India Barat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

India Barat

India Barat ditonjolkan dalam warna merah
Zon waktu IST (UTC+5:30)
Keluasan 508, 052 km² 
Negeri dan wilayah Maharashtra, Gujarat, Goa, Dadra dan Nagar Haveli, Daman and Diu
Bandar raya yang mempunyai paling banyak penduduk (2008) Mumbai, Pune, Ahmedabad, Surat, Nashik, Nagpur, Thane, dan Navi Mumbai
Bahasa rasmi Marathi, Gujarati, Bahasa Konkani, Inggeris, Hindi [1]

[2]

Jumlah penduduk 147,801,774
Takat terbesar Empayar Maratha pada 1700-an
Konkan pada musim monsun

India Barat terdiri daripada negeri Goa, Gujarat, dan Maharashtra, bersama-sama Wilayah Kesatuan Daman dan Diu serta Dadra dan Nagar Haveli. Kawasan ini sangat diindustrikan, dengan jumlah penduduk yang besar.[1] Kebanyakan kawasan India Barat merupakan sebahagian Empayar Maratha dan Empayar Mughal sebelum penjajahan oleh pihak British. Kawasan-kawasan itu menjadi sebahagian India selepas kemerdekaan dan mengambil bentuk terkini selepas States Reorganization Act (Akta Penyusunan Semula) 1956 diluluskan.[2] India Barat lebih kurang disempadani oleh:

Sebahagian besar India Barat berkongsi Penara Deccan dengan India Selatan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

(Untuk sejarah terperinci, lihat rencana masing-masing untuk tiga negeri barat: Maharashtra, Goa, dan Gujarat)

Sebahagian Gujarat merupakan tapak Tamadun Lembah Indus. Sebilangan tapak arkeologi telah ditemui di Lothal, Surkotada, dan di sekitar Sungai Ghaggar di Rajasthan. Kawasan India Barat diperintah oleh Kerajaan Maurya, serta orang-orang Gurjar, Rajput, Satavahana, Satrap Barat, dan Indo-Yunani, antara lain, pada zaman kuno. Semasa zaman pertengahan, kawasan itu ditaklukkan oleh Parsi dan juga Empayar Mughal. Empayar Maratha yang kemudian bangkit di Maharashtra barat menguasai sebahagian besar subbenua India. Bagaimanapun, penewasannya oleh pihak British dalam perang-perang Inggeris-Maratha menyebabkan sebahagian besar India dijajahkan.

Kawasan India Barat mengalami pergolakan yang teruk semasa perjuangan untuk kemerdekaan India. Perarakan Dandi yang diketuai oleh Mahatma Gandhi berlaku di Gujarat. Kawasan itu kemudian menjadi sebahagian India merdeka pada 1947, dengan sempadan negeri yang terkini ditetapkan pada 1956 berdasarkan pertimbangan bahasa.[2]

Geografi[sunting | sunting sumber]

Kawasan India Barat terdiri sebahagiannya daripada kawasan gersang dan separa gersang Saurashtra, Kutch, dan Cambay di utara. Ghat Barat dan Konkan terletak di pantai Maharashtra dan Goa. Dataran Deccan di Vidarbha, Marathwada di Maharashtra tengah dan timur mentakrifkan bahagian yang lain di kawasan itu.

Tumbuh-tumbuhan India Barat berbeza-beza antara hutan hujan tropika di sepanjang pantai Konkan sehingga pokok renek berduri di Gujarat utara. Sungai-sungai utama di kawasan ini ialah Sungai Narmada, Sungai Tapti, Sungai Godavari, Sungai Zuari, Sungai Mandovi, Sungai Krishna, Sungai Ghaggar, dan Sungai Chambal, selain daripada banyak cawang sungai yang lebih kecil daripada sungai-sungai yang lain. Sungai Narmada dan Sungai Tapti secara umumn membentuk sempadan antara India Utara dengan India Selatan.

Iklim[sunting | sunting sumber]

Iklim India Barat berbeza-beza antara iklim lembap tropika, iklim lembap dan kering tropika, serta iklim separa gersang. Kawasan pantai tidak mengalami banyak perubahan musim, walaupun suhunya berbeza-beza antara 20°C hingga 38°C. Kawasan-kawasan Mumbai dan Konkan utara mengalami musim sejuk yang lebih dingin, dengan suhu minimumnya di sekitar 12 °C. Kawasan dalaman Maharashtra mengalami musim panas yang panas, dengan suhu maksimumnya berpurata 40°C serta musim sejuk yang sederhana, dengan suhu minimumnya berpurata sekitar 10°C. Gujarat juga mempunyai iklim hangat, dengan musim panas yang panas dan musim sejuk yang dingin.

Demografi[sunting | sunting sumber]

Seorang wanita Meghwal di desa Hodka yang terletak di sebelah utara Bhuj.

Sedangkan Hinduisme dianuti oleh kebanyakan penduduk di Gujarat, Maharashtra mempunyai berbagai-bagai agama. Terdapat golongan minoriti yang besar yang menganuti agama Islam, dengan bilangan yang lebih kecil menganuti agama Buddha dan agama Kristian. Terdapat juga sebilangan orang Yahudi asli yang dikenali sebagai Israel Bene yang bertutur dalam bahasa Marathi. Orang Parsee yang menetap di Gujarat menjadikan Mumbai dan Surat sebagai tempat kediaman mereka. Peratusan penganut Jainisme yang bererti juga boleh didapati, termasuk banyak penganut agama Kristian di negeri Goa. Hari Ganesh Chaturthi, Diwali, Navratri, Eid dan Krismas merupakan hari perayaan yang terpenting di India Barat.

Pada keseluruhannya, 83.66% daripada penduduk di India Barat ialah orang Hindu, 10.12% Muslim, 4% penganut agama Buddha, dengan bakinya terdiri daripada sebahagian besar orang Kristian di Goa serta Maharashtra. Bahasa Marathi, dengan sekitar 73 juta penutur, merupakan bahasa pertuturan yang paling banyak digunakan, diikuti oleh bahasa Gujarati, dengan sekitar 46 juta penutur dan bahasa Konkani dengan 2.5 juta penutur. Kesemua bahasa itu adalah bahasa Indo-Arya.[3]. Sebagaimana dengan kawasan-kawasan lain di India, tahap multilingualisme yang tinggi diperlihatkan, dengan bahasa Inggeris dan bahasa Hindi dituturkan sebagai bahasa tambahan di kawasan-kawasan bandar.[4]

Kadar kenal huruf purata di India Barat sebanyak sekitar 76% adalah lebih tinggi daripada kadar purata negara sebanyak 70.5%.[5] Kepadatan penduduk sekitar 290 orang per kilometer persegi, dengan saiz isi rumah purata sebanyak 4.7 dan kadar kesuburan purata sekitar 2.2.[5]

Budaya[sunting | sunting sumber]

Sé Cathedral Santa Catarina, terletak di Old Goa Lama, ialah gereja yang ditahbiskan kepada Catherine dari Alexandria.

Budaya negeri-negeri Maharashtra, Goa, dan Gujarat amat berbeza. Goa mempunyai aura Latin yang disebabkan oleh pemerintahan berabad-abad Portugis. Seni bina dan masakan Goa merupakan suatu paduan budaya India dan Portugal yang unik. Goa terkenal kerana pantai dan gerejanya.

Budaya Maharashtra berasal daripada budaya Veda Indo-Arya kuno yang amat dipengaruhi oleh pemerintahan Empayar Maratha dan penjajahan British. Orang Marathi berasa bangga terhadap Empayar Maratha, dengan banyak tempat di Maharashtra dinamai sempena Shivaji, pengasas Empayar. Kesusasteraan dan seni perfileman Marathi amat popular di dalam negeri serta di seluruh pelusuk India.

Budaya Gujarati ialah paduan tradisi Hinduisme dan Jainisme. Ia juga amat dipengaruhi oleh orang Parsee yang berhijrah ke Gujarat dari Iran sekitar 1,000 tahun dahulu. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, Gujarat telah digoncangkan oleh keganasan komuniti yang menjejaskan tradisi toleransi lama yang dipupuk selama berabad-abad. Mumbai dan Goa kini terkenal kerana hiburan malam harinya, dengan Bollywood amat mempengaruhi gaya hidup dan budaya kawasan ini, khususnya kerana ia terletak di Mumbai.

Masakan[sunting | sunting sumber]

Pav bhaji dari Mumbai, Maharashtra
Chaat yang berasal dari Gujarat sangat popular di seluruh India

Masakan India Barat sangat berbeza-beza. Masakan Goa banyak menggunakan biji gajus, kelapa, dan makanan laut. Vindaloo dan Xacuti daging babi ialah kari Goa yang termasyhur, manakala Bebinca ialah gula-gula diperbuat daripada telur dan kelapa yang sangat popular.

Masakan Maharashtra juga amat berbeza-beza daripada makanan hambar sehingga makanan yang amat sangat pedas. Contoh makanan Maharashtra yang popular termasuk Pohay, Shrikhand, Pav Bhaji, dan Vada Pav.

Masakan Gujarati hampir terdiri pada keseluruhan daripada makanan vegetarian. Gujarat ialah salah satu daripada tiga buah negeri di India yang mengharamkan alkohol, bersama-sama dengan Mizoram dan Manipur.[6] Sebaliknya, Maharashtra memiliki ladang anggur yang antara terbaik di India, dengan daerah Nashik dan Sangli merupakan daerah pengeluaran anggur yang terbesar di negara.[7]

Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Mumbai, Maharashtra is the financial capital of the country

Pada keseluruhannya, India Barat mencatat taraf hidup yang agak tinggi, walaupun bandar raya Mumbai menghadapi kesesakan yang berketerlaluan, akibat penghijrahan dari seluruh pelusuk negara. Kawasan India Barat menghasilkan 20.34% daripada keluaran dalam negeri kasar (KDNK) India, dengan kadar pertumbuhan tahunannya sebanyak 14.5% pada tahun 2006.[8] Negeri-negeri di kawasan ini memungut 23% daripada hasil cukai negara. Melebihi 85% daripada isi rumah di kawasan ini dibekalkan elektrik, dengan sekitar 55% memiliki sebuah televisyen. Pertanian menggaji kebanyakan orang di kawasan ini, manakala sektor perkhidmatan ialah penyumbang KNK yang terbesar.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Census GIS data". Dicapai pada 2008-03-12.
  2. ^ a b "States Reorganization Act". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-05-16. Dicapai pada 2008-03-12. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "states_reorganization_act" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  3. ^ "2001 Census language data". Dicapai pada 2008-03-11.
  4. ^ India and its Languages "Indian and its languages" Check |url= value (bantuan). Dicapai pada 2008-03-11.
  5. ^ a b "NFHS fact sheet" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2008-09-11. Dicapai pada 2008-03-11. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "nfhs_key_facts" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  6. ^ "Alcohol Prohibition and Addictive Consumption in India" (PDF). Dicapai pada 2008-03-11.
  7. ^ "Wine Industry in Maharashtra: An Analysis" (PDF). Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2008-09-11. Dicapai pada 2008-03-11.
  8. ^ "STATEMENT : GROSS STATE DOMESTIC PRODUCT AT CURRENT PRICES". Dicapai pada 2008-03-11.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]