Ibrahim Anon

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Rencana ini ialah mengenai kartunis. Untuk filem, sila lihat Ujang (filem). Untuk majalah, sila lihat Ujang (majalah).
Ujang
Ujang2.jpg
KelahiranIbrahim bin Anon
(1965-10-18) 18 Oktober 1965 (umur 54)
Kampung Juaseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Malaysia
KediamanKuala Lumpur
PekerjaanPelukis, penulis, kartunis
Tahun aktif1983–kini
Karya terkenal

Ibrahim Anon (lahir 18 Oktober 1965) atau lebih dikenali sebagai Ujang merupakan seorang kartunis Malaysia. Beliau memulakan kerjaya animasinya bersama majalah Gila-Gila dengan kartun loose Si Tenggang. Waktu kartun beliau kelihatan agak kurang matang dan stroknya terlalu ringkas. Walau bagaimanapun, Ujang berjaya meyakinkan penerbitnya bahawa karyanya suatu ketika akan diterima pembaca. Beliau telah membuktikan kegigihannya melalui watak-watak yang diciptanya melalui pengamatan dunia kelilingnya. Watak-watak dalam dirinya diterjemahkan dalam bentuk visual yang agak kartun tetapi menyentuh jiwa lewat. Karya-karyanya Aku Budak Minang, Jibam, Aca, Atuk dan banyak lagi.[1]

Beliau ialah seorang yang amat mementingkan keaslian 100% dalam sesuatu karya yang diterbitkan. Menurut beliau, fenomena para karyawan di Malaysia yang kebanyakannya meniru sedikit sebanyak kartun-kartun dan komik-komik luar negara seperti Jepun, Hong Kong, Korea dan Amerika Syarikat benar-benar mengecewakan beliau.[2]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan pada 18 Oktober 1965 di Kampung Juaseh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan berketurunan Minangkabau. Dari zaman persekolahan, Ujang memulakan minatnya melukis kartun. Namun bimbingan yang beliau perolehi dalam bidang seni lukis hanyalah ketika di sekolah menengah sahaja.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1982, Ujang berhijrah ke Kuala Lumpur bagi memulakan kerjayanya sebagai kartunis. Di tangannya karya setebal 24 muka surat berjudul Hikayat Ujang Senang. Untuk menampung sara kehidupnya ketika itu, Ujang bekerja di sebuah kilang roti dengan gaji sebanyak RM100. Beliau menggunakan nama Ujang atas cadangan Jaafar Taib. Ini kerana beliau berasal dari Negeri Sembilan dan nama panggilan tersebut memang sinonim dengan negeri itu.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Ketika bertemu dengan Jaafar Taib, Pengarah Urusan Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB) yang ketika itu berpejabat di Jalan Pantai Baru, beliau meminta Ujang untuk mewujudkan kartun satu petak dahulu. Jaafar juga menyatakan kesanggupannya untuk melatih Ujang. Pada masa yang sama, Jaafar turut mencadangkan penggunaan nama Ujang, meskipun Ujang lebih berminat menggunakan nama Ayem.

Kartun coretan Ujang akhirnya disiarkan buat pertama kali di majalah Gila-Gila bilangan 130, keluaran 1 Februari 1984. Manakala karya beliau, Hikayat Ujang Senang, telah diperbaiki semula sebelum diterbitkan pada tahun 1985. Sejak itu nama beliau mula melekat di hati pembaca majalah Gila-Gila dan diletakkan sebaris bersama kartunis-kartunis popular majalah tersebut seperti Don, Kerengge, Tazidi, Fatah mahupun Zainal Buang Hussein.

Selepas meninggalkan CESB pada 1993, Ujang menyertai Kharisma Publications sebagai pengurusnya dan menerbitkan majalah Ujang dengan moto Majalah Lawak Antarabangsa. Semasa berkhidmat di Kharisma, watak Usop Sontorian ciptaan Ujang telah dijadikan siri animasi yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia, yang kemudiannya telah diiktiraf sebagai siri animasi tempatan yang pertama oleh The Malaysia Book of Records.[3]

Majalah Ujang kemudiannya dilihat memasuki fasa baru dengan menyuntik unsur-unsur Islamik ke dalam karya-karya yang disiarkan. Pada penghujung 1997, Ujang meninggalkan Kharisma Publications, dan menubuhkan syarikatnya sendiri, Multi Triple Vision Sdn Bhd. Di bawah bumbung syarikat ini, Ujang menerbitkan majalah Varia Lawak dengan mengumpul sebahagian besar kartunis-kartunis dari majalah Ujang bersama karya-karya mereka. Bersama Varia Lawak, Ujang masih mengekalkan kartun-kartun yang berunsur Islamik. Pengundurannya dari Kharisma menyebabkan majalah Ujang menghentikan operasinya.

Pada 1998, Ujang muncul kembali di bawah pengurusan baru, MOY Publications, yang diasaskan oleh Datuk Md Othman Yusof, salah seorang pemegang saham dalam Kharisma dan bekas penerbit Usop Sontorian.

Ujang kemudiannya menukarkan nama majalah Varia Lawak kepada Lanun. Di samping itu beliau turut menerbitkan Buletin Lubuk, majalah khusus untuk mereka yang gemar memancing. Namun begitu, kedua-duanya tidak kekal lama dan terpaksa berakhir di penghujung tahun 2000.

Pada 2002, Ujang muncul kembali dengan majalah Ujang Budak Minang, tetapi hanya dikeluarkan untuk satu keluaran sahaja. Majalah Malim Pelita terbitan Arena 2000 Sdn Bhd diterbitkan selepas itu bagai menyambung semula kerjaya Ujang dalam dunia kartun. Bagaimanapun, ia juga hanya dapat bertahan untuk beberapa keluaran sahaja. Apabila Kumpulan Karangkraf Sdn. Bhd. menerbitkan majalah G3, mereka telah menjemput Ujang sebagai kartunis tamu. Namun begitu, karya Ujang hanya dapat ditatapi untuk beberapa keluaran sahaja.

Pertemuan dengan Jaafar Taib pada tahun 2004 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) membuka jalan untuk Ujang kembali semula ke majalah Gila-Gila. Beliau bukan sahaja diminta berkarya kembali di majalah tersebut, malah diminta mengendalikan unit promosi dan acara untuk CESB.

Tahun 2007 merupakan tahun kebangkitan semula 'Sifu Kartun Malaysia', bermula dengan usaha syarikat Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB) yang telah memberikan hak kepada Jajja Production Sdn Bhd untuk mengadaptasikan novel Jibam karya Ujang ke dalam bentuk filem yang menjalani penggambaran pada April 2007. Filem yang bertajuk Jibam The Movie ditayangkan pada 7 Disember 2017.[4][5]

Dalam temuramah bersama Astro Awani pada 8 Ogos 2015, Ujang memberitahu beliau mempunyai perancangan untuk merancakkan semula industri majalah humor tanah air agar tidak terus berkubur berikutan penutupan MOY Publications pada 5 Ogos.[6][7] Penutupan MOY Publications pada 5 Ogos 2015 sekaligus telah memberhentikan penerbitan majalah Ujang dan APO?.[8][9]

Pada 16 November 2015, lukisan mural beliau telah dilancarkan.[10][11]

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Beliau berkahwin dengan Zaihah Abdul Rahman dan dikurniakan empat anak.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Azlan Jusoh (14 Februari 2017). 5 majalah kartun popular Malaysia sekitar 80an hingga 90an Azhan.co. Diperoleh pada 24 April 2017.
  2. ^ Nur Aqidah Azizi (August 20, 2016). "Cartoons can evoke patriotism, says Ujang". NST Online. Dicapai 2017-03-18. 
  3. ^ "Usop Sontorian makes its debut on TV", New Straits Times, 21 January 1996.
  4. ^ Nazli Ibrahim (19 Disember 2017). "Sambutan baik, pawagam tayang filem Jibam bertambah semula". Selangorkini. Dicapai 1 Januari 2018. 
  5. ^ "Ujang Anggap Keajaiban Pawagam Mula Penuh". Perak Today. 15 Disember 2017. Dicapai 1 Januari 2018. 
  6. ^ Madihah Abdullah (8 Ogos 2015). "Kartunis Ujang punya perancangan susulan penutupan operasi MOY Publication". Astro Awani. Dicapai 2017-03-18. 
  7. ^ Ronasina (11 Ogos 2015). "Al-fatihah untuk APO? dan Ujang". Malaysiakini. Dicapai 2017-03-18. 
  8. ^ "Penerbitan majalah Ujang, Apo? berakhir". The Rakyat Post. 6 Ogos 2015. Dicapai 2017-03-18. 
  9. ^ Al-Abror Mohd Yusuf (17 November 2015). "Ujang 'original' hidup semula Oktober ini". 12 Ogos 2015. Dicapai 12 Ogos 2015. 
  10. ^ "Mural Ujang dilancar". Kosmo! Online. 16 November 2015. Dicapai 2017-03-18. 
  11. ^ "Mural Ujang jadi penghias utama di Terminal 1". Utusan Online. 17 November 2015. Dicapai 2017-03-18. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]