Gunung Kinabalu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Gunung Kinabalu
ݢونوڠ کينبالو
MtKinabalu view from kundasan.jpg
Gunung Kinabalu
Titik tertinggi
Ketinggian 4,095 m (13,435 ka)
Tonjolan 4,095 m (13,435 ka)
Koordinat 06°05′N, 116°33′E
Geografi
Lokasi Sabah, Borneo
Induk banjaran Banjaran Crocker
Pendakian
Pendakian pertama 1858 oleh H. Low dan S. St. John
Laluan paling mudah Mendaki

Gunung Kinabalu yang terletak di Sabah, Malaysia merupakan puncak tertinggi di Malaysia dan puncak tertinggi di Asia Tenggara yang ketinggiannya mencecah 4,095 meter dari aras laut.[1] Dari segi persempadanan geografi, gunung Kinabalu merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara. Hal ini adalah kerana Hkakabo Razi terletak di banjaran Himalaya yang terletak di plat tetonik benua India, sementara Puncak Jaya, Puncak Trikora, dan Puncak Mandala pula terletak di benua Oseania.

Terdapat beberapa pertikaian mengenai kedudukan ketinggian Gunung Kinabalu di Asia Tenggara, bergantung kepada cara pentakrifan ketinggian gunung dan sempadan Asia Tenggara. Puncak Raya (juga dikenali sebagai Piramid Carstenz) telah diakui sebagai puncak tertinggi di Oseania.[2] Indonesia dari segi politik umumnya dianggap sebahagian daripada Asia Tenggara, tetapi dari segi geologi dianggap sebahagian daripada Oseania – disebabkan Indonesia tidak bercantum secara fizikal dengan benua Asia.

Gunung Kinabalu mempunyai kawasan hutan dipterokarp bukit, hutan dipterokarp atas, hutan montane dan hutan ericaceous atau hutan gunung.

Gunung Kinabalu merupakan lambang kemegahan kepada setiap penduduk yang tinggal di Sabah. Sesetengah penduduk menganggap Gunung Kinabalu ini merupakan gunung yang dapat memberikan semangat juang dan satu padu rakyat Sabah. Gunung Kinabalu banyak menyimpan cerita dan kisah-kisah yang misteri. Menurut kepercayaan masyararakat Kadazan Sabah, Gunung Kinabalu merupakan tempat bersemadinya semangat mereka selepas meninggal dunia.[perlu rujukan]

Peta laluan bagi trek dakian ke puncak Gunung Kinabalu.

Pembentukan[sunting | sunting sumber]

Gunung Kinabalu terhasil daripada pertembungan litosfera Laut China Selatan dan litosfera yang membentuk kepulauan Borneo. Litosfera ialah bahagian paling atas permukaan kerak bumi. Dalam pertembungan itu, litosfera Laut Cina Selatan semakin terbenam ke bawah permukaan bumi memberi tekanan kepada litosfera yang membentuk Kepulauan Borneo.

Tekanan itu menolak bongkah Gunung Kinabalu yang terletak di bawah permukaan bumi naik ke atas permukaan bumi. Tolakan itu menyebabkan Gunung Kinabalu semakin meninggi setiap tahun tetapi pada kadar yang amat perlahan (5 mm) dan sukar dilihat dengan mata kasar.[3]

Ketinggian asal Gunung Kinabalu dipercayai lebih tinggi iaitu antara lima hingga lapan kilometer (km) daripada ketinggian sekarang.[4] Bagaimanapun, hakisan yang berlaku selama berjuta-juta tahun menyebabkan paras Gunung Kinabalu kini hanya tinggal 4,095 meter dan mempunyai potensi untuk berkurangan. Penyataan ini boleh diakui kerana pada tahun 1997, suatu pemantauan semula telah dilaksanakan menerusi teknologi satelit yang mengesahkan ketinggian puncak tertinggi Gunung Kinabalu (Puncak Low) adalah pada ketinggian 4,095 meter (13,435 ka) di atas paras laut, iaitu ketinggiannya kurang 6 meter (20 ka) daripada apa yang ternyata dalam terbitan angka hitherto yang menulis ketinggian Gunung Kinabalu ialah 4,101 meter (13,455 ka).[5]

Gunung Kinabalu telah direkodkan mempunyai tujuh puncak tertinggi iaitu:

Ciri fizikal[sunting | sunting sumber]

Permukaan asal Gunung Kinabalu terdiri daripada batu-batu sedimen yang terdedah kepada hakisan selama lapan hingga 12 juta tahun. Hakisan yang berterusan itu akhirnya mendedahkan batuan pluton yang lebih tegar.[perlu rujukan]

Kesemua puncak tinggi di dunia dilitupi ais tebal pada waktu kuartener atau zaman air batu yang berlaku kurang daripada satu juta tahun lalu termasuklah Gunung Kinabalu yang ketika itu sama paras dengan gunung-gunung di Banjaran Himalaya. Ketika waktu itu, puncak Kinabalu diliputi ais dan berlaku pergerakan glasier. Kesan pergerakan glasier boleh dilihat di kawasan Pinausok Gravel iaitu satu tempat yang terletak di antara Kundasang dengan Ranau.[perlu rujukan]

Legenda[sunting | sunting sumber]

Seperti mana-mana gunung tinggi di seluruh dunia, Gunung Kinabalu juga tidak terlepas daripada cerita-cerita mistik dan legenda yang unik. Kaum Kadazandusun yang menetap di sekitar wilayah Kundasang dan Ranau di Sabah telah menyifatkan diri mereka sebagai penjaga dan pelindung Gunung Kinabalu untuk sekian lama. Mereka mempercayai tanah sekitar, hutan, air dan Gunung Kinabalu itu sendiri merupakan tanah suci yang perlu dipelihara sentiasa. Mereka juga mempercayai bahawa roh-roh nenek moyang mereka yang telah mati kini berada dan berehat-rehat di Gunung Kinabalu dan sekitarnya. Awalnya, aktiviti meneroka dan mendaki Gunung Kinabalu ialah suatu perbuatan yang ditegah sama-sekali oleh kaum Kadazandusun. Hal ini bagi mengelakkan roh-roh nenek moyang mereka daripada menjadi marah dan mungkin akan mengganggu penduduk setempat serta pendaki.[perlu rujukan]

Namun pada tahun 1851, seorang Gabenor British di Labuan yang bernama Sir Hugh Low telah memulakan ekpedisi perjalanan dakian ke Gunung Kinabalu dengan hasrat untuk berkompromi dengan semua penduduk tempatan untuk mempersembahkan korban bagi menenangkan jiwa roh-roh nenek moyang mereka.

Perkataan "Kinabalu" asalnya merupakan perkataan kaum Kadazandusun yang dicampurkan antara perkataan Aki Nabalu, yakni aki membawa maksud nenek moyang, manakala nabalu bererti gunung, lantas "gunung nenek moyang" dalam bahasa Melayu atau secara tepat lagi, gunung yang menjadi tempat persemadian roh-roh nenek moyang kaum Kadazandusun.[perlu rujukan]

Menurut legenda kaum Kadazandusun, dewa tertinggi telah menciptakan dunia dan Gunung Kinabalu, ia bermula daripada mitos naga yang menjaga harta karun mutiara. Kesahan cerita ini dapat dirasakan ketika berada di puncak-puncak tertinggi di Gunung Kinabalu, lebih-lebih lagi ketika dalam keadaan sunyi sepi dengan iklim yang lembap, pemandangan awan yang bergerak perlahan dan bunyi tiupan angin yang kuat. Para pendaki dinasihatkan agar sentiasa menjaga tatatertib dengan baik ketika mendaki, etika pemakaian perlu dijaga, tidak membuat bunyi bising, tidak memanggil-manggil nama orang sesuka hati, tidak marah atau gelak terbahak-bahak.[perlu rujukan]

Mendaki dalam keadaan mabuk dan terhuyung-hayang adalah amat dilarang kerana boleh menyebabkan bahaya. Gunung Kinabalu mempunyai struktur batuan yang curam, berlubang dan mudah tergelincir. Tali dakian perlu digunakan sepanjang masa bagi mengelakkan kejatuhan ke dalam gaung yang banyak terdapat di puncak-puncak Gunung Kinabalu.[perlu rujukan]

Di atas Gunung Kinabalu juga terdapat banyak telaga dan lopak-lopak air semula jadi. Kaum Kadazandusun mempercayai di sinilah tempat roh-roh nenek moyang mereka bermandi-manda. Di sini juga tempat segelintir mereka yang bergelar Bobohizan akan mencuci badan dan mengambil air untuk diminum dengan tujuan untuk membuang sial. Kini, kelopak-kelopak air itu dijadikan sebagai kolah harapan (wishing well) untuk para pendaki yang mendaki di Gunung Kinabalu. Para pendaki biasanya akan membaling duit syiling ke dalam kolah harapan tersebut sebagai suatu cara untuk menghormati roh-roh nenek moyang kaum Kadazandusun supaya tidak mengganggu mereka ketika mendaki dan turun.[perlu rujukan] Namun, perkara memuja roh dan membaling syiling ke dalam kelopak air ialah sesuatu perkara yang dilarang dalam Islam kerana perbuatan itu dianggap syirik dan terkutuk di sisi Allah. Namun Islam tetap membenarkan manusia untuk menghormati sesuatu kawasan selagi adatnya masih selari dengan etika Islam.

Para pendaki juga dinasihatkan agar tidak membuang air kecil atau besar ke dalam lopak air kerana perbuatan tersebut tidak elok pada pandangan masyarakat tempatan dan mungkin boleh menyebabkan kemarahan oleh "penghuni halus" yang menetap di sana yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.[perlu rujukan]

Tragedi gempa bumi Sabah 2015[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Gempa bumi Sabah 2015

Gempa bumi Sabah 2015 pada ukuran sederhana 6.0 skala richter berlaku di sekitar Ranau, Sabah berdekatan Gunung Kinabalu pada jam 7.15 pagi, hari Jumaat 5 Jun 2015. Pusat Gempa Bumi Dan Tsunami Nasional melaporkan gegaran dirasai di kebanyakan tempat di Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Pedalaman, Kota Kinabalu, Kota Belud, Inanam, Kota Marudu, Kudat, Likas, Penampang, Putatan, Kinarut, Papar, Beaufort, Keningau, Sandakan, Kunak, Tawau,Labuan, Lawas, Limbang Miri dan Bandar Seri Begawan di Brunei. Selepas tragedi itu, pengunjung di bawah 14 tahun dilarang mendaki kerana kebanyakan mangsa yang terhempap batu dari Donkey Ear Peak berasal dari Singapura dan mereka ialah kanak-kanak yang menjalani lawatan sambil belajar ke sana.[6] Lokasinya di 6.1 Utara, 116.6 Timur. Gempa susulan yang lemah berlaku 47 kali sekitar 2.2 hingga 3.3.[7]

Galeri[sunting | sunting sumber]

Panorama dari puncak Gunung Kinabalu.

Rujukan[sunting | sunting sumber]