Ibrahim Ali (ahli politik Malaysia)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Yang Berbahagia Dato' Dr.

Ibrahim Ali

DPMS (Selangor); DMSM (Melaka)
Fail:IbrahimAli.jpg
Presiden
Parti Bumiputera Perkasa Malaysia
Memegang jawatan
17 Ogos 2018
(Presiden Penaja)
Didahului olehParti baharu
Anggota Parlimen Malaysia
untuk P22 Pasir Mas
Dalam jawatan
2008–2013
Didahului olehIsmail Noh (PAS)
Digantikan olehNik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Majoriti8,991
Butiran peribadi
Lahir (1951-01-25) 25 Januari 1951 (umur 73)
Kelantan Kampung Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan
Parti politik UMNO
(1987-1990, 1996-2003)
S46 (1990-1996)
PAS (2008)
BEBAS (2004-2018)
PUTRA (2018-kini)
PekerjaanAhli politik
1Menang dalam Pilihan raya umum Malaysia 2008 sebagai seorang calon PAS namun menjadi wakil BEBAS di Parlimen

Dato' Dr. Ibrahim Ali[1] (lahir 25 Januari 1951) ialah seorang ahli politik Melayu Malaysia, berasal dari Tumpat, Kelantan. Beliau terkenal sebagai pengasas dan presiden pertubuhan hak Melayu Perkasa.[2][3]

Datuk Ibrahim Ali dilahirkan pada 25 Jan 1951 di Kampung Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan. Beliau anak kelima dan anak tertua dari 13 anak. Bapanya ketua kampung di situ. Ada ramai keturunan Siam di sekitar kampungnya. Menurut sejarah, Pattani, Songkhla, dan Narathiwat dimiliki oleh kerajaan Kelantan sebelum diberikan kepada Thailand selepas perang. Bapanya pernah ditahan di bawah Akta 1958 kerana menjadi penyokong PAS. Bapanya pernah menjadi penganjur pertunjukan wayang kulit dan pertandingan tomoi Siam.

Reputasi dan kredibiliti Ibrahim Ali terjejas selepas gagal menghadiri Perhimpunan Bersih 2011 pada 9 Julai 2011 walaupun sebelum itu telah mengugut untuk membawa rombongan seramai 15 ribu ahli Perkasa untuk melawan peserta perhimpunan Bersih. Beliau juga telah menasihat kaum Cina supaya menyimpan bekalan makanan dengan berkata "Cuba bayangkan jika berlaku huru-hara, jika himpunan Bersih 2.0 tidak dibatalkan, saya percaya kaum Cina perlu simpan bekalan makanan".[4] Mysinchew.com kemudian melaporkan bahawa beliau mengancam orang-orang Cina. Setelah ucapan demi ucapan berapi-api yang diberikan beliau, beliau tidak pula muncul pada hari yang dijanjikan. Setelah dihubungi media, beliau mendakwa yang beliau tidak sihat serta sebelum itu, tidak mendapat kebenaran isterinya.[5][6]

Sejarah pendidikan[sunting | sunting sumber]

Ibrahim Ali belajar di Sekolah Kebangsaan Padang Mandul, kemudian di Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan. Kemudian belajar di sebuah sekolah dasar bahasa Inggeris di Tanah Merah, Kelantan. Seterusnya belajar di Sekolah Kebangsaan Islah dan tinggal dengan bapa saudaranya. Seterusnya belajar tingkatan enam di sekolah swasta, Maktab Adabi.

Ketika belajar di UITM, beliau tukar kursus dari undang-undang kepada komunikasi massa. Beliau merupakan pemimpin pelajar UiTM dan pernah beberapa kali menyertai demonstrasi pada tahun 1974. Beliau adalah presiden Persatuan Mahasiswa Muslim Kelantan . Selain itu menjadi setiausaha agung Kesatuan Pelajar ITM dan menentang Akta Universiti dan Kolej 1971. Pada 22 April 1974, seramai 6000 pelajar ITM telah mengadakan protes dari Shah Alam ke Parlimen. Lebih 1000 pelajar ditangkap, ada yang cedera dimasukkan ke hospital. ITM ditutup selama sebulan.

Tahanan ISA[sunting | sunting sumber]

Pada Disember 1974, berlaku kemiskinan massa di Baling , Kedah. Harga getah jatuh menjunam dan penoreh berhadapan dengan kelaparan. Ketika itu Kesatuan Kebangsaan Mahasiswa Malaysia sedang mengadakan projek 'Desa Siswa' di Baling. Ekoran itu , persatuan telah mengadakan demonstrasi melibatkan 10,000 orang. Seterusnya mengadakan demonstrasi di Dataran Merdeka. Ibrahim Ali dan Anwar Ibrahim berjaya melompat keluar dari trak FRU dan bersembunyi di sebuah kuil di Jalan Bandar. Anwar Ibrahim ditangkap semula. Ibrahim turut ditangkap di UKM oleh polis cawangan khas dan ditahan di bawah ISA. Dia ditahan Blok 8, Kem Tahanan Kamunting bersama idolanya, Anwar Ibrahim.

Turut ditahan ketika itu ialah Kamarazaman Yacob,Syed Husin Ali, Adi Satria, Hamzah Kassim, CCYong, Yong Ah Chit dan Yeo Ben Foo.Mereka ditangkap polis pada 3 Disember 1974, di bawah seksyen 117, Akta Polis kerana terlibat dengan demonstrasi pelajar yang kononnya berlaku kematian dan kebuluran di Baling. Pada 5 Februari 1975, mereka dipindah ke Kem tahanan Kamunting, di Taiping, Perak sehingga dibebaskan pada November 1976.Ketika ditahan di Kamunting, Anwar merupakan Presiden ABIM dan tempat Anwar dipangku oleh Fadhil Noor.

Selepas dibebaskan[sunting | sunting sumber]

Selepas dibebaskan pada 1976 , beliau dijemput menghadiri Majlis Pemuda Muslim Dunia di Arab Saudi. Seterusnya merantau ke seluruh Timur Tengah, Pakistan dan kembali ke Malaysia. Menteri Penerangan ketika itu Tun Ghazali Shafie menawarkan beliau menjadi pegawai penerangan di PBB, New York. Menteri Kewangan Tengku Razaleigh menawarkan jawatan di Petronas. Tetapi Ibrahim Ali memilih untuk menubuhkan sekolah swasta 'Politeknik Kuala Lumpur' pada 1978.[7]

Beliau pernah menemui tokoh Revolusi Iran, Ayatollah Ruhullah Khomeini di Tehran, Iran pada 1979.

Sejarah politik[sunting | sunting sumber]

Beliau menyertai parti UMNO dan pernah memenangi parlimen Pasir Mas, Kelantan atas tiket Barisan Nasional - UMNO. Beliau pernah menjadi Exco Pemuda UMNO sekitar tahun 1987. Kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sewaktu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 dan bergabung dengan PAS, beliau turut menyertai Tengku Razaleigh Hamzah. Angkatan Perpaduan Ummah hasil gabungan PAS dan Semangat 46 berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional di Kelantan pada tahun 1990.

Apabila Tengku Razaleigh menyertai semula UMNO dan membubarkan Semangat 46, beliau turut menyertai UMNO. Tetapi dipecat dari UMNO dan dilucutkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas pada 22 November 2003 dan keahliannya dalam UMNO digantung seumur hidup.

Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2004, Datuk Ibrahim Ali telah bertanding dalam kawasan Pasir Mas sebagai calon bebas. Tetapi beliau tewas. Dalam pilihan raya kecil Pengkalan Pasir, beliau sekali lagi bertanding tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat dan hilang wang pertaruhan. Beliau hanya mendapat 415 undi sahaja.

Dalam pilihan raya umum Malaysia 2008, beliau bertanding atas tiket PAS di kawasan Pasir Mas oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Walaupun begitu, beliau tetap menganggap dirinya tidak terikat pada mana-mana parti walaupun bertanding di atas tiket PAS.[8]

Tidak selari dengan PAS[sunting | sunting sumber]

Ibrahim Ali bertanding di Pasir Mas atas tiket parti PAS pada tahun 2008. Ramai penyokong PAS dan sebahagian ahli UMNO mengundi beliau sehingga mendapat majoriti 8991 undi. Kemenangan besar itu menyebabkan Ibrahim Ali mendakwa dirinya calon bebas. Ucapan dan tindakannya dalam Perkasa menunjukkan beliau bukan ahli PAS, tidak menyokong PAS malah menentang PAS. Program Perkasa yang beliau anjurkan menjemput Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penceramah jemputan. Perjuangan beliau lebih kepada 'pelampau Melayu' berbanding 'pejuang Islam'. Lantaran itu penyokong dan pimpinan PAS mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Pasir Mas. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut tidak tahan dengan gelagat Ibrahim Ali yang telah berpaling tadah. Beliau mendesak Ibrahim Ali melepaskan jawatan dan memberi laluan pilihan raya kecil di kawasan itu.[9]

Pengarah syarikat Vincent Tan[sunting | sunting sumber]

Pada 12 Mac 2008, Malaysiakini merujuk kepada laporan yang mengatakan bahawa penulis blog Raja Petra Kamaruddin menyiarkan dalam lamanwebnya Malaysia-Today, salinan laporan tahunan 2003 syarikat Dunham-Bush Malaysia yang menunjukkan Ibrahim adalah salah seorang anggota lembaga pengarahnya yang pernah dimiliki Vincent Tan.

Tuduhan itu tersebar di internet empat hari selepas beliau mengecam tokoh-tokoh korporat Cina, termasuk Tan Sri Vincent Tan, yang digelarnya 'tauke' dan "mendominasi" ekonomi dan seterusnya menyebabkan berlaku ketidakstabilan politik dan sosial.

Ibrahim berkata tidak ada salahnya urusan perniagaannya dengan Tan kerana ia tidak menolak hakikat bahawa tokoh-tokoh besar perniagaan Cina mendominasi bidang ekonomi.

Sebaliknya, kata Ibrahim, beliau bercakap mengenai ekonomi makro dan isu-isu dalam gambaran lebih besar. Ibrahim berkata tidak ada salahnya urusan perniagaannya dengan Tan kerana ia tidak menolak hakikat bahawa tokoh-tokoh besar perniagaan Cina mendominasi bidang ekonomi.

Mahu saman The Sun[sunting | sunting sumber]

Pada 18 Mac 2010, Ibrahim Ali akan menyaman The Sun ekoran "Sultan Keeps PERKASA Guessing On Invitation." yang menuduhnya dan PERKASA mengeluarkan kad jemputan mesyuarat agung tahunan (AGM) pertubuhan itu pada 27 Mac 2010 dengan menyebut ia akan dirasmikan oleh Sultan Selangor tanpa sebarang kebenaran baginda dan pihak istana. Katanya, ia juga ekoran satu lagi laporan dalam akhbar yang sama, yang mendakwa baginda telah menasihatkan Ibrahim supaya jangan bersikap melampau.[10]

Pada 29 April 2010, firma guaman Tetuan Salehuddin Saidin & Associates memfailkan saman di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam. Ibrahim menamakan Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pengarang Kumpulan "The Sun", wartawan Terence Fernandez dan pencetak serta pengedar akhbar berkenaan, Sun Media Corporation Sdn Bhd, sebagai defendan. Akhbar itu cuba melaga-lagakan PERKASA dengan Sultan Selangor.[11]

Saham Ascot Sport[sunting | sunting sumber]

Pada 24 Mac 2010, Ibrahim Ali bersumpah dengan nama Allah menafikan dakwaan Saifuddin Nasution Ismail kononnya dia mempunyai saham dalam syarikat judi, Ascot Sports . Syarikat itu milik bilioner Tan Sri Vincent Tan. Ibrahim turut membidas Malaysiakini dan wartawan Salhan K Ahmad berhubung penyiaran itu.Mereka sepatutnya merujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti.[12] "Saya sebenarnya cuma ahli lembaga pengarah (tanpa sebarang saham) dalam sebuah syarikat pendingin hawa, dan saham syarikat itu turut dimiliki oleh sebuah syarikat yang turut mempunyai syarikat yang menjalankan perniagaan perjudian,"[13]

Pada 21 April 2010, notis Ibrahim Ali kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia supaya Saifuddin dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan telah ditolak. Saifuddin mendakwa bahawa Ibrahim Ali memiliki saham RM25 juta dalam Mara Holdings sebelum RM5 juta daripada jumlah itu dicairkan. "RM1 juta diberikan untuk isteri, RM1 juta diberi kepada anaknya dan RM3 juta lagi beliau buat main politik. RM20 juta lagi disimpan dan sekarang saham itu tidak lagi bernilai RM20 juta kerana paper loss, barangkali tinggal RM10 juta".[14]

Gelaran Datuk ditarik oleh Sultan Kelantan[sunting | sunting sumber]

Pada 13 Oktober 2010 Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V telah menarik gelaran datuk daripada Ibrahim Ali kerana komen beliau yang menyinggung Sultan. Antaranya beliau menuduh bahawa Tengku Muhammad Faris Petra serta keturunannya tidak layak menduduki takhta Kelantan kerana bukan dari keturunan DYMM Long Yunus. Diketahui bahawa Ibrahim Ali rapat dengan ahli perniagaan Tengku Iskandar bin Tengku Ahmad (Tengku Panglima Raja) yang didakwa keturunan sah DYMM Long Yunus dari jalur Sultan Muhammad II bin Tengku Aria Pahlawan Long Tan. Tengku Iskandar telah beberapa kali memfailkan tuntutan terhadap takhta Kelantan kerana Sultan Ahmad yang menaiki takhta pada 1886 hanyalah pemangku raja dan menantu kepada Sultan Muhammad II (Long Senik Mulut Merah)

Ibrahim juga menjelaskan beliau masih bergelar 'datuk' kerana mempunyai dua lagi darjah - iaitu DPMS dan DMSM yang diterimanya daripada Selangor dan Melaka.[15]

Perhimpunan BERSIH[sunting | sunting sumber]

Datuk Ibrahim Ali menyatakan bahawa setiap negeri akan menghantar 20 buah bas ke Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan membantah BERSIH 2.0 ini. Mereka akan berkumpul di perkarangan Masjid Negara, Dataran Merdeka, perkarangan Stadium Merdeka dan Istana Negara. Beliau sendiri akan bermalam di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur.[16]

Setelah tidak datang ke Perhimpunan Anti-Bersih yang diwar-warkan oleh beliau, kredibiliti Ibrahim Ali telah terjejas dan menjadi bahan jenaka pelayar laman siber.[5][6]

Pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Jumlah Pengundi: 59,640, Melayu 96.01% Cina: 3.66% India : 0.13% Dalam Pilihan raya umum Malaysia 2008, PAS membenarkan Datuk Ibrahim Ali bertanding di Parlimen Pasir Mas, Kelantan.Beliau menang kerana mendapat 28,673 undi. Saingannya Ahmad Rosdi Mahamad (BN) hanya mendapat 19,682 undi. Majoriti 8,991 undi.Penyandang sebelum ini ialah Ismail Noh dari PAS dengan majoriti 1,251 undi.

Penulisan[sunting | sunting sumber]

Antara buku tulisan Ibrahim ali ialah :

  1. Pertemuan dengan pemimpin revolusi Islam Iran ,Eddie Colour; 1980.
  2. Babi , Koperasi Anak Pasir Mas[17]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Ibrahim Ali: ‘You can still call me datuk’ Diarkibkan 2010-12-14 di Wayback Machine 02:52:49 PM 13-10-2010 oleh Clara Chooi 13 Oktober 2010
  2. ^ England, Vaudine (12 Februari 2010). "Allah row reflects Malay racial identity fear". BBC News. British Broadcasting Corporation. Dicapai pada 26 Mei 2010.
  3. ^ "Ibrahim labels Chinese as ungrateful". The Star (Malaysia). Star Publications. 18 Mei 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 2019-12-09. Dicapai pada 26 Mei 2010.
  4. ^ PEHIMPUNAN AMAN MEMBANTAH BERSIH
  5. ^ a b ‘The fearless and the chicken-hearted’ My Sinchew
  6. ^ a b FREE MALAYSIAKINI - Perkasa cancels rally, but members to loiter in city[pautan mati kekal]
  7. ^ The making of Ibrahim Ali
  8. ^ "Ibrahim akan kekal Bebas", Utusan Malaysia, 11 Mac 2008.
  9. ^ "Desak Ibrahim letak jawatan", Utusan Online, 27 September 2009.
  10. ^ "Ibrahim Ali mahu saman The Sun", Malaysiakini.com. 18 Mac 2010.
  11. ^ Ibrahim Ali Saman Akhbar "The Sun" Kerana Fitnah
  12. ^ "Saham judi: Ibrahim Ali akan saman", Malaysiakini.com, 24 Mac 2010.
  13. ^ "Ibrahim Nafi Miliki Saham Syarikat Judi", Bernama.com, 24 Mac 2010.
  14. ^ Ibrahim Ali, Saifuddin Bertikam Lidah Isu Saham Syarikat Judi
  15. ^ Sultan Kelantan lucutkan gelaran 'Datuk' Ibrahim Ali.
  16. ^ Jalan Bellamy Bakal Jadi Medan Tempur? Diarkibkan 2011-06-24 di Wayback Machine MyNewsHub (BM). 19 Jun 2011.
  17. ^ Babi: novel sensasi terkini, Ibrahim Ali