Hantu Kak Limah 3

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Hantu Kak Limah
PengarahMamat Khalid
PenerbitGayatri Su-Lin Pillai
Khairul Anwar Salleh (eksekutif)
TP Lim (eksekutif)
PenulisMamat Khalid
Dibintangi olehAwie
Zul Ariffin
Uqasha Senrose
Delimawati
Rab Khalid
TJ Isa
Sharwani NS
SinematografiJack Rahmad
Disunting olehAmen Khalid
Syarikat
penerbitan
Astro Shaw
Infinitus Productions
Mula ditayangkan
9 Ogos 2018
Tempoh tayangan
111 minit
NegaraMalaysia
BahasaBahasa Melayu
PerbelanjaanRM1.2 juta
Pecah panggungRM37 juta

Hantu Kak Limah 3 (atau Hantu Kak Limah sahaja) merupakan sebuah filem komedi seram Malaysia 2018 arahan Mamat Khalid.[1] Ia merupakan kesinambungan daripada Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010) dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit (2013) serta yang ketiga dalam trilogi Hantu Kak Limah.[2] Ia berkisarkan Kak Limah yang baru sahaja berumah tangga, telah ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan di dalam kebun.[3]

Penggambaran dijalankan pada Oktober 2017 di Taiping, Perak dan berakhir pada November 2017. Filem ini ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 9 Ogos 2018 dan menjadi filem Hantu Kak Limah pertama yang diterbitkan tanpa Man Kadir, Zami Ismail dan Azwan Annuar yang telah kembali ke Rahmatullah.[4] Ia juga merupakan filem terakhir lakonan Rab Khalid sebelum kematiannya pada Januari 2018.[5] Hantu Kak Limah menerima ulasan positif dan bercampur-campur daripada pengkritik dan telah meraih kutipan tertinggi sebanyak RM37 juta dalam masa 18 hari di seluruh negara,[6] lantas menjadikannya filem dengan kutipan terbanyak di Malaysia.[7][8][9]

Pada Disember 2018, Harian Metro menyenaraikan Hantu Kak Limah sebagai salah satu dari 10 filem tempatan dengan pecah panggung tertinggi bagi tahun 2018.[10] Teater muzikal filem ini telah dipentaskan di Movie Park Animation Studios (MAPS) dari 24 hingga 31 Disember 2018.[11]

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Lima tahun selepas peristiwa dalam filem kedua, Husin (Awie) pulang ke kampung halaman setelah tidak lagi mencari rezeki di Singapura. Dia kemudian bekerja dengan sahabat baiknya, Khuda (TJ Isa), Wani (Sharwani NS) dan Yeh Sekupang (Rab Khalid) di kilang arang. Sementara itu, Kak Limah (Delimawati) baru sahaja berkahwin dengan sahabat Husin iaitu Khuda. Cinta mereka digambarkan sebagai cinta sejati.

Namun, baru sahaja menikmati kebahagiaan berumah tangga, Kak Limah telah ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan di dalam kebun. Pada masa sama, Husin bersama rakan-rakannya Wani dan Khuda masuk ke hutan untuk menangkap seekor burung, namun tidak semena-menanya Husin bertemu dengan seorang gadis cantik yang bernama Eton, (Uqasha Senrose) di dalam hutan dan jatuh cinta dengannya. Ironinya, sibuk menangkap burung, Husin dan Wani tidak tahu akan berita kematian Kak Limah termasuk suami Kak Limah sendiri, Khuda.

Sementara itu, Yeh Sekupang, selaku Ketua Biro Informasi di Kampung Pisang, sedang menguruskan jenazah Kak Limah dan memberi tugas kepada Nayan (Ropie Cecupak) untuk menjaga jenazah sehingga anak Kak Limah, Musalman (Pekin Ibrahim) sampai dari Kuala Lumpur. Nayan masih keliru dengan kematian Kak Limah kerana dia baru sahaja berjumpa dengan Kak Limah di tebing sungai sebelum datang ke klinik. Sementara, Khuda sempat pulang ke rumah bertemu Kak Limah dengan membawa Husin dan Wani serta menjamu mereka bubur keladi. Di sini bermulanya misteri apabila kelibat Kak Limah masih kelihatan walaupun dipercayai sudah meninggal dunia. Akhirnya, muncul guru silat, Solihin (Zul Ariffin) yang membantu mereka berdepan dengan hantu Kak Limah. Namun usaha ustaz Solihin menemui kegagalan. Mereka berlima akhirnya mengetahui bahawa roh Kak Limah yang telah mengganggu Kampung Pisang. Keesokkan harinya, jenazah Kak Limah selamat dikebumikan.

Walaupun urusan pengkebumian telah selamat, namun Yeh Sekupang masih diganggu oleh jelmaan roh Kak Limah. Hal ini membuatkan Ustaz Solihin ingin menghapuskan roh tersebut yang masih berlegar-legar di Kampung Pisang. Mereka berlima sekali lagi berusaha untuk memerangkap semula roh Kak Limah di dalam satu bulatan yang besar yang diketuai oleh Ustaz Solihin. Selang beberapa jam kemudian, roh Kak Limah berjaya diperangkap, namun begitu Ustaz Solihin sekali lagi ditewaskan oleh roh tersebut.

Akibat dari kekecohan ini, tiba-tiba ketua kawanan bagi orang-orang bunian bersama rombongannya turun ke alam manusia untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya berlaku. Roh tersebut telah disumpah menjadi rupa yang asal iaitu milik Nor Aini. Nor Aini merupakan adik kepada Eton yang jatuh cinta terhadap Khuda. Mereka berkahwin tetapi Khuda telah melanggar syarat dengan membawa Nor Aini turun ke alam manusia tanpa pengetahuan dari ayahnya sendiri. Kehidupan di alam manusia tidaklah semewah semasa dia tinggal di alam bunian.

Nor Aini menjadi tidak waras sehingga membuatkan Khuda menyoroknya di dalam kebun. Khuda telah mencurangi isterinya. Dia berkahwin dengan Kak Limah dan ini membuatkan Nor Aini begitu marah dan membalas dendam sehingga menyebabkan Kak Limah meninggal dunia. Bapa bunian (Mustaffa Din) telah memberi amaran kepada Husin bahawa dia juga tidak boleh berkahwin dengan Eton agar perkara sebegini tidak berlaku lagi. Rombongan orang bunian akhirnya membawa semula Nor Aini pulang ke pangkal jalan. Keesokkan harinya, Nor Aini bersama-sama tiga rakannya yang lain telah mengingkari arahan ayahnya dan turun ke alam manusia sekali lagi untuk mengganggu Husin, Wani, Khuda dan Yeh.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Pelakon utama[sunting | sunting sumber]

Pelakon undangan[sunting | sunting sumber]

Penampilan khas[sunting | sunting sumber]

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Pada Februari 2013, penerbit siri filem Hantu Kak Limah, Gayatri Su-Lin Pillai mengumumkan akan menerbitkan siri ketiga filem ini, berikutan sambutan positif diterima oleh Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit. Beliau berkata dalam temuramah bersama Sinar Harian: "Kami ada perancangan untuk hasilkan filem Hantu Kak Limah 3. Kami dah bincang dengan Mamat Khalid,".[12] Penggambaran dijalankan pada 19 Oktober 2017 di Taiping, Perak dan mengambil masa 22 hari untuk disiapkan dengan kos pembikinan sebanyak RM1.2 juta dan berakhir pada 9 November 2017. Untuk filem ini, Kampung Pisang telah digugurkan.[13]

Filem ini ditujukan khas untuk tiga pelakon siri filem Hantu Kak Limah—iaitu Zami Ismail yang meninggal dunia pada 19 Jun 2011, Azwan Annuar pada 18 April 2015 dan Man Kadir pada 6 September 2017. Dalam temuramah bersama Astro Gempak, Mamat berkata kehilangan tiga watak penting dalam filem arahannya ini memberi kesan besar kepadanya. "Tanpa kita sedar, tiga pelakon penting filem Hantu Kak Limah telah tiada namun filem ini tetap akan diteruskan dan saya harap ia akan menjadi filem yang paling lawak pernah saya hasilkan."[14] Zul Ariffin yang terkenal dengan peranan filem termasuk Evolusi KL Drift 2 (2010) dan J Revolusi (2017), memegang watak utama sebagai Solihin, beliau dipetik sebagai berkata: "Mamat adalah pencerita hebat yang ceritanya lucu, namun pintar. Barisan pelakon belajar banyak tentang kehidupan di bawah bimbingannya, dan dengan itu, saya benar-benar berbesar hati untuk muncul dalam projek filem terbarunya,".[15] Uqasha Senrose yang terkenal dengan peranan televisyen termasuk Tundukkan Playboy Itu dan Hero Seorang Cinderella memegang watak sebagai Puteri Bunian, Uqasha meluahkan rasa teruja kerana dapat bergandingan dengan Awie yang dianggap sebagai idolanya sejak usia kecil.[16] Usahawan kosmetik, Datuk Seri Hasmiza "Vida" Othman membuat penampilan sulung dalam filem ini.[17] Barisan pelakon lain terdiri daripada Jue Aziz, Ropie Cecupak, Mus May, Pekin Ibrahim, Erra Fazira dan Sabri Yunus.[18]

Menurut Pekin Ibrahim, yang sebelum ini muncul dalam Hantu Kak Limah Balik Rumah beliau mengandaikan Hantu Kak Limah mungkin merupakan yang terakhir: "Saya rasa cerita Hantu Kak Limah kali ini mungkin penutup kepada kisah hantu Kak Limah. Malah, saya menyifatkan filem berkenaan memberi nilai sentimental kepada pengarahnya, Mamat Khalid kerana ia dilakonkan oleh orang-orang yang dekat dengan dirinya. Masakan tidak, arwah Rab Khalid yang turut berlakon dalam filem berkenaan meninggal dunia pada Januari lalu sebelum filem berkenaan sempat ditayangkan,".[19]

Gaya dan tema[sunting | sunting sumber]

Raja Yusoff Ariffin, menulis untuk Utusan Malaysia, menyatakan bahawa filem ini sarat dengan unsur Melayu klasik dan mempunyai beberapa siratan walaupun pengulangan, tetapi masih relevan, dan perlu dipaparkan.[4]

Menurut pakar psikologi perubatan Dr. Siti Nurbaya Shahrir, beliau meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Rab Khalid yang berulang kali merokok dalam filem ini. Beliau mendapati, terdapat lebih daripada 6 adegan di dalam filem ini yang mempunyai adegan merokok. Dr. Siti Nurbaya berkata, ini amat membimbangkan kerana terdapat bukti saintifik bahawa remaja dan kanak-kanak yang pernah menonton adegan merokok dalam sesebuah filem adalah lebih cenderung untuk keinginan untuk merokok.[20]

Keluaran[sunting | sunting sumber]

Majlis pelancaran promosi Hantu Kak Limah diadakan di Dewan Seni, MATIC, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2018 yang turut dihadiri oleh barisan pelakon, penerbit dan pengarah.[21] Hantu Kak Limah 3 ditayangkan pada 9 Ogos 2018 di pawagam seluruh Malaysia.[22] Treler rasmi filem dikeluarkan di saluran YouTube Astro Shaw pada 10 Julai 2018.[23]

Majlis pratonton filem ini diadakan pada 8 Ogos 2018 di Golden Screen Cinemas, IOI City Mall Putrajaya jam 7:30 malam. Ia turut dihadiri oleh barisan pelakon dan pengarah.[24]

Sambutan[sunting | sunting sumber]

Kutipan[sunting | sunting sumber]

Pada hari pembukaan rasmi, Hantu Kak Limah meraih kutipan sebanyak RM650 ribu sekaligus menjadi filem tempatan pertama yang berbuat demikian bagi rekod ketiga. Filem ini berjaya meraih kutipan sebanyak RM 1.8 juta pada hari pertama tayangan.[25] Sehingga 13 Ogos 2018, filem ini berjaya meraih kutipan tertinggi sebanyak RM9 juta, sekaligus menjadikan Hantu Kak Limah sebagai filem tempatan pertama mendapat kutipan tertinggi selepas 4 hari ditayangkan.[26][27][28] Mamat Khalid kemudian menyatakan rasa terharu dengan sambutan positif penonton terhadap Hantu Kak Limah: "Memang tidak dijangka sama sekali. Hasil kutipan yang mencipta rekod ini merupakan satu kejutan bukan sahaja kepada saya malah seluruh tenaga kerja yang menjayakan filem itu,".[29] Filem ini berjaya memecahkan rekod dengan catatan RM13.6 juta untuk tayangan minggu pertama, sekaligus mengetepikan KL Special Force arahan Syafiq Yusof yang meraih kutipan sebanyak RM12.1 juta. Ini menjadikan Hantu Kak Limah 3 sebagai filem tempatan pertama dengan kutipan tertinggi untuk tahun 2018.[30][31] Buat pertama kali dalam sejarah industri perfileman Malaysia, Hantu Kak Limah 3 berjaya meraih kutipan tertinggi sebanyak RM27.5 juta dalam tempoh 15 hari tayangan sekaligus membenamkan rekod yang dipegang oleh Abang Long Fadil 2 juga arahan Syafiq yang meraih kutipan RM17.9 juta[32][33] di samping menjadi filem tempatan pertama yang mendapat kutipan melebihi RM20 juta.[7][34][35][36][37] Sehingga 26 Ogos 2018, filem ini berjaya meraih kutipan tertinggi sebanyak RM32.5 juta dalam tempoh 18 hari tayangan.[38][39] Sehingga 2 September 2018, filem ini telah mengumpul kutipan pecah panggung tertinggi sebanyak RM37 juta.[40]

Ulasan kritis[sunting | sunting sumber]

Filem ini menerima ulasan positif dan bercampur-campur dari pengkritik filem. Kenneth Chaw dari Star2 melihat Hantu Kak Limah tidak jauh beza, sementara watak-watak baru, yang masing-masing mempunyai idiosinkrasis mereka sendiri, memancarkan daya tarikan tertentu dan menawan untuk menonton.[41] Ifqdar Rahman dari Utusan Malaysia menyifatkan filem ini sebagai "naskhah pecah perut", berkata: "Secara peribadi, tidak dinafikan filem Hantu Kak Limah pada tangan Mamat mampu berdiri sebagai sebuah filem malar segar pada masa akan datang. Bukan kerana karya itu diadunkan hasil oleh gerak kerja sebuah produksi yang terbaik semata-mata malah dilengkapkan dengan resipi mengikut cita rasa semasa penonton,".[42]

Shazryn Mohd Faizal dari mStar Online menulis: "Walaupun Hantu Kak Limah memiliki kelebihan tersendiri sebagai sebuah filem komedi tetapi [penulis tidak dapat menolak bahawa] ia turut mempunyai kelemahan yang telah merencatkannya daripada menjadi sebuah filem komedi terbaik."[43] Madiha Abdullah dari Astro Awani menyifatkan filem ini sebagai "sebuah karya yang mudah, tetapi berintelek".[44] Menurut satu ulasan oleh Malaysiakini: "Sekian banyak filem atau drama telah mengulang lawak makan-makanan yang sebenarnya disediakan oleh hantu. Begitu juga adegan menonggeng untuk memastikan kesahihan hantu.".[45]

Tayangan media[sunting | sunting sumber]

Bermula 18 Oktober 2018, Hantu Kak Limah dipertontonkan buat pertama kalinya di televisyen di mana pelanggan ASTRO boleh melanggannya di Astro First.

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Pada November 2018, Awie, salah seorang barisan pelakon utama Hantu Kak Limah meluahkan kekecewaan terhadap bonus yang diterima daripada pihak penerbit tidak setimpal dengan kutipan lebih RM30 juta. Awie menganggap jumlah bonus yang diagihkan penerbit tidak adil menurut temu ramah beliau bersama Berita Harian: "Saya terkilan (jumlah) wang bonus yang diterima... Ini kerana kadar itu tidak sesuai dengan kerja keras kru produksi. Penerbit seharusnya lebih peka terhadap sumbangan kami demi kejayaan filem ini." Awie kemudiannya berkata beliau tiada masalah untuk kembali bekerja di bawah arahan Mamat, namun tidak mahu bekerjasama di bawah syarikat sama.[46][47] Delimawati pula turut menyatakan pandangan sama, beliau bagaimanapun tidak menyalahkan Andy Lau selaku pengasas bersama Infinitus Gold, sebaliknya enggan berlakon lagi jika syarikat sama terbitkan Hantu Kak Limah.[48]

Muzik[sunting | sunting sumber]

Lagu tema filem ini, "Srikandi Cintaku" yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Bloodshed, dipersembahkan dalam versi baharu oleh Mus May dan Awie dengan gaya keroncong baru.[49] "Srikandi Cintaku" telah dilancarkan secara rasmi oleh Astro Shaw dalam rancangan HLive pada 18 Jun 2018, dua bulan sebelum tayangan perdana rasmi.[50]

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Tahun Anugerah Karya tercalon Kategori Keputusan
2019 Festival Filem Malaysia ke-30 Hantu Kak Limah Poster Terbaik Dicalonkan
Rab Khalid Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Dicalonkan
Anugerah MeleTOP Era 2019 Hantu Kak Limah Filem MeleTOP Dicalonkan

Masa depan[sunting | sunting sumber]

Berikutan sambutan positif terhadap Hantu Kak Limah 3, Mamat mengumumkan akan mengarahkan kesinambungan keempat filem ini. Ditanya mengenai kesinambungan Hantu Kak Limah, Mamat berkata, "Kami menerima maklum balas memberangsangkan daripada mereka yang menonton Hantu Kak Limah dengan rata-rata meminta ia disambung lagi. Ramai yang mahu watak Kak Limah muncul semula andai susulannya direalisasikan, namun sama ada ia dilakukan dalam babak imbas semula atau filem prekuel, kita tunggu saja nanti,".[51][52][53]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ ‘Hantu Kak Limah 3’ back to haunt fans The Malay Mail (23 November 2017). Dicapai pada 23 Jun 2018.
  2. ^ Amirul Haswendy Ashari (19 November 2017). Hantu Kak Limah 3 lebih kelakar Harian Metro. Dicapai pada 23 Jun 2018.
  3. ^ "Pecah perut gelak tengok Hantu Kak Limah! Ini 5 sebabnya..." Astro Awani. 8 Ogos 2018. Dicapai 26 Ogos 2018. 
  4. ^ a b Raja Yusoff Ariffin (26 Ogos 2018). "Mamat menyindir Melayu dengan hantu". Utusan Malaysia. Dicapai 28 Ogos 2018. 
  5. ^ Hanisah Selamat (26 Januari 2018). Pemergian Yeh Sekupang amat dirasai - Mamat Khalid Berita Harian. Dicapai pada 27 Jun 2018.
  6. ^ Chris Mohan (25 Ogos 2018). ‘Hantu Kak Limah’ nearing RM30m mark The Malay Mail. Dicapai pada 28 Ogos 2018.
  7. ^ a b "RM27.5 juta dalam tempoh 15 hari, Hantu Kak Limah pecah rekod lagi!". mSTAR Online. 24 Ogos 2018. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Ogos 2018. Dicapai 25 Ogos 2018. 
  8. ^ Haryati Karim (21 Ogos 2018). Hantu Kak Limah cipta rekod Kosmo!. Dicapai pada 21 Ogos 2018. "Filem arahan Mamat Khalid berjaya catat kutipan sebanyak RM20.5 juta".
  9. ^ "Hantu Kak Limah catat rekod berganda". Utusan Malaysia. 18 Ogos 2018. Dicapai 25 Oktober 2018. 
  10. ^ Amirul Haswendy Ashari (24 Disember 2018). "Filem tempatan pecah panggung 2018". Harian Metro. Dicapai 24 Disember 2018. 
  11. ^ "Lebih 200 tonton teater muzikal "Hantu Kak Limah"". Sinar Harian. 24 Disember 2018. Dicapai 24 Disember 2018. 
  12. ^ Raziatul Hanim A. Rajak (14 Februari 2013). Penerbit rancang Hantu Kak Limah 3 Sinar Harian. Dicapai pada 23 Jun 2018.
  13. ^ Nan Hidayat Nan Azmie (19 November 2017). Hantu Kak Limah: sutradara sama, ceritera berbeza Kosmo!. Dicapai pada 26 Jun 2018.
  14. ^ Hantu Kak Limah Tanpa Arwah Pak Jabit & Pak Zami, Memang Dirasai - Mamat Khalid Astro Gempak (23 November 2017). Dicapai pada 26 Jun 2018.
  15. ^ Dennis Chua (12 Disember 2017). Zul Ariffin realises dream of starring in Mamat Khalid film New Straits Times. Dicapai pada 27 Jun 2018.
  16. ^ Amirul Haswendy Ashari (18 November 2017). Respons positif kejutkan Uqasha Harian Metro. Diperoleh pada 10 Julai 2018.
  17. ^ DSV dalam Hantu Kak Limah meninggalkan kesan Sinar Harian (1 Julai 2018). Diperoleh pada 22 Julai 2018.
  18. ^ Mohd Al-Qayum Azizi (26 Jun 2018). Datuk Vida bakal jentik hati dalam ‘Hantu Kak Limah’ mStar Online. Dicapai pada 22 Julai 2018.
  19. ^ Mungkin Hantu Kak Limah terakhir Kosmo! (8 Julai 2018). Dicapai pada 8 Ogos 2018.
  20. ^ Adegan merokok cacatkan filem Hantu Kak Limah Sinar Harian (25 Ogos 2018). Dicapai pada 3 September 2018.
  21. ^ Hantu Kak Limah Kembali! Suria FM (23 Jun 2018). Dicapai pada 24 Julai 2018.
  22. ^ Hana Japre (20 Jun 2018). Hantu Kak Limah 3 Lebih Kelakar, Netizen Tak Sabar Nak Tengok Kemunculan Zul Ariffin! Oh Hangat!. Dicapai pada 3 Ogos 2018.
  23. ^ Hantu Kak Limah (Official Trailer) - Di Pawagam 9 Ogos 2018 Astro Shaw. YouTube. Dicapai pada 12 Julai 2018.
  24. ^ Peraduan Gempak: Hantu Kak Limah 3 Astro Gempak (7 Ogos 2018). Dicapai pada 13 Ogos 2018.
  25. ^ Nur Asyikin Mayudin (10 Ogos 2011). Kelakar habis... ‘Hantu Kak Limah’ kutip RM1.8 juta sehari tayangan mStar Online. Dicapai pada 11 Ogos 2018.
  26. ^ ‘Hantu Kak Limah’ raih kutipan lebih RM9 juta Sinar Harian (13 Ogos 2018). Dicapai pada 14 Ogos 2018.
  27. ^ ‘Hantu Kak Limah’ pecah rekod ketiga raih RM9 juta mStar Online (13 Ogos 2018). Dicapai pada 15 Ogos 2018.
  28. ^ Ramlah Zainal (13 Ogos 2018). Hantu Kak Limah meletup! Harian Metro. Dicapai pada 15 Ogos 2018.
  29. ^ Tidak sangka Hantu Kak Limah ‘meletup’ Utusan Malaysia (16 Ogos 2018). Dicapai pada 17 Ogos 2018.
  30. ^ Nor Azurin Ali (17 Ogos 2018). Hantu Kak Limah sudah kutip RM13.6 juta Kosmo!. Dicapai pada 19 Ogos 2018.
  31. ^ Mohd Al-Qayum Azizi (17 Ogos 2018). Cecah RM13.6 juta, ‘Hantu Kak Limah’ filem boxoffice tertinggi 2018 mStar Online. Dicapai pada 19 Ogos 2018.
  32. ^ Hantu Kak Limah 'mengganas' padam rekod Abang Long Fadil 2 Malaysiakini (20 Ogos 2018). Dicapai pada 11 September 2018.
  33. ^ Hantu Kak Limah benam rekodAbang Long Fadil 2 Mangga Media (20 Ogos 2018). Dicapai pada 11 September2018.
  34. ^ Hantu Kak Limah kutip RM20.5 juta, cipta sejarah Sinar Harian (20 Ogos 2018). Dicapai pada 20 Ogos 2018.
  35. ^ Gempak! 'Hantu Kak Limah' pecah panggung catat kutipan RM20.5 juta Astro Awani (20 Ogos 2018). Dicapai pada 20 Ogos 2018.
  36. ^ Tara Thiagarajan (20 Ogos 2018). Hantu Kak Limah earns RM20.5 million and becomes Malaysia’s highest grossing film World of Buzz. Dicapai pada 22 Ogos 2018.
  37. ^ ‘Hantu Kak Limah’ makes history at box office The Star Online (23 Ogos 2018). Dicapai pada 24 Ogos 2018.
  38. ^ ‘Hantu Kak Limah’ dah cecah RM32.5 juta Sinar Harian (27 Ogos 2018). Dicapai pada 27 Ogos 2018.
  39. ^ Zainuri Misfar (29 Ogos 2018). "Hantu Kak Limah cipta rekod kutipan sukar ditandingi". Berita Harian. Dicapai 25 Ogos 2018. 
  40. ^ Mustazah GP (3 September 2018). Gempak habis! Lebih 3 minggu, inilah kutipan terkini filem Hantu Kak Limah Iluminasi. Dicapai pada 5 September 2018.
  41. ^ Kenneth Chaw (9 Ogos 2018). ‘Hantu Kak Limah’: Ghostly comedy is big on laughs Star2. Diperoleh pada 9 Ogos 2018.
  42. ^ Ifqdar Rahman (8 Ogos 2018). Hantu Kak Limah, naskhah pecah perut Utusan Malaysia. Diperoleh pada 9 Ogos 2018.
  43. ^ Shazryn Mohd Faizal (16 Ogos 2018). ‘Hantu Kak Limah’ berjaya geletek penonton, momentum merosot di hujung cerita mStar Online. Dicapai pada 20 Ogos 2018.
  44. ^ Madiha Abdullah (21 Ogos 2018). Fenomena Hantu Kak Limah: Filem 'simple' juga berintelek Astro Awani. Dicapai pada 23 Ogos 2018.
  45. ^ "Dua 'per' tentang Hantu Kak Limah". Malaysiakini. 18 Ogos 2018. Dicapai 21 Oktober 2018. 
  46. ^ Farhana Ab. Rahman (8 November 2018). "Filem Hantu Kak Limah 'meletup' tapi bonus 'ciput'". Berita Harian. Dicapai 10 November 2018. 
  47. ^ Dennis Chua (8 November 2018). "#Showbiz: 'It's just shameful' — Awie upset with 'Kak Limah' bonus". New Straits Times. Dicapai 10 November 2018. 
  48. ^ Mohd Haikal Isa (9 November 2018). "Bonus sikit, Hantu Kak Limah kecewa". Kosmo!. Dicapai 10 November 2018. 
  49. ^ Elrafaei Sapi (16 Ogos 2018). "Lagu Srikandi Cintaku Kembali Popular Gara-Gara Hantu Kak Limah, Ustaz Akhil Hayy Pula Nyanyi Selamba Je". Astro Gempak. Dicapai 21 Oktober 2018. 
  50. ^ "Layan 'Srikandi Cintaku' versi lagu tema Hantu Kak Limah". Sukafilem. 18 Jun 2018. Dicapai 26 Oktober 2018. 
  51. ^ Hanisah Selamat (17 Ogos 2018). Hantu Kak Limah ada sambungan Berita Harian. Dicapai pada 19 Ogos 2018.
  52. ^ "Sambungan Hantu Kak Limah tahun depan?". Utusan Malaysia. 28 Ogos 2018. Dicapai 13 Oktober 2018. 
  53. ^ Chris Mohan (22 Ogos 2018). "'Hantu Kak Limah' director blown away by movie's success". The Malay Mail. Dicapai 13 Oktober 2018. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]