Hasyuda Abadi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Hasyuda Abadi adalah nama pena bagi Sukor bin Usin seorang sasterawan Malaysia. Dilahirkan pada 1 September 1960 di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah, Malaysia. Mencenderungi puisi di samping cerpen, esei kritikan dan drama. Hasyuda menerima Hadiah Sastera Malaysia bagi genre puisi pada tahun 1985 dan Hadiah Sastera Perdana pada 2008. Hadiah Sastera Sabah pada tahun-tahun 1989, 1991, 1998, 2000, 2002, 2004, 2007, 2008, 2012 dan 2014 bagi genre puisi dan cerpen.

Hasyuda mendirikan rumah tangga dengan Puan Yazidah Yau Abdullah (1963-2010) dan telah dikurniakan dengan 2 orang puteri iaitu Syahzierah dan Syahfierah dan seorang putera yang bernama Muhammad Yazin. Kemudian berkahwin semula setelah Puan Yazidah kembali ke rahmatullah, dengan penyair Sahara Jais pada 2011 yang melahirkan Syahierah Insyirah (2011) dan Sumayyah Zhufairah (2013). Pada masa ini, Hasyuda sedang memimpin Ikatan Penulis Sabah (IPS), menjadi ahli Persatuan Penulis Nasional (PENA) disamping menjadi Ahli Lembaga Pengarah Institut Penilaian Sastera (INPES).

Hasyuda pernah mengikuti Program Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 1987 di bawah asuhan penyair Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Program Penulisan Majlis Bahasa dan Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Pusat Pengembangan Bahasa, Jakarta pada tahun 1997 di bawah pimpinan Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M dan Taufiq Ismail. Pernah menyertai aktiviti sastera antarabangsa melalui Program Baca Puisi Kuala Lumpur (2000) dan Pertemuan Penyair Korea-Asia Tenggara di Pekanbaru, Riau, Indonesia pada tahun 2011.

Di samping aktif sebagai penulis, Hasyuda juga pernah terlibat sebagai fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) Khidmat Negara di Sabah di bawah kelolaan DBP di samping menjadi tenaga penceramah sastera KOMSAS dan program-program penulisan sekolah.

Hasyuda kini sedang berkhidmat sebagai Penolong Pegawai Penerangan Pilihan Raya di Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah, Malaysia.

Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Pencapaian terbaik Hasyuda dalam bidang tulisan dan penulisan yang lain adalah dengan meraih hadiah kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas DBP Cawangan Sabah (1995), Hadiah Penyajak Terbaik Berita Sabah (1997), Hadiah Tinta Sastera (1999), Hadiah Karya Sulung (2002) dan Hadiah Utama Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam DBP Cawangan Sabah (2011).

Hasyuda ialah penerima darjah kebesaran Negeri Sabah 'Bintang Kinabalu' (B.K.) pada tahun 2006 , daripada kerajaan Persekutuan Malaysia 'Pingat Pangkuan Negara (P.P.N)' oleh DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong pada tahun 2008 dan juga daripada TYT Yang diPertua Negeri Sabah dengan Bintang Setia Kinabalu (BSK) pada tahun 2013. Hasyuda merupakan penerima Anugerah Penyair Islam Sabah bagi tahun 2008 daripada TYT Yang diPertua Negeri Sabah.

Karya[sunting | sunting sumber]

Skrip drama pentas Hasyuda berjudul “Takungan Bayu” telah memenangi hadiah kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas anjuran DBP Cawangan Sabah pada tahun 1995. Pencapaian Hasyuda dalam bidang penulisan yang lain ialah Hadiah Penyajak Terbaik Berita Sabah (1997), Hadiah Tinta Sastera (1999 dan 2004) dan Hadiah Karya Sulung (2002). Hasyuda telah menghasilkan lebih 1,000 buah puisi, 40 buah cerpen, 35 buah esei sastera dan 5 buah skrip drama pentas. Puisi-puisi Hasyuda dimuatkan dalam kumpulan puisinya: ‘Balada Paduka Mat Salleh’ (DBP, 1989), ‘Akar Cahaya’ (IPS, 1997), ‘Datang Kembali’ (IPS, 1997), 'Menginai Badai' (DBP, 2004), 'Sinar Sirna' (DBP, 2006), 'Kembali di Lahad Rahsia' (IRIS, 2008) dan 'Suara yang terbuka' (ITBM, 2014). Cerpen-cerpen Hasyuda dihimpunkan dalam Kumpulan Cerpen 'Sepasang Sayap Jelita' (2004). Sebuah buku himpunan pantun karya Hasyuda juga diusahakannya dalam 'Usul Mengenal Asal' (IPS, 2014). Puisi-puisi Hasyuda juga turut diterbitkan secara bersama dengan para penulis lain melalui 36 buah antologi puisi, antologi cerpen (2 buah), skrip drama pentas (1 buah) dan esei sastera (1 buah).

Tanggapan Para Penggiat Sastera terhadap Hasyuda[sunting | sunting sumber]

T. Alias Taib pernah memberi sebuah tanggapan kepada Hasyuda dalam Dewan Sastera, April 2000 yang berbunyi:

“Hasyuda Abadi, tampaknya, berusaha memberikan kita ungkapan asli dan imaginatif”.

Manakala, Dharmawijaya pula berkata dalam Dewan Sastera pada Mei 2003 dengan berbunyi:

“Karya Hasyuda Abadi memperlihatkan ketelitiannya dalam pendayagunaan bahasa”.

Dato Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) pula pernah memberikan kata-kata penghormatannya kepada Hasyuda dengan mengatakan:

“Keahliannya (Hasyuda Abadi) ialah dalam epik dan sejarah, namun suaranya juga mulai mendekam pada yang Islami. Sejak kapan dia berubah? Agaknya selepas dia faham makna cinta sejati. Api cintalah yang bernyala di mata Umar Al-Farid dan Iqbal, tapi cinta dan cinta saja tidak bererti andainya tidak dicantas duri dan ranjau yang menutup kebenaran. Apakah bezanya temaram (pancaran) bulan dilangit dan bayangan bulan di danau (tasik)? Saya pernah mengasuhnya dulu, mungkin kini dia sudah melalui denainya sendiri…….” Rujukan - http://groups.yahoo.com/group/Zikir_group/message/760.

...dunia kepenyairan Hasyuda Abadi sebenarnya masih lagi berkembang. Penyair ini terus rajin berkarya. Penyair yang baik dan rajin sepertinya tidak selalu lahir di dunia ini. Dia hanya muncul sekali dalam satu generasi. Itulah kelebihan Hasyuda Abadi dan kita masih lagi belajar memahami dirinya, mengenali sistem tanda yang dilahirkannya. Namun yang pasti, setiap karyua puisi yang dilahirkan oleh penyair ini adalah satu langkah lagi ke arah pengukuhan peribadi dan jati dirinya. Rujukan - Jasni Matlani dalam Pengantar Kumpulan Puisi Kembali di Lahad Rahsia.

Rujukan[sunting | sunting sumber]