Abdul Rahman bin Abdul Hamid

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Jeneral (B) Tan Sri Dato' Seri Panglima Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid (11 November 1938 – 2 Jun 2022) ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia yang kesembilan.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid dilahirkan di Tambun, Ipoh. Bapanya ialah Haji Abdul Hamid bin Kulop Kechil dan ibunya ialah Hajjah Jaah binti Haji Saleh. Beliau adalah anak ke-8 daripada 14 orang adik beradik. Beliau adalah lulusan Maktab Tentera Diraja Malaysia (RMC) dahulunya dikenali sebagai Maktab Tentera Persekutuan (FMC) dan merupakan anak watan pertama lulusan FMC yang menerajui pucuk pimpinan Tentera Darat.

Pendidikan awal beliau di Sekolah Melayu di Chemor dan kemudiannya berpindah ke Sekolah Melayu di Ulu Kuang sehingga tamat darjah 4. Pada tahun 1950, beliau menyambung pelajarannya ke Sekolah Anderson di Ipoh. Ketika dalam darjah 6 di Sekolah Anderson, kumpulan pengambilan anggota baru Maktab Tentera Persekutuan (FMC) melawat sekolah tersebut bagi tujuan mencari pelajar baru untuk meneruskan pengajian di FMC. Seramai 30 orang menduduki ujian kelayakan masuk dan 7 orang akhirnya terpilih untuk temuduga akhir. Abdul Rahman akhirnya berjaya dalam temuduga akhir tersebut dan hanya beliau seorang sahaja dipilih untuk melanjutkan pelajrannya ke FMC di Port Dickson pada tahun 1954.

Di FMC, Abdul Rahman didedahkan dengan ilmu ketenteraan. Pada akhir tahun 1956, beliau menduduki peperiksaan Cambridge Overseas School Certificate dan seterusnya menjalani latihan pegawai kadet Tauliah Tetap (Pengambilan Pertama) di Cawangan Kadet di maktab yang sama pada bulan Januari 1957 sehingga 14 Disember 1958 dan ditauliahkan Leftenan Muda.

Kerjaya Tentera[sunting | sunting sumber]

Beliau adalah Panglima Tentera Darat yang kedua belas sejak 11 April 1992 hingga 3 Mac 1993.[1] Pada 4 Mac 1993, beliau dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Malaysia yang kesembilan dan memikul tugas dan amanah tersebut sehingga 31 Januari 1994. Beliau telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan dan pelantikan dalam Angkatan Tentera Malaysia di antara tahun 1958 hingga 1994.

Abdul Rahman memulakan kerjayanya sebagai anggota tentera setelah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Batalion Ke-3 Regimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) bertempat di Batu Gajah, Perak. 2 tahun selepas itu dia dinaikkan ke pangkat Leftenan dan 4 tahun kemudian ke pangkat Kapten. Pada akhir tahun 1963 beliau dipindahkan ke FMC sebagai jurulatih. Pada 1965, Kapten Abdul Rahman ditukarkan ke pasukan 9 RAMD dan menjawat jawatan Penolong Ketua Kompeni. Pada 1967, beliau telah dinaikkan ke pangkat Mejar dan ditugaskan ke Markas Tentera Darat Malaysia Timur. Pada bulan September 1968, beliau telah terpilih menghadiri kursus staf di Staff College, Camberley, England selama setahun dan kursus All Arms Tactics di School of Infantry di Warminster selama 3 bulan.

Sekembalinya daripada England beliau ditugaskan sebagai Pegawai Pembantu Ketenteraan (PPK) dan berkhidmat kepada dua orang Panglima Angkatan Tentera. Pada Oktober 1970, beliau dinaikkan ke pangkat Leftenan Kolonel pada usia 32 tahun. Pada 17 Jun 1972, beliau menjawat jawatan Timbalan Pengarah Perisikan Tentera. Pada 1 Januari 1975 hingga 31 Disember 1976 beliau dilantik sebagai Atase Pertahana di Manila, Filifina.

Pada 1 Januari 1977 Leftenan Kolonel Abdul Rahman dinaikkan ke pangkat Kolonel dan menjawat kembali jawatan Timbalan Pengarah Perisikan Tentera. 4 tahun kemudiannya pada 1 Januari 1981 Kolonel Abdul Rahman dinaikkan ke pangkat Brigadier Jeneral dan menjadi Panglima Briged Ke-4 Infantri yang berpengkalan di Kuantan, Pahang. Pada 1 Oktober 1985 beliau telah dinaikkan ke pangkat Mejar Jeneral. Pada 2 Januari 1990 Mejar Jeneral Abdul Rahman dinaikkan ke pangkat Leftenan Jeneral sehingga 10 April 1992. Pada 11 April 1992 Leftenan Jeneral Abdul Rahman dinaikkan ke pangkat Jeneral dan menjadi Panglima Tentera Darat dan mengakhiri kerjayanya sebagai orang nombor satu dalam Angkatan Tentera Malaysia.

Selepas Bersara[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1994, Jeneral Tan Sri Abdul Rahman bin Abdul Hamid pernah memangku jawatan TYT Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. Sejak tahun 2006 beliau adalah salah seorang Pemegang Amanah Yayasan Amanah An-Nur Maisarah sehingga kini.

Penglibatan dalam sektor korporat[sunting | sunting sumber]

Beliau adalah Pengerusi Perbadanan Perwira Harta Malaysia, sebuah anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera ("LTAT"), satu kumpulan wang di Malaysia yang terlibat dalam pembangunan hartanah dan pembinaan.[2]

Tan Sri Abdul Rahman bin Abdul Hamid adalah Pengerusi, Pengarah dan Pengarah Kanan Bebas Non-Eksekutif bagi Jaya Tiasa Holdings.[3] Beliau telah dilantik ke Lembaga Pengarah pada 27 Mac 1995 dan berkhidmat sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Audit. Sejak 4 November, 2003 beliau adalah Pengerusi Bebas Non-Eksekutif dan Pengarah bagi DVM Technology Berhad.[4](kini dikenali sebagai Key Alliance Group Bhd), sebuah syarikat ICT yang disenaraikan di Pasaran ACE dan AXA Affin Life Insurance Berhad, sebuah syarikat usaha sama Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Tan Sri Abdul Rahman bin Abdul Hamid juga telah dilantik menjadi Pengerusi Halex Holdings Berhad.[5]Lembaga Pengarah Halex Holdings Berhad mengumumkan pelantikan Tan Sri Abdul Rahman Bin Abdul Hamid sebagai anggota eksekutif dan bukan jawatankuasa audit, berkuatkuasa mulai 28 Jan, 2015. Beliau juga adalah Pengerusi dan Pengarah beberapa syarikat multinasional dan swasta lain yang diperbadankan di Malaysia.

Beliau juga adalah Ahli Lembaga Composite Technologies Research Malaysia (“CTRM”), iaitu sebuah syarikat aeroangkasa menghasilkan Eagle 150 pesawat, Lancair dan produk pesawat lain yang dibuat daripada bahan-bahan komposit.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Senarai Panglima Tentera Darat Malaysia". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-08-20. Dicapai pada 2015-08-07.
  2. ^ ©2015 Bloomberg L.P. All Rights Reserved
  3. ^ Directors' Profile - Jaya Tiasa Holdings Berhad 2012
  4. ^ "Gen (R) Tan Sri Abdul Rahman Bin Abdul Hamid, Independent Non-Executive Chairman © Copyright 2012 Key Alliance Group Berhad". Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-07-07. Dicapai pada 2015-08-07.
  5. ^ "HALEX HOLDINGS BERHAD APPOINTS TAN SRI ABDUL RAHMAN BIN ABDUL HAMID AS INDEPENDENT & NON EXECUTIVE MEMBER OF AUDIT COMMITTEE - Bursa Malaysia". Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-09-23. Dicapai pada 2015-08-07.