

Walaupun kepopularannya yang semakin meningkat, goldendoodle kekal tidak diiktiraf oleh pertubuhan anjing terkemuka seperti American Kennel Club (AKC)[20] atau The Kennel Club kerana status hibridnya.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Jawi: ݢولدندودل
  1. ^ a b c d e f g h i j k MacKenzie, Edie (Februari 2019). Goldendoodles: A Complete Pet Owner's Manual [Goldendoodle: Panduan Lengkap Pemilik Haiwan Peliharaan] (dalam bahasa Inggeris). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: B.E.S. Publishing. ISBN 9781438011622. OCLC 1319032531.
  2. ^ a b c d e f g h i Fogle, Bruce (15 Julai 2013). Dennis-Bryan, Kim (penyunting). The Dog Encyclopedia: The Definitive Visual Guide [Ensiklopedia Anjing: Panduan Visual Muktamad] (dalam bahasa Inggeris). Disumbangkan oleh Ann Baggaley dan Katie John. (ed. berilustrasi). New York, New York, Amerika Syarikat: Dorling Kindersley Publishing. m/s. 294. ISBN 9781465408440. OCLC 812257274.
  3. ^ a b c Bennett Woolf, Norma (1 November 2006). Hot Dogs: Fourteen of the Top Designer Dogs [Hot Dogs: Empat Belas Anjing Pereka Teratas] (dalam bahasa Inggeris). Hauppauge, New York, Amerika Syarikat: B.E.S. Publishing. m/s. 52–57. ISBN 9780764135125. OCLC 74670981.
  4. ^ "goldendoodle". Lexico (dalam bahasa Inggeris). Oxford University Press. Diarkibkan daripada yang asal pada 5 Disember 2019. Dicapai pada 2 Oktober 2025.
  5. ^ Vonnegut, Kurt (30 Oktober 2012). Kurt Vonnegut: Letters [Kurt Vonnegut: Surat] (dalam bahasa Inggeris). New York, New York, Amerika Syarikat: Delacorte Press. m/s. 151. ISBN 9780345535399. OCLC 819342594.
  6. ^ a b Shouldice, Victoria L.; Edwards, Anne Michelle; Serpell, James Andrew; Niel, Lee; Robinson, John Andrew B. (17 Disember 2019). "Expression of Behavioural Traits in Goldendoodles and Labradoodles" [Ekspresi Trait Tingkah Laku pada Goldendoodle dan Labradoodle]. Animals (dalam bahasa Inggeris). MDPI. 9 (12): 1162. doi:10.3390/ani9121162. ISSN 2076-2615. PMC 6940824. PMID 31861203. S2CID 209434318.
  7. ^ a b Nicholas, Frank William; Arnott, Elizabeth R.; McGreevy, Paul Damien (30 Mei 2016). "Hybrid vigour in dogs?" [Kecergasan hibrid pada anjing?]. The Veterinary Journal (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 214: 77–83. doi:10.1016/j.tvjl.2016.05.013. ISSN 1532-2971. PMID 27387730. S2CID 205517668.
  8. ^ Coren, Stanley (1 April 2014). "A Designer Dog-Maker Regrets His Creation" [Pembuat Anjing Pereka Menyesali Ciptaannya] (dalam bahasa Inggeris). Psychology Today. Dicapai pada 2 Oktober 2025.
  9. ^ Vredegoor, Doris W.; Willemse, Anton Hendrik; Chapman, Martin D.; Heederik, Dick J. J.; Krop, Esmeralda J. M. (25 Jun 2012). "Can f 1 levels in hair and homes of different dog breeds: Lack of evidence to describe any dog breed as hypoallergenic" [Paras Can f 1 pada bulu dan di dalam rumah bagi baka anjing berlainan: Kekurangan bukti untuk memerihalkan mana-mana baka sebagai baka hipoalergenik]. The Journal of Allergy and Clinical Immunology (dalam bahasa Inggeris). Mosby. 130 (4): 904–909.e7. doi:10.1016/j.jaci.2012.05.013. hdl:1874/259846. ISSN 1097-6825. PMID 22728082. S2CID 35341873.
  10. ^ Burke, Anna (10 September 2018). "Dog Myths Debunked: Does a Completely Hypoallergenic Dog Exist?" [Mitos Anjing Dibongkar: Adakah Anjing yang Sepenuhnya Hipoalergenik Wujud?] (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 2 Jun 2021. Dicapai pada 2 Oktober 2025.
  11. ^ a b Gagne, Tammy (2008). Designer Dogs [Anjing Pereka] (dalam bahasa Inggeris). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: TFH Publications. m/s. 12–13. ISBN 9780793837915. OCLC 145378602.
  12. ^ Haines, Jillian Marie (30 November 2018). "Survey of owners on population characteristics, diagnosis, and environmental, health, and disease associations in dogs with megaesophagus" [Tinjauan pemilik tentang ciri populasi, diagnosis, dan perkaitan persekitaran, kesihatan, dan penyakit pada anjing dengan megaesofagus]. Research in Veterinary Science (dalam bahasa Inggeris). Elsevier. 123: 1–6. doi:10.1016/j.rvsc.2018.11.026. ISSN 1532-2661. PMID 30543946. S2CID 56489546.
  13. ^ "These Dogs Can Hunt: Sniffing Out Peanuts" [Anjing Ini Mampu Berburu: Menghidu Kacang Tanah] (dalam bahasa Inggeris). ABC News. 16 Januari 2009. Dicapai pada 2 Oktober 2025.
  14. ^ "Girl with Rett syndrome receives goldendoodle service dog from Make-A-Wish" [Budak perempuan dengan sindrom Rett terima anjing khidmat goldendoodle daripada Make-A-Wish] (dalam bahasa Inggeris). KPTV. 27 September 2017. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Jun 2020. Dicapai pada 2 Oktober 2025.
  15. ^ DaRosa, Andrew (24 April 2019). "These are the top dog breeds in the New Haven area" [Inilah baka anjing teratas di kawasan New Haven] (dalam bahasa Inggeris). New Haven Register. Dicapai pada 2 Oktober 2025.
  16. ^ Keith, Emma (25 September 2019). "Labradoodle tops list of Detroit's most popular dog breeds" [Labradoodle atasi senarai baka anjing paling popular Detroit] (dalam bahasa Inggeris). Detroit Free Press. Dicapai pada 2 Oktober 2025.
  17. ^ Huffaker, Christopher (25 September 2017). "The meteoric rise of the 'oodle' — and other cross-breed dogs" [Kenaikan melonjak 'oodle' — dan anjing baka silang lain] (dalam bahasa Inggeris). Pittsburgh Post-Gazette. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Jun 2020. Dicapai pada 2 Oktober 2025.
  18. ^ Farmakis, Bianca (28 Julai 2020). "The most popular pooches in Australia revealed for 2020" [Anjing paling popular di Australia didedahkan untuk 2020] (dalam bahasa Inggeris). 9Honey. Dicapai pada 2 Oktober 2025.
  19. ^ Mullins, Sarah (30 September 2020). "People paying oodles for designer puppies during coronavirus pandemic as demand surges" [Orang bayar banyak untuk anak anjing pereka semasa pandemik koronavirus semain permintaan melonjak] (dalam bahasa Inggeris). ABC News. Dicapai pada 2 Oktober 2025.
  20. ^ "American Kennel Club" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 2 Oktober 2025.

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]
  • Kategori berkaitan Goldendoodle di Wikimedia Commons