Hujan asid

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Hujan asid

Hujan asid secara semulajadi adalah berasid. Ini disebabkan air hujan yang turun akan bergabung dengan karbon dioksida dan gas-gas berasid yang terdapat di atmosfera. Bagaimanapun, disebabkan pada masa kini, penggunaan tenaga elektrik dan kereta telah menyebabkan bahan api fossil di bakar dalam jumlah yang banyak. Pembakaran bahan api fossil seperti minyak dan arang batu oleh loji tenaga dan dari ekzos kenderaan membebaskan berjuta-juta ton sulfur dioksida dan nitrogen oksida ke udara. Bahan pencemar ini disebarkan oleh angin dan akan bergabung dengan titisan air yang turun sebagai air hujan lalu membentuk asid sulfurik dan asid nitrik.

Keasidan cecair ialah ukuran kepekatan ion hidrogen. Biasanya keasidan cecair dinyatakan dalam sebutan pH yang mempunyai skala 0 hingga 14: pH kurang daripada 7 adalah berasid, pH 7 adalah neutral dan pH yang melebihi 7 adalah alkali. Contoh air hujan yang bersih yang diambil daripada lokasi bersih seperti di pulau terpencil didapati bernilai antara 5.6 dan 6.0. Secara amnya, air hujan dengan pH kurang dari 5.6 dianggap berasid.

Hujan asid yang turun ke bumi akan terkumpul menjadi pemendapan berasid. Ini berlaku apabila asid terkumpul dan menjadi semakin pekat. Asid yang terlalu pekat boleh menyebabkan tumbuh-tumbuhan dan hidupan di dalam tasik mati, bangunan dan batu menjadi lemah dan rapuh, warna bangunan, kereta dan lain-lain menjadi pudar, mudah rosak, dan cepat berkarat. Selain itu, hujan asid juga merosakkan kesihatan manusia terutama mereka yang masih muda, golongan tua, dan mereka yang berpenyakit seperti mengidap asma.