Hari Pahlawan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Hari Pahlawan merupakan satu hari khusus untuk memperingati jasa para pahlawan yang dilihat berbakti mempertahankan tanah air kelahiran mereka di beberapa negara. Ia biasanya disambut sempena hari kelahiran seseorang pahlawan, atau hari kepahlawanannya.

Hari Pahlawan
هاري ڤهلاون
Diraikan oleh/di
Pelbagai negara dan wilayah
JenisKebangsaan
TarikhPelbagai
KekerapanTahunan

Indonesia[sunting | sunting sumber]

Hari Pahlawan di Indonesia disambut setiap tanggal 10 November untuk memperingati Pertempuran Surabaya 1945 antara militia nasionalis Indonesia dan Kuasa Bersekutu. Peristiwa ini merupakan konflik bersenjata skala besar pertama antara Indonesia dan pasukan asing setelah Pengisytiharan Kemerdekaan Republik Indonesia pada tanggal 17 Ogos 1945.

Hari ini turut memperingati pahlawan-pahlawan nasional Indonesia yang lain.

Malaysia[sunting | sunting sumber]

Hari Pahlawan di Malaysia disambut setiap 31 Julai. Pelbagai acara diadakan sempena Hari Pahlawan ini bagi mengenang jasa semua pasukan keselamatan tidak kira tentera atau polis sebelum dan selepas Malaysia merdeka. Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sempena Hari Pahlawan, acara letak kalungan bunga oleh pemimpin negara iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri serta ketua pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan ketiga-tiga cabangnya serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bertafakur selama seminit di hadapan Tugu Negara berhampiran Panggung Aniversari, Tasik Perdana, Kuala Lumpur. Acara tradisi ketenteraan tiupan “Last Post” dan “Rouse” serta deklamasi sajak juga dilakukan di hadapan tugu. Acara-acara keagamaan seperti majlis bacaan doa selamat, yasin, tahlil dan sebagainya juga diadakan di Masjid Negara

Persatuan Bekas Tentera Malaysia pula melancarkan kutipan derma ke sekolah-sekolah bagi memupuk semangat menderma dan cintakan tanah air. Pada 17 November 2007, Majlis Santapan Seri Pahlawan telah diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bagi mengutip sumbangan derma untuk bekas tentera yang uzur dan kemalangan. [1]

Kerajaan pada 2010 telah memutuskan lokasi sambutan Hari Pahlawan yang sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya di sebuah dataran yang berkeluasan dua hingga tiga ekar yang bakal dibina.[2] Namun sambutan telah diadakan di Dataran Merdeka buat kali pertama tanpa acara meletak kalungan bunga dan bertafakur di depan Tugu Negara seperti yang sering dilakukan seiring dengan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan.[3]

Lihat Juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Yang Di-Pertuan Agong Berangkat Ke Majlis Santapan Seri Pahlawan, 18 November 2007, Bernama
  2. ^ "Lokasi Hari Pahlawan berpindah ke Putrajaya, 2010/03/31, Berita Harian". Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-10-12. Dicapai pada 2010-07-30.
  3. ^ "Malaysia sambut Hari Pahlawan ikut fatwa Sabtu ini, 29-07-2010, The Malaysian Insider". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-04-14. Dicapai pada 2010-07-30.