Hang Tuah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Bagi filem, lihat Hang Tuah (filem).
Arca Hang Tuah oleh pengarca Malaysia, Heng Eow Lin, dari Kulim, Kedah. Gambar oleh: The Star Online.

Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu pada masa pemerintahan Kesultanan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka) bermula pada 1400-1511.[1] Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampung Sungai Duyong, Melaka, kira-kira dalam tahun 1444. Bapanya bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika dulu, begitulah juga ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana. Hang Tuah ialah Laksamana yang terkenal dengan kesetiaannya kepada Sultan dan merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada tolok bandingnya.

Hang Tuah bersama empat orang kawannya: Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bergurukan Adiputra di Gunung Ledang. Selepas selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke Kota Melaka.

Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan seorang Dato' Bendahara (iaitu Perdana Menteri) daripada seorang lelaki yang sedang mengamuk. Dato' Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka lalu menjemput mereka semua ke rumahnya dan seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana.

Sejak itu Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan hinggalah Hang Tuah mendapat gelar Laksamana. Semasa mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit di tanah Jawa, Hang Tuah telah berjaya membunuh seorang pendekar Jawa bernama Taming Sari. Dalam pertarungan itu, Taming Sari yang merupakan seorang pendekar yang kebal yang tidak dapat dilukakan. Tetapi Hang Tuah mengetahui bahawa kekebalan Taming Sari terletak pada kerisnya. Oleh itu, Hang Tuah berjaya merampas keris berkenaan dan membunuh Taming Sari. Keris itu kemudiannya dianugerahkan oleh Betara Majapahit kepada Hang Tuah. Pemilik keris ini akan turut menjadi kebal seperti pendekar Jawa Taming Sari.[perlu rujukan]

Hang Tuah telah diutuskan ke Pahang bagi mendapatkan Tun Teja untuk dijadikan permaisuri Sultan Melaka. Ketika Hang Tuah ke Pahang, Melor turun dari Gunung Ledang mencari Hang Tuah. Melor telah ditawan oleh Tun Ali atas hasutan Patih Karma Vijaya bagi dijadikan gundik Sultan. Atas muslihat Tun Ali juga, Hang Tuah yang kembali dari Pahang akhirnya dapat berjumpa Melor, tetapi Sultan juga turut menyaksikan perbuatan Hang Tuah itu. Melor dan Hang Tuah dihukum bunuh kerana difitnah berzina dengan Melor yang telah menjadi gundik Sultan. Namun, hukuman mati tidak dilaksanakan oleh Bendahara sebaliknya Hang Tuah disembunyikannya di sebuah hutan di Hulu Melaka.

Hang Jebat telah dilantik oleh Sultan menjadi Laksamana menggantikan Hang Tuah dan keris Taming Sari telah dianugerahkan kepada Hang Jebat. Hang Jebat sebagai sahabat karib Hang Tuah, menyangka bahawa Hang Tuah telah teraniaya dan telah menjalani hukuman mati. Hang Jebat (menurut Hikayat Hang Tuah) atau Hang Kasturi (menurut Sejarah Melayu), bertindak derhaka kepada Sultan dan mengambil alih istana. Tidak ada pendekar atau panglima di Melaka yang dapat menentang Hang Jebat (atau Hang Kasturi) yang telah menjadi kebal kerana adanya keris Taming Sari di tangannya.

Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri dan berlindung di rumah Bendahara. Pada masa itu baginda baru menyesal kerana membunuh Hang Tuah yang tidak bersalah. Inilah masanya Bendahara memberitahu yang Hang Tuah masih hidup. Hang Tuah kemudiannya telah dipanggil pulang dan dititahkan membunuh Hang Jebat. Setelah tujuh hari bertarung, Hang Tuah akhirnya berjaya merampas semula Taming Sarinya daripada Hang Jebat dan membunuhnya.

Dalam pertarungan yang sedih ini, Hang Jebat telah cuba membela sahabatnya yang telah difitnah. Namun begitu, Hang Tuah telah membantu sultan yang sebelum itu menghukumnya tanpa sebarang alasan. Sedangkan Abu Bakar Siddiq R.A juga berkata kepada orang Muslim bahawa jika dia bersalah, rakyat boleh menjatuhkannya. Ternyata, kesilapan Hang Tuah yang tidak berfikir bahawa Allah S.W.T lebih berkuasa dari sultan dan memang tidak salah Hang Jebat cuba menegakkan kebenaran. Tragedi ini masih menjadi perbalahan orang melayu sampai sekarang.

Namun begitu, ada juga yang menyokong Hang Tuah. Ini kerana Hang Jebat bukan saja derhaka kepada sultan bahkan telah membunuh ramai orang/rakyat Melaka yang tidak berdosa dengan mengamuk di dalam istana dan seluruh Melaka. Tindakan Hang Tuah yang membunuh Hang Jebat mungkin satu tindakan yang berupa hukuman mati terhadap pembunuh.

Sumpah yang terkenal daripada Hang Tuah ialah "Tak Melayu hilang di dunia" yang bererti bangsa Melayu tidak akan punah di bumi ini.

Hikayat Hang Tuah[sunting | sunting sumber]

Makam Hang Tuah

"Hikayat Hang Tuah" merupakan sebuah cerita hikayat Melayu yang menggambarkan dengan terperinci keadaan semasa sewaktu tersebut. Hikayat Hang Tuah telah disifatkan oleh pengkaji sebagai menggambarkan tiga zaman yang ditempuhi oleh bangsa Melayu iaitu zaman permulaan, zaman kegemilangan, dan zaman kejatuhannya.

Terdapat pertelingkahan mengenai sama ada Hang Tuah benar-benar wujud, ataupun hanya dongengan semata-mata. Ini disebabkan tempoh yang dirangkumi dalam Hikayat Hang Tuah agak lama. Selain itu terdapat pertelingkahan dalam beberapa kitab lain mengenai jalan cerita hikayat Hang Tuah.

Masalah ini bukannya satu masalah yang besar dan merupakan satu perkara biasa bagi tokoh silam, sama seperti permasalahan tokoh Raja Arthur atau, tokoh Robin Hood dalam legenda Inggeris.

Hang Tuah menurut Sulalatus Salatin[sunting | sunting sumber]

Terdapat perbezaan cerita berkenaan sejarah Hang Tuah di antara "Hikayat Hang Tuah" dan Sulalatus Salatin. Penceritaan Hang Tuah yang digambarkan oleh Tun Seri Lanang di dalam "Sulalatus Salatin" dilihat lebih realistik tanpa ada unsur-unsur mistik. Di dalam "Sulalatus Salatin" dicatatkan nama Sebenar Hang Tuah adalah Daeng Mempawah. Beliau adalah anak Raja Bajung (sebutan sebenar di Sulawesi adalah Bajeng). Hang Tuah berasal dari daerah Gowa, Mengkasar Sulawesi.

Hang Tuah dikurniakan oleh Raja Gowa kepada rombongan diplomatik dari Melaka yang terdiri daripada Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja, iaitu sebagai hadiah kepada Sultan Mansur Shah, Sultan kerajaan Melaka pada waktu itu. Ketika dikurniakan oleh Raja Gowa kepada rombongan Melaka, umur Hang Tuah pada waktu itu baru berusia 12 tahun. Walaupun baru berusia 12 tahun, Hang Tuah pernah membunuh dua orang yang mengamuk di negerinya.

Nama "Hang Tuah" diberikan oleh Sultan Mansur Shah setelah baginda berkenan melihat beliau. Hang Tuah kemudian dikurniakan keris yang bernama Keris Tempa Melaka (bukan keris Taming Sari). Sepanjang berada di Melaka, Hang Tuah berguru dengan hulubalang-hulubalang yang ada di Melaka, bukan dengan Adi Putera di gunung Ledang seperti di dalam hikayat yang masyhur itu. "Perhangan" yang kita sedia maklum adalah lima orang tetapi sebenarnya di dalam Sulalatus Salatin, Sultan Mansur telah memilih lapan orang "Hang" sebelum kedatangan Hang Tuah, iaitu:

  • Hang Jebat
  • Hang Kasturi
  • Hang Lekir
  • Hang Lekiu
  • Hang Ali
  • Hang Iskandar
  • Hang Hassan
  • Hang Hussin

Maka dengan kedatangan Hang Tuah, "Perhangan" (pahlawan Melaka) menjadi sembilan orang semuanya. Mereka semuanya saling bermuafakat dan berkasih sayang. Hang Tuah adalah pahlawan yang paling handal di antara sembilan orang "Hang" ini.

Hang Tuah dikenali sebagai seorang yang rupawan, cerdik, perkasa, mempunyai hikmat dan berani. Apabila ada orang yang mengamuk di dalam Melaka dan tidak ada sesiapa yang mampu mengawal amukan tersebut maka Hang Tuah akan dititahkan oleh Sultan untuk mengatasinya. Dikatakan bahawa Hang Tuah pernah membunuh 74 orang yang mengamuk di Melaka. Pemuda-pemuda di Melaka menggelarnya Laksamana kerana apabila Hang Tuah bergurau dengan rakan-rakannya, beliau akan menyinsing lengannya dan berkata: "Laksamana akan lawanku". Sejak dari itu para pemuda memanggilnya dengan Laksamana hingga akhirnya sultan juga terikut-ikut memanggilnya Laksamana.

Pada suatu hari ada seorang dari suku Jawa mengamuk kerana berasa malu diejek oleh para pemuda Melaka. Ramai yang telah dibunuh oleh orang Jawa tersebut dan tidak ada sesiapa yang mampu menghalanginya. Sultan Mansur Shah kemudian menghantar Hang Tuah untuk menyelesaikannya dan akhirnya orang yang mengamuk itu berjaya dibunuh. Dengan kejayaan itu, Sultan terus melantik Hang Tuah menjadi Laksamana. Digambarkan juga di dalam Sulalatus Salatin akan ketampanan Hang Tuah. Ketika berada di Majapahit, Hang Tuah telah menjadi kegilaan para wanita Jawa sama ada gadis sunti atau isteri orang. Dikatakan jika seorang isteri sedang berada dalam dakapan suaminya sekalipun pasti akan terkejut dan terus keluar untuk melihat Hang Tuah.

Ketika pertarungan dengan Hang Jebat, Hang Tuah dalam keadaan tubuh yang sangat kurus. Berjalan pun terketar-ketar kerana beliau dipasung dalam tempoh yang lama oleh Seri Nara Diraja di Dusun akibat kesalahan berzina dengan Dayang Istana. Hang Tuah berjaya menewaskan Hang Jebat kerana kepintarannya memperdaya Hang Jebat. Ketika keris beliau terlekat di dinding, beliau meminta belas kasihan daripada Hang Jebat agar memberikannya peluang untuk mencabut kembali kerisnya. Hal tersebut berlaku selama dua tiga kali. Tetapi apabila keris Hang Jebat tersangkut ke dinding, cepat-cepat beliau menikam Hang Jebat. Apa yang perlu diperhatikan, tidak ada diceritakan bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat bertarung di atas talam kerana para pengawal menjolok dengan lembing dari bawah istana. Juga tidak ada perebutan keris Taming Sari yang mana sesiapa yang memiliki keris tersebut akan menjadi kebal. Malah Keris Taming Sari itu juga tidak wujud dalam Sulalatus Salatin.

Dinyatakan di dalam Sulalatus Salatin bahawa Hang Tuah berkahwin dengan mempunyai dua orang isteri, tiga orang anak, empat orang cucu, dua orang cicit dan seorang piut iaitu:

  • ISTERI PERTAMA (Nama tidak disebutkan), merupakan saudara kepada Seri Bija Diraja Dato' Bongkok.
  • ANAK DARI ISTERI PERTAMA: 1) Tun Sirah (perempuan) kahwin dengan Temenggung Khoja Hassan.
  • CUCU DARI ISTERI PERTAMA: 1) Tun Abdullah (lelaki), 2)Tun Biajid (lelaki), 3) Tun Daerah (perempuan) - berkahwin dengan Sultan Mahmud Shah
  • CICIT DARI ISTERI PERTAMA: 1) Raja Dewi binti Sultan Mahmud Shah
  • ISTERI KEDUA (Nama tidak disebutkan), dari keluarga Bendahara Paduka Raja Tun Perak.
  • ANAK DARI ISTERI KEDUA: 1) Sang Guna (lelaki), 2) Tun Emas Jiwa (perempuan) - berkahwin dengan Hang Nadim
  • CUCU DARI ISTERI KEDUA: 1) Tun Mat Ali bin Hang Nadim
  • CICIT DARI ISTERI KEDUA: 1) Tun Hamzah bin Tun Mat Ali
  • PIUT DARI ISTERI KEDUA: 1) Tun Ali bin Tun Hamzah - Tun Ali bergelar Seri Petam.

Ketika ekspedisi mendaki Gunung Ledang untuk meminang Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah tidaklah merasa sangat kecewa hingga ghaib di Sungai Melaka akibat gagal mendaki ke puncak Gunung Ledang seperti dalam Hikayat Hang Tuah. Hang Tuah masih lagi hidup hingga beliau meninggal dunia setelah sekembali menantunya, Hang Nadim dari Benua Keling. Hang Tuah telah dimakamkan dengan penuh adat istiadat di Tanjung Keling, Melaka oleh Sultan Mahmud. Hingga sekarang makam tersebut masih lagi wujud dan terjaga dengan baik oleh kerajaan negeri Melaka. Jawatan Laksamana kemudiannya disandang oleh menantunya sendiri, Temenggung Khoja Hassan. Selepas Khoja Hassan meninggal dunia, jawatan Laksamana disandang pula oleh Hang Nadim, namun ketika itu kesultanan Melaka telah berpindah ke Johor.

Satu lagi perkara yang perlu diperhatikan, bukanlah Hang Tuah yang melarikan Tun Teja dari Pahang. Peristiwa tersebut berlaku selepas Hang Tuah meninggal dunia. Dicatatkan yang melarikan Tun Teja adalah Hang Nadim, iaitu menantu Hang Tuah.

Nama Hang Tuah yang digunakan sekarang[sunting | sunting sumber]

Malaysia[sunting | sunting sumber]

Indonesia[sunting | sunting sumber]

Lihat Juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]