Hikayat Perang Setambul

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Hikayat Perang Setambul adalah suatu sajak berbentuk hikayat bahasa Melayu dinukilkan pada abad ke-19 menceritakan peperangan yang meletus di Krimea antara kerajaan-kerajaan Uthmaniyah (pimpinan Sultan Abdul Majid I) dengan Empayar Rusia (pimpinan Raja Nikolai I) yang dikisahkan membuak dari perbalahan antara kaum Islam dan Kristian.[1][2]:168-169 Hikayat ini dilihat sebagai antara penunjukkan kedudukan kerajaan Uthmaniyah yang dimuliakan dalam kalangan masyarakat alam Melayu dahulu sebagai kerajaan penghulu umat Islam (selepas runtuhnya Kerajaan Abbasiyah) dan penjaga kota-kota suci Mekah dan Madinah.[3]:6-7

Terdapat tiga versi hikayat ini yang diterbitkan secara cetak batu di Singapura oleh Muhammad Said Haji Muhammad Arsyad iaitu pada tahun 1879, 1902 dan 1903.

Gaya penulisan[sunting | sunting sumber]

Perang Krimea terzahir daripada ketegangan yang bertahun-tahun lamanya di antara kuasa-kuasa besar dengan empayar Uthmaniyah yang pada ketika itu lemah daulahnya; pihak-pihak Rusia, Perancis dan British menghadapi suatu Permasalahan Timur yang dijangkakan sekiranya kerajaan Uthmaniyah tumbang tidak sahaja untuk merebut peluang wilayah-wilayah yang hendak dikuasai,[1] tetapi pihak-pihak ini juga ingin ambil peluang menunjukkan diri sebagai pelindung hak umat Kristian wilayah Palestin terutamanya yang Katolik (bagi pihak Perancis) dan Ortodoks Timur (bagi pihak Rusia). Hikayat ini menumpukan kepada aspek ini secara mengisahkan kononnya suatu kejadian pemula yang khusus di mana seorang paderi Rusin al-Mosko dikatakan telah memasuki suatu masjid dengan beberapa orang anak muridnya pada suatu tengah hari Jumaat lalu menggangu jemaah masjid bersembahyang di sana:

Maka adalah selamanya masuk paderi itu serta muridnya. Maka pada tiap waktu sembahyang tambahan pada hari Jumaat diperolok-olokkan serta dipermain-mainnya akan sekelian orang yang sembahyang di dalam masjid itu...

Kejadian ini dikatakan telah mendatangkan kemarahan penduduk Islam lalu berlakunya gaduh-bergaduh sehingga rampas-merampas harta benda dan menyerang orang awam. Paderi ini kemudiannya diceritakan membawa perutusan dari Raja Rusia agar dimusnahkan segala masjid di Palestin. Sultan Uthmaniyah (diberi nama "Abdul Hamid Khan") murka sebaik mendengar khabar ini dan berjanji membalas dendam. Raja Rusia menuduh sultan tersebut membiarkan umat Kristian Rusia dianiaya semasa menziarahi tempat-tempat suci di Palestin. Putera Mahkota dan Ratu Inggeris cuba berdamai antara kedua-dua pihak, tetapi Raja Rusia itu enggan mengalah. Pihak British dan Perancis diceritakan bersedia memihak kepada Turki Uthmaniyah.[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Ermy Azziaty Rozali (Disember 2016). "Manuskrip 'Hikayat Perang Setambul' dan 'Hikayat Peperangan Al-Maulana Sultan Istanbul Yang Bernama Abdul Hamid Khan': sejarah peperangan daulah Turki Uthmaniyah dan Rusia". Jebat: Malaysian Journal of History, Politics and Strategic Studies. Universiti Kebangsaan Malaysia. 43 (2): 23–50. ISSN 2180-0251.
  2. ^ 5: Two Hundred Years after the First Embassy: Ottoman Turkey, Its Worthless Western Allies and Russian Enemies – the Worst of the Kāfirs. m/s. 155–194. Dalam Braginsky (2015).
  3. ^ Introduction. m/s. 1–8. Dalam Braginsky (2015).

Sumber utama[sunting | sunting sumber]