Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari IPBMM)
Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu
ينستيتوت ڤنديديقن ڬورو مليسيا كمڤوس بهاس ملايو
Lokasi
Kuala Lumpur, Malaysia
Maklumat
MotoBahasa Mutu Bangsa
Ditubuhkan12 Januari 1956
Jumlah penuntutKursus Persediaan, Ijazah Sarjana Muda & Diploma Perguruan Lepasan Ijazah
PengarahDr. Masitah binti Mohammad Yusof
Timbalan PengarahDr. Nirwana binti Rashid
Hal Ehwal PelajarEn.Shamsul Bahri bin Ismail
Ketua Unit Khidmat PengurusanPuan Liz Aliza binti Awang
Pegawai Eksekutif KananPuan Asmah binti Sahid@Said
Laman sesawang

Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu (IPGMKBM) merupakan sebuah institut perguruan yang menjadi sebagai pusat kecemerlangan pendidikan bahasa, sastera dan budaya Melayu. Institut ini terletak di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan bersebelahan dengan Universiti Malaya dan Institut Perguruan Bahasa-Bahasa Antarabangsa.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Institut ini telah ditubuhkan sebagai Institut Bahasa pada 12 Januari 1956 di atas syor Penyata Razak 1956 agar sebuah institut didirikan untuk mempertingkatkan taraf Bahasa Melayu. Pada mulanya, institut ini berpejabat di Kementerian Pelajaran, Rumah Persekutuan, Kuala Lumpur. Aktiviti awal institut ini adalah bertumpu pada kegiatan pentadbiran sahaja seperti pengambilan pelajar dan penyediaan tenaga pengajar serta kakitangan lain yang bertugas di sini.

Namun demikian, pada November 1957, Institut Bahasa telah memperoleh bangunan sendiri di Bukit Senyum, Johor Bahru sementara menanti bangunan tetapnya siap dibina di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Fungsi utama Institut Bahasa pada masa itu adalah untuk melatih guru-guru khas tentang bahasa terutama dalam pengajaran bahasa kebangsaan.

Institut Bahasa telah dirasmikan pembukaannya pada 14 Jun 1956 oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman. Kumpulan pelajar perintis adalah seramai 176 orang yang terdiri daripada peserta Kursus Asas (Kursus A) dan Kursus Dalam Perkhidmatan (Kursus B) dengan pengkhususan dalam kaedah Pengajaran Bahasa Kebangsaan.

Sehingga tahun 1986, terdapat pelbagai jenis kursus yang dijalankan seperti kursus Pengajian Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi, Pengajian Cina dan Pengajian Inggeris. Pada tahun 1987 bermulalah satu perubahan apabila Kursus Perguruan Asas dikhususkan untuk Pengajian Melayu Sekolah Rendah dan Pengajian Melayu Sekolah Menengah sahaja. Selain itu, Institut Bahasa juga turut menerima peserta-peserta Kursus Dalam Cuti dan Kursus Perguruan Khas satu tahun.

Menjelang tahun 1988, kursus 14 Minggu diadakan di Institut Bahasa. Perubahan terus berlaku dengan kemasukkan seramai 150 orang pelatih Kursus Perguruan Lepasan Ijazah pada tahun 1990. Pertambahan peserta kursus berlaku dengan adanya Kursus Peningkatan Keilmuan Profesionalisme Keguruan 6 Mingu dan 12 Minggu. Pada tahun 1992, dengan kerjasama Bahagian Pengambilan Guru (BPG), Institut Bahasa telah mengadakan beberapa perbincangan dengan pihak Universiti Malaya bagi mengadakan Program Kembar untuk Diploma Pengajian Tinggi bagi guru-guru. Pelaksanaannya bermula pada tahun 1993. Pengambilan guru pelatih untuk Kursus Perguruan Asas masih diteruskan.

Pada 1988 merupakan tahun bermulanya era baru bagi Institut Bahasa iaitu dengan termaktubnya Rancangan Lima Tahun Institut (1988-1992) yang menggariskan lima perkara penting bagi landasan kepada Pendidikan Guru Bahasa Melayu di Institut Bahasa. Perkara-perkara tersebut ialah pendidikan menyeluruh guru Bahasa Melayu, mendalami usaha-usaha penyelidikan, mempergiatkan pelbagai kegiatan bahasa, sastera dan budaya, melaksanakan program perguruan dengan seimbang dan menyeluruh dan menilai perlaksanaan program dan akitiviti di Institut Bahasa dijalankan berasaskan kepada tema GIBBS (Kecemerlangan dari segi Guru, Ilmu, Bahasa, Budaya dan Sastera serta Sukan). Hasrat utama institut adalah untuk melahirkan guru yang bersahsiah mulia, berkebolehan serta tinggi mutu keprofesionalnya.

Bermula pada tahun 1993, Institut Bahasa mula melaksanakan Rancangan Lima Tahun yang seterusnya (1993-1997). Dalam tempoh ini, IB mula melaksanakan program berkembar dengan Universiti Malaya dan meluaskan kursus dalam perkhidmatan untuk meliputi lebih banyak aspek pendidikan Bahasa Melayu. Kini, kumpulan tersebut telah melanjutkan pengajian mereka di Universiti Malaya.

Mulai tahun 1996, Institut Bahasa mula melaksanakan Program Kursus Diploma Perguruan Khas menggunakan kurikulum Tahun Pertama Universiti. Program ini menggantikan Program Kembar IB-UM yang disebutkan di atas. Kini sebahagian besar daripada kumpulan yang mengikuti program tersebut sedang melanjutkan pelajaran di beberapa buah universiti. Sejak awal tahun 1998, Institut Bahasa telah berusaha mengenalpasti kerangka peranan dan tugas yang lebih sejajar dengan perkembangan semasa. Berhubung perkara tersebut Bahagian Pendidikan Guru dan Institut Bahasa telah mengadakan perbincangan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Wilayah Persekutuan dan Utusan Melayu bagi meninjau kemungkinan meluaskan program yang berkaitan dengan bahasa, budaya dan sastera Melayu. Hasilnya beberapa program bersama seperti Bengkel Penulisan Kanak-kanak dan Bengkel Pengarahan dan Produksi Teater Kanak-kanak telah berjaya dikendalikan.

Pada 19 Ogos 1996, kumpulan perintis pertama Kursus Diploma Perguruan Malaysia melaporkan diri di Institut Bahasa. Program Diploma Perguruan Malaysia ini diperkenalkan bagi mempertingkatkan lagi imej profesion keguruan dan merupakan kursus baru bagi menggantikan Kursus Perguruan Asas Lima Semester. Diploma Perguruan Malaysia diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan (sekarang Kementerian Pelajaran Malaysia) dalam usaha memperkemaskan lagi Sistem Pendidikan Guru di Malaysia.

Pada Majlis Konvokesyen Institut Bahasa pada 28 Mei 1998, Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah mengumumkan penukaran nama Institut Bahasa kepada Institut Bahasa Melayu Malaysia. Dengan kenaikan taraf ini Institut Bahasa Melayu Malaysia dijadikan pusat utama Perkembangan Pedagogi Bahasa Melayu. Ia juga berfungsi sebagai institusi induk dalam pengendalian porgram dan aktiviti pengembangan bahasa dan budaya Melayu. Peranan institut juga turut ditambah meliputi usaha menerbit, menghasilkan dan menyumbang sumber pengajaran, pembelajaran, perkhidmatan perundingan dan kepakaran bahasa termasuk dalam bidang Kesusasteraan Melayu.

Pada tahun 2006, apabila maktab perguruan dinaik taraf kepada institut perguruan, nama Institut Bahasa Melayu Malaysia ditukar sekali lagi menjadi Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia.

Visi dan misi[sunting | sunting sumber]

Visi

Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu bitara dalam latihan keguruan dan pendidikan bahasa, sastera dan budaya Melayu pada tahun 2010.

Misi

Hasrat menjadikan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu bitara dalam bidang latihan keguruan dan pendidikan bahasa, sastera dan budaya Melayu akan dicapai melalui usaha;

  • 1. Memperluaskan dan memperkasakan latihan keguruan secara sistematis dan efisien;
  • 2. Melahirkan insan guru yang berketerampilan daripada segi intelek, rohani, jasmani, emosi dan sahsiah;
  • 3. Memantapkan mekanisme penyelidikan dan pembangunan;
  • 4. Membangunkan program untuk memperluaskan khalayak pengguna bahasa Melayu dan pelestarian bahasa, sastera dan budaya Melayu;
  • 5. Menghasilkan inovasi dalam bidang pendidikan, terutamanya dalam bidang pedagogi bahasa, sastera dan budaya Melayu;
  • 6. Menerbitkan dan menyebarluaskan hasil penulisan dalam bidang bahasa, sastera dan budaya Melayu.

Piagam pelanggan[sunting | sunting sumber]

Warga IPGMKBM berusaha dengan tekun untuk melahirkan insan guru yang berketerampilan daripada segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sahsiah dengan;

  • 1. Mengendalikan interaksi kuliah, tutorial, dan kokurikulum menepati jadual waktu, proforma dan syarat-syarat yang telah ditetapkan;
  • 2. Memastikan setiap pelatih mendapat latihan amali dan kemudahan rujukan yang ditetapkan oleh kurikulum;
  • 3. Mebimbing dan mendorong guru pelatih lulus dengan cemerlang dalam penilaian dan peperiksaan; dan
  • 4. Mewujudkan persekitaran fizikal dan sosial yang menjamin pembentukan diri pelatih secara menyeluruh dan cemerlang.

Lagu IPGM Kampus Bahasa Melayu[sunting | sunting sumber]

Institut Bahasa yang berjasa
Institut mulia berharga
Tempat kami bersama-sama
Menjunjung bahasa ibunda

Kami pelajar seluruhnya
memegang tujuan yang satu
Institut Bahasa yang berjasa
Lambang bangsa yang berpadu

Bahasa akan kami perkaya
Budaya kami bela
Tetap mempertinggi mutu bangsa
Untuk selama-lamanya

Institut Bahasa yang berjasa
Institut mulia berharga
Tempat kami bersama-sama
Menjunjung bahasa ibunda

  • Pencipta: Mustafa Kamil Yassin
  • Gubahan: A Murad Hamid

Aktiviti[sunting | sunting sumber]

Peranan Institut Bahasa menjadikan Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu sebagai teras kegiatannya. Oleh itu, kebanyakkan aktiviti yang dijalankan adalah menuju ke arah tersebut. Di antara aktivitinya ialah persembahan dalam perhimpunan bulanan, “Malam Puisi”, “Minggu Sastera dan Budaya dan Sayembara Deklamasi Sajak Malam Merdeka”. Di dalam melaksanakan aktivitinya, Institut Bahasa tidak mengabaikan aktiviti keagamaan. Musabaqah Tilawah Al-Quran, Hafazan, Kursus Pengurusan Jenazah, ceramah serta pertandingan syarahan agama adalah aktiviti yang dijalankan. Aktiviti-aktiviti ini dapat menambahkan ilmu agama dalam kalangan warga penuntutnya. Ia secara tidak langsung dapat membantu melahirkan guru yang seimbang dari segi jasmani dan rohani. Dalam arena sukan, guru-guru pelatih Institut Bahasa mengambil bahagian dalam acara sukan antara maktab seperti Pestarama atau KAGUM. Melalui persatuan dan badan-badan kebajikan, para pelatih telah mengadakan pelbagai program seperti Lawatan Sambil Belajar ke Thailand dan Indonesia, Projek Adik Angkat dan Program Bakti Guru.

Mulai tahun 1998, pelbagai aktiviti untuk meningkatkan mutu keprofesionalan guru telah dijalankan seperti Konvokesyen Pendidikan Bahasa dan Pesta Kanak-kanak. Aktiviti “Bulan Bahasa” dijalankan pada setiap bulan Mac/April untuk meningkatkan prestasi diri guru-guru pelatih dalam pengajaran Bahasa Melayu.

Usaha lain digiatkan bagi membolehkan Institut Bahasa mencapai hasratnya untuk menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu yang akan memainkan peranan bukan hanya pendidik guru-guru Pendidikan Bahasa pada peringkat yang lebih tinggi tetapi juga penyelidikan dan perkembangan dalam bidang pedagogi Bahasa Melayu dan Sastera Kanak-kanak.

Tokoh-tokoh yang dilahirkan (tahun belajar)[sunting | sunting sumber]

  • Raja Mukhtaruddin bin Dain (1959-1960)
  • Encik Sanusi bin Osman (1959)
  • Encik Yahya bin Ismail (1960-1961)
  • Encik Abdul Rahman bin Salleh (1959)
  • Encik Yusof bin Ma'arus (1959)
  • Tuan Haji Salleh bin Daud (1959)
  • Tan Sri Awang Had bin Salleh (1959-1960)
  • Dato' Wira Borhan bin Mohd. Yaman (1958)
  • Encik Mohd. Faridun bin Haji Mohd. Jonid (1957)
  • Datuk Seri Utama Dr. Rais bin Yatim (1962-1963)
  • Profesor Madya Haji Arbak bin Othman (1965-1966)
  • Dr. Wong Seng Tong (1963)
  • Encik Ahmad bin Ismail (1958)
  • Datuk Abu Zahar bin Haji Isnin (1958-1959)
  • Profesor Dr. Zakaria Awang Soh (1961-1962)
  • Profesor Madya Dr. Wan Abd. Kadir bin Wan Yusoff (1963)
  • Profesor Azman Wanchik (1958-1960)
  • TYT Tun Dato' Seri Utama Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas (1960-1962)

Urusan surat menyurat[sunting | sunting sumber]

Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Bahasa Melayu Peti Surat 5002, Jalan Pantai Baru, 59990 Kuala Lumpur.

  • No. Tel Pejabat: 03-22822389, 03-22822389
  • No. Faks: 03-22826076

Pautan luar[sunting | sunting sumber]