Haji Yaakub Lorong Gajah Mati

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Cendekiawan Islam
Ulama tersohor dari Kelantan
Nama:
Gelaran: Haji Yaakub Lorong Gajah Mati
Lahir: 1895
Wafat: 8 Disember 1956
Etnik: Melayu
Rantau: Semenanjung Tanah Melayu


Haji Yaakub bin Haji Ahmad atau lebih dikenali sebagai Haji Yaakub Lorong Gajah Mati merupakan salah seorang guru ugama yang terkemuka di Kota Bharu, Kelantan pada suku kedua abad ke 20 masihi.[1] Murid kanan Tok Kenali yang sebarisan dengan Haji Saad Kangkong, Haji Ali Pulau Pisang, Haji Abdullah Tahir Bunut Payong, Haji Mat Jebeng, Haji Ahmad Batu Tiga Repek dll.

Haji Yaakub bin Haji Ahmad dilahirkan di Lorong Gajah Mati , Kota Bharu pada 1895. Kerjaya awalnya bermula sebagai kerani di Mahkamah Syariah Kota Bharu dan pernah ditugaskan mengambil peringatan mesyuarat Jemaah Ulama Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK).[2] Mulai 1 April 1992, dilantik sebagai guru di Madrasah Muhammadiah ( Sekolah Melayu Majlis ) dengan gaji permulaan RM20 sebulan. Selepas 15 tahun ( mulai 1 Julai 1938), bertukar menjadi guru kitab di Majlis Muhammadi ( nama rasmi Masjid Besar Kota Bharu) yang berperanan sebagai pusat pengajian pondok terpenting di Kelantan ketika itu. Gajinya meningkat kepada RM 28 sebulan. Seterusnya mulai 1 Januari 1940 bertukar ke Jami' Merbau al-Ismaili ( nama awal Maahad Muhammadi ) apabila pengajian kitab di Masjid Muhammadi berpindah kesitu. Gaji bulanannya ( sejak awal 1940 ) ialah RM34 dan beliau kekal berkhidmat disitu sehingga 1945.

Antara murid-murid harapannya tersenarailah nama nama seperti Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz ( Menteri Besar Kelantan sekarang ), Dato' Haji Ismail Yusoff ( bekas mufti kerajaan Kelantan), Tuan Guru Engku Haji Syed Hassan Lemal, Tuan Guru Haji Awang Nuh Beris Kubur Besar, Ustaz Wan Muhd Saghir Kg. Baru , Pasir Pekan , Tuan Guru Haji Abdul Wahid Sungai Udang (Melaka) dan Tuan Guru Haji Ahmad Osman, Hutan Palas , Bukit Keplu , Kodiang (Kedah). Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian melayakkan beliau dilantik mengganggotai jemaah ulamak MAIK ( seawal 1932 ) beberapa penggal. Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi Muhammad Al-Azhari (pengembang tarekat Ahmadiyah di negeri Kelantan) tetapi kemudian mengubah sikap iaitu setelah beliau berdamping dengan Maulana Tok Khurasan, guru perintis ilmu hadis di Kelantan.

Tuan Guru Haji Yaakub meninggal dunia di Kota Bharu pada waktu fajar hari Sabtu 6 Jamadil awal 1376 bersamaan 8 Disember 1956 dengan meninggalkan antara lain tiga orang putera yang dikenali ramai :- Dato Haji Hussin ( ahli perniagaan ) - pewakaf Masjid Al-Muttaqin di Lundang dan Masjid al-Ihsan di Dusun Muda, Kota Bharu. Haji Hassan ( Pengasas Pustaka Aman Press, Kota Bharu dan pewakaf Sekolah Islam Aman Kota Bharu ) Ustaz Yusoff Zaky @ Dato' Sri Setia Panglima Di Raja (pengarang terkemuka pengasas Pustaka Dian Kota Bharu dan Perterjemah Tafsir fi Zilal al- Quran.)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Rencana asal oleh Ismail Che Daud

Pautan luar[sunting | sunting sumber]