Hanita Hassan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Hanita Hassan dilahirkan di Kampung Bukit Piatu, Melaka pada 2 Ogos 1971. Pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru (1978-1983). Pendidikan menengah di Sekolah Menengah Tinggi Perempuan Melaka sehingga di tingkatan 5 (1984-1988). Seterusnya ke Sekolah Tinggi Melaka untuk meneruskan pengajian di tingkatan enam (1989-1990). Pada Julai 1991, melanjutkan pengajian di Institut Teknologi Mara, kini Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam bidang Sebaran Am menjurus kepada bidang kewartawanan. Memperolehi Diploma Sebaran Am (Journalism) atau Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) pada Mei 1995. Menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) pada Disember 2013. Tajuk kajian Hanita ialah Sejarah Perkembangan Akhbar Bahasa Melayu di Melaka, 2000-2014. Hanita menamatkan pengajiannya dalam tempoh satu tahun setengah dan memperolehi Ijazah Sarjana Sains Sejarah pada September 2015. Hanita sudah pun menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang komunikasi massa setelah lulus viva pada 12 Januari 2023 dan mendapat pengesahan senat UiTM pada September 2023. Tajuk kajian Hanita ialah The Moderating Effects of Attitude On The Relationship Between Social Networking Sites Factors and COVID-19 Vaccine Acceptance in Melaka Tengah. Hanita Hassan merupakan Mantan Ketua Satu Ikatan Persuratan Melayu (IPM) pada tahun 2014 dan menerajuinya dalam beberapa bulan sahaja sebelum melepaskannya atas faktor tugas hakiki di Pejabat Ketua Menteri Melaka. Sepanjang menerajui IPM, Hanita sempat mengatur beberapa aktiviti persatuan. Antaranya Kembara Puisi di Pulau Besar bersama ahli dan keluarga besar IPM, Baca Puisi sempena MH370 bersama ADUN Sungai Rambai, dan Majlis Penyampaian Hadiah Sempena Sayembara Menulis Cerpen Sejarah Melaka.

Berkecimpung dalam penulisan sejak di tingkatan enam.  Karya awal ialah puisi yang tersiar di Majalah Wanita pada Mac 1995 berjudul Puisi Untuk Sang Lelaki Yang Mengerti. Hanita kemudian beralih ke arah penulisan novel. Novel pertama terhasil tahun 1996 dengan judul Diari Buat Rothman yang mengisahkan tentang dunia remaja dan percintaan sepadan dengan usia penulis yang masih muda belia ketika itu.  Kemudian lahir lagi novel tahun 1998 dengan judul Hafiz Iskandar dan tahun 1999 dengan judul Lelaki Akukah Yang Terlewat.  Tidak cukup dengan novel, penulis mula berjinak-jinak dalam penulisan skrip drama radio dengan skrip drama pertama Mencari Pelangi disiarkan di Radio RTM Melaka tahun 1996.  Tahun 2005, penulis cuba menghasilkan pula novel kanak-kanak.  Mungkin kerana persekitaran yang berubah dengan faktor telah berkeluarga.  Maka lahirlah novel kanak-kanak pertama dengan judul Lima Sekawan Di Bukit Botak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.  Novel ini mendapat sambutan menggalakkan dan telah dijadikan novel wajib untuk program kuiz pengetahuan am pelajar sekolah rendah di negeri Melaka tahun 2005. 

Sentiasa mahukan pembaharuan dalam berkarya, penulis mencabar diri menghasilkan novel untuk kanak-kanak secara sequal dengan judul Adli Di Alam Fantasi.   PTS One adalah syarikat penerbitan yang bersetuju dengan cadangan penulis dan mula menerbitkan judul pertama tahun 2006 iaitu Adli di Alam Fantasi-Misi Monyet Putih.  Novel ini mendapat sambutan dan diulang cetak sebanyak tiga kali. Kemudian tahun 2007, lahir lagi Adli di Alam Fantasi - Menerobos Terowong Masa dan tahun 2010 dengan  Adli Di Alam Fantasi-Penyelamat Alam. Dalam menulis karya kanak-kanak, penulis berjaya menghasilkan sebuah novel di bawah terbitan DBP dengan judul Haruskah Aku Berlari tahun 2008.   Kemudian tahun 2010, terbit lagi sebuah novel Wajah Rahsia.  Tahun 2012, memenangi hadiah saguhati sayembara novel dewasa anjuran DBP dengan judul Gelut Rantau Kemilau. Novel ini diterbitkan oleh DBP pada 2016.

Kesibukan tugas hakiki, sebagai pekerja, isteri dan ibu tidak menghalang penulis untuk terus berkarya.  Minat dalam sejarah telah membawa penulis menghasilkan novel sejarah. Hasrat ini telah diterjemah pada pertandingan Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor ke-3. Namun, Hanita tidak berjaya menyiapkan manuskrip tersebut atas pelbagai faktor. Sekali lagi pada Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor ke-4, Hanita diberi kesempatan ruang dan peluang oleh Allah sekali gus berjaya menghantar dua karya. Alhamdulillah, kedua-dua karya tersebut telah mendapat tempat di hati para juri iaitu menduduki tempat kedua dengan judul Ombak Dendam Tanah Selatan dan tempat ketiga dengan judul  1699: Desah Dari Selatan.  Pada Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor kali ke-5, manuskrip Hanita yang berjudul 1819-Pura Daksina memenangi hadiah sagu hati. 

Selain  novel, Hanita juga menghasilkan buku-buku non-fiction.  Antaranya  Taman Botanikal Melaka - Dunia Damai Hijau dan Ilmu dengan edisi bahasa Inggeris berjudul Melaka Botanical Garden – A Serene Green World of Knowledge - 2008 terbitan Perbadanan Hang Tuah Jaya Melaka,  Melaka First / Unggul terbitan Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia tahun 2007, serta beberapa judul lain sebagai penyelenggara.

Berkahwin dengan Ramly A. Samad dan mempunyai empat cahaya mata iaitu Nur Adibah 24, Muhammad Adib 22, Muhammad Adli 20 dan Muhammad Adam 19.

Antara judul novel dewasa yang telah digarap oleh Hanita Hassan.

1. Haruskah Aku Berlari (DBP, 2008)

2. Wajah Rahsia (Pekan Ilmu, 2010)

3. Gelut Rantau Kemilau (DBP - 2016)

4. Hambat Martabat (GAPENA - 2022)