Ibn Hajar al-Haytami
Ringkasan
[sunting | sunting sumber]Al-Imam al-Faqih al-Mujtahid Syihabuddin Ahmad bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Hajar as-Salmunti al-Haitami al-Azhari al-Wa`ili as-Sa’di al-Makki al-Anshari asy-Syafi’i, atau lebih dikenali sebagai Ibn Hajar al-Haitami, merupakan seorang tokoh ulama besar dalam Mazhab Syafi’i yang sangat dihormati dalam dunia Islam. Beliau dilahirkan di Mahallah Abi al-Haitam, wilayah barat Mesir, pada bulan Rajab tahun 909 Hijrah.
Biografi
[sunting | sunting sumber]Sejak kecil, beliau telah diuji dengan kehilangan kedua orang tuanya dan menjadi yatim. Namun, keadaan ini tidak menghalang beliau untuk menuntut ilmu. Beliau diasuh oleh Imam Syamsuddin bin Abi al-Hamayil dan Syamsuddin asy-Syinawi, yang kemudian membawanya ke Maqam Ahmad al-Badawi untuk mempelajari asas-asas ilmu. Pada tahun 924 Hijrah, beliau berpindah ke Masjid Al-Azhar dan berguru dengan para ulama terkemuka Mesir.
Kecemerlangan beliau dalam pelbagai bidang ilmu menyebabkan para gurunya memberikan izin untuk beliau mengajar dan berfatwa sebelum mencapai usia 20 tahun. Ibn Hajar al-Haitami menguasai pelbagai disiplin ilmu seperti tafsir, hadis, ilmu kalam, fiqh, usul fiqh, ilmu waris, hisab, nahwu, sharaf, ma’ani, bayan, manthiq dan tasawuf.
Pada akhir tahun 933 Hijrah, beliau berhijrah ke Makkah untuk menunaikan haji dan menetap di sana. Beliau kembali ke Mesir dan melakukan haji bersama keluarganya pada tahun 937 Hijrah, kemudian menunaikan haji kali ketiga pada tahun 940 Hijrah. Sejak itu, beliau menetap di Makkah, mengajar, berfatwa dan menulis karya-karya ilmiah yang menjadi rujukan utama dalam Mazhab Syafi’i.
Kehidupan beliau sangat sederhana. Dalam satu riwayat, isterinya menyebut bahawa beliau pernah berkata: “Aku suka keadaan fakir berdasarkan pilihanku sendiri, kupilih untuk diriku sendiri apa yang ada di sisi Allah. Adapun dunia maka semuanya sama bagiku, dunia lewat, umurnya pendek dan kehidupannya hina.
Menjelang akhir hayatnya, beliau menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajaran di Makkah al-Mukarramah. Pada tanggal 23 Rajab tahun 974 Hijrah, beliau menghembuskan nafas terakhir. Jenazah beliau disolatkan di Masjid al-Haram, di bawah pintu Kaabah, dan dikebumikan di perkuburan al-Mala bersebelahan dengan makam sahabat Nabi, Abdullah bin Zubair.
Guru-guru
[sunting | sunting sumber]Selepas menamatkan pendidikan rendahnya, Ibn Hajar al- Haytamī meneruskan persekolahannya di al-Azhar, di mana beliau belajar di bawah ramai ulama terkenal, yang paling dominan ialah Zakariyyā' al-Ansārī .Beliau juga belajar di bawah ulama Shafi'i yang terkenal Shihab al-Din al-Ramli.
Antara guru-guru beliau yang terkenal ialah:
- Zakaria al-Anshari
- Syaikh Abdul Haq as-Sanbathi
- Asy-Syams al-Masyhadi
- Asy-Syams as-Samhudi
- Al-Amin al-Gumari
- Syihabuddin ar-Ramli
- Ath-Thablawi
- Abu al-Hasan al-Bakri
- Syamsuddin al-Laqqani adh-Dhairwathi
- Asy-Syihab bin an-Najjar al-Hanbali
- Asy-Syihab bin ash-Sha`igh
Karya
[sunting | sunting sumber]Ibn Hajar al-Haitami merupakan seorang penulis yang sangat produktif, khususnya dalam bidang fiqh. Antara karya-karya beliau yang terkenal ialah:
- Tuhfatu al-Muhtāj Syarh al-Minhāj (10 jilid), kitab fiqh utama dalam Mazhab Syafi’i yang digunakan secara meluas di institusi pengajian Islam, termasuk di Indonesia.
- Fath al-Jawād
- al-Imdād
- al-Fatāwā
- al-‘Ubad
- Fatāwā al-Hadītsiyyah
- Az-Zawājir fi Ightirāf al-Kabāir
- As-Showā’iq al-Muhriqoh fi Radd Az-Zanādiqah