Henry Herbert, Earl Carnarvon ke-4

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lord Carnarvorn

Henry Howard Molyneux Herbert, Earl Carnarvon ke-4 (24 Jun 1831 – 29 Jun 1890), diberi gelaran Lord Porchester dari 1833 ke 1849, merupakan seorang ahli politik British dan ahli utama dalam Parti Konservatif di England. Beliau telah memegang jawatan Setiausaha Negara untuk Koloni sebanyak dua kali dan berkhidmat sebagai wizurai di Ireland. Beliau telah memainkan peranan penting dalam mereformasikan sistem penjara. Di samping itu, beliau bertanggungjawab dalam penubuhan persekutuan Kanada dan juga Afrika Selatan. Salah seorang anaknya yang terkenal ialah George Herbert, Earl Carnarvon ke-5.

Latar Belakang[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Grosvernor Square, London, England. Beliau merupakan anak sulung kepada Henry Herbert, Earl Carnarvon ke-3 (meninggal pada 1849) dan Henrietta Anna Howard. Mendapat pendidikan awal di Kolej Eton, beliau kemudiannya melanjutkan pelajarannya di Christ Church, Oxford.

Kerjaya Awal Politik[sunting | sunting sumber]

Banduan terpaksa buat kerja buruh kasar di Penjara Coldbath Fields di London, pada tahun 1864.

Pada tahun 1863 dia mengusahakan reformasi hukuman. Di bawah pengaruh Joshua Jebb, beliau prihatin dengan masalah kesesakan di dalam penjara. Beliau sendiri pernah bekerja sebagai magistret, dan berkempen agar keadaan di penjara dibuat kurang selesa, dengan regim kerja yang lebih keras dan makanan yang kurang enak. Beliau juga ingin melihat sistem kebangsaan yang lebih seragam. Oleh itu, beliau diminta mengusulkan cadangannya kepada jawatankuasa House of Lords, yang mula bersidang pada Februari 1863. Ia telah membuat laporan, dan rang undang-undangnya dibawa masuk pada tahun 1864; bagaimanapun, ia hilang setelah mendapat banyak tentangan. Namun demikian, Akta Penjara 1866, yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1865, menyaksikan idea utama Carnarvon dilaksanakan, walaupun dengan pindaan terperinci.

Setiausaha Koloni dan Persekutuan Kanada, 1866–1867[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1866 Carnarvon telah dilantik sebagai Setiausaha Negara untuk Jajahan oleh Lord Derby. Pada tahun 1867, dia memperkenalkan Akta British North America, yang memberikan pemerintahan sendiri kepada Kanada, dan mewujudkan sebuah persekutuan di negara tersebut. Pada akhir tahun itu, beliau bersama-sama Lord Cranborne dan Jonathan Peel telah meletak jawatan sebagai protes terhadap rang undang-undang reformasi yang diusulkan oleh perdana menteri Benjamin Disraeli untuk memberi hak mengundi kepada golongan pekerja.

Setiausaha Koloni, 1874 - 1878[sunting | sunting sumber]

Beliau telah kembali semula sebagai setiausaha koloni British pada tahun 1874, di mana beliau mengemukakan satu cadangan yang dipanggi, Syarat-syarat Carnarvon atau Carnarvon's Terms, untuk menyelesaikan perselisihan faham antara pihak British Columbia dan Kanada mengenai pembinaan landasan kereta api transkontinental dan jambatan kereta api dan kereta api Pulau Vancouver. Pulau Vancouver telah dijanjikan sebagai landasan kereta api sebagai syarat untuk masuk ke konfederasi Kanada.

Pada tahun yang sama, beliau menggerakkan rancangan untuk menerapkan sistem konfederasi di pelbagai negara di Afrika Selatan. Namun demikian, berbanding Kanada keadaan di Afrika Selatan jauh lebih rumit. Antara lain, beberapa negeri di Afrika Selatan masih bebas dan berada di bawah kuasa pihak Boer; ini memerlukan penaklukan tentera sebelum ia dapat disatukan. Rancangan konfederasi juga sangat tidak popular dalam kalangan rakyat biasa di Afrika Selatan. Perdana Menteri Cape Colony (sejauh ini merupakan negara terbesar dan paling berpengaruh di Afrika Selatan) dengan tegas menolak konfederasi di bawah Britain, dengan mengatakan bahawa itu model Lord Carnarvon itu tidak boleh dipakai bagi rantau yang pelbagai seperti Afrika Selatan, dan konflik itu akan timbul akibat penglibatan pihak luar dalam hal ehwal Afrika Selatan pada masa hubungan antara kaum di negara ini sangat tegang.

Pemerintah Cape yang berfahaman liberal juga membantah rancangan berkenaan dari segi ideologi. Maklum balas rasmi yang disampaikan ke London melalui Sir Henry Barkly, adalah bahawa mana-mana persekutuan dengan republik Boer yang tidak liberal akan menggugat hak dan kuasa mengundi warganegara kulit hitam di Cape Colony, dan oleh itu ia tidak dapat diterima. Pemerintah British di daerah lain enggan membincangkan idea tersebut. Secara keseluruhan, pemimpin di Cape dan negara-negara jirannya berpendapat "cadangan konfederasi sewajarnya dibincangkan dalam kalangan masyarakat tempatan, dan bukannya ditekan kepada mereka daripada pihak luar." Namun demikian, Lord Carnarvon percaya bahawa keberadaan negara-negara Afrika yang bebas akan terus menimbulkan ancaman "kebangkitan Kaffirdom secara umum dan serentak terhadap peradaban kaum kulit putih". Dengan demikian beliau memutuskan untuk memaksakan langkah-langkah yang dicadangkannya serta, "berusaha untuk memberikan Afrika Selatan bukan apa yang diinginkan oleh penduduknya, tetapi apa yang dia anggap seharusnya berlaku." Beliau pun menghantar pentadbir, seperti Theophilus Shepstone dan Bartle Frere, ke Afrika Selatan untuk melaksanakan sistem konfederasinya. Shepstone akhirnya telah melancarkan serangan dan mengambil alih Transvaal pada tahun 1877, sementara Bartle Frere, sebagai Pesuruhjaya Tinggi yang baru, memimpin pasukan imperialis menentang Xhosa yang terakhir yang merdeka dalam Perang Frontier ke-9. Carnarvon kemudian menggunakan alasan rusuhan yang meningkat untuk menangguhkan perlembagaan Natal, sementara Bartle Frere menggulingkan pemerintah Cape yang terpilih, dan kemudian bergerak menyerang Kerajaan Zulu yang merdeka. Namun pelan konfederasi runtuh seperti yang diramalkan, dan mencetus perang di seluruh Afrika Selatan. Kekalahan memalukan juga menyusul di Isandlwana dan Bukit Majuba (semasa Perang Boer I). Daripada peperangan yang dihasilkan, pencerobohan Zululand yang dahsyat berakhir dengan aneksasi, tetapi Perang Anglo-Boer pertama tahun 1880 mempunyai akibat yang jauh lebih besar bagi rantau ini.