Grifon Brussel

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Grifon Belgium)
Grifon Brussel
Seekor grifon Brussel
Nama lain
  • Grifon Belgium
  • Anjing kecil Brabant
  • Grifon kecil Brabant
  • Grifon Brabant
Nama ringkas
  • Griffon
  • Griff
  • Bruss
Negara asalBelgium
Anjing (Canis lupus familiaris)

Grifon Brussel ialah satu baka anjing mainan yang dinamai sempena bandar raya asal usulnya: Brussel, Belgium. Grifon Brussel mungkin merujuk tiga baka berlainan, iaitu grifon Brussel,[a] grifon Belgium,[b] dan anjing kecil Brabant[c] (grifon kecil Brabant,[d] grifon Brabant[e]).[1][2] Dengan piawaian serupa kecuali mengenai perbezaan bulu dan warna, dalam sesetengah piawaian ketiga-tiga ini dianggap sebagai keragaman bagi baka sama, sama seperti anjing gembala Belgium.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Anjing kecil Brabant berbulu pendek

Ketiga-tiga variasi grifon Brussel, iaitu grifon Brussel, grifon Belgium, dan anjing kecil Brabant, kesemuanya diturunkan daripada anjing yang dipanggil smousje, iaitu anjing kecil berbulu kasar mirip terier yang dibela di dalam kandang kuda untuk menghapuskan rodensia,[1][2] serupa dengan smoushond Belanda. Anjing kecil berbulu kasar di latar hadapan lukisan Jan van Eyck Perkahwinan Arnolfini dianggap sebagai bentuk awal bagi baka ini. Di Belgium, pemandu kereta kuda menyukai griffon d'écurie kecil mereka (anjing berbulu dawai kandang) yang berwaspada dan, pada abad ke-19, mereka membiakbakakan grifon mereka dengan anjing mainan import. Pembiakbakaan dengan pug dan King Charles spaniel menghasilkan jenis baka semasa, tetapi juga membawa lapis bulu hitam pendek yang membawa kepada anjing kecil Brabant, yang pada asalnya merupakan kecacatan pada baka ini. Spaniel tersebut juga membawa warna merah pekat dan hitam dan sawo matang pada grifon Brussel dan grifon Belgium moden.[3]

Grifon Brussel semakin popular pada lewat abad ke-19 sesama kedua-dua golongan pekerja dan bangsawan di Belgium. Grifon Brussel pertama didaftarkan pada tahun 1883 dalam jilid pertama buku pembaka kelab kenel Belgium, Livre des Origines Saint-Hubert (LOSH).[1][2] Kepopularan baka ini meningkat dengan minat Ratu Marie Henriette, seorang penggemar anjing yang melawat pertunjukan anjing tahunan di Belgium dengan rajin, kerap bersama puteri baginda, dan menjadi pembiak baka dan penggalak grifon Brussel, lalu memberikannya kemasyhuran dan kepopularan antarabangsa. Banyak anjing dieksport ke negara lain, lalu membawa kepada kelab-kelab grifon Brussel di England (1897)[4] dan kelab-kelab grifon Brussel di Amerika Syarikat (1945).[5]

Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua terbukti sebagai tempoh bencana untuk baka ini. Angka baka yang semakin pulih selepas Perang Dunia Pertama terhalang oleh peningkatan kewaspadaan dalam pembiakbakaan untuk menjauhi kecacatan seperti jari kaki renang. Menjelang penghujung Perang Dunia Kedua, Belgium hampir tidak mempunyai grifon Brussel asli tersisa, dan hanya melalui kewaspadaan pembiak baka berdedikasi (terutamanya di United Kingdom), baka ini bertahan sama sekali.[perlu rujukan]

Baka ini tidak pernah banyak atau popular, tetapi melalui trend singkat pada lewat tahun 1950-an dan kini pada umumnya merupakan baka kurang umum. Terdapat peningkatan minat baru-baru ini di Amerika Syarikat oleh sebab kemunculan seekor grifon dalam filem As Good as It Gets[perlu rujukan] dan juga kerana peningkatan umum dari segi minat terhadap anjing mainan.[perlu rujukan]

Perihal[sunting | sunting sumber]

Grifon Brussel secara tipikal merupakan baka kecil dengan bingkai tegap. Grifon dewasa biasa berdiri setinggi 9–11 inci (23–28 cm) dan berukuran seberat 8–10 paun (4–5 kg).[6] Ia mempunyai kepala berkubah, hidung pendek, dan gigitan bawah. Ciri-ciri muka mirip manusia merupakan ilham untuk Ewok.[7]

Grifon terdapat dengan dua varian lapis bulu, lapis bulu dawai/kasar dan lapis bulu licin. Bulunya dapat berwarna merah, hitam dan sawo matang, atau hitam dan kemerah-merahan. Grifon berbulu pendek memerlukan sedikit penjagaan bulu sementara grifon berlapis bulu dawai/kasar memerlukan perhatian penjagaa bulu mingguan.[7]

Pada umumnya, pembiak baka memotong ekor dan telinga anak anjing yang dijual. Amalan ini menyalahi undang-undang di kebanyakan bahagian Eropah dan semakin dipandang rendah di Amerika Syarikat, tetapi masih diamalkan di sesetengah tempat.[perlu rujukan]

Perangai[sunting | sunting sumber]

Grifon Brussel terkenal kerana memaparkan sifat penting diri ketara.[perlu rujukan] Grifon tidak patut silu atau agresif, tetapi ia sangat sensitif dari segi emosi dan, oleh sebab ini, patut disosialisasi secara berhati-hati pada usia muda.[8] Grifon juga patut berwaspada, ingin tahu, dan berminat terhadap persekitarannya.

Grifon cenderung untuk menjalin hubungan dengan seorang manusia lebih daripada dengan yang lain dan sangat baik dengan kanak-kanak selagi ia tidak diusik. Ia tidak begitu sabar tetapi suka bermain. Grifon cenderung untuk bergaul dengan baik dengan haiwan lain di dalam rumah, termasuk kucing, feret, dan anjing lain. Walau bagaimanapun, ia tidak mempunyai konsep saiz relatif sendiri dan mungkin mencuba untuk mendominasi anjing yang jauh lebih besar daripada diri sendiri.[9]

Kesihatan[sunting | sunting sumber]

Grifon Brussel
Anak anjing kecil Brabant
Anjing kecil Brabant

Grifon mempunyai agak sedikit masalah kesihatan terwaris, tetapi masih patut diuji untuk kecacatan kongenital, yang paling serius ialah siringomielia (SM) dan malformasi mirip Chiari (CM).[10][11] Jangka hayat tipikal grifon adalah dalam lingkungan 10 hingga 15 tahun.[12]

Kelahiran[sunting | sunting sumber]

Seekor anak grifon

Grifon biasanya tidak mempunyai masalah untuk bersalin dengan sendiri, tetapi kadang-kadang komplikasi dapat mewajibkan pembedahan sesar. Saiz perinduk adalah apa-apa dalam lingkungan 1–10 ekor anak anjing (purata sekitar 4–5 ekor). Saiz perinduk kerap menentukan tahap bagi komplikasi ini. Apabila lahir, anak anjing hanya berukuran seberat beberapa auns (kira-kira 100 gram (3.5 oz)) dan cukup kecil untuk muat di tapak tangan orang dewasa.

Lelangit rekah[sunting | sunting sumber]

Salah satu isu yang lazimnya membawa maut kepada anak anjing ialah kehadiran sumbing lelangit. Keadaan ini mengakibatkan anak anjing tidak mendapat makanan daripada ibunya dan akhirnya kebuluran. Ini kurang umum tetapi, bergantung pada saiz sumbing, ada kemungkinan untuk anak anjing itu untuk bertahan. Apabila ia menjadi lebih tua, pembedahan dapat dilakukan untuk menutup lubang.

Mata[sunting | sunting sumber]

Kebanyakannya mempunyai mata besar yang mungkin memerlukan pemeriksaan semula daripada doktor haiwan.

  • Laserasi - Laserasi ialah isu umum sesama baka ini. Oleh sebab grifon mempunyai mata beigut besar dan muncung pendek, terdapat sangat sedikit untuk melindungi penglihatannya daripada benda-benda asing. Jika laserasi terbiar tidak terawat, ini dapat mengakibatkan kebutaan.
  • Katarak - Seperti kebanyakan baka, katarak ialah masalah umum semakin anjing menua. Untuk ramai pembiak baka, ada kekecewaan kerana katarak biasanya berkembang lama selepas anjing berkenaan telah dibiakbakakan.[13]
  • Kehelan kantaKehelan kanta dapat menjadi hal agak umum pada baka ini dan mengakibatkan glaukoma sekunder[13]
  • GlaukomaGlaukoma juga dapat menjadi isu umum sesama grifon kerana ciri muka dan saiz mata baka ini.[13]

Strok haba[sunting | sunting sumber]

Walaupun grfon mempunyai muncung pendek, strok haba bukan kebimbangan besar untuknya sebagaimana untuk baka-baka bermuka rata lain.[perlu rujukan] Muncung pendek baka ini mungkin menyebabkan masalah pernafasan pada suhu ekstrem, tetapi, secara keseluruhan, ia menahan cuaca panas dan sejuk dengan baik. Seperti mana-mana baka, pemilik mesti menggunakan akal fikiran dan tidak meninggalkannya di luar rumah tanpa perlindungan daripada unsur-unsur atau mengenakan senaman ketat semasa suhu ekstrem.

Siringomielia[sunting | sunting sumber]

Siringomielia (SM) ialah keadaan yang menjejaskan otak dan spina, lalu menyebabkan gejala daripada ketidakselesaan ringan kepada nyeri parah dan kelumpuhan separa. Siringomielia bercirikan rongga berisi bendalir di dalam saraf tunjang. SM berlaku secara sekunder kepada sekatan bendalir serebrospina (CSF) terutamanya jika sekatan itu berada di foramen magnum.

Bukan semua anjing dengan SM mempunyai tanda-tanda klinikal. Kehadiran tanda-tanda berkorelasi dengan lebar sirinks dan tahap kerosakan tanduk dorsal saraf tunjang. Sirinks dapat berkembang secara progresif dan anjing yang tanpa gejala pada awal kehidupan akhirnya mungkin mengalami nyeri.

Malformasi mirip Chiari (CM) mungkin berlaku sebagai faktor predisposisi kepada SM. Menurut sebuah kajian, 61.7% daripada grifon dengan SM menghidap CM.[14]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: ݢريفون بروسل; Perancis: griffon bruxellois; Belanda: Brussels griffonnetje; bahasa Inggeris: Brussels griffon
  2. ^ Jawi: ݢريفون بيلجيئم; Perancis: griffon belge; Belanda: Belgisch griffonnetje; bahasa Inggeris: Belgian griffon
  3. ^ Jawi: انجيڠ کچيل برابنت; Perancis: petit brabançon; Belanda: kleine brabander
  4. ^ Jawi: ݢريفون کچيل برابنت
  5. ^ Jawi: ݢريفون برابنت

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c "Standard FCI N° 80 GRIFFON BRUXELLOIS; Standard FCI N° 81 GRIFFON BELGE; Standard FCI N°82 PETIT BRABANÇON" [Piawaian FCI No. 80 Grifon Brussel; Piawaian FCI No. 81 Grifon Belgium; Piawaian FCI No. 82 Anjing Kecil Brabant] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Perancis). 5 Mei 2003. Dicapai pada 22 Januari 2024.
  2. ^ a b c "FCI-Standard N° 80 GRIFFON BRUXELLOIS; FCI-Standard N° 81 GRIFFON BELGE; FCI-Standard N° 82 PETIT BRABANÇON" [Piawaian FCI No. 80 Grifon Brussel; Piawaian FCI No. 81 Grifon Belgium; Piawaian FCI No. 82 Anjing Kecil Brabant] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Pamela Jeans-Brown. Disemak oleh Raymond Triquet. 5 Mei 2003. Dicapai pada 22 Januari 2024.CS1 maint: others (link)
  3. ^ "American Kennel Club - Brussels Griffon History" (dalam bahasa Inggeris). American Kennel Club. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  4. ^ "Account Suspended". Griffonclub1897.co.uk (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Februari 2024.
  5. ^ "Welcome brussels-griffon.info - BlueHost.com". Brussels-griffon.info (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Februari 2024.
  6. ^ "Brussels Griffon : Dog Breed Selector : Animal Planet". Animalplanet.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Februari 2024.
  7. ^ a b "Brussels Griffon - Appearance & Grooming". Petwave.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 15 Jun 2018. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  8. ^ The Complete Dog Book (Inggeris). (2006). Amerika Syarikat: Ballantine Books.
  9. ^ "The Brussels Griffon: Is this the breed for you?". American Brussels Griffon Association (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Februari 2024.
  10. ^ "Canine Inherited Disorders Database - University of Prince Edward Island". Upei.ca (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 6 Februari 2024.
  11. ^ "Health | Bruxellois Griffon" (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 17 November 2011. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  12. ^ "Purebred Breed Health Survey 2004". Thekennelclub.org.uk (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Ogos 2013. Dicapai pada 6 Februari 2024.
  13. ^ a b c Weiss, Seymour N. Brussels Griffon: A Complete and Reliable Handbook (dalam bahasa Inggeris). Neptune City, New Jersey, Amerika Syarikat: T.F.H Publications Inc.
  14. ^ Bell, Jerold S. (2012). Veterinary medical guide to dog and cat breeds (dalam bahasa Inggeris). Jackson, Wyoming, Amerika Syarikat. m/s. 111–112. ISBN 9781482241419.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]