Hutan Rekreasi Sungai Udang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Papan Tanda Hutan Rekreasi Sungai Udang.

Hutan Rekreasi Sungai Udang yang berkeluasan 335 hektar merupakan sebahagian daripada rizab Hutan Simpan Sungai Udang. Tergolong dari jenis hutan dipterokarp pamah, ia kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna serta sesuai untuk aktiviti-aktiviti rekreasi luar seperti bird watching, berkhemah dan juga merentas denai. Suasana hutan lipur yang permai juga sesuai untuk menjalankan aktiviti santai serta berkelah bersama keluarga.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Penubuhan Hutan Rekreasi Sungai Udang yang telah diilhamkan oleh Y.A.B. Ketua Menteri Melaka sendiri, telah disempurnakan perasmiannya pada tanggal 26 Jun, 2005. Hutan Simpan Sungai Udang di mana terletaknya hutan rekreasi ini pula telah diwartakan pada tahun 1987 sebagai Hutan Simpanan Kekal dengan keluasan yang masih tinggal kurang dari 200 hektar.

Kawasan hutan simpan ini bersempadan dengan jalan raya utama yang menghubungkan Sungai Udang ke Masjid Tanah di sebelah barat, 96 Depot Pangkalan Peluru (DPP), Kem Masjid Tanah di sebelah utara, kawasan ladang kelapa sawit dan getah di sebelah timur dan Pusat Latihan RELA Wilayah Selatan di sebelah selatannya [1].

Hutan Simpan Sungai Udang ini telah berjaya dikekalkan berkeadaan semula jadi kecuali lebih 80 hektar kawasan yang bersempadan dengan Kem Masjid Tanah telah dikesan berlakunya aktiviti pembalakan haram di sekitar tahun 2000 dahulu. Namun kegiatan tersebut telah berjaya didedahkan pihak media serta mendapat tentangan dan bantahan rakyat yang akhirnya terpaksa diberhentikan.

Kontroversi itu sedikit sebanyak telah membuka mata ramai pihak, bagaimana ceteknya pengetahuan kita terhadap kepentingan memelihara khazanah alam sekitar ini. Khazanah alam yang berusia beratus tahun ini kononnya terpaksa dikorbankan beralasan untuk pembangunan yang sama sekali hanya menguntungkan sebilangan pihak sahaja [2].

Kini usaha-usaha pemuliharaan dan penanaman semula telah giat dijalankan pihak berwajib. Kawasan yang mengalami kerosakan dari jenayah alam sekitar itu kini telah pun ditanam dengan pelbagai spesis hutan beharga seperti Pokok Karas (Aquilaria malaccensis), Pokok Kayu Jati (Tectona grandis), Pokok Nyatoh (Ganua hirtiflora (Ridley) Van Royan), Pokok Keruing Merah (Dipterocarpus verrucosus Foxw), cengal (Neobalanocarpus heimii), dan merbau (Intsia palembanica Miq).

Pada tahun 2008, sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi meningkatkan lagi kemudahan rekreasi di Hutan Rekreasi Sungai Udang [3][4].

Kawasan[sunting | sunting sumber]

Hutan Rekreasi Sungai Udang ini dibahagikan kepada empat zon yang utama iaitu:

Zon 1
Kawasan rekreasi ini lebih tertumpu kepada aktiviti utama. Persekitaran kawasan pintu masuk yang dilengkapi pusat pentadbiran, gerai makanan dan kawasan letak kereta serta kemudahan rekreasi seperti kawasan memancing, kawasan permainan kanak-kanak dan istirahat serta kawasan denai herba bagi pengunjung yang gemar menghayati khazanah tradisi herba.

Zon 2
Berkhemah merupakan salah satu aktiviti yang di cadangkan di Zon 2 Hutan Rekreasi Sungai Udang ini. Ia sesuai bagi aktiviti secara berkumpulan seperti pelajar sekolah, institusi dan sebagainya. Kawasan tumpuan aktiviti ini membenarkan pengunjung bermalam dan menggunakan persekitaran kawasan bagi aktiviti yang dirancangkan.

Zon 3
Pembangunan kawasan ini terbahagi kepada dua iaitu "Nature Interactive Area" dan General Public Interpretation bagi kemudahan pengunjung yang gemar menghayati dan menikmati keindahan khazanah hutan yang kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna dan menikmati pelbagai aktiviti interpretasi yang berasaskan bentuk alam semulajadi.

Zon 4
Keistimewaan kawasan hutan yang kaya dengan pelbagai spesis flora dan fauna menjaddikan kawasan ini sesuai untuk dikekalkan bagi aktiviti berbentuk pembelajaran. Ia lebih sesuai untuk aktiviti seperti Jungle Trekking, Map Reading, Compass Marching dan sebagainya secara berkumpulan atau individu. Keadaan hutannya yang masih terpelihara sesuai bagi aktiviti yang lasak dan aktiviti berteraskan pendidikan.

Dengan kedudukannya yang strategik kawasan hutan ini amatlah sesuai dijadikan kawasan rekreasi atau riadah untuk masyarakat tempatan dan juga pelancong luar, khususnya di kawasan seluas 20 hektar di kompartmen 4 yang masih berstatus Hutan Asli.

Kemudahan[sunting | sunting sumber]

Pembangunan kemudahan yang disediakan di Hutan Rekreasi Sungai Udang terbahagi kepada beberapa fasa:
Fasa I

  • Membuat kerja-kerja membersih kawasan (under brushing) dan melupuskan pokok-pokok bahaya yang menjejaskan keselamatan seluas lebih kurang 5 hektar.
  • Membina laluan siar kaki & foot trail atau laluan berjoging sejauh lebih kurang 2 km.
  • Menyediakan tempat letak kereta seluas 0.7 hektar
  • Menyediakan tandas awam, kawasan pondok rehat dan surau, kemudahan sem riang.
  • Membina (2) buah jambatan kecil merentangi sungai.
  • Menyediakan tong-tong sampah kitar semula
  • Menyediakan 2 unit Food Kiosk
  • Jalan denai sejauh 1.5 km.

Fasa II

  • Menyediakan pusat pendidikan mengenai sumber Asli Hutan seperti kawasan 'arborentum' hutan dan menanda nama pokok dan signage lain.
  • Membina infranstrutur seperti pusat penerangan, pintu gerbang, soft landscaping, padang permainan untuk hari keluarga.
  • Membina 2 empangan di Sg. Udang untuk meningkatkan paras air (Water Level) untuk keperluan keceriaan aktiviti-aktiviti riadah air.
  • Menyediakan tapak perkhemahan dan dewan makan dari pentas membuka minda.
  • Memagar zone keselamatan tentera atau mengadakan buffer zone dengan menggunakan papan tanda (signage) dan sebagainya.

Pengangkutan[sunting | sunting sumber]

Pintu masuk utama untuk ke Hutan Rekreasi Sungai Udang terletak di tepi jalanraya yang menghubungkan Sungai Udang dan Masjid Tanah. Pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam seperti bas atau teksi terus dari bandar Melaka atau perhentian bas Masjid Tanah.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Hutan Rekreasi Sungai Udang. SUNGAI UDANG Google Map.
  2. ^ Perenggan 1. The failures of the Melaka Forestry Department DAP Malaysia.
  3. ^ Perenggan 12. Taman Botanikal tarikan pelancong[pautan mati kekal] Utusan Malaysia. 1 April 2008.
  4. ^ Perenggan 1. TINGKAT KEMUDAHAN EKO-PELANCONGAN[pautan mati kekal] Melaka Hari Ini. 1 April 2008.

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]