Gung Ye
| Gung Ye 弓裔 궁예 | |||||
|---|---|---|---|---|---|
Potret Gung Ye | |||||
| Raja Taebong | |||||
| Pemerintahan | Julai 901 – 24 Julai 918[a] | ||||
| Kemahkotaan | Julai 901 | ||||
| Didahului oleh | Penubuhan dinasti | ||||
| Diikuti oleh | Pemansuhan dinasti (Taejo dari Goryeo sebagai Raja Goryeo pertama) | ||||
| Pemangku raja | Ku Chin (905–906) Wang Kon (912–913) | ||||
| Keputeraan | s. 869 | ||||
| Kemangkatan | 24 Julai 918 | ||||
| Pasangan | Ratu Kang | ||||
| Anakanda | Chong-gwang Sin-gwang Sun-baek | ||||
| |||||
| Ayahanda | Tidak diketahui, legenda menyatakan Heonan dari Silla atau Gyeongmun dari Silla | ||||
| Agama | Buddhisme | ||||
| Nama Korea | |||||
| Hangul | 궁예 | ||||
| Hanja | 弓裔 | ||||
| PDS | Gung Ye | ||||
| MR | Kung Ye | ||||
| Nama Dharma | |||||
| Hangul | 선종 | ||||
| Hanja | 善宗 | ||||
| PDS | Seonjong | ||||
| MR | Sŏnjong | ||||
| Nama lain | |||||
| Hangul | 미륵 | ||||
| Hanja | 彌勒 | ||||
| PDS | Mireuk | ||||
| MR | Mirŭk | ||||
Gung Ye (Korea: 궁예; Hanja: 弓裔; s. 869 – 24 Julai 918) ialah raja kepada negara Taebong (901–918), sebuah kerajaan jangka pendek dalam zaman Tiga Kerajaan Akhir di Korea. Beliau didakwa sebagai anak kepada sama ada Raja Heonan dari Silla atau Raja Gyeongmun dari Silla, namun ketepatan dakwaan tersebut tidak dapat dipastikan sepenuhnya.[1][2] Gung Ye kemudiannya muncul sebagai pemimpin pemberontak menentang kerajaan Silla yang tidak popular, yang ketika itu hampir mengabaikan urusan rakyat akibat perebutan kuasa dalam kalangan kerabat diraja.[3]
Kelahiran
[sunting | sunting sumber]Tarikh sebenar kelahiran Gung Ye tidak diketahui, tetapi catatan sejarah menganggap beliau sebagai putera kepada Raja Heonan atau Raja Gyeongmun;[1][2][4] ibunya dikatakan seorang wanita istana yang sangat disayangi.[5][3]
Menurut legenda, Gung Ye dilahirkan pada perayaan tradisional Dano. Seorang nujum diraja meramalkan bahawa bayi yang lahir pada hari Dano akan membawa malapetaka kepada negara, lalu para pegawai istana dan kerabat diraja mendesak raja supaya menyingkirkan bayi itu. Raja kemudian mengarahkan agar anak tersebut dibunuh. Namun demikian, ketika askar menyerbu kediaman ibu Gung Ye, beliau mencampakkan bayinya dari tingkat dua, dan seorang dayang yang menunggu di semak berhampiran berjaya menangkap bayi itu. Walaupun helah tersebut berjaya memperdayakan para askar, dayang itu secara tidak sengaja tercucuk mata kiri bayi tersebut, menyebabkan Gung Ye kehilangan sebelah mata. Dayang itu menyembunyikan dan membesarkan Gung Ye secara rahsia; setelah kematiannya, Gung Ye menjadi seorang sami Buddha di Sedalsa (세달사), sebuah kuil Buddha.[5][3]
Pemberontakan
[sunting | sunting sumber]Pada ketika itu, pemerintah Silla ialah Ratu Jinseong (kakak tiri Gung Ye), yang merupakan ketua negara wanita ketiga dalam sejarah Korea (yang lain ialah Ratu Seondeok dari Silla, Ratu Jindeok dari Silla, dan kemudian Presiden Park Geun-hye). Ratu Jinseong merupakan pemerintah yang lemah, dan pentadbiran kerajaan ketika itu banyak dipengaruhi campur tangan kerabat diraja serta rasuah berleluasa dalam kalangan pegawai istana.[6] Kerajaan yang lemah itu terus menindas para petani dan penyewa tanah, dan selepas setahun mengalami kebuluran, cukai dinaikkan secara besar-besaran pada tahun 889. Langkah ini mencetuskan banyak pemberontakan.[5][3][7] Golongan bangsawan tempatan, dikenali sebagai hojok (호족; 豪族), muncul sebagai pemerintah de facto di banyak wilayah, manakala perhatian kerajaan tertumpu kepada usaha menindas pemberontakan dan perebutan kuasa dalaman.[8] Dalam kalangan pemimpin pemberontak dan bangsawan tempatan, Ki Hwŏn dan Yang Kil muncul sebagai tokoh yang paling berpengaruh.[3]
Gung Ye mula menyertai pasukan Ki Hwon pada tahun 891 tetapi berpisah tidak lama kemudian kerana Ki Hwon tidak sepenuhnya mempercayainya.[9] Gung Ye kemudian menyertai kumpulan pemberontak Yang Kil pada tahun 892,[10][11] dan menjadi jeneral utama pasukan tersebut setelah berjaya menewaskan tentera Silla tempatan serta kumpulan pemberontak yang lain. Kebanyakan bangsawan tempatan di Myeongju dan Paeseo, termasuk Wang Kŏn tunduk kepada kekuasaannya, menjadikan beliau lebih berpengaruh daripada ketuanya sendiri, iaitu Yang Kil.[5][3] Silla yang pernah menjadi kerajaan berpusat selama hampir satu milenium, sedang mengalami kejatuhan dengan pantas, dan Gung Ye melancarkan pemberontakannya sendiri di kawasan yang kini merupakan Kaesŏng pada tahun 898. Setelah berpaling tadah terhadap tuannya, Yang Kil, beliau akhirnya menewaskan dan menundukkan Yang Kil serta para penguasa tempatan lain di tengah Korea, lalu mengisytiharkan dirinya sebagai raja Goguryeo Akhir pada tahun 901 sebagai pewaris kepada bekas kuasa hegemoni Asia Timur Laut, Goguryeo.
Dengan munculnya pesaingnya Gyeon Hwon yang menubuhkan Baekje Akhir di barat daya semenanjung sebagai pewaris kepada kerajaan maritim Baekje, bermulalah zaman Tiga Kerajaan Akhir dalam sejarah Korea, merujuk kepada tempoh Tiga Kerajaan Korea beberapa abad sebelumnya.[3][4]
Kejatuhan
[sunting | sunting sumber]Gung Ye menukar nama negaranya kepada Majin pada tahun 904, dan memindahkan ibu kotanya ke Cheorwon pada tahun berikutnya. Memandangkan Cheorwon ialah sebuah kubu yang terletak di kawasan pergunungan, beliau memindahkan penduduk dari kota Cheongju yang padat dan meluaskan pemerintahannya ke wilayah Chungcheong, menguasai hampir dua pertiga daripada tanah yang pernah berada di bawah kekuasaan Silla. Pada tahun yang sama, Gung Ye menakluk Pyongyang dan menyeru kepada pemusnahan sepenuhnya negara Silla.[3][4]
Dalam usaha mencari cara terbaik untuk menyatukan rakyatnya, beliau mahukan ideologi penyatuan yang lebih kuat. Oleh itu, sekitar tahun 905, beliau beralih kepada agama.[12] Gung Ye berpendapat bahawa kepercayaan agama diperlukan untuk menyatukan rakyat di bawah pemerintahannya, dan dengan latar belakangnya sebagai seorang sami Buddha, beliau menggelar dirinya sebagai Buddha Maitreya, iaitu figura yang dipercayai datang ke dunia untuk membimbing serta menyelamatkan manusia yang menderita.[13] Beliau kemudian menukar nama kerajaannya kepada Taebong pada tahun 911.[3][4]
Pada tahun-tahun terakhir pemerintahannya, dicatatkan bahawa Gung Ye mula menunjukkan tanda-tanda paranoia. Beliau mendakwa memiliki keupayaan ghaib untuk membaca fikiran, lalu menuduh ramai pegawainya secara sewenang-wenangnya sebagai pengkhianat dan menjatuhkan hukuman mati kepada sesiapa sahaja yang menentangnya.[14] Beliau menuduh Permaisuri Kang, salah seorang isterinya yang tidak setia, dan membunuhnya dengan menolak batang besi merah dan panas ke dalam rahimnya. Dua anak mereka turut dihukum mati.[15][3] Akibatnya, pada tahun 918, empat jeneral tertingginya, iaitu Hong Yu (홍유; 洪儒), Pae Hyŏn-gyŏng (배현경; 裵玄慶), Sin Sung-gyŏm dan Pok Chigyŏm (복지겸; 卜智謙) menggulingkan Gung Ye dan menaikkan Wang Kŏn, salah seorang pengikut Gung Ye dan bekas ketua menteri negaranya, sebagai raja.[5][13] Gung Ye dikatakan melarikan diri dari istana, tetapi dibunuh tidak lama kemudian sama ada oleh seorang askar atau oleh petani yang menyangka beliau seorang pencuri.[16]
Tidak lama selepas itu, dinasti Goryeo diisytiharkan, dan Wang Kŏn kemudiannya menewaskan Silla dan Baekje Akhir untuk menyatukan semula tiga kerajaan pada tahun 936.[17]
Teori alternatif asal usul
[sunting | sunting sumber]Sesetengah ahli sejarah mengemukakan teori bahawa Gung Ye sebenarnya merupakan keturunan langsung Ko Ansŭng, yang pernah menjadi pemerintah Goguryeo-Guk, iaitu sebuah negara kebangkitan Goguryeo yang gagal. Catatan Silla melaporkan bahawa Ko Ansŭng diberikan nama keluarga diraja Silla, iaitu "Kim." Oleh itu, asal usul Gung Ye yang lazimnya dikenal pasti sebagai seorang putera Silla adalah betul dalam satu aspek, namun kemungkinan bahawa Gung Ye merupakan anak kepada seorang raja Silla mungkin tidak benar.[18]
Legasi
[sunting | sunting sumber]Walaupun Gung Ye tidak berjaya mengekalkan pemerintahannya atau menyatukan Semenanjung Korea di bawah kekuasaannya, ramai sarjana pada hari ini cuba menilai semula sifat sebenar Gung Ye. Rekod sejarah mengenai Gung Ye sebahagian besarnya bersifat negatif, kerana ramai sejarawan pada zaman Goryeo berusaha untuk membenarkan rampasan kuasa oleh Wang Kŏn yang menggulingkan Gung Ye, demi mengukuhkan keabsahan dinasti baharu tersebut.[19] Namun begitu, selepas penubuhan Goryeo, ramai penduduk menolak pemerintahan Wang Kŏn dan memberontak terhadap dinasti yang baru dibentuk itu; malah ada yang secara sukarela berpaling tadah kepada Baekje Akhir pimpinan Gyeon Hwon. Perkembangan ini menunjukkan bahawa ramai orang, walaupun selepas rampasan kuasa yang menaikkan Wang Kŏn, masih menyukai pemerintahan Gung Ye, dan bahawa beliau mungkin bukan seorang pemerintah zalim sepenuhnya seperti yang digambarkan dalam sejarah.
Sesetengah sarjana menjelaskan bahawa tindakan Gung Ye mengisytiharkan dirinya sebagai Buddha merupakan usaha untuk mengukuhkan kuasanya, kerana sebagai anggota kerabat diraja Silla, beliau tidak mempunyai pengaruh yang besar terhadap tuan tanah dan pedagang tempatan yang berkuasa. Oleh itu, beliau cuba menggunakan kekuatan agama untuk mengekalkan pemerintahannya, namun usaha itu tidak membawa hasil yang berkesan.[3]
Keluarga
[sunting | sunting sumber]- Isteri: Ratu Kang (강비, meninggal 915)
- Anak lelaki: Kim Ch'ŏnggwang (김청광, meninggal 915)
- Anak lelaki: Kim Singwang (김신광, meninggal 915)
- Anak lelaki: Kim Sunbaek (김순백)
Nota
[sunting | sunting sumber]- ^ Menurut kalendar Korea (lunisolar), beliau memerintah dair Julai 901 hingga 14 Jun 918.
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b "Gung Ye's Unfulfilled Dream of a New World". KBS World. January 12, 2012. Dicapai pada 16 February 2024.
- ^ a b 송, 은일 (October 11, 2012). "궁예는 신라 헌안왕의 아들이었다". Yonhap News Agency. Dicapai pada 18 February 2024.
- ^ a b c d e f g h i j k (dalam bahasa Korea) Gung Ye Diarkibkan 2011-06-10 di Wayback Machine at Encyclopedia of Korean Culture
- ^ a b c d (dalam bahasa Korea) Gung Ye Diarkibkan 2023-08-10 di Wayback Machine at Doosan Encyclopedia
- ^ a b c d e (dalam bahasa Korea) Gung Ye Diarkibkan 2012-02-27 di Wayback Machine at The Academy of Korean Studies
- ^ (dalam bahasa Korea) Queen Jinseong[pautan mati kekal] at Doosan Encyclopedia
- ^ Korea through the Ages Vol. 1, pp. 100–101
- ^ Korea through the Ages Vol. 1, p. 103
- ^ (dalam bahasa Korea) Gi Hwon Diarkibkan 2011-07-22 di Wayback Machine at The Academy of Korean Studies
- ^ (dalam bahasa Korea) Yang Gil[pautan mati kekal] at Doosan Encyclopedia
- ^ Il-yeon, Samguk Yusa: Legends and History of the Three Kingdoms of Ancient Korea, translated by Tae-Hung Ha and Grafton K. Mintz. Book Two, p. 126. Silk Pagoda (2006). ISBN 1-59654-348-5
- ^ (dalam bahasa Korea) [1] at Encyclopedia of Korean Culture
- ^ a b Korea through the Ages Vol. 1 p. 112
- ^ Seth, Michael J. (2006). A Concise History of Korea: From the Neolithic Period through the Nineteenth Century (dalam bahasa Inggeris). Rowman & Littlefield Publishers. m/s. 70. ISBN 9780742574717.
- ^ Hurst, C. Cameron (Summer–Fall 1981). "The Good, The Bad and The Ugly: Personalities in the Founding of the Koryo Dynasty" (PDF). Korean Studies Forum. 7: 1–27. Dicapai pada 8 November 2023.
- ^ Joanna Rurarz (2009). Historia Korei. Dialog. m/s. 145. ISBN 978-83-89899-28-6.
- ^ (dalam bahasa Korea) Taejo Diarkibkan 2023-08-10 di Wayback Machine at Doosan Encyclopedia
- ^ Seo Byeongguk (서병국), The History of Balhae Empire (발해제국사) p36, Seohaemunjib, Paju, 2005. ISBN 89-7483-242-9.
- ^ 궁예 (dalam bahasa Korea). Dicapai pada 2018-05-26.
- The Academy of Korean Studies, Korea through the Ages Vol. 1, The Editor Publishing Co., Seoul, 2005. ISBN 89-7105-544-8
Gung Ye Tarikh keputeraan: c. 869 Tarikh kemangkatan: 918
| ||
| Gelaran pemerintah | ||
|---|---|---|
| Didahului oleh tiada |
Raja Taebong 901–918 |
Diikuti oleh: Taejo |
| Gelar sebagai penuntut | ||
| Didahului oleh tiada |
— TIDAK MEMERINTAH — Raja Goguryeo Dakwaan Goguryeo 901–918 Alasan untuk kegagalan Pewarisan: Digulingkan oleh Taejo |
Diikuti oleh: Taejo |