Hatib bin Abi Balta’ah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Hatib bin Abi Balta’ah adalah sahabat Nabi Muhammad SAW

  • Pembukaan kota mekah

Diriwayatkan bahawa Naufal bin Muawiyah, salah seorang pemuka Bani Bakar bersama pengikutnya menyerang kabilah Khuza’ah pada waktu malam.

Akibat pelanggaran ini, Baginda S.A.W bertekad untuk bertindak terhadap pemuka Makkah sekalipun diutus oleh mereka Abu Sufyan untuk merayu namun gagal dan berakhir dengan pengislaman Abu Sufyan bin Harb.

  • Merahsiakan sasaran perang

Sunnah Nabi S.A.W dalam berperang adalah menyembunyikan lokasi serangan. Ia bagi mengelakkan berlaku kebocoran maklumat dan mengelakkan perancangan diketahui musuh. Termasuklah Abu Bakar dan Aisyah sendiri tidak dimaklumkan sasarannya. Begitu juga Baginda S.A.W melakukan pergerakan yang mengelirukan musuh. Ini menjadi bukti bahawa menyusun strategi merupakan kewajipan yang dibuat oleh Baginda S.A.W, bukan sekadar berdoa dan bertawakkal.

  • Kesilapan orang yang baik

Walaupun perancangan yang teliti dan rahsia, Baginda S.A.W diberitahu oleh Allah bahawa berlaku kebocoran maklumat melalui Ahli Badar, Hatib bin Abi Balta’ah. Hatib mengupah seorang wanita Makkah melalui sepucuk surat yang dikirimkan padanya untuk memaklumkan kepada pemuka-pemuka Makkah akan persiapan Nabi S.A.W untuk menyerang Makkah.

Lalu Baginda S.A.W mengutus Ali bin Abi Talib dan Miqdad al-Aswad untuk menggagalkan usaha tersebut dengan mengejar wanita itu dan merampas surat tersebut.

  • Memberi maklumat kepada musuh

Apabila surat itu dibuka dan dibaca, ia menggemparkan para Sahabat apabila ia disampaikan oleh Hatib bin Abi Balta’ah yang membocorkan maklumat perancangan Nabi S.A.W. Proses pembuktian dibuat dengan memanggil Hatib, dan Hatib memberi penjelasan akan tindakannya. Akan tetapi alasan itu ditolak kerana membocorkan maklumat kepada musuh merupakan dosa besar dan layak dihukum bunuh.

Apabila disoal selidik, Hatib menjawab:

“Wahai Rasulallah! Janganlah gopoh bertindak menghukum saya, demi Allah! Saya tetap beriman kepada Allah dan Rasul. Saya tidak menyeleweng dan menukar agama, tetapi saya mempunyai hubungan dengan pemuka Quraisy. Saya bukan dari kalangan mereka, cuma anak dan keluarga saya berada di tempat mereka. Saya tidak mempunyai ahli keluarga yang dapat melindungi mereka. Saya melakukan demikian semata-mata untuk melindungi anak dan keluarga saya di sana!”

  • Maslahah yang membahayakan

Apabila mendengar ucapan Hatib, barangkali kita mengatakan Hatib berbuat demikian demi maslahah diri dan keluarganya. Namun begitu, ada mudharat yang lebih besar akibat daripada perbuatannya itu iaitu musuh sedar akan perancangan Nabi S.A.W. Sebab itu para ulamak meletakkan kaedah apabila berlaku pertembungan antara maslahah dan mafsadah, hendaklah didahulukan menghilangkan mafsadah daripada maslahah.

Walaupun Saidina Umar meminta izin untuk memancung Hatib, namun tidak diizinkan. Ia tidak bermaksud Hatib tidak bersalah, namun disebabkan kedudukan Ahli Badar yang tinggi di sisi Islam menyebabkan Hatib dimaafkan. Ini juga menjadi dalil bahawa para Sahabat tidak maksum, mereka melakukan kesilapan namun tidak menjatuhkan maruah mereka bahkan Hatib dijamin sebagai ahli syurga.

Peristiwa ini juga membuktikan Hatib tidak berwalakkan kepada musuh dan tidak juga munafiq, hanya kesilapan di atas kelemahan diri disebabkan kasih pada ahli keluarganya. Akan tetapi, mestilah mendahulukan iman berbanding perasaan semata-mata. Lalu turunlah ayat daripada surah Mumtahanah ayat 1 – 5.

  • Zhon VS Hazar

Ada dalam kalangan kita yang keliru terhadap beberapa istilah penting, antaranya zhon (sangkaan) dan hazar (berjaga-jaga). Tidak semua sangkaan itu buruk, bahkan ada sangkaan yang perlu direnteti dengan penjelasan untuk mendapatkan kepastian. Itulah yang disebut sebagai hazar. Maklumat yang diperolehi mestilah disahkan akan kebenarannya. Untuk mendapatkan jawapan mestilah dibuat beberapa tindakan termasuklah menyoal, memeriksa dan lain-lain mengikut kesesuaian. Adalah amat salah mengatakan ianya tajassus (mengintai) kerana mengintai yang dilarang adalah untuk memberi maklumat kepada musuh sebagaimana yang dibuat oleh Hatib.

  • Akhlak yang mulia

Meminta penjelasan dan tidak mempertahankan perkara yang salah merupakan akhlak Nabi S.A.W dan para Sahabat. Sekalipun alasan diberikan oleh Hatib, namun perkara yang jelas bercanggah dengan Islam tetap tidak boleh dibela. Pemimpin yang baik tidak akan berwenang menghukum kesalahan, begitu juga pemimpin yang berintegriti tidak akan mencipta seribu satu alasan demi membenarkan tindakannya yang salah.

Hanya dengan keimanan yang benar sahajalah yang menjadi kayu ukur dalam setiap tindakan kita tanpa mempunyai apa-apa kepentingan yang bercanggah dengan kehendak Islam.

Nyata Allah memuliakan Hatib bin Abi Balta’ah hingga ke hujung usianya. Istiqamahnya bersama Islam terbukti tanpa was-was dan tergolong dalam kalangan as-Sabiqun yang dijanjikan syurga. Beliau wafat di bumi Madinah.