Grand Palais

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Grand Palais
Image of the Grand Palais as seen from the Eiffel Tower
Grand Palais (tengah) dan Petit Palais (kanan), dilihat dari Menara Eiffel
Map
Maklumat am
DitubuhkanPameran Sedunia 1900
Jenistapak bersejarah, dewan pameran
Maklumat pentadbiran
Maklumat geografi
Lokasi
Avenue Winston-Churchill,
75008 Paris, Perancis
Maklumat pelawat
Bilangan pelawat
1,412,060 (2017)[1]
Kemudahan pengangkutan awam
Laman sesawang
sunting
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Grand Palais des Champs-Élysées, lazimnya dikenali sebagai Grand Palais (secara harfiahnya, Istana Agung), merupakan sebuah tapak bersejarah, dewan pameran dan kompleks muzium yang terletak di Champs-Élysées di Daerah 8, Paris, Perancis. Bangunan ini juga menempatkan sebuah muzium sains, Palais de la Découverte, sejak 1937 dan Galeries nationales du Grand Palais yang mempamerkan koleksi-koleksi seni dari muzium kebangsaan Perancis sejak 1964. Pembinaan Grand Palais bermula pada 1897 selepas Palais de l'Industrie (Istana Industri) dirobohkan untuk menganjurkan Pameran Sedunia 1900. Pameran itu juga menyebabkan pembinaan Petit Palais dan Pont Alexandre III di sebelahnya.[2]

Bangunan tersebut direka bentuk untuk menganjurkan acara artistik rasmi yang berskala besar. Satu pedimen di atas bangunan itu mempunyai inskripsi yang menerangkan fungsi bangunan itu sebagai "satu monumen yang didedikasikan oleh Republik kepada kegemilangan seni Perancis" (Monument consacré par la République à la gloire de l'art français). Terkenal dengan seni binanya yang bergaya Beaux-Arts, bangunan ini mempunyai muka batu yang penuh dengan hiasan, kekubah kaca dan penggunaan inovasi ketika itu seperti besi, kerangka keluli ringan serta konkrit bertelulang.[3]

Pada 12 Jun 1975, ruang ibu utama bangunan tersebut telah diwartakan sebagai Monumen Bersejarah (Monument historique), klasifikasi tersebut telah diluaskan ke seluruh bangunan Grand Palais yang berluas 40,000 m² itu pada 6 November 2000.[4][5] Ketidakstabilan tapak bangunan tersebut telah menjejaskan strukturnya sedikit demi sedikit. Akhirnya, sebuah projek pemulihan yang mahal terpaksa dilaksanakan pada 1990-an. Ruang ibu utamanya telah dibuka semula pada 2005.[6]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Perancangan[sunting | sunting sumber]

Jambatan Alexander III dengan Grand Palais di belakangnya
Bumbung dan kekubah berkaca Grand Palais

Selepas kerajaan Perancis membuat keputusan pada 1892 untuk menganjurkan sebuah Pameran Sedunia yang baharu pada 1900, suruhanjaya penyediaan mencadangkan agar Palais de l'Industrie dirobohkan. Menurut mereka, pembinaan sebuah bangunan baharu boleh menambah baik persekitaran bandar di esplanad yang akan menganjurkan acara tersebut, dan pada masa yang sama sebuah jalan raya yang lebar boleh dibuka untuk menghubungkan Place des Invalides dengan lebuh Champs-Elysées.[7] Apabila pelan tersebut dirangka, mengikut dekri yang bertarikh 22 April 1896, pihak penganjur menganjurkan sebuah pertandingan reka bentuk bagi bangunan tersebut,[8] namun berbeza dengan pertandingan reka bentuk antarabangsa bagi bangunan lain seperti Palais Garnier pada 1875 atau Istana Trocadero yang lama pada 1878, pertandingan ini hanya boleh disertai oleh arkitek Perancis sahaja.

Selepas pendebatan yang hangat antara penganjur, pihak akhbar dan orang awam, mereka tidak dapat memilih satu pemenang, jadi empat arkitek dilantik untuk menggabungkan usul-usul yang diterima untuk membentuk satu reka bentuk. Berikut merupakan pembahagiaan tugas mereka:[8]

  • Charles-Louis Girault (1851―1932): Penyelarasan keseluruhan serta penalaan halus akhir projek tersebut. Pada masa yang sama, beliau juga perlu memastikan penyiapan projek Petit Palais yang kemudiannya menempatkan Muzium Seni Halus di Paris.[9]
  • Henri-Adolphe-Auguste Deglane (1855―1931): Beliau bertanggungjawab dengan pembinaan ruang ibu utara dan selatan, ruang ibu utama, bahagian melintangnya yang digelar "padok", muka bangunan dan penghiasaanya serta pintu masuk utama dan tiang sejajar (peristyle) yang terletak di kedua-dua sisi "lebuh baharu" yang akan dinamakan sebagai Lebuh Nicholas II dan kemudiannya, Lebuh Winston Churchill.
  • Albert-Félix-Théophile Thomas (1847―1907): Beliau bertanggungjawab untuk pembinaan sayap barat, Palais d'Antin dan pintu masuknya di Lebub Antin yang telah dinamakan sebagai Lebuh Victor Emmanuel III dan kemudiannya, Laluan Franklin Delano Roosevelt.
  • Louis-Albert Louvet (1860―1936): Beliau merangka pelan ini dan bertanggungjawab untuk membina bahagian tengah yang menghubungkan secara simetrinya hasil Deglane dan Thomas, termasuklah "Salon d'honneur". Dengan penyelarasan bersama Deglane, beliau juga terlibat dalam pembinaan Tangga Besar Penghormatan dan prnghiasan dinding belakang padok.

Pembinaan[sunting | sunting sumber]

Grand Palais dalam sebuah poskad yang dikeluarkan pada tahun pembukaannya, 1900

Perobohan Palais de l'Industrie bermula secara berperingkat pada musim bunga 1897 dan tamat pada 1899. Pada masa yang sama, sebanyak 1,500 pekerja dalam tiga pasukan yang dipilih oleh setiap arkitek telah memulakan tugas mereka. Projek itu juga menggunakan teknik pembinaan yang baharu seperti penggunaan konkrit diperkukuhkan yang dicipta oleh François Hennebique pada 1892,[7] pelantak cerucuk janaan wap untuk asas bangunan, kereta api untuk mengangkut bahan binaan, enjin wap untuk membekalkan kuasa kepada dinamo dalam gergaji, kren untuk mengangkut bahan berat, landasan, perancah mudah alih atau satu tanjakan dari tebing sungai Seine untuk mengangkut kuari.[10].

Sifat tanah tapak tersebut yang berbagai-bagai (keras di bahagian utara tetapi berkualiti rendah di bahagian selatan) telah menyebabkan rancangan asal ditangguhkan selama 8 bulan. Pembinaan asas bangunan yang sukar telah dilaksanakan dengan mengorek 3,400 cerucuk oak yang berdiameter 25 hingga 35 cm dan berpanjang 12 meter ke dalam tanah basal berkapur. Bagi pembinaan dinding, teknik dwidinding telah digunakan: lapisan luar dihasilkan dengan blok batu dari seluruh Perancis manakala lapisan dalam dibuat daripada bata dan batu. Berbeza dengan amalan yang biasa, struktur besi telah dibina selepas batu-bata diletakkan tanpa sendi pengembangan untuk mengurangkan tempoh pembinaan. Apabila siap dibina, bangunan tersebut telah menggunakan 8,500 tan bahan binaan, 500 tan lebih banyak berbanding dengan Menara Eiffel dan 2,000 tan lebih kurang berbanding denga Stesen Orsay.[7] Namun, semasa hari perasmiannya, masih wujudnya bahagian dalaman yang belum disiapkan.[10]

Pembukaan[sunting | sunting sumber]

Presiden Republik Ketiga Perancis, Émile Loubet, merupakan salah seorang hadirin dalam upacara perasmian Grand Palais pada 1900

Grand Palais dirasmikan pada 1 Mei 1900, ketika Republik Ketiga Perancis berada di tengah-tengah sebuah krisis politik yang apabila berlakunya Peristiwa Dreyfus. Upacara pembukaan dihadiri oleh Émile Loubet (1838―1929), Presiden Republik Perancis, René Waldeck-Rousseau (1846―1904), Presiden Majlis dan Menteri Dalam Negeri dan Budaya Perancis, Georges Leygues (1857―1933), Menteri Pendidikan dan Seni Halus, Alexandre Millerand (1859―1943), Menteri Kewangan, Industri, Pos dan Telekomunikasi, serta Alfred Picard (1844―1913), Pesuruhjaya Jeneral Pameran Sedunia Paris. Sebuah inskripsi yang diukir pada salah satu batu di dinding bangunan tersebut memperingati peristiwa tersebut. Projek pembinaan Grand Palais di Paris telah berharga 24 juta franc ketika itu, seperti yang dinyatakan dalam panduan Pameran Sedunia. Semasa Pameran Sedunia, Grand Palais telah digunakan untuk mempamerkan karya fotografi, menganjurkan konsert dan pertandingan ekuestrian.[11]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ The Art Newspaper Review, April 2018
  2. ^ "Grand Palais". Champs-elysees-paris.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-07-05. Dicapai pada 2010-07-08.
  3. ^ Sesan Iwarere (2005). "Paris 1900: Grand Palais". University of Maryland Libraries. Dicapai pada 2022-05-23.
  4. ^ "Le Grand Palais". parisvisite.net (dalam bahasa Perancis). Diarkibkan daripada yang asal pada 29 September 2007.
  5. ^ Base Mérimée: PA00088877, Ministère français de la Culture. (dalam bahasa Perancis) Grand Palais
  6. ^ "La Nef Du Gran Palais Paris" (PDF). Etablissement public de Maîtrise d'Ouvrage des travaux Culturels (dalam bahasa Perancis). Kementerian Budaya Perancis. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 28 September 2007.
  7. ^ a b c "Un peu d'histoire sur Le Grand Palais Du Palais de l'Industrie au Grand Palais des Beaux-Arts" (PDF). Etablissement public de Maîtrise d'Ouvrage des travaux Culturels (dalam bahasa Perancis). Kementerian Budaya Perancis. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 19 Disember 2006.
  8. ^ a b Iwarere, Sesan. "Grand Palais". University Libraries. Universiti Maryland. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Mac 2007.
  9. ^ Lapauze, H.; de Nansouty, Max; da Cunha, A; Jarzuel, H.; Vitoux, G.; Guillet, L. (1900). Le guide de l'Exposition de 1900 (dalam bahasa Perancis). Paris: Exposition internationale.
  10. ^ a b Perrot, Alain-Charles (21 Oktober 2004). "Construction et rénovation du Grand-Palais" (PDF) (dalam bahasa Perancis). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 28 September 2007.
  11. ^ Le guide de l'Exposition de 1900. m/s. 53.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]