Harun Aminurrashid

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Harun Mohd. Amin)

Harun Aminurrashid atau nama sebenar Harun bin Mohd Amin (lahir di Kampung Telok Kurau, Singapura, 8 Ogos 1907 – meninggal 9 November 1986 pada umur 79 tahun) ialah seorang penulis Melayu dari Singapura. Beliau juga menggunakan nama pena yang lain seperti Har, Gustam Negara, Atma Jiwa dan Si Ketuit.

Kehidupan[sunting | sunting sumber]

Sejak kecil lagi Harun amat gemar membaca dan ini akhirnya mendorong beliau untuk mengarang. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Telok Kurau dan kemudiannya di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Beliau kemudian menjadi guru di maktab tersebut setelah menamatkan pelajaran di sana. Novel pertama beliau, “Melur Kuala Lumpur” telah diterbitkan di Tanjung Malim pada April 1930.

Di Maktab Pengajian Sultan Idris, Harun mengasah bakat penulisan beliau dengan menyumbangkan karya-karya kepada majalah dan akhbar. Sebagai guru, beliau berusaha untuk menanamkan semangat kebangsaan kepada setiap penuntut. Kerana kegiatan ini, beliau telah dihantar ke Brunei pada tahun 1939 dan menetap di sana hingga tahun 1946.

Selepas Perang Dunia Kedua, Harun telah dipenjarakan selama 86 hari oleh pihak British kerana dikatakan telah bekerjasama dengan Pemerintah Jepun. Pada tahun 1946, beliau pulang ke Singapura tanpa jawatan “Guru”.

Di Singapura, Harun meneruskan hidup beliau dan menentukan nasib keluarga beliau melalui media persuratan. Bekerja dalam penerbitan akhbar dan majalah Singapura ternyata menimbulkan kejayaan pada diri beliau. Suratkhabar dan majalah yang dipimpin oleh beliau termasuk “Hiburan”, “Kencana”, “Mutiara”, “Fashion”, “Melayu Raya”, “Filem Raya”, “Tunas”, “Belia”, “Seni”, “Mingguan Melayu” dan “Medan Sastera”.

Harun mengarang novel-novel sejarah dan juga cerpen, buku-buku pengetahuan, bahasa dan kebudayaan. Hasil dari pengalaman dan kenangan pengembaraan, beliau telah menulis kisah-kisah pengembaraan seperti “Melihat Matahari Tengah Malam”, “Mengembara ke Andalusia” dan “Meninjau ke Negeri Sham”.

Antara tanggungjawab yang disandang Harun ialah Yang Dipertua Persatuan Kebudayaan Melayu, Yang Dipertua Majlis Pelajaran Melayu, Ketua Umum Budaya, Ketua Rombongan Perwakilan Ahli-Ahli Bahasa Tanah Melayu ke Kongres Bahasa di Medan, Pengerusi Persidangan Kongres Pemuda Melayu di Kuala Lumpur tahun 1955, Ketua Seksi Kebudayaan; Penyimpan Amanahnya dan Ketua Seksi Kebudayaan Parti Kebangsaan Melayu Malaya dan Ketua Satu Parti Rakyat Singapura. Bersama dengan sekumpulan wartawan, beliau telah diundang untuk melawat England dan Eropah atas jemputan pihak Pejabat Tanah Jajahan British.

Atas jasa dan sumbangan cemerlang menghasilkan novel Melayu yang bercorak sejarah, Harun telah dianugerahkan Certificate of Merit dari Dictionary of International Biography, London pada tahun 1968


Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.