Haji Sulong
Haji Sulong | |
|---|---|
หะยีสุหลง | |
| Kelahiran | Muhammad Sulong Abdulkadir al-Fatani 1895 Kampong Anoru, Kerajaan Pattani |
| Hilang pada | 13 Ogos 1954 (pada umur 59 tahun) Balai Polis Songkhla, Thailand |
| Status | Hilang selama 72 tahun, 2 bulan dan 24 hari |
| Pekerjaan |
|
Tuan Guru Haji Muhammad Sulong bin Haji Abdul Kadir bin Tuan Minal bin Syeikh Wan Muhammad al-Fatoni (lahir: tahun 1895 - hilang sejak 13 Ogos 1954) atau lebih dikenali dengan nama, Haji Sulong, merupakan seorang tokoh ulama kontemporari dan reformis yang terkenal di Pattani. Beliau lahir dalam latar belakang keluarga ulama di Kampung Anak Rhu (Muban Anoru), (kemudian dinamakan oleh kerajaan Thailand sebagai “Muban Lukson”), Monthon Pattani. Beliau fasih Bahasa Melayu, dan Bahasa Arab, serta berperanan menyebarkan ajaran Islam kepada masyarakat Selatan Thailand pada ketika itu supaya kembali kepada landasan yang benar menurut syariat Islam. Beliau dikenali kerana ketegasannya menuntut kerajaan Thailand memberikan hak autonomi yang lebih adil kepada masyarakat Melayu Islam di selatan Thailand.
Sejak termeterainya Perjanjian Inggeris-Siam pada tahun 1909, negeri-negeri kerajaan Melayu Islam Pattani, Menara, Jala, dan Setul terpisah dengan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perak, dan Perlis lalu mengakibatkan pelbagai polemik sosiopolitik sehingga hari ini. Ketika berusia 7 tahun, Haji Sulong sendiri melihat penangkapan Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, raja terakhir Patani, oleh kerajaan Siam. Hal ini mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat Melayu kepada Kerajaan Siam kerana sistem beraja dihapuskan dan digantikan dengan dasar sistem pentadbiran wilayah (Monthon) oleh Raja Chulalongkorn. Selain itu, umat Islam di Thailand dilayan secara tidak adil semasa Perang Dunia Kedua kerana kerajaan mementingkan dasar untuk menjaga kebajikan penduduk beragama Buddha. Ketegangan ini meningkat pada zaman mandat asimilasi budaya secara paksa (Ratthaniyom) di bawah pemerintahan Fil Marsyal Plaek Phibunsongkhram sebagai bekas Perdana Menteri diktator di Thailand.
Tokoh utama yang menentang kerajaan pada ketika itu ialah Haji Sulong Abdul Kadir, yang memainkan peranan penting dalam menentang pemansuhan institusi Dato’ Yutitham (pegawai kadi), menuntut pemisahan mahkamah agama, serta mengemukakan tujuh tuntutan kepada kerajaan. Haji Sulong akhirnya ditangkap pada 16 Januari 1948 atas tuduhan pemberontakan, yang menimbulkan kemarahan besar dalam kalangan rakyat tempatan. Kehilangan beliau setelah dibebaskan daripada penjara masih menjadi misteri malah menjadi pemangkin kepada kebangkitan gerakan perjuangan menuntut keadilan hak autonomi masyarakat Islam di Thailand sehingga hari ini.
Kehidupan Awal
[sunting | sunting sumber]Latar Belakang
Haji Sulong dilahirkan dalam keluarga alim ulama yang terkenal. Beliau merupakan anak tunggal kepada Haji Abdul Qadir al-Fatoni. Datuk beliau bernama Syeikh Wan Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathoni atau lebih dikenali sebagai Tuan Minal (Toemina —dialek Thailand) yang terkenal dengan penulisan karya kitab yang berjudul Aqidatun Najin fi Ilmi Usuluddin dan Kasy al-Litham 'an Islatil Anam iaitu menjadi bahan pengajian pondok-pondok di Nusantara. Ibu Haji Sulong ialah hasil Hajah Syarifah (dikenali juga sebagai Che Poh), yang merupakan salah seorang daripada tiga isteri Haji Abdul Qadir. Fakta menarik, beliau merupakan adik ipar Mufti Kelantan, Tuan Guru Haji Muhammad Nor Penambang dan menantu Tuan Guru Haji Ibrahim Yusoff @ Tok Raja. Haji Sulong juga dikatakan mempunyai hubungan persahabatan dengan bapa dan datuk bekas Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah iaitu Datuk Haji Ahmad Badawi dan Syeikh Abdullah Fahim. Mereka sering bertemu untuk membincangkan isu falak Islam dan sains astronomi. Beliau mempelajari ilmu asas Kitab al-Qur'an daripada ayahnya sendiri. Sejak kecil lagi, Haji Sulong dikenali sebagai seorang kanak-kanak yang pintar dan cergas.
Pendidikan
Pada tahun 1902, Haji Sulong yang ketika itu berusia 8 tahun telah menuntut ilmu dengan Tok Guru Abdul Rasyid di Pondok Kampung Bandar, Sungai Pandan (Muban Bana), Pattani. Akhirnya, pada usia 12 tahun, Haji Sulong telah menamatkan pengajian asas di sebuah sekolah pondok di Kerisik (Krue Se) yang terletak di daerah Tanjung Lulup (Tanyong Lulo), Pattani, yang dikendalikan oleh Tok Guru Wan Musa. Pada tahun 1907, Haji Abdul Kadir menghantar beliau ke Makkah bersama Syeikh Wan Ahmad bin Wan Muhammad Zin untuk melanjutkan pengajian dalam hal ehwal agama Islam.
Beliau merupakan pelajar yang pintar, fasih dalam berbahasa Arab dan tulisan Arab dan Jawi, sehinggakan beliau diminta untuk membuka sekolah pengajian Islam di Makkah, yang memberikannya nama dan kedudukan keistimewaan di sana. Pada zaman itu, umat Islam di Asia Tenggara yang berpeluang menunaikan ibadah haji atau menuntut ilmu di Makkah biasanya dihormati dalam masyarakat mereka dan berpeluang memegang peranan kepimpinan agama di kawasan masing-masing. Bagi lelaki yang menunaikan haji, gelaran “Haji” digunakan sebelum nama, manakala bagi perempuan, gelaran “Hajah” digunakan. Walau bagaimanapun, status sosial lelaki lebih tinggi daripada wanita.
Dakwah
Pada tahun 1914, Haji Sulong merantau ke Kemboja untuk berdakwah kepada masyarakat Champa. Beliau kembali ke Makkah setelah diselamatkan oleh orang Cham di Selatan Vietnam daripada penangkapan oleh perisik intel dari Turki Othmaniyyah dan penjajah Perancis yang kurang senang dengan usaha dakwah beliau kepada masyarakat Champa di Kemboja.
Kembali ke Makkah
Mengenai institusi pendidikan Haji Sulong di Makkah, maklumatnya tidak begitu jelas, tetapi pada masa itu mereka yang menuntut ilmu Islam biasanya belajar secara langsung dengan guru di masjid atau surau yang terkenal. Haji Sulong menuntut ilmu dengan beberapa guru bagi mencari guru yang benar-benar arif dan masyhur. Antaranya, Habibullah, seorang penduduk Maghribi, menjadi guru terakhir beliau dan merupakan seorang ulama terkenal di Makkah. Haji Sulong menguasai Bahasa Arab, Al-Qur’an, dan Ilmu Hadis dengan cemerlang sehingga dihormati oleh generasi sezamannya dan generasi berikutnya. Beliau mengarang Kitab Khulasoh al-Jawahir iaitu kitab usuluddin, dan kitab Cahaya Islam yang menceritakan tentang Maulidur Rasul.
Antara pelajar yang terkenal di bawah Haji Sulong ialah Dato' Haji Mohd Noor Bin Dato' Haji Ibrahim, bekas Kadi Besar Kelantan, Mufti Kelantan, guru Maahad Muhammadi serta guru Darul Quran kepada pelajar tahfiz di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Dato' Haji Mohd Noor merupakan abang kepada isteri kedua Haji Sulong, Khadijah.
Perkahwinan
Pada usia 27 tahun, Haji Sulong berkahwin dengan Hajah Safiyyah binti Umar, atau lebih dikenali sebagai Che Yah merupakan anak perempuan Tok Guru Pakoh di Makkah. Setahun berumah tangga, isteri pertamanya meninggal dunia tanpa zuriat. Dua tahun kemudian, beliau berkahwin dengan Hajah Khadijah binti Haji Ibrahim, iaitu anak bekas Mufti Kelantan, yang dikenali di Pattani sebagai Che Yah dan mereka mempunyai 8 cahaya mata termasuk Muhammad Amin; Ahli Parlimen Wilayah Pattani untuk dua penggal dan Tuan Haji Zainal Abidin atau lebih dikenali sebagai Den Tuan Minal; bekas Menteri Timbalan Kesihatan Awam dan bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri yang menjadi Ahli Parlimen selama 8 penggal. Anak mereka yang lain ialah Ahmad —yang menjadi jurucakap Bahasa Thailand kepada Haji Sulong, Hajah Zainab, Hajah Zakiyah, Haji Muhammad Kamal, dan Muhammad Yusuf. Cucu Haji Sulong yang dikenali ramai ialah Dr. Petchdao Tohmeena yang menjawat jawatan Penasihat Kementerian Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan, dan Inovasi (MHESI) yang sebelum ini bekas Ahli Parlimen Parti Bhumjaithai dan Azman Tuan Minal yang menjadi ahli politik Parti Pheu Thai. Haji Sulong juga pernah dikurniakan seorang cahaya mata pertama di Makkah bernama Mahmud, namun anak lelaki ini meninggal dunia setahun kemudian.
Jasa dan Sumbangan
[sunting | sunting sumber]Kembali ke Pattani
Kehilangan Mahmud mendorong Haji Sulong untuk kembali ke Pattani dan menziarahi kampung halamannya serta mengubati hati isterinya, Hajah Khadijah yang sangat kecewa. Beliau berhasrat untuk kembali ke Makkah dua tahun kemudian, namun niat tersebut berubah sama sekali setelah mereka berdua kembali ke Pattani.
Haji Sulong berazam untuk bermastautin dan menyebarkan dakwah Islamiah secara menyeluruh di Pattani, kampung halamannya sehingga ke akhir hayat beliau. Pada usia 32, beliau kembali ke Pattani pada tahun 1927, selepas 20 tahun menetap di Makkah. Beliau mendapati ramai umat Islam Pattani pada zaman itu hidup dalam kemiskinan dan masih mencampuradukkan ajaran Islam dengan kepercayaan animisme iaitu amalan mempercayai roh halus, yakni amalan khurafat yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Keadaan di Pattani tidak berubah seperti 20 tahun sebelum beliau berangkat menuntut ilmu di Makkah.
Bagi mengekang amalan khurafat ini berleluasa, Haji Sulong mula memberikan kuliah-kuliah di masjid-masjid dan mengajar sebagai Tok Guru (Tohkru), dengan mengembara ke pelbagai kawasan di Patani. Haji Sulong amat mesra dan disenangi oleh masyarakat lebih-lebih lagi dalam kalangan ulama muda. Beliau dikenali oleh penduduk Pattani sebagai seorang cendekiawan muslim moden yang membawa gerakan pembaharuan (Islah) setelah belajar dengan bersungguh-sungguh di Makkah. Beliau dipengaruhi oleh kejayaan tokoh-tokoh gerakan Islah di Timur Tengah seperti Sayyid Jamaluddin al-Afghani, Syeikh Muhammad Abduh, Imam Hassan al-Banna, dan Rashid Rida. Haji Sulong juga mengajar agama secara bertabligh di merata-rata kampung di Pattani. Beliau sering menyampaikan kuliah bidang Usuluddin dan Fiqh oleh kitab-kitab ulama silam yang telah diringkaskan kefahamannya kepada orang ramai khususnya generasi muda. Bidang itulah yang menjadi tumpuan pengajarannya sehingga meletus Perang Dunia Kedua.
Konflik
Gerakan Islah dan kaedah tabligh Haji Sulong telah membangkitkan penentangan dalam kalangan ulama tradisional di Pattani yang mengamalkan pengajaran berpusatkan pondok semata-mata. Mereka melaporkan gerakan Islah dan tabligh Haji Sulong kepada kerajaan sebagai satu ancaman kepada keamanan dan keselamatan Pattani. Walau bagaimanapun, selepas siasatan dijalankan, kes tersebut ditutup kerana ketiadaan bukti yang merupakan tuduhan tidak berasas. Haji Sulong tidak mengendahkan suara-suara tentangan tersebut dan tetap dengan prinsipnya iaitu menyebarluaskan dakwah Islamiah itu suatu kewajipan yang tidak terhad di bangku sekolah pondok yang mengikut sukatan pelajaran sahaja. Beliau sering memberikan kuliah berbentuk bimbingan mingguan, dan kuliah harian di antara waktu solat Maghrib dan Isyak daripada kuliah berbentuk sepenuh masa seperti di pondok. Disebabkan kelainan ini, semakin ramai masyarakat Islam Thailand tertarik menghadiri kuliah agamanya yang lebih ringan dan kontemporari, serta menggalakkan Haji Sulong membuka sekolah pondok moden di Pattani dengan modal awal sebanyak 7,200 Baht (RM890).
Menubuhkan Sekolah Pondok Moden
Apabila berlaku perubahan pemerintahan melalui Kudeta tentera yang menewaskan pemerintahan berperlembagaan buat pertama kali pada tahun 1933, Kolonel Phaya Phahon Phonphayuhasena telah dilantik sebagai Perdana Menteri baharu. Haji Sulong bersama rakannya dari Mesir, Abdul Murad telah ke Bangkok untuk memohon bantuan kewangan untuk membina madrasah. Mereka ke Bangkok kerana Gabenor Daerah Yaring telah memungkiri janji untuk memberikan bantuan sebanyak 3,500 Baht (RM430) kepada Haji Sulong. Namun demikian, mereka berjaya menerima bantuan sebanyak 3,200 Baht (RM395) daripada pihak kerajaan Thailand di Bangkok. Atas simpati orang ramai, penduduk Pattani telah menderma baki dana yang diperlukan sehingga akhirnya mereka berjaya memperoleh 7,200 Baht. Pertama kali dalam sejarah Pattani, Haji Sulong menubuhkan sekolah pondok moden yang bernama Madrasah al-Maarif al-Wataniah. Buat pertama kalinya juga, beliau berjaya memperkenalkan mata pelajaran sekular sains dan matematik untuk diajar dalam sistem pondok sedia ada di Thailand meskipun mendapat tentangan dalam kalangan ulama tradisional serta pegawai kerajaan yang bimbang terhadap dasar asimilasi pada ketika itu. Pengenalan sekular tersebut mendapat sokongan yang positif daripada ibu bapa dan guru, dan generasi muda. Hasilnya, struktur organisasi semakin tersusun kerana Haji Sulong jugalah orang pertama yang memperkenalkan sukatan pelajaran yang teratur dan waktu kelas yang tetap untuk mendisiplinkan pelajar berbanding sistem pengajian pondok yang lebih longgar dalam mengatur tempoh pengajian.
Antara murid-murid beliau yang terulung dan terpilih, yang telah berjaya menimba pelbagai ilmu agama serta mendapat didikan dan tunjuk ajar secara langsung daripada beliau, ialah termasuklah nama-nama yang sangat masyhur dan disegani dalam dunia keilmuan Islam di Nusantara, iaitu pertama, Tuan Guru Haji Hassan Mak Enggol; kedua, Tuan Guru Haji Mustafa bin Haji Abdul Rashid dari Kampung Bandar; ketiga, Tuan Guru Haji Abdul Kadir Wamud dari Nad Tanjang; keempat, Tuan Guru Haji Ahmad bin Abdul Wahab al-Fusani; kelima, Tuan Guru Haji Muhammad Nur dari Chenok; keenam, Tuan Guru Haji Jamaluddin Jabat; ketujuh, Tuan Guru Haji Shafie dari Chabang Tiga; kelapan, Tuan Guru Haji Abdul Rashid dari Kok Mae; kesembilan, Tuan Guru Haji Abdul Karim dari Tak Kheang; kesepuluh, Tuan Guru Haji Abdullah dari Mayo; kesebelas, Tuan Guru Che Mahmud Charuwiset; kedua belas, Tuan Guru Haji Abdul Rahman al-Tarbushi dari Padang Rhu; dan yang ketiga belas sekali, Mufti Kelantan yang amat dikenali, iaitu Tuan Guru Haji Muhammad Nor Penambang. Semoga Allah mencurahkan rahmat ke atas roh mereka dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.
Perjuangan dan Legasi
[sunting | sunting sumber]Gerakan Islam
Disebabkan jasa beliau memodenkan sistem pendidikan pondok di Pattani, Haji Sulong dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Pattani (MAIP). Timbalan Yang Dipertua pula dipegang oleh Tuan Guru Haji Mat Pauh, seterusnya jawatan Setiausaha disandang oleh Tuan Guru Haji Abdul Majid Embong, dan jawatan Bendahari diamanahkan kepada Tuan Guru Haji Abdullah Mesir, selain itu, barisan Jawatankuasa Tertinggi yang turut sama memikul tanggungjawab dalam MAIP ini terdiri daripada tokoh-tokoh terkemuka seperti Tok Bermin, Tuan Guru Haji Hassan Mak Enggol, Tuan Guru Haji Abdul Latif Perigi, Tuan Guru Haji Nik Teh Krono, Tuan Guru Haji Ahmad Falwan, Tuan Guru Haji Ahmad Abdul Wahab al-Fusani, serta Tuan Guru Haji Wan Ibrahim bin Wan Abdul Kadir, dan turut diriwayatkan bahawa Tuan Guru Haji Hussin Che Dol juga merupakan individu yang sangat aktif serta memainkan peranan penting dalam MAIP.
Semasa menjawat jawatan Yang Dipertua, beliau turut menubuhkan beberapa organisasi Islam di Pattani iaitu di antara organisasi tersebut ialah, "Hai'at al-Napadh al-Ahkam as-Shariat" (هيئة إنفاذ الأحكام الشرعية) iaitu Jabatan Penguatkuasaan Undang-undang Syariah, Semangat Pattani, dan Pergerakan Melayu Pattani (Pattani Malay Movement-PMM) dengan matlamat menggalakkan kerjasama antara pemimpin Melayu bagi menentang campur tangan kerajaan terhadap cara hidup Islam di Selatan Thailand.
Buku Tujuh Tuntutan Rakyat Pattani 1947
Menjelang akhir 1930-an, laporan dan khabar angin mengenai gerakan Islah Haji Sulong mula mendatangkan kebimbangan kepada kerajaan Thailand. Mereka mula mengambil keputusan untuk melaksanakan undang-undang terhadap kebangkitan masyarakat Islam di selatan Thailand bagi mengelakkan mereka untuk menuntut kemerdekaan dan menjalankan kegiatan gerakan pemisahan dari Thailand. Hanya selepas tiga tahun penubuhan Madrasah al-Maarif al-Wataniah, kerajaan Thailand telah mengambil keputusan untuk menutup operasi dan sesi persekolahan pelajar Islam yang belajar dengan Haji Sulong. Haji Sulong terpaksa kembali menjadi tabligh dan penceramah serta pendakwah bebas di masjid-masjid dan surau-surau dan tidak boleh mengajar sebagai guru dan menjawat jawatan mudir madrasah. Rumah kediaman beliau telah dijadikan masjid dan Haji Sulong telah merangka jadual waktu solat menggunakan alat Rubu' Mujayyab untuk membuat kiraan waktu solat. Sehingga kini, jadual waktu solat tersebut masih digunakan secara meluas di Wilayah Pattani. Jam Matahari serta astrolabe merupakan antara alatan falak yang digunakan oleh Haji Sulong dalam mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan waktu solat, arah kiblat, peredaran musim dan pertanian. Seluruh penduduk di wilayah Pattani telah menjadikan beliau sebagai tempat rujukan dalam mendapatkan panduan terutama ketika menjalankan bidang pertanian mahupun nelayan ketika hendak turun ke laut.
Pada masa yang sama, beberapa dasar kerajaan Thailand telah menimbulkan kemarahan penduduk Melayu Pattani, di antaranya adalah pemansuhan undang-undang Islam (Nikah dan Cerai) dan Warisan pada 1944 yang telah dibenarkan berfungsi sejak penyerapan kawasan Pattani kepada Monthon pada tahun 1902. Dengan melaksanakan Undang-undang Sivil Thailand di empat jajahan Islam, institusi Dato' Yutitham (pegawai kadi Islam) telah dimansuhkan dan undang-undang Islam berkenaan nikah dan cerai diuruskan oleh Mahkamah Sivil yang jelas bertentangan dengan syariat.
Kerajaan Thailand di bawah Perdana Menteri Phibunsongkhram juga telah menukar peranan mufti Syeikhul Islam iaitu Menteri Cularaja (Chularajamontri) untuk menjadi penasihat Jabatan Hal Ehwal Agama di Kementerian Pendidikan. Pada tahun 1947, beliau telah memecat dan membuang negeri Menteri Chularaja ketika itu, Syeikhul Islam Haji Syamsuddin Mustafa (Chaem Phromyong) kerana mempunyai konflik kepentingan dengan musuh politiknya, Perdana Menteri Pridi Banomyong. Kementerian terpaksa dimansuhkan sementara waktu selama setahun dan ditubuhkan semula dengan pelantikan Syeikhul Islam Tuan Ismail Yahyawi (Tuan Suwannasart) sebagai Menteri Chularaja yang baharu. Haji Syamsuddin merupakan orang Islam aliran Ahli Sunnah Waljamaah pertama menjawat jawatan Menteri Chularaja sejak penubuhannya pada abad ke-17 zaman Maharaja Naresuan Agong daripada Wangsa Sukhothai pada zaman Kerajaan Ayyuthaya. Beliau juga seorang penjawat awam Jabatan Perhubungan Awam untuk menyelesaikan konflik masyarakat Islam di wilayah Selatan Thailand. Beliau ditekan kuat oleh kerajaan Thailand kerana kelantangannya mempertahankan identiti kemelayuan masyarakat Islam selatan Thailand. Akhirnya, beliau terpaksa meletak jawatan lalu menjadi suaka politik dan menetap di Arab Saudi, Amerika Syarikat, dan Kelantan, Malaysia. Pada tahun 1954, beliau telah kembali semula ke Thailand setelah mendapat pengampunan daripada kerajaan Thailand.
Terdapat juga beberapa laporan dan cerita lisan tentang rakyat Pattani dipenjara, diseksa, dibunuh, dan diperas ugut oleh tentera dan polis Thailand tanpa perbicaraan kerana melawan dasar ratthaniyom (dasar asimilasi paksa) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri diktator Plaek Phibunsongkhram kerana mereka enggan menanggalkan tudung, songkok, kopiah, serban, pakaian sarung berkemban, batik, kebaya, baju kurung, baju Melayu, dan kain pelekat untuk dipakaikan pakaian Barat seperti membuang tudung, dipakaikan topi, blaus, jaket, kemeja, kot, kemeja T, blazer, dan seumpamanya. Rakyat Pattani dan wilayah majoriti umat Islam juga dihukum dengan keras dan zalim kerana mengekalkan penggunaan Bahasa Melayu tulisan Jawi serta membantah paksaan dasar Bahasa Thailand digunakan meluas di pejabat-pejabat kerajaan.
Pada 1 April 1947, Haji Sulong telah membuat perjumpaan dengan ahli jawatankuasa Majlis Agama Islam Pattani, imam, khatib, dan bilal serta orang kenamaan seramai 200 orang di seluruh Pattani. Rumusan mesyuarat itu, mereka mengemukakan satu buku (petisyen) kepada kerajaan Thailand pimpinan Perdana Menteri ketika itu Laksamana Muda Luang Thamrongnawasawat, yang mengadakan lawatan ke wilayah Pattani pada tahun 1947 yang mengandungi tujuh tuntutan rakyat-rakyat Pattani seperti berikut:
1. Minta mengadakan seorang ketua yang beragama Islam yang diperanakkan di dalam empat wilayah dengan pilihan suara anak negeri dalam wilayah dengan diberikan kepadanya kuasa penuh.
2. Mengadakan pelajaran Bahasa Melayu pada tiap-tiap sekolah mukim bagi kanak-kanak berumur 7 tahun sebelum lagi masuk belajar Bahasa Siam atau bercampur pelajaran dengan Bahasa Siam.
3. Kehasilan atau kedapatan di dalam wilayah dibelanjakan padanya sahaja.
4. Pegawai kerajaan dipakai orang Islam 80% mengikut penduduk negeri banyak yang beragama Islam.
5. Tulisan Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi.
6. Mengasingkan mahkamah syariah daripada pejabat undang-undang negeri serta mengadakan undang-undang khas baginya untuk memutuskan pendakwaan yang bersabit dengan hukum agama Islam.
7. Mengakui rakyat di empat wilayah berketurunan Melayu.
—Sumber: Gugusan Cahaya Keselamatan
Secara umum, para penganalisis menafsirkan petisyen ini sebagai satu usaha untuk mendapatkan penyesuaian pentadbiran dan pengiktirafan budaya, bukannya sebagai rancangan pemisahan wilayah. Namun begitu, kerajaan Thailand yang berpusat di Bangkok telah menolak tuntutan tersebut, dan pandangan segelintir masyarakat tempatan ketika itu juga berbelah bahagi terhadap cadangan tersebut.
Apabila kerajaan menerima tujuh tuntutan tersebut, pentadbiran Laksamana Thawan Duchanee meluluskan resolusi pada Julai tahun yang sama yang mengarahkan Kementerian Dalam Negeri untuk mencari bentuk tadbir urus yang sesuai. Walau bagaimanapun dalam praktiknya, tidak semua permintaan dipenuhi, kerana kandungan cadangan tersebut tertumpu terutamanya pada disentralisasi dan menuntut kemerdekaan budaya selaras dengan cara hidup sebagai orang Melayu beragama Islam. Konsesi kerajaan Thailand pada masa itu hanyalah perkara kecil, seperti “membuka kelas bahasa Melayu di sekolah awam atau meningkatkan kuota penjawat awam Melayu Islam”. Pada 9 Ogos 1947, setelah empat bulan selepas petisyen tersebut, kerajaan Thailand melalui surat kementerian kehakiman Bangkok Bil. 5385/2490 memutuskan tidak menerima tuntutan untuk memisahkan mahkamah syariah dari mahkamah sivil dengan alasan perkara tersebut bercanggah dengan perlembagaan negara. Setelah mendapat jawapan itu, Haji Sulong bertindak balas untuk menentang polisi kerajaan dan mula mengumpul sokongan masyarakat Islam Thailand serta menyusun struktur politik baharu agar wilayah majoriti Islam Selatan Thailand mempunyai identiti kebudayaan dan autonomi tersendiri. Beliau tidak berhasrat untuk menuntut kemerdekaan wilayah dari Thailand.
Dipenjara dan Kebangkitan Dusun Nyior
Pada tahun April 1947, kerajaan pimpinan Laksamana Muda Luang Thamrongnawasawat menghadapi badai politik yang sangat hebat di Parlimen. Kerajaan terpaksa berdepan dengan usul undi tidak percaya daripada Parti Demokrat. Kestabilan kerajaan serta kelompok ahli politik yang menyokong Pridi Banomyong, termasuk gerakan Sri Thai, menjadi sangat goyah. Pada penghujung tahun yang sama, 8 November 1947, telah berlaku kudeta di Bangkok, yang menyebabkan perubahan pemerintahan kerajaan menyebelahi Fil Marsyal Plaek Phibunsongkhram, yang mempunyai ideologi politik yang berbeza daripada kerajaan sebelumnya yang menyebelahi Pridi Banomyong. Khuang Aphaiwong menjadi Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Dasarnya jelas: untuk menghapuskan "mereka yang merancang untuk memecahbelahkan negara."
Rejim diktator kembali menguasai masyarakat Thailand, dengan Perdana Menteri diktator Plaek Phibunsongkhram — pelopor konsep “nasionalisme” dan “negara bangsa” sejak 1939 — berada di belakang tampuk kuasa. Pada masa ini, negara polis mula terbentuk di bawah pimpinan Jeneral Polis Phao Sriyanond. Usaha menumpaskan kelompok Perdana Menteri Pridi Banomyong pun bermula secara habis-habisan. Tidak terkecuali Haji Sulong juga terpalit menjadi mangsa politik kerana Perdana Menteri Pridi Banomyong telah meluluskan penubuhan madrasahnya dan menjadi sahabat politik rapat Haji Sulong.
Tidak lama kemudian, pada Januari 1948, Haji Sulong bin Abdul Kadir bersama pemimpin lain seperti Haji Wan Hussin, Haji Wan Mamin, dan Haji Wan Saman telah ditangkap dan didakwa dengan tuduhan "bersedia dan berkomplot untuk mengubah tradisi tadbir urus diraja." Menurut rekod daripada Yayasan Haji Sulong, beliau direman di Penjara Bang Kwang, Wilayah Nonthaburi, Bangkok sebelum dipindahkan ke Penjara Ligor.
Kemudian kes itu dipindahkan ke Mahkamah Wilayah Ligor (Nakhon Si Thammarat). Selepas perbicaraan yang panjang, pada 24 Februari 1949, Mahkamah Agung menjatuhkan hukuman penjara 7 tahun terhadap beliau atas kesalahan memfitnah kerajaan melalui dokumen yang diedarkan kepada masyarakat tempatan menurut Kanun Keseksaan Lama 1908 (R.S. 157) Perkara 104 yang mengatakan bahawa sesiapa yang memfitnah kerajaan sama ada melalui penulisan atau senjata akan dianggap pengkhianat kepada negara. Pemimpin lain masing-masing dihukum penjara 3 tahun. Tuduhan pemisahan wilayah telah digugurkan oleh Mahkamah Rendah kerana tiada asas untuk membuktikan tuduhan plaintif yang mengatakan Haji Sulong berniat untuk mengkhianati Thailand. Kes dibawa ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Rendah Ligor menurunkan hukuman kepada 3 tahun juga namun, Mahkamah Rayuan menetapkan tempoh baharu iaitu 4 tahun 8 bulan.
Hukuman yang dikenakan terhadap Haji Sulong telah mengakibatkan salah satu faktor utama tercetusnya Tragedi Perang Dusun Nyior iaitu rusuhan antara pihak berkuasa kerajaan Thailand dan penduduk Muslim Thai yang berlaku antara 25 – 28 April 1948 di Kampung Dusun Nyior (Dusongnyo) berdekatan Tanjung Mas (Tanyongmat), Daerah Chadang (Chanae), Wilayah Menara (Narathiwat). Peristiwa salah faham antara pihak polis dan masyarakat Islam Thailand ini telah menyebabkan ramai korban jiwa di kedua-dua pihak iaitu dianggarkan 3,130 rakyat terbunuh termasuk kanak-kanak, wanita, dan warga emas. Pihak polis dikatakan telah menembak sekumpulan orang kampung yang mengadakan kenduri tahlil pada 20 April 1948 setelah menerima laporan di balai polis Sungai Padi berkenaan dengan 20 orang kampung di Dusun Nyior yang membantu orang komunis dari Persekutuan Tanah Melayu yang lari ke dalam hutan sempadan Narathiwat ketika itu.
Pihak polis Thailand juga menerima laporan seramai 1,000 orang gerila Melayu sedang membuat persiapan untuk mengadakan pemberontakan terhadap dasar kerajaan Thailand. Tiga batalion polis dan tiga jet pejuang dikerahkan oleh Lieutenan Kolonel Boonlert Lertpreecha. Setelah diserang hendap di Kampung Dusun Nyior, pihak polis berundur ke Tanjung Mas. Seramai 125 pegawai polis Thailand terkorban dalam tragedi ini. Penggawa Daerah Tanjung Mas, Kamnan Muhammad dan Penggawa Daerah Teluban (Saiburi), Mustapha telah dihukum tembak tanpa perbicaraan mahkamah.
Akibat daripada tragedi ini, 2,000-4,000 orang Islam Thai berhijrah ke Persekutuan Tanah Melayu secara tidak sah walaupun Perdana Menteri Thailand merayu melalui siaran radio untuk pulang ke Thailand.
Dr. Charoen Suepsang, Ahli Parlimen bagi wilayah Pattani, bersama Banjong Srijaroon, Presiden Liga Islam Thai, telah mengemukakan cadangan supaya kerajaan memperbaiki taraf hidup masyarakat Islam Thai, serta memberikan kebebasan dalam bidang agama, budaya, dan pendidikan. Kerajaan menerima cadangan tersebut untuk dipertimbangkan.
Kekacauan yang meletus di Kampung Dusun Nyior itu mendatangkan kebimbangan kepada Tengku Mahmood Mahyideen, putera Sultan Pattani terakhir, Sultan Abdul Kadir yang baru sahaja mengasaskan Gabungan Melayu Patani Raya, (GAMPAR) pada tahun tersebut. Tengku menyatakan:
"Saya dengan perasaan yang amat sedih dan pilu hati amat mendukacitakan tatkala mendapat berita yang ada kumpulan orang Melayu melawan kerajaan dengan kekuatan walaupun perbuatan itu tidak dengan kehendak atau dimulai oleh pihak rakyat. Maka adalah kejadian itu semata-mata mendatangkan kerugian antara dua pihak (pemerintah dan rakyat) dan tidak sesuai dengan tamadun sekarang. Jika ada apa-apa kemusykilan dan keadaan tidak puas hati hendaklah dituntut dengan jalan undang-undang dan damai. Maka dengan surat (telegram ini), diminta sekalian (rakyat), enggan daripada membuat perkara yang boleh membangkitkan huru-hara dan memecahkan keamanan di dalam negeri-negeri saudara (saudari) itu.”
GAMPAR telah menghantar mesej telegram kepada Perdana Menteri Phibunsongkhram untuk mendesak beliau supaya menyelesaikan masalah orang Melayu di Menara, Jala, Pattani, dan Setul. Sebagai reaksi telegram tersebut, Phibunsongkhram berjanji untuk menyelesaikan konflik dengan segera dan telah menghantar Abdullah Long Puteh, juga dikenali sebagai Che Lah atau Dato' Che Lah, Timbalan Menteri Pendidikan ke Pattani untuk berbincang dengan masyarakat tempatan.
56 tahun kemudian, Tragedi Masjid Kerisik iaitu peristiwa pembunuhan antara rakyat yang menyerang balai polis dengan pihak berkuasa yang sama berulang kembali pada 28 April 2004 dan telah mengakibatkan korban seramai 38 orang.
Reaksi dari Persekutuan Tanah Melayu
Peristiwa ini turut menimbulkan kemarahan dalam kalangan masyarakat Melayu di Persekutuan Tanah Melayu. Sebuah persatuan di Kota Bharu telah menghantar memorandum kepada kerajaan Thailand supaya menyelesaikan masalah di empat wilayah sempadan selatan secara aman dan meminta pembebasan Haji Sulong, yang ketika itu ditahan atas tuduhan pemberontakan. Perdana Menteri Thailand ketika itu memberi jaminan bahawa perkara tersebut akan ditangani dengan sebaik mungkin.
Pada masa yang sama, kerajaan Thailand dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bekerjasama untuk membanteras gerakan komunis di kawasan sempadan. Thailand meminta supaya pihak Persekutuan Tanah Melayu tidak membantu kumpulan pemisah di Thailand, manakala kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula meminta Thailand bekerjasama dalam menentang Parti Komunis Malaya yang mempunyai beberapa pangkalan di wilayah Thailand. Kerjasama ini menyebabkan pengawasan dan rondaan di kawasan sempadan dipertingkatkan.
Pengisytiharan darurat di Thailand bagi menentang komunis juga menyebabkan beberapa akhbar di Persekutuan Tanah Melayu mengkritik kerajaan Thailand, dengan mendakwa bahawa kerajaan menggunakan keadaan tersebut sebagai alasan untuk menindas masyarakat Muslim Thai yang menentang kerajaan.
Sebagai tindak balas, kerajaan Thailand mengeluarkan kenyataan bahawa pembaharuan besar akan dilaksanakan di empat wilayah selatan, berdasarkan laporan jawatankuasa penyiasat yang diketuai oleh Abdullah Long Puteh.
Pembebasan dan Misteri Kehilangan
Karya Haji Sulong yang sangat terkenal ialah “Gugusan Cahaya Keselamatan” yang selesai ditulis semasa dalam penjara di Ligor pada 28 Ogos 1949. Terdapat lima lagi kitab yang dikarang semasa beliau di dalam penjara iaitu empat buah berkenaan dengan agama Islam dan satu kitab berkenaan biografi beliau. Namun, kitab-kitab tersebut hilang dan tidak ditemukan sehingga hari ini. Selepas dibebaskan dari hukuman penjara pada tahun 15 Jun 1952, beliau kembali ke Pattani dan kembali mengajar kuliah agama seperti biasa.
Pada masa itu, Luang Sunawinwiwat, yang merupakan gabenor wilayah Pattani dan rapat dengan Haji Sulong, membantu kerajaan mendapatkan pembebasan awal beliau, 3-4 bulan sebelum hukumannya tamat. Setelah pulang ke rumah, orang ramai meminta beliau mengajar. Selepas mengajar seketika, Phraya Rattanaphakdi, bekas gabenor wilayah Pattani dan kemudian gabenor wilayah Songkhla, mengarahkan Haji Sulong berhenti mengajar, melarangnya daripada mengajar agama kerana beliau tidak mahu orang ramai berkumpul atau menghadiri kuliahnya. Haji Sulong merayu kepada Kementerian Dalam Negeri, menghantar surat dan telegram, meminta pembatalan larangan mengajar. Luang Sunawinwiwat menjawab bahawa beliau sibuk dengan tugas rasmi pada masa itu dan meminta kesabaran, dengan mengatakan bahawa beliau akan mempertimbangkan perkara itu kemudian.
Walaupun sudah tiada lagi di dalam penjara, beliau masih terus menghadapi tekanan dan gangguan daripada pihak berkuasa negara. Rupa-rupanya pembebasan Haji Sulong dan ulama lain merupakan helah kerajaan Thailand untuk meredakan kemarahan masyarakat Islam Selatan Thailand. Sehinggalah pada awal pagi hari Jumaat, 13 Ogos 1954, selepas selesai menunaikan solat Subuh, Haji Sulong bersama anak sulungnya, Ahmad Tuan Minal yang berusia 15 tahun—yang bertindak sebagai jurubahasa kerana Haji Sulong bersama rakan-rakannya tidak dapat bertutur dalam bahasa Thai—telah keluar dari rumah kediamannya di Pattani menuju ke Ibu Pejabat Polis Cawangan Khas di Wilayah Singgora (Songkhla). Mereka turut ditemani oleh dua orang lagi rakan, Che Is'hak bin Yusoff dan Wan Othman bin Ahmad; menjadikan jumlah keseluruhan empat orang. Mereka menaiki sebuah teksi dan pemandu teksi menjelaskan kepada mereka bahawa mereka telah dipanggil secara terhormat oleh ketua polis penyiasat Thailand dalam suatu pertemuan tertutup. Pemandu teksi menurunkan mereka di sebuah stesen kereta api di daerah Khok Pho untuk mereka menaiki kereta api ke Hat Yai. Setelah tiba di Hat Yai, mereka ditahan oleh polis dan disoalsiasat di Songkhla.
Namun, selepas peristiwa itu kesemua mereka hilang tanpa sebarang jejak. Tragedi ini menimbulkan kepercayaan meluas bahawa mereka telah menjadi mangsa pembunuhan bermotifkan politik yang didakwa dilakukan oleh pihak polis, iaitu pegawai kerajaan di bawah arahan Jeneral Polis Phao Sriyanond, Menteri Dalam Negeri merangkap Ketua Pengarah Polis Diraja Thailand ketika itu, yang merupakan seorang yang kontroversi dan menteri kanan kepada bekas Perdana Menteri Plaek Phibunsongkhram.
Kehilangan Haji Sulong menjadi liputan berita sensasi yang menggemparkan dalam masyarakat, khususnya di Persekutuan Tanah Melayu, dan Singapura.
Usaha Menuntut Keadilan
Pihak keluarga, termasuk isteri Haji Sulong dan anaknya Den Tuan Minal, telah berusaha menghubungi Cawangan Khas, Gabenor Wilayah Pattani, dan juga menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri, tetapi dibalas dengan menyatakan mereka semua ke luar negara. Kerana masih tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan, mereka segera pergi ke rumah Perdana Menteri di Chidlom, Bangkok untuk menjejaki perkembangan kes kehilangan bapa, abang, dan rakan-rakan mereka. Namun, mereka tidak memperoleh sebarang perkembangan yang jelas. Apa yang mereka ketahui, kehilangan itu dipercayai merupakan pembunuhan bermotifkan politik yang melibatkan individu daripada pihak kerajaan sendiri, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Thanphuying La-iat Phibunsongkhram, isteri kepada Fil Marsyal Plaek Phibunsongkhram, bekas Perdana Menteri diktator Thailand yang mengatakan kepada Den supaya tidak lagi berusaha untuk mencari Haji Sulong kerana dia sudah tiada (meninggal dunia).
Kemudian, selepas berlakunya rampasan kuasa pada tahun 1957, kerajaan sekali lagi bertukar apabila Fil Marsyal Sarit Thanarat mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Kes kehilangan Haji Sulong dibuka semula untuk siasatan lanjut. Siasatan tersebut diketuai oleh Mejar Jeneral Polis Chat Nunphakdi. Jawatankuasa itu terdiri daripada lima orang ahli, salah seorang daripadanya ialah adik lelaki Haji Sulong, Encik Arun Pongprasert , yang merupakan seorang pegawai daerah pada masa itu.
Akhirnya, seorang pegawai polis yang terlibat dalam kejadian tersebut membuat pengakuan yang mengejutkan bahawa beliau telah membunuh keempat-empat individu itu dalam sebuah banglo di tepi Tasik Singgora (Songkhla)pada malam 13 Ogos 1954. Pembunuhan itu didakwa dilakukan atas arahan langsung melalui panggilan telefon daripada pihak kerajaan pada ketika itu, yang disampaikan melalui Ketua Polis Wilayah Songkhla.
Menurut pengakuan tersebut, mangsa-mangsa dibunuh dengan cara dicekik menggunakan tali, kemudian perut mereka dibelah, sebelum mayat-mayat itu disembunyikan dengan mengikatnya pada blok tiang simen lalu dibuang ke dalam Tasik Songkhla, berhampiran Pantai Bismillah (Laem Samila) di antara Pulau Tikus (Ko Nu) dan Pulau Kucing (Ko Maew).
Apabila perkara ini akhirnya terbongkar, pihak berkuasa menghantar penyelam untuk mencari mayat-mayat mereka di tasik tersebut. Namun, faktor tempoh masa yang telah lama berlalu sejak kejadian itu berlaku menyebabkan tiada mayat atau sisa-sisa jasad yang berjaya ditemui. Penjelasan daripada Yayasan Haji Sulong juga merekodkan bahawa bekas Timbalan Komander Polis Cawangan Khas, Kolonel Polis Phut Buranasomphop, seorang pegawai polis penting semasa era Jeneral Polis Pao Sriyanon, menulis dalam bukunya "The Iron Man of Asia" bahawa memang terdapat arahan untuk membunuh Haji Sulong.
Perjuangan Keluarga
Pada musim pilihan raya Februari 1957, Haji Amin Tuan Minal —anak kedua Haji Sulong selepas Ahmad bertanding sebagai calon Ahli Parlimen. Semasa kempen, isu agama dan politik menjadi tumpuan utama selari dengan pendedahan dokumen kemerdekaan oleh Britain kepada Persekutuan Tanah Melayu. Hal ini meningkatkan kesedaran hak dan kebebasan masyarakat Islam di empat wilayah Thailand. Kempen tersebut berjaya dan Haji Amin memenangi kerusi Parlimen Pattani dalam kedua-dua penggal pilihan raya secara berturut-turut. Pada April 1958, beliau menerbitkan buku “Gugusan Cahaya Keselamatan” yang dicetak sebanyak 10,000 naskhah. Kandungan buku tersebut menjadi pertikaian kerajaan kerana dokumen rasmi menyatakan buku itu menekankan perjuangan kemerdekaan dan perpaduan orang Melayu, manakala adiknya Den Tuan Minal, menyatakan buku tersebut hanyalah himpunan ayat-ayat pilihan al-Qur'an, wirid, selawat dan doa kepada Allah untuk memohon kesejahteraan dunia dan akhirat oleh Habib Abdullah al-Haddad yang menjadi amalan harian Haji Sulong. Haji Amin menulis kata pengantar buku tersebut dalam tulisan Jawi yang menyatakan:
"Haji Sulong telah dibunuh oleh pegawai kerajaan yang zalim. Semoga umat Islam menjadikannya sebagai teladan"
Malapetaka kembali menimpa keluarga Haji Sulong lalu buku-buku dibakar, dan Haji Amin ditangkap atas tuduhan menghasut pemisahan wilayah dari Thailand. Pihak berkuasa mendakwa beliau menyebarkan idea Haji Sulong serta menghidupkan kesedaran sejarah, tanah air, bangsa, agama Islam dan budaya Melayu, serta dipengaruhi oleh usaha penubuhan negara Pattani merdeka daripada Tengku Abdul Jalal Nasser yang memimpin Barisan Nasional Pembebasan Pattani (BNPP). Haji Amin bersama pemimpin lain ditangkap antara Julai hingga Ogos 1961 dan didakwa di Mahkamah Tentera Bangkok atas tuduhan pemberontakan dan hasutan. Namun pada tahun 1965, sehari sebelum keputusan mahkamah, kerajaan menarik balik semua tuduh atas alasan politik tertentu. Haji Amin dibebaskan dan dibenarkan pulang ke Pattani.
Walaupun peranan politik beliau semakin merosot, beliau dipantau dan disenarai hitam oleh pihak berkuasa Thailand. Kemudian, susulan protes besar-besaran di Masjid Pusat Pattani pada tahun 1975 atas pembunuhan orang awam dan pembuangan mayat ke dalam air di Jambatan Koto, Haji Amin dipanggil untuk disoal siasat. Menjelang tahun 1980-an, konflik di empat wilayah selatan berubah menjadi gerakan organisasi yang lebih sistematik, termasuk tekanan terhadap kerajaan melalui gangguan, pemerasan, dan ugutan. Haji Amin masih menjadi sasaran pemantauan utama. Den Tuan Minal cuba mendapatkan campur tangan Menteri Kehakiman ketika itu, Chuan Leekpai, dalam kerajaan Perdana Menteri Prem Tinsulanonda namun gagal. Pada tahun 1982, beliau berasa kecewa, memohon suaka politik lalu meninggalkan Parti Demokrat, sambil berkata kepada pemimpin Islam:
“Jaga diri masing-masing”
Selepas itu, ramai pemimpin Islam di Thailand melarikan diri ke luar negara. Haji Amin berhijrah ke Kelantan, Malaysia sebagai pelarian politik dan bekerja dalam industri kayu. Walaubagaimanapun, beliau akhirnya menutup perniagaan kerana terpaksa menanggung masalah hutang daripada pelanggan. Beliau kemudiannya menjalani kehidupan sederhana sesuai dengan usia dan keadaannya.
Pengaruh Legasi kepada Generasi Baharu
Hampir-hampir tidak terdapat seorang pun orang Islam yang berasal dari Pattani yang tidak pernah mendengar sebutan nama Haji Sulong. Beliau diakui oleh masyarakat Pattani sebagai “Bapa Perjuangan Pattani” dan juga “Imam Bonjol Pattani” yang menisbahkan beliau kepada Tuanku Imam Bonjol, pahlawan nasional Sumatera Barat, Indonesia yang melawan penjajah Belanda dalam Perang Padri. Lagu-lagu dihasilkan sebagai penghormatan kepada Haji Sulong seperti Gugusan Cahaya oleh Anasyid JoPatri, Jasamu Abadi oleh Rasu Studix, dan Haji Sulong oleh Syai Band.
Kitab karya Haji Sulong seperti “Gugusan Cahaya Keselamatan” telah menjadi bahan kuliah di masjid-masjid sehingga hari ini. Keluarga Haji Sulong telah menubuhkan Yayasan Tuan Guru Haji Sulong Bin Abdul Kadir Tuan Minal. Rumah Kediaman dan Masjid Haji Sulong diabadikan sebagai Pusat Pengajian dan Muzium Ahli Falsafah Tempatan di Jalan Ramkomut, Pusat Bandar Pattani. Sehingga kini, inisiatif islah pendidikan Haji Sulong serta petisyen tujuh tuntutan yang dikemukakannya menjadikan beliau simbol yang berkekalan bagi tuntutan politik masyarakat Melayu Islam di wilayah selatan Thailand. Peranannya juga menjadi tumpuan penting dalam kajian mengenai legitimasi, identiti, dan dasar negara Thailand di rantau tersebut.