Hartal Pulau Pinang 1967

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Hartal Pulau Pinang 1967 berlaku selepas 10 tahun Malaysia merdeka iaitu pada 20 November 1967. Ia berlangsung dari 24 November hingga 13 Disember 1967. 18 bulan selepas Hartal ini, berlaku pula Peristiwa 13 Mei.[1] Perdana Menteri Malaysia ketika itu ialah Tunku Abdul Rahman.Sementara Ketua Menteri Pulau Pinang yang pertama ialah Tan Sri Wong Pau Nee. Ganyang Malaysia 1965 baru sahaja tamat dan Singapura disingkirkan dari Malaysia pada tahun 1965. Kerajaan pusat mengenakan cukai 2 % terhadap barangan dari Indonesia yang masuk melalui Pulau Pinang. Keadaan ini menyebabkan status pelabuhan bebas cukai tergendala.

Tokoh utama ialah Lim Kean Siew iaitu Adun Dato Keramat kemudian menjadi Pengerusi Parti Buruh cawangan Pulau Pinang membuat keputusan melancarkan tindakan 'hartal' sebagaimana pejuang kemerdekaan India Mahatma Gandhi yang mengadakan protes awam. Pelbagai pihak menggesa kerajaan memberi masa kepada rakyat berpendapatan rendah tetapi tidak juga diberi perhatian. Sebenarnya hartal ini bukan 'rusuhan kaum' atau ada unsur subversif komunis.

Faktor penyebab[sunting | sunting sumber]

Mata wang baru ganti paun Sterling[sunting | sunting sumber]

Peniaga Cina mengadakan hartal atau menutup kedai kerana membantah dasar kerajaan persekutuan Malaysia. Hartal ini dilancarkan oleh Pan-Malayan Council of Joint Action.Hartal dilancarkan kerana susutnya nilai matawang Paun Sterling seperti yang di istiharkan oleh Harold Wilson pada 20 November 1967. Kerajaan Malaysia baru sahaja memperkenalkan mata wang baru . Jadi ada dua mata wang yang beredar di Malaysia ketika itu.

Akibat dari kejatuhan nilai mata wang itu, ianya turut menjejaskan matawang Malaysia. Matawang yang dikeluarkan oleh Bank Negara mengalami kesusutan (12 Jun 1967). Nilai wang 1.00 ringgit jadi hanya 85 sen. Nilai wang 1000 jadi hanya 857.10 sahaja. Para peniaga, petani dan nelayan yang menyimpan wang di bank sangat merasai susutan nilai mata wang ketika itu.

Penurunan mendadak tanpa kawalan ini menyebabkan negara kita mengalami kerugian sebanyak 150 juta bagi setiap 1000 juta yang berada di luar negara tetapi setelah 5 hari, kerajaan menerusi Bank Negara telah berjaya mengapungkan kembali nilainya kepada nilai yang asal.

Malangnya, rakyat di Pulau Pinang terutama kaum Cina (tidak semua) yang memegang ekonomi tidak percaya akan berita yang di isytiharkan oleh Menteri Kewangan Malaysia pada ketika itu, Tan Siew Sin, seorang pemimpin parti MCA. Mereka melancarkan hartal secara serentak sebagai tanda solidariti. Semua kedai-kedai ditutup, puluhan bas dan teksi di bakar malahan kemuncak rusuhan ini, pembunuhan telah berlaku dan rusuhan ekonomi ini bertukar menjadi rusuhan kaum.

Susur kejadian[sunting | sunting sumber]

Kemuncak[sunting | sunting sumber]

Di George Town, pasar raya gedung Cold Storage yang tertumpu utama di bandar tersebut diserang dengan memecah tingkap-tingkap kedai yang sempat ditutup segera. Pusat USIS di Jefferson Street turut diserbu oleh seramai 60 orang pemuda yang menaiki basikal dan motosikal melemparkan batu dan kayu. Sebanyak 200 orang dilaporkan mengerumuni Violet Cafe di Magazine Road pada awal 7.50 pagi.

Sebuah sekolah asrama anak-anak Melayu (mungkin Madrasah al-Mashor) telah diserang oleh perusuh Cina. Orang-orang Melayu yang terus juga berniaga pisang goreng di Jalan Dato Keramat dan pengawal keselamatan di Standard Chartered Bank telah dibunuh oleh samseng-samseng Cina. Cermin gudang Cold Storage telah dipecahkan. Jalan-jalan utama di George Town – dari Chulia Street ke Penang Road, Prangin Road dan Beach Street menyaksikan beberapa pertempuran kira-kira 100 orang yang sedang makan-makan di Magazine Road telah melarikan diri apabila terdengar berlaku orang menjerit, bergaduh dan rusuhan.

Dua restoran di Penang Road dan Campbell Street turut terjejas dijadikan sasaran para pemogok.[2] Dua wartawan dari Warta Negara berjaya merakam detik-detik hartal itu.

Sebanyak 5 orang dilaporkan mati terkorban dan 92 orang cedera pada hari kejadian, 32 daripadanya cedera parah.[2] Bilangan ini kemudiannya bertambah kepada 27 orang terkorban dan 137 orang cedera.[2][3]

Tindakan[sunting | sunting sumber]

Tun Abdul Razak selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri keselamatan Dalam Negeri segera mengisytiharkan perintah berkurung selepas jam 8 malam[2] di seluruh Pulau Pinang, Kubang Kerian, Bukit Mertajam, Utara Perak dan Bandar Baru, Kedah. Undang-undang Keselamatan Awam telah dilaksanakan di tempat tempat tersebut.

Dilaporkan, setelah berlakunya pembunuhan Melayu di Pulau Penang oleh orang-orang Cina, maka ramai saudara-saudara Melayu dari luar Pulau Pinang telah datang untuk membantu tetapi berjaya dihalang oleh askar Melayu dan polis dengan ketat sekali. Seramai 27 orang terbunuh dan 137 cedera . Anggota PDRM dan tentera dari Kuala Lumpur dikerah ke Pulau Pinang bagi mententeramkan keadaan. Lim Kean Siew telah ditahan bersama 400 yang lantang dan 21 cawangan Parti Buruh telah ditutup.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri menjalankan suatu 'Operasi X' di mana mereka menyerbu dan menggeledah pejabat Parti Buruh di mana didapati barangan berkaitan fahaman komunis yang disyaki dari Parti Komunis Malaya[4] termasuk potret Mao Zedong, lencana dan buku merah turut ditemui.

Penyokong dan pendokong hartal ini berura-ura memohon untuk memerdekakan Pulau Pinang dari Malaysia seperti yang berlaku ke atas Singapura tetapi berjaya disekat lebih awal.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ The Tiger and the Trojan Horse ; Dennis Bloodworth, hlm
  2. ^ a b c d Khor Cheng Kee (25 November 1967). "Curfew in Penang after 5 hartal riot deaths". The Straits Times. m/s. 1 – melalui NewspaperSG.
  3. ^ a b Koay Su Lyn. "Penang's untold story: Hartal 1967". Penang Institute. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 April 2017. Dicapai pada 2015-10-03.
  4. ^ Dennis Bloodworth (15 October 2010). The Tiger and the Trojan Horse. Marshall Cavendish International Asia Pte Ltd. m/s. 221–. ISBN 978-981-4561-74-7.