Hati Bukan Kristal

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Hati Bukan Kristal
PengarahRaja Ahmad Alauddin
Penulis
Dihasilkan olehRahimah Rahim
Habsah Hassan
Dibintangi
Syarikat
penerbitan
Directors Team Sdn. Bhd.
Tarikh tayangan
1990
NegaraMalaysia
BahasaMelayu

Hati Bukan Kristal adalah sebuah filem drama romantik Malaysia 1990 keluaran Director's Team Sdn. Bhd. dan diklasifikasi sebagai tayangan umum. Filem ini diarahkan oleh Raja Ahmad Alauddin dan penerbitnya adalah Rahimah Rahim dan Habsah Hassan. [1]

Ringkasan Jalan Cerita[sunting | sunting sumber]

Nina, seorang wartawan muda yang cerdas dan bercita-cita tinggi, meminati cerita-cerita yang dikarangkan oleh seorang wartawan dan editor yang bernama Cik Ida. Nina yang baru sahaja menceburi bidang kewartawanan di sebuah syarikat penerbitan akhbar Harian Nasional telah menjadi perhatian ramai kerana sikapnya yang terbuka dan sentiasa komited dalam tugasan artikelnya dengan menemuramah setiap responden disekitar kawasan serta masuk dalam sebuah kelab disko malam semata-mata demi tugasannya.

Namun, Razief, seorang wartawan jenayah yang juga komited dalam tugasnya, dikatakan mempunyai sifat kelelakian yang memandang serong terhadap kebolehan wanita dalam mencari sesuatu kes dan sentiasa memandang rendah kepada Nina. Tetapi didalam hatinya terdetik perasaan cinta kepada Nina. Dalam masa yang sama, Razief juga dikatakan berpura-pura cinta dengan seorang pelacur, perokok, penagih dadah dan penagih minuman keras yang bernama Michelle, semata-mata demi mencari kebenaran disebalik kes sindiket pelacuran yang cuba dibongkarkannya.

Kehidupan peribadi yang dibelenggu masalah dan kebencian menjadikan Michelle sebegitu rupa. Secara kebetulannya, Nina dan Michelle adalah sahabat dan perhubungan Razief dengan Nina tidak diketahui Michelle sehinggalah diakhir pertemuan mereka bersama di sebuah restoran. Pada waktu itu, Michelle telah mengetahui tentang hal sebenar perhubungan Razief dengannya yang semata-mata demi memenuhi kehendak kerjaya Razief dan keadaan mereka berdua apabila bertemu adalah sangat dingin.

Sewaktu Michelle dalam perjalanan pulang ke rumah, dia sangat hampa dan bertindak mengambil minuman keras dan dadah yang berlebihan untuk melupakan masalah tersebut. Pada pengakhirannya, Michelle disahkan mati dalam perjalanan ke hospital yang bukan disebabkan oleh terjatuh akibat pergelutan dengan kekasih 'sugar daddy' nya, tetapi disebabkan pengambilan dadah dan minuman keras yang berlebihan.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Para pelakon yang terlibat dalam filem ini adalah:

1. Ridzuan Hashim (Allahyarham) sebagai Razief (Pelakon Utama): Wartawan jenayah di Syarikat Akhbar Nasional. Sering dilihat memandang rendah pada Nina, tetapi akhirnya beliau jatuh cinta padanya. Pada masa yang sama, beliau berpura-pura menyukai Michelle demi memenuhi kehendak kerjayanya tetapi akhirnya Michelle menemui niat sebenar beliau setelah Michelle berkunjung ke rumahnya.

2. Erma Fatima sebagai Michelle (Pelakon Utama): Seorang pelacur kelas atasan. Hidupnya dihabiskan untuk memuaskan nafsu lelaki dan berfoya-foya di kelab disko. Atas kerana masalah peribadi serta diabaikan oleh ibubapanya semasa kecil, menyebabkan dia menjadi sebegitu. Seorang perokok tegar dan mempunyai ramai lelaki, termasuk seorang sugar daddy yang kaya.

3. Julia Rais sebagai Nina (Pelakon Pembantu): Wartawan wanita di Syarikat Ahbar Nasional, sebaya dengan Michelle yang juga rakannya. Atas komited dalam memperjuangkan suara dan hak wanita, beliau menarik perhatian Cik Ida. Seorang yang cekal dan berkarisma dalam kerjayanya, tetapi berbunga perasaan cintanya pada Razief walaupun Razief selalu menyakiti hati Nina.

Adibah Amin melakonkan watak tambahan sebagai Cik Ida dalam filem ini.

4. Adibah Amin sebagai Cik Ida (Pelakon Tambahan): Beliau adalah seorang ketua editor di Syarikat Akhbar Harian Nasional. Walaupun beliau sering dilihat seorang yang tegas dan sentiasa pemarah, tetapi ketegasannya membuatkan para pekerjanya lebih berdisiplin dan kadang-kala mempunyai sifat seorang yang penyayang.

5. Zaiton Sameon sebagai Cik Som (Pelakon Tambahan): Seorang yang berusia pertengahan 30-an dan masih belum berkahwin. Beliau adalah sebagai penjawab soalan-soalan para peminat untuk salah satu ruangan akhbar di Syarikat Akhbar Harian Nasional. Pada mulanya beliau dilihat seorang yang kurang bersosial, lurus dan suka diusik oleh rakan-rakan sekerjanya, tetapi atas kerana terikut dengan gaya hidup Nina, akhirnya beliau mempunyai keyakinan diri untuk bersosial. Beliau adalah kekasih Zain.

6. Dato' Shah Rezza sebagai Zain (Pelakon Tambahan): Salah seorang wartawan di Syarikat Akhbar Harian Nasional. Beliau sering dilihat berdamping dengan Cik Som, serta bergurau senda dengannya. Oleh kerana itu beliau akhirnya terpikat dengan Cik Som.

7. Imuda sebagai Azmi (Pelakon Tambahan): Ditemukan di sebuah kelab disko, beliau adalah seorang yang dilihat merekrut para wanita yang cantik untuk memasuki ke dunia lakonan, tetapi perkara sebenarnya hanya diketahui oleh Razief. Perkenalan beliau dengan Nina tidak disenangi Razief yang bertindak menarik Nina untuk keluar dari perangkap beliau.

8. A. Rahim (Allahyarham) sebagai kekasih Michelle (Pelakon Tambahan): Seorang yang bergelar Datuk dan mempunyai seorang isteri. Beliau adalah seorang kekasih Michelle dan sentiasa mengharapkan Michelle untuk sentiasa bersama dengannya. Pada akhirnya, beliau bergelut dengan Michelle yang berkeadaan mabuk dan menjadi salah seorang penyebab kematian Michelle selain daripada kesan dadah dan alkohol berlebihan.

Kru Filem[sunting | sunting sumber]

Antara kru-kru filem yang terlibat dalam menjayakan filem ini adalah:

1. Raja Ahmad Alauddin (Pengarah)

2. Jafri Idris (Penolong Pengarah)

3. Habsah Hasan (Penerbit, Lakon layar, Penulis Lirik Lagu Tema)

4. Rahimah Rahim (Penerbit, Penyanyi Lagu Tema)

5. Adibah Amin (Cerita Asal/Skrip)

6. Wan Najib Wan Mohd (Pembantu Penerbit)

7. Haniff Hj. Hassan (Pembantu Penerbit, Grafik)

8. Danial Kastin (Pembantu Penerbit)

9. Saiful Bahri (Pembantu Penerbit)

10. Tengku Mohd. Yaccob (Pembantu Penerbit)

11. Sonia Teh (Pengurus Penerbitan)

12. Sri Elland Esthaufiek (Kesinambungan)

13. Azahari Mohd Zain (Pengarah Seni)

14. Nordin Alias (Pembantu Pengarah Seni)

15. Badaruddin Haji Azmi (dikenali Bade Hj. Azmi) (Pengarah Fotografi)

16. Zanif (Penolong Juru Kamera)

17. Jamil Ul-haq (Jurusolek)

18. Ooi Eow Jin (Komposer Lagu Tema)

19. S. Naidu (Pengadun Awal)

20. Zulkiflee Salleh (Pengadun Akhir)

21. Darus Hashim (Penyunting)

Lagu Tema Filem dan Album[sunting | sunting sumber]

Rahimah Rahim - Hati Yang Rapuh - Dari Filem Hati Bukan Kristal
EP oleh
Dilancarkan pada1990
Dirakamkan pada1989/1990
TempatMalaysia Edit the value on Wikidata
GenrePop Balada
Panjang3:35
BahasaBahasa Melayu Edit the value on Wikidata
SyarikatNSR Records
Directors Team Sdn. Bhd.
PengarahRaja Ahmad Alauddin Edit the value on Wikidata
PenerbitJohari Salleh
Rahim Othman
Ooi Eow Jin
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Lagu tema bagi filem ini adalah Hati Yang Rapuh nyanyian Rahimah Rahim. Lirik lagu ini adalah ciptaan Habsah Hassan dan pencipta lagu terkenal iaitu Ooi Eow Jin menjadi komposer kepada lagu ini. [2]

Lirik lagu ini dikatakan mempunyai maksud kebangkitan semula semangat dan kekuatan yang berlandaskan keimanan setelah terlalu bersandarkan kepada impian dan harapan yang akhirnya menjadi hancur dan musnah kerana kehidupan yang beronak dan berliku.

Lagu ini diambil daripada album Rahimah Rahim yang diterbitkan pada tahun 1990 yang mengambil nama lagu tema ini sebagai judul album beliau Rahimah Rahim - Hati Yang Rapuh - Dari Filem Hati Bukan Kristal (No. Siri NSR: NSR-716). Album ini turut memuatkan lagu hit popular yang berunsur kerohanian dan ketuhanan iaitu Doa. [3]

Lirik lagu Hati Yang Rapuh adalah:


Di hati kulakarkan sebuah impian

Yang aku namakan harapan

Apabila kutentukan arah serta tujuan

Rela kuhadapi cabaran


Jalan ke puncak itu beronak dan berliku

Menyukarkan pendakianku

Namun tetap kugagahi hati yang rapuh ini

Demi hasrat yang suci


Aku sangkakan harapan selembut impian

Yang menguliti tidur insan

Kiranya kehidupan tidak sedemikian

Goyah hatiku oleh kenyataan


Tak harus kuturuti kelemahan diri

Tak daya bertahan diuji

Lalu aku mengumpulkan semula kekuatan

Berlandaskan keimanan

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Pada 2 Jun 1991, filem ini dicalonkan dalam Festival Filem Malaysia ke-9 yang bertempat di Auditorium Majlis Perbandaran Shah Alam (kini Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam). Filem ini telah mendapat pengiktirafan sebagai Filem Terbaik dan Cerita Terbaik melalui Habsah Hassan selaku penerbit dan lakon layar. Raja Ahmad Alauddin selaku pengarah filem ini diiktiraf sebagai Pengarah Terbaik. Pelakon-pelakon seperti Ridzuwan Hashim dianugerahkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Erma Fatima sebagai Pelakon Wanita Terbaik dan Julia Rais sebagai Pelakon Bintang Harapan.[4]

Tambahan[sunting | sunting sumber]

Pada waktu album untuk lagu Hati Yang Rapuh itu diterbitkan, Rahimah Rahim dikatakan telah bersara pada 1989[5] setelah menyempurnakan rukun Haji di tanah suci, dan album ini dikatakan sebagai album terakhir beliau sebelum beliau ingin menumpukan sepenuh masanya kepada keluarga dan bidang fesyen muslimah dengan membuka butik miliknya di Singapura.[6]. Akan tetapi, desakan jiwanya untuk masuk ke pentas seni semula tidak tertanggung lagi dan beliau akhirnya muncul semula pada awal tahun 2000-an dengan menerbitkan album kompilasi pilihannya iaitu Rahimah Rahim - Suatu Memori[7] dan menjadi pelakon pembantu dalam Qaisy dan Laila[8].

Dikatakan bahawa semasa dalam proses penerbitan filem ini, Habsah Hassan pernah melahirkan rasa yakin untuk menerbitkan filem sulung beliau ini. Ini adalah kerana beliau pernah berkata bahawa beliau telah meletakkan semua formula bagi membuat satu filem yang baik, berdasarkan pengalaman beliau dalam pembikinan filem Ali Setan, dan mengharapkan filem ini mendapat tempat sebagai filem Pecah Panggung. Akan tetapi, filem beliau mendapat sambutan yang biasa sahaja dikalangan penonton, tidak seperti filem Ali Setan yang mendapat tempat. Walau bagaimanapun, filem beliau telah mendapat tempat dalam pertandingan Festival Filem Malaysia ke-9 sebagai Filem Terbaik dan Cerita Terbaik.

Lihat Juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Sinema Malaysia - Filem Hati Bukan Kristal". Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-04-01. Dicapai pada 2010-12-11.
  2. ^ "Filem Malaysia - www.filemkita.com - Hati Bukan Kristal / 1990". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-05-17. Dicapai pada 2010-12-11.
  3. ^ (Gambar Album) Mesin Taip Buruk - RR - Hati Yang Rapuh (1990)[pautan mati kekal]
  4. ^ SinemaMalaysia.Com.My - Festival Filem Malaysia - Arkib[pautan mati kekal]
  5. ^ Mesin Taip Buruk - Rahimah Rahim - Diketuk Kerana Salah Menyanyi (Tahun Bersara)[pautan mati kekal]
  6. ^ | Utusan Malaysia Online - Hiburan - Rahimah Rahim kembali dengan fesyen Afrika
  7. ^ "Mesin Taip Buruk - Rahimah Rahim - CD (Suatu Memori)". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-05-27. Dicapai pada 2010-12-11.
  8. ^ Sinema Malaysia - Artist (Qaisy dan Laila)[pautan mati kekal]