Jamaluddin bin Shahadan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Hj Jamaluddin bin Shahadan)
Lompat ke: pandu arah, cari

Allahyaraham Hj Jamaluddin Bin Shahdan dilahirkan pada 29hb Julai 1941 di Bentong, Pahang. Beliau mula belajar silat ketika berumur 11 tahun daripada datuknya, Dol Ghani. Silat yang dipelajarinya ialah aliran Kuntau Telok Mas Melaka. Beliau telah belajar dengan datuknya selama 3 tahun. Setelah itu, beliau berlatih pula selama setahun dengan Abd Rahman bin Hj Hamzah, adik kepada Haji Abd Hamid bin Haji Hamzah, rakan sekelasnya di High School Muar yang kini dikenali sebagai Sekolah Tinggi Muar. Setelah itu, barulah beliau berguru dengan Hj Abdul Hamid Hj Hamzah.

Ketika berumur 18 tahun, Hj Jamaluddin telah ditawarkan untuk melanjutkan pendidikannya di Malayan Teachers College Wolverhampton, England. Sekembalinya ke tanah air, beliau telah ditugaskan untuk menjadi guru bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Alor Gajah Melaka selama 2 tahun sebelum ditukarkan ke Sekolah Menengah Tanah Merah, Kelantan pada tahun 1965. Pada tahun 1966, beliau telah ditugaskan untuk mengajar di tempat asalnya di Bentong, Pahang lalu menetap di situ.

Semasa di Pahang, Hj Jamaluddin mula aktif mengajar Silat Sendeng dan mengajar kepada Kumpulan Pertama Unit Risik Rejimen Gerak Khas Komando di Bentong. Kemudiannya, beliau telah mengembangkan Silat Sendeng hingga ke Pulau Tioman, Genting Highlands, Jengka, Raub, Kuala Lipis dan Kuantan, Pahang.

Pada tahun 1991, Hj Jamaluddin telah dipilih untuk memegang jawatan Presiden bagi Pertubuhan Seni Silat Sendeng Malaysia sebuah persatuan yang ditubuhkan bagi menyatukan guru dan murid aliran Silat Sendeng yang diasaskan oleh Hj Abd Hamid yang kini dikenali sebagai Silat Sendeng Malaysia.

Selepas beliau pencen menjadi seorang guru di Sekolah Menengah Sulaiman Bentong pada tahun 1996, beliau tetap terus aktif dan memberi perhatian penuh untuk mengajar Silat Sendeng termasuk membuat senjata pedang.

Pada tahun 2007, beliau telah ditemukan oleh bintang seni mempertahankan diri dari Hollywood, Jason Scott Lee iaitu anak saudara kepada mendiang Bruce Lee. Beliau begitu teruja dan sangat menghargai pertemuannya dengan Scott Lee itu lalu Hj Jamaluddin begitu bersungguh sekali untuk menunjuk ajar Silat Sendeng termasuk bermain senjata tekpi kepada Scott Lee.

Pada usia 75 tahun Hj Jamaluddin kembali ke rahmatullah pada Julai 2016 akibat sakit lumpuh.

Rujukan[sunting | sunting sumber]