Hussein Aljunied

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Hussein Aljunied
Maklumat peribadi
Tarikh lahir 1943
Tempat lahir Singapura
Tarikh kematian 5 Mac 2016 (umur 73 tahun)
Tempat kematian Hospital Besar Singapura, Singapura
Posisi permainan Penyerang, pemain tengah
Kerjaya Senior*
Tahun Pasukan Kmcln (Gol)
Warriors FC
Pasukan kebangsaan
1970-an Singapura 1+
Pasukan diurus
1976–1977 Singapura (penolong)
1984–1986 Singapura
1983–1988 Warriors
1990–1992 Brunei
1994–1996 Tampines Rovers
* Gol dan kemunculan untuk kelab senior hanya untuk liga domestik

Hussein Aljunied (1943 – 5 Mac 2016), juga digelar sebagai Habib,[1] ialah seorang pemain bola sepak dan jurulatih yang berasal dari Singapura. Beliau merupakan seorang ketua jurulatih yang disegani oleh pasukan Singapura dan Brunei semasa era 1980-an hingga 1990-an.


Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Pada zaman persekolahan, Hussein banyak terlibat dengan sukan selain bola sepak seperti skuasy, badminton, hoki, bola keranjang, ping pong dan lain-lain. Namun begitu, beliau lebih gemar bermain bola keranjang, dan merupakan satu-satunya pemain bukan Cina di sekolahnya[2].

Selepas tamat persekolahan, beliau bermain bola keranjang bersama rakan kejiranan sehinggalah beliau terlibat dalam satu kemalangan kereta yang menyebabkannya terpaksa dirawat di hospital selama lebih sebulan[2]. Dalam tempoh itu, Hussein mula melibatkan diri dalam kejurulatihan bola sepak apabila beliau banyak meluangkan masa membaca buku-buku dan majalah berkaitan kejurulatihan dan bola sepak.

Hussein merupakan peminat kelab bola sepak Manchester United, sebelum beliau mengikuti perkembangan kelab bola sepak Manchester City[3]. Menurut beliau, "Bola sepak adalah permainan yang mudah dan apabila pemain-pemain bermain untuk kamu, peluang untuk memenangi perlawanan itu naik sehingga tiga perempat. Dengan United, jurulatih selepas Fergie menjadikan permainan ini sangat rumit dan bosan sehinggakan kamu tidak dapat memahami apa yang mereka lakukan[3]."


Karier kejurulatihan[sunting | sunting sumber]

Hussein dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Singapura sebagai salah seorang daripada dua wakil dari Singapura yang diundang oleh FIFA ke program kursus latihan bola sepak yang telah diadakan di Tehran, Iran pada bulan Oktober 1973[4]. Beliau mengikuti kursus itu selama tiga bulan bersama 30 orang jurulatih di seluruh dunia[4].

Pada bulan September 1974, Hussein menerima surat pelantikan sebagai seorang jurulatih pasukan bola sepak Melayu Singapura[5]. Beliau mengendalikan pasukan Melayu Singapura bersama seorang lagi jurulatih, Ibrahim Awang bagi mempersiapkan pasukan menghadapi kejohanan Piala Emas Raja-Raja 1975[5].

Beliau dipilih sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Singapura pada tahun 1984 hingga 1986[6][7]. Di bawah kendaliannya, beliau membawa pasukan kebangsaan Singapura ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA 1985, dan merangkul pingat perak selepas kalah kepada pasukan Thailand[8]. Selain itu, pasukan kendalian beliau juga menduduki tempat pertama dalam kejuaraan liga Malaysia[9]. Kontrak beliau bersama Persatuan Bola Sepak Singapura terpaksa ditamatkan kerana beliau masih lagi bekerja di bawah MINDEF dan perbincangan sudah dibuat oleh kedua-dua pihak[10].

Pada bulan Februari 1990, Hussein memulakan tugas rasmi sebagai ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Brunei. Di bawah kendaliannya, pasukan Brunei berjaya mendapat tempat ke-2 dalam kejuaraan Liga Semi-Pro Divisyen 2[11].


Kematian[sunting | sunting sumber]

Hussein dimasukkan ke Hospital Besar Singapura sejak 22 Februari 2016 kerana mengalami masalah pernafasan[12]. Beliau kemudian diberitakan mengalami penyakit pneumonia, kegagalan ginjal dan lemah jantung[12].

Beliau disahkan meninggal dunia pada 5 Mac 2016 sekitar pukul 3.00 petang waktu tempatan dan disembahyangkan di Masjid Sultan pada keesokkan harinya[13]. Beliau meninggalkan seorang balu, Zahrah Sulaiman, empat orang anak dan 10 orang cucu[14].


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Hussein Aljunied was the 'fatherly figure' of Singapore football". news.yahoo.com (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2022-12-25.
  2. ^ a b "Hussein – the man and his sports". Singapore Monitor - 2nd Edition. 18 Februari 1985. Dicapai pada 29 Januari 2023.
  3. ^ a b Robert, Godfrey (6 Mac 2016). "Hussein Aljunied - a class act as a player, coach and fan". TNP Straits Times. Dicapai pada 29 Januari 2023.
  4. ^ a b "Hussein jalani kursus latihan bolasepak di Teheran". Berita Harian. 3 Oktober 1973. Dicapai pada 29 Januari 2023.
  5. ^ a b "Hussein Aljunied rasmi jadi jurulatih bolasepak Melayu S'pura". Berita Harian. 18 September 1974. Dicapai pada 29 Januari 2023.
  6. ^ "Top soccer job splits into two". The Straits Times. 29 Jun 1984. m/s. 47.
  7. ^ "Skipper comes back as coach". The Straits Times. 31 Disember 1986. m/s. 37.
  8. ^ 13th SEA Games Official Report. Thailand: BASOC. 1985.
  9. ^ Karel Stokkermans (19 April 2002). "Malaysia 1985". Rec.Sport.Soccer Statistics Foundation. Dicapai pada 28 February 2018.
  10. ^ "Hussein's release is almost certain". Singapore Monitor. 25 Januari 1985. Dicapai pada 29 Januari 2023.
  11. ^ Ali, Mohd Sani (18 Ogos 1990). "Kini Brunei lebih mantap". Berita Harian. Dicapai pada 29 Januari 2023.
  12. ^ a b Chia, Alvin (5 Mac 2016). "Football: Former national coach Hussein Aljunied dies at 73". The Straits Times. Dicapai pada 29 Januari 2023.
  13. ^ Agost, Nurulkhasanah (5 Mac 2016). "Zainudin: Hussein Aljunied tidak putus-putus beri sokongan kepada landskap bola sepak negara". Berita Mediacorp. Dicapai pada 29 Januari 2023.
  14. ^ AFC condolences on passing of Hussein Aljunied, Malaysia: AFC, dicapai pada 29 Januari 2023